Myilham.Com Rotating Header Image

Bila Housemate Sibuk Bercinta

 

” Kejap ye, nak jawab telefon “

Muka ceria sambil tersengih-sengih tatkala menerima panggilan telefon. Kemudian berlalu masuk ke dalam bilik atau mencari-cari ruang yang lebih privacy. Biasanya suara tatkala bercakap tersangatlah perlahan, sehingga langsung tidak kedengaran. Hanya sesekali terdengar gelak-gelak manja dan kemudian senyap kembali.

Aduhai. Begitulah situasinya apabila teman serumah atau teman sebilik sibuk bermain cinta. Kadangkala moodnya ceria sentiasa. Kadangkala merajuk tak semena-mena. Kadangkala ada di rumah atau di bilik tapi bagaikan tiada. Kadangkala semua kerja dalam rumah dan dalam bilik dibereskannya dengan rela.

Aneh dan kurang normal.

Itu salah satu sifat wajib bagi orang yang mabuk cinta. Kurang normal bukan bermaksud dia gila, tetapi akal warasnya kadangkala ditewaskan oleh kegirangan hati yang berlebihan atas nama cinta.

 

SISI KEDUA

Keadaan ini berlaku bukan hanya di kalangan orang yang tidak berpendidikan agama, bahkan yang sedang mengikuti pengajian agama juga tidak terkecuali. Itu tidak aneh. Yang aneh adalah apabila sebahagian orang menganggap syaitan hanya menggoda orang yang tidak mengaji agama, sebaliknya yang mengaji agama sentiasa bersama Malaikat. Pemikiran dan persepsi yang cukup aneh.

Bertitik tolak dari keadaan ini, yang banyak menanggung kecewa adalah rakan serumah atau rakan sebiliknya. Apatah lagi jika mereka yang mempunyai pegangan agama yang kuat, terlibat dengan gerakan dakwah dan sebagainya. Masalah teman serumah yang hanyut dalam cinta dan maksiat adalah suatu penyeksaan jiwa raga kepada mereka.

Sudah tentulah mereka benci melihat keadaan tersebut.

Tatkala situasi di atas berlaku saban waktu, tatkala si angau sibuk bergayut di telefon, tersengih-sengih dan sebagainya, ada yang buat tidak tahu, ada yang menjeling-jeling dan ada yang mengeluh serta menyampah.

Puas ditegur, tapi bagai mencurah air ke daun keladi. Kadang-kadang, bagai mencurah minyak dalam api!

 

REALITI

Banyak juga berlaku pergaduhan disebabkan masalah tersebut. Apabila terlalu lama dipendam, akhirnya terletus dan mengakibatkan keretakan dalam persahabatan. Sudah tentu keadaan ini tidak berlaku jika masing-masing hidup dengan hal sendiri tanpa mempedulikan orang lain. Tetapi berlainan jika masing-masing hidup atas kesedaran agama dan mahu nasihat menasihati antara satu sama lain.

Realitinya, orang yang mabuk cinta dan orang yang benci dengan kemabukan sahabatnya bercinta, jarang dapat mencari titik temu untuk masing-masing redha. Maknanya, orang mabuk cinta benci apabila kerap ditegur, dipandang serong seperti dia ‘melakukan dosa besar’, rimas apabila merasakan ‘hal peribadinya’ diganggu dan sebagainya. Manakala orang yang benci dengan kemabukan sahabatnya bercinta pula tidak boleh merasa tenang membiarkan sahabatnya terus hanyut dengan fatamorgana cinta, apatah lagi dengan perhubungan yang tidak terkawal, berkhalwat dalam telefon dan sebagainya.

Justeru masing-masing sentiasa tidak berpuas hati antara satu sama lain. Dalam masa yang sama, kedua-duanya merasakan diri mereka di pihak yang betul.

 

JALAN KELUAR

Sesungguhnya tidak ada jalan keluar yang mudah untuk semua permasalahan. Hidup ini bukan soal menjawab kertas peperiksaan. Ia adalah suatu kehidupan yang benar-benar kehidupan. Sebuah realiti perjalanan menuju Tuhan.

Manusia ditaklifkan untuk berusaha, bukan menentukan dosa atau pahala. Bukan juga untuk menghukum dia atau mereka masuk syurga atau neraka.

Tegur menegur, nasihat menasihati, selagimana atas paksi mencari redha Tuhan dan melengkapkan sebuah taklifan, insyaAllah ada pahalanya untuk kita.

