Cinta : Bagaimana Menjemput Keredhaan Allah

post2

 

Saya percaya, kita semua yang sedang berada di sini mahukan jalan yang betul untuk ditelusuri dalam kehidupan. Biar jalan itu benar-benar jalan yang memberikan kita jaminan keselamatan, bukan jalan yang membawa kita entah ke mana-mana, tanpa bimbingan dan pedoman yang pasti.

Tentang keselamatan itu pula, sudah tentu kita mahu selamat itu bukan hanya di dunia.

Contoh : ” Alhamdulillah, dia telah selamat diijabkabulkan ” atau ” Alhamdulillah, dia telah selamat melahirkan anak “.

Kerana kita yakin akan ada satu lagi yang berbunyi :

” Alhamdulillah, dia telah selamat dikebumikan “.

 

Lantaran meyakini dialog yang ketiga itulah, maka kita lebih mengharap jaminan keselamatan di negeri akhirat. Sebab itu, dalam mengurus dan mendidik fitrah seumpama cinta, kita memilih untuk memastikan ia berada di atas landasannya yang benar – iaitulah landasan yang dinaungi oleh keredhaan Allah.

Soalnya, bagaimana untuk diraih keredhaan Allah ke atas cinta, kasih sayang, kerinduan dan pengorbanan yang menjadi rencah dalam sebuah fitrah? Silap haribulan, bukan redha Allah yang dijemput tetapi kemurkaan-Nya yang sentiasa mengekori, moga Allah lindungi kita dari perkara itu.

Justeru di sini, saya nukilkan beberapa tips untuk kita bersama :

 

1. Cari Takrifan ‘Berjaya’ Di Pandangan Allah

Berjaya mendapat pasangan yang dia suka, berjaya mendirikan rumahtangga, berjaya membesarkan anak-anak mereka, dan segala maksud berjaya yang lain, hakikatnya perlu diberikan erti berjaya pada pandangan Allah, bukan semata-mata pandangan manusia.

Sebagai contoh, berjaya mendirikan rumahtangga belum benar-benar berjaya di sisi Allah, walaupun manusia telah menobatkan kita sebagai ‘raja’ yang berjaya. Berjaya di sisi Allah adalah apabila kita mendirikan rumahtangga itu atas asas untuk meraih keredhaan Allah, selamat dari fitnah dan dosa yang mengundang murka-Nya, mendidik ahli keluarga kita nanti untuk melazimi hidup beragama dan istiqamah pula di atas prinsip tersebut hinggalah kita dipanggil menemui-Nya. Itu nilaian berjaya di sisi Allah.

Sebagaimana Allah berfirman :

3

” Wahai orang-orang beriman, jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api neraka, yang mana bahan bakarnya adalah manusia dan batu bata, yang menjaganya itu adalah Malaikat yang bengis lagi garang, yang tidak sesekali menderhakai Allah atas apa yang diperintahkan pada mereka, dan mereka melakukan apa sahaja yang Allah perintahkan ”

( al-Tahrim : 6 )

Mengejar nilai berjaya hanya pada pandangan mata manusia, tidak sesekali akan menjemput keredhaan Allah ke atas cinta kita, bahkan ia jadi satu bebanan dosa pula apabila dengan cinta itu wujudnya bangga membangga, sindir menyindir, dengki mendengki, serta sombong dan takabbur sesama manusia.

Bila dikejar takrifan berjaya di sisi Allah, maka orang yang bertunang tetapi akhirnya putus tunang, atau orang yang berkahwin tetapi akhirnya bercerai, juga boleh dinilai berjaya, sekiranya sepanjang Allah pinjamkan nikmat cinta dalam bertunang dan berkahwin itu, dia benar-benar tunduk patuh dan akur menguruskan fitrah cinta itu mengikut kehendak Allah Ta’ala.