” Habis tu, takkan saya nak biarkan dia hanyut macam tu je? Saya mesti pastikan dia berhenti dari perkara-perkara mungkar tersebut! “

Demikian luahan seorang housemate yang berpegang kuat dengan agama.

Saya cenderung mengatakan begini ; membiarkan kawan serumah hanyut dengan maksiat tanpa menegur, itu suatu kesalahan bukan hanya dengan Allah bahkan dengan kawan tersebut. Akhirat kelak boleh jadi dia akan menyalahkan kita di hadapan Allah kerana tidak menegurnya atau menariknya dari kancah dosa.

Tetapi untuk menentukan dan memastikan dia terus tinggalkan dosa, berubah serta merta dan keluar dari kemabukan cintanya, itu bukan kuasa kita. Itu soal hidayah dari Allah. Jika Nabi s.a.w sendiri pun tidak boleh memberikan hidayah kepada bapa saudaranya, maka apatah lagi dengan kita dan rakan serumah kita.

Istifadah yang kita boleh ambil adalah, sayang itu tidak semestinya dibuktikan dengan berjayanya kita merubah si polan dan si polan. Sebaliknya sayang itu dibuktikan dengan sejauh mana usaha yang kita ambil dan secerdik mana pendekatan yang kita pakai apabila menegur atau mahu mengubah kemungkaran yang dia lakukan. Juga, sebanyak mana kita konsisten menyebut namanya dalam setiap doa kita?

 

FITNAH

Pemerhatian saya, ramai orang tertimpa fitnah bukan kerana niat baiknya untuk menegur, sebaliknya kerana cara menegur yang salah. Terburu-buru, menegur dengan benci, menggunakan bahasa yang menyakitkan hati, meletakkan orang yang mahu ditegur dalam ‘kandang pesalah’ dan sebagainya.

Tidak cukup dengan kita merasakan ‘kita di pihak yang benar’ dan ‘kemungkaran ini mesti ditegah’ lalu kita ketepikan kebijaksanaan dan hikmah dalam sebuah dakwah.

Kalau setiap hari kata-kata yang sama kita lontarkan, ucapkan dan sindirkan kepada dia yang sedang sibuk bercinta, itu tidak bijaksana juga. Kalau setiap kali dia cuba mengasingkan diri untuk mencari privacy maka kita buat-buat tidak faham dan menutup ruang privacy yang dibinanya, itu pun tidak bijaksana juga.

Sebab itu para ulamak yang menulis tentang dakwah ‘menghighlightkan’ satu syarat penting dalam mengubah seorang manusia, iaitu ‘memahami kondisi’ orang tersebut sebaiknya. Sudah tentu ini perlu dilakukan dengan cermat.

Kalau kita sudah pastikan teguran sampai ke telinganya, dan dia sudah menunjukkan perhatian kepada teguran tersebut, berilah dia masa. Dalam banyak-banyak kesempatan yang ada, jangan hanya menegur, sebaliknya cuba juga fahami apa yang dia rasa. Banyak orang khususnya wanita menghubungi saya dan menyatakan permasalahan mereka bilamana mereka tidak mahu bercinta dengan cara yang salah tetapi di pihak lelaki pula tidak mengendahkan. Hendak ditinggalkan, tiada kekuatan. Hendak diputuskan, sudah terasa sayang.

 

KESIMPULAN

Untuk menegur orang bercinta, anda perlu letakkan diri anda di dalam ‘kasut’ orang tersebut. Sebab itu orang yang tidak pernah mengalami perasaan cinta, jatuh cinta, mabuk cinta dan sebagainya kurang mahir dalam seni menegur apabila rakan-rakannya bercinta. Akhirnya dia dijauhi begitu saja. Silap-silap tercetus pergaduhan, perselisihan faham dan sebagainya.

Saya suka mengingatkan, bahawa orang yang sibuk bercinta atau sedang mabuk cinta, kadangkala kedegilan mereka bertambah berkali-kali ganda. Kalau pergi ke hujung dunia bersama kekasihnya pun dia sanggup, apalah sangat dengan sebuah teguran daripada kita?

Justeru ingat, dalam mendakwah manusia, JANGAN ADA BENCI. Ramai orang gagal dalam mengubah dan menegur sahabatnya kerana benci dan kurang sabar. Akhirnya mereka beroleh rugi semata-mata.

Sekian.

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan-BukanKomersial 2.5 Malaysia Creative Commons.