 

2. Lazatkan Cinta Dengan Iman

Walaupun kita kata cinta itu fitrah dan perasaan semulajadi yang ada dalam diri semua manusia, tapi pernahkah kita berfikir, apakah yang menyebabkan cinta kita itu terasa manis dan lazat? Adakah yang merasai kemanisan cinta itu adalah fitrah, atau perasaan semulajadi, atau hawa nafsu, ataupun iman?

Soalan ini mesti dijawab oleh semua yang ingin, sedang dan akan bercinta.

Kerana, untuk menjemput keredhaan Allah, kita mesti memilih jawapan yang betul dan tepat pada menentukan manis dan lazatnya sebuah cinta.

Ada yang merasakan cintanya itu indah dan bahagia kerana itu fitrah semulajadinya sahaja. Macam lapar yang juga secara semulajadi, tetapi indah dan bahagia bila boleh makan nasi. Jika hanya setakat itu, ia tidak menjemput redha Allah untuk hadir bersama.

Ada yang merasakan cintanya itu best dan seronok sebab hawa nafsu dan maksiat. Bebas lakukan apa sahaja, bebas ke mana sahaja dan tanpa segan silu mengaku dunia ini mereka berdua yang punya. Sedangkan waktu cuaca panas pun dia kalut cari kipas, kenapa tidak dia sendiri atau mereka berdua sahaja yang tentukan suhu supaya jadi sejuk atau panas. Cinta, jika begini salurannya, memang jauhlah dari keredhaan Allah.

Tetapi cinta, yang dikecapi oleh iman di dalam jiwa, akan menjadikan seseorang itu meraih cinta Allah dan Rasul-Nya terlebih dahulu, sebelum terpesona dengan cinta manusia.

Dalam sebuah hadith, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda :

 

” Tiga perkara yang jika ada pada seseorang, maka akan ditemui kemanisan iman. Iaitulah apabila Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai berbanding keduanya. Dan apabila dia mencintai seseorang, dia tidak cintai melainkan kerana Allah. Dan dia merasa benci untuk kembali kepada kekufuran, sebagaimana dia benci dicampakkan ke dalam api neraka ”

( HR Bukhari dan Muslim )

 

Dalam apa jua keadaan dan di mana sahaja dia berada, selagi nyawa dikandung badan, tak akan pernah orang yang dia cintai itu dapat mengatasi kecintaannya kepada agama Allah dan sunnah Rasul-Nya sallallahu alaihi wasallam. Kedua-dua itu kekal dijadikan yang pertama dan utama dalam menyantuni fitrah cinta dalam dirinya.

Dari situlah, cintanya terasa manis, lazat dan nikmat. Kerana kelazatan dan kenikmatan cinta itu datangnya dari kelazatan dan kenikmatan iman, seterusnya berupaya menjemput keredhaan Allah dalam ekspedisi cinta mereka menuju ke Syurga Allah Ta’ala.

 

3. The Power Of ‘ Sabar Dan Sangka Baik’

Sentiasa ingatkan diri kita dan ingatkan orang yang kita cinta, bahawa dalam cinta itu, jika kita tidak diuji untuk bersabar dan tidak diuji untuk bersangka baik dengan Allah, maka itu bukan cinta sejati namanya.

Nabi Ibrahim mencintai ayahnya, Nabi Nuh mencintai anaknya , Nabi Luth mencintai isterinya, tetapi dalam cinta itu mereka diuji kerana orang yang dicintai mereka adalah orang yang dimurkai Allah. Tetapi sabar dan sangka baik mereka jauh mengatasi rasa cinta mereka kepada sesiapa sahaja.

Sabar dalam bercinta, menunggu kesudahan sesuatu yang hanya diketahui oleh Allah. Sabar dalam sebuah penantian yang mana pengakhirannya hanyalah diketahui oleh Allah.

Sangka baik dengan Allah yang tidak pernah goyah, bahawa tidak lama lagi akan ada bahagian kita untuk bahagia, dan tidak sesekali buruk sangka bahawa Allah menyingkirkan atau tidak mempedulikan kita, semua itulah yang akan menjemput keredhaan Allah dalam sebuah cinta.

Ada orang anggap nasihat dan motivasi untuk kekal sabar dan positif ini sia-sia sahaja, dan sekadar untaian kata-kata sahaja.

Sedang mereka lupa, sabar dan positif itu walau zahirnya macam tak nampak apa-apa, tapi itulah yang mendatangkan keberkatan dalam kehidupan seorang hamba. Keberkatan itulah yang menjadikan senyumannya semakin manis, fokus kerjanya semakin baik, usahanya semakin teratur dan sudut pandangnya semakin tepat. Walaupun, dari satu sudut, dia belum memperolehi cinta atau pasangan atau kebahagiaan yang dia impikan.

Apa yang penting, sabar dan baik sangka dengan Allah akan menjemput redha Allah menemani kita dalam kehidupan.

Sabda Rasulullah sallalllahu alaihi wasallam dalam sebuah hadith Qudsi :

 

” Berfirman Allah Ta’ala : Aku di sisi sangkaan hamba-Ku kepada-Ku, dan aku bersamanya apabila dia mengingati Aku. Sekiranya dia mengingati-Ku dalam dirinya, Aku juga mengingatinya dalam diri-Ku, jika dia mengingati-Ku dalam kumpulan, maka Aku mengingatinya dalam kumpulan yang lebih baik daripada mereka. Dan apabila hamba-Ku mendekati-Ku sejengkal, Aku dekatinya sehasta, apabila hamba-Ku mendekati-Ku sehasta, maka Aku dekatinya sedepa. Jika hamba-Ku mendatangiku dengan berjalan, maka Aku datanginya dengan berlari ”

( HR Bukhari dan Muslim )

 

4. Istiqamah Cari Allah, Bukan Hanya Waktu Susah

Ini tips yang selalu sangat kita dengar, tapi yang paling sukar kita buat.

Bila nampak orang menangis sungguh-sungguh atas tikar sejadah, sugul berteleku dalam masjid, kita akan kata orang itu ada masalah, dan ternyata dia memang ada masalah. Bisnes lingkup, putus tunang, anak lari dari rumah, isteri minta cerai, anak isteri buat hal masing-masing tak pedulikan dia, dan sebagainya.

Dalam cinta, redha Allah diraih dengan istiqamah dalam ‘ubudiyyah kita kepada Allah. Istiqamah dengan apa yang Allah suruh dan menjauhi apa yang Allah larang. Tidak sesekali membelakangkan Allah ketika senang dan stabil, seperti membelakangkan Allah kerana memenuhi kehendak atau permintaan tunang, atau suami, atau isteri, atau anak, atau bisnes partner, atau sesiapa sahaja yang bertentangan dengan kehendak Allah.

Walaupun itulah apa yang selalu dilakukan oleh manusia ketika senang lenang. Allah sebutkan senario ini dalam Al-Quran, dengan firman-Nya :

 

10_12

” Dan apabila manusia itu ditimpa kesusahan, maka dia berdoa kepada Kami dalam keadaan tidur, atau dalam keadaan duduk, atau dalam keadaan berdiri. Dan apabila Kami angkat kesusahan itu daripadanya, dia terus berlalu pergi seakan-akan dia tidak pernah berdoa pun kepada Kami akan kesusahan yang menimpanya. Demikianlah kami hiaskan kepada orang-orang yang rugi akan apa yang mereka kerjakan ”

( Yunus : 12 )

Kata al-Hafiz Ibn Kathir, keadaan berdoa dalam baring, duduk dan berdiri itu memberi makna bahawa manusia yang ditimpa kesusahan tersebut akan berdoa meminta-minta dengan Allah dalam apa jua keadaan. Tetapi apabila kesusahan itu hilang darinya, dia terus melupakan Allah dan melupakan bahawa dia pernah meminta pertolongan daripada Allah.

Biarlah cinta kita berada dalam keadaan sebaliknya, iaitu kekal istiqamah dan setia dengan Allah, agar keredhaan-Nya bisa kekal bersama dalam kehidupan kita.

 

5. Isi Cinta Dengan Ibadah, Say No To Ma’Siah!

Ma’siah tu maksiat lah, feeling arab sikit.

Ya, untuk menjemput keredhaan Allah dalam cinta, isilah ia dengan memperbanyakkan ibadah kepada Allah. Ibadah, bukan hanya yang khusus seumpama solat dan membaca Al-Quran, bahkan menukarkan lampin anak dan membuang sampah di dapur, juga termasuk dalam ibadah yang bersifat umum.

Konsep ibadah yang bersifat umum ini senang sahaja untuk kita ingat ; iaitu segala yang kita buat dan diniatkan untuk mentaati Allah, maka ia bernilai ibadah. Sedangkan tanpa diniatkan untuk mentaati Allah, ia mungkin jadi adat atau tabiat kita sahaja. Rugilah kita pahala ibadah.

Isilah cinta kita dengan sedaya upaya meningkatkan ibadah dan ketaqwaan kita kepada Allah.

Jika belum berkahwin tetapi sudah ada perasaan, maka jangan sesekali diambil jalan yang telah dihias indah oleh Syaitan. Kadangkala niat kita betul, hendak ‘share’ link tazkirah agama dengan dia, nak ajak dia ke majlis ilmu bersama-sama, nak temankan dia ke sana ke mari sebab takut ada lelaki jahat kacau dia, tapi sebenarnya itulah yang berisiko membuka pintu kemurkaan Allah kepada kita dan ke atas cinta kita. Cuai dalam menjaga ikhtilat, natijahnya adalah tersungkur ke gaung maksiat.

Percayalah, Syaitan akan makin seronok kalau kita terlibat dengan maksiat.

Jangan kita kata ‘tak apa’ pada maksiat yang ‘kecil dan sikit’.

Jauhi dan hindari, walau sekecil mana sekalipun maksiat itu. Apakah kita ingat keredhaan Allah itu datang pada maksiat, sekalipun maksiat itu kecil?

Tidak.

Redha Allah tidak bersama dengan maksiat, walaupun ia sikit-sikit, jarang-jarang atau kecil-kecilan, kerana dari sikit-sikit itulah lama-lama ia jadi bukit dan gunung berapi yang akan menelan dan memusnahkan segala niat suci yang kita bina.

Jika sudah berkahwin pula, isilah sebaiknya dengan penghayatan agama dan kehidupan beragama. Jangan biar isi rumah makin hari makin jahil, makin hari makin lupa, makin lama kahwin makin leka. Jangan sesekali biarkan keadaan itu berlaku. Paksa diri ke majlis ilmu, paksa diri ceritakan dengan anak isteri tentang ilmu dan galakkan anak isteri turut serta dalam majlis-majlis ilmu.

 

InsyaAllah, kesemua inilah yang akan menjemput keredhaan Allah dalam mendidik fitrah cinta kita, supaya sentiasa istiqamah berada di laluan yang sebenarnya. Moga kita dapat sama-sama menuju ke Syurga Allah yang tidak terjangkau kehebatan dan kenikmatan di dalamnya, bersama-sama menghuninya dengan orang yang kita cinta.

 

Sekian.

 

About Ahmad Syafiq

Gemar menulis dalam bidang motivasi dan keremajaan. Mula berkarya melalui penulisan blog seawal tahun 2007. Graduan Ijazah Sarjana Muda Syariah ( Fiqh dan Usul al-Fiqh ) dari Universiti Yarmouk, Jordan.

One comment

  1. Ma’siah tu maksiat lah, feeling arab sikit. Haha
    Alhamdulillah. Manfaat sangat entry nie. Terima kasih atas perkongsian. :)

Scroll To Top