5 Panduan Penting Dalam Tempoh Perkenalan

ddd

 

Ramai orang terlupa tentang kepentingan tempoh perkenalan ataupun tempoh pertunangan. Mereka menyangka berkenalan atau bertunang itu cuma sekadar ‘tanda’ atau ‘cuba nasib’ sahaja. Sedangkan, tempoh itulah tempoh paling penting sebelum termeterainya ikatan cinta yang sah.

Bahkan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam juga melamar dan bertunang dengan Ummul Mukminin ‘Aishah Radhiyallah anha serta Ummul Mukminin Hafsah Radhiyallah anha, sebagaimana disebut dalam Sahih al Bukhari.

Dek kerana kurang kesedaran dan ilmu itulah, maka perkenalan dan pertunangan jadi tempoh yang sia-sia. Lebih malang, jadi tempoh berlakunya banyak dosa pula.

Islam sebagai satu syariat yang sempurna, tidak pernah mengabaikan sudut ini. Sebagaimana kita secara fitrahnya tak suka suatu yang elok itu rosak dan punah, maka begitulah Islam datang memberikan panduan, agar fitrah itu terus terjaga dengan baik hingga ke akhirnya.

Justeru, mari kita lihat beberapa panduan penting sepanjang tempoh perkenalan atau pertunangan ini, agar dimanfaatkan sebaik mungkin :

 

PERTAMA : Cita-Cita Mesti Besar!

Orang yang berjiwa besar, lebih baik dari orang yang berjiwa kecil. Orang yang cita-citanya besar, lebih baik dari orang yang cita-citanya kecil.

Islam sebagai satu agama yang baik, datang untuk mengangkat manusia agar duduk di peringkat yang lebih baik dan menjadi semakin baik.

Bagaimana?

Islam mengajar kita supaya berjiwa besar dan bercita-cita besar.

Saat terdetik fitrah dalam diri, suka kepada seseorang. Kita akan segera tahu, bahawa rasa atau naluri itu satu fitrah, satu perkara semulajadi yang Allah kurniakan dalam diri. Tapi soalnya, untuk apa?

Di sini letak perbezaan.

Orang yang berjiwa kecil dan cita-cita kecil, fitrah ataupun perasaan itu akan ditunaikan sekadar memenuhi perasaan dan fitrahnya sahaja. Sekadar memenuhi keinginan hatinya untuk bercinta dan dicintai. Tidak lebih dari itu.

Tetapi orang berjiwa besar dan cita-cita besar, akan segera meletakkan cinta itu pada tempatnya yang betul.

“Sahaja aku memulakan usaha untuk berkahwin, kerana Allah Ta’ala, kerana memenuhi sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam”

Baginda sallallahu alaihi wasallam berbangga dengan ramainya ummat Baginda di akhirat kelak. Dan cinta dalam diri ini, akan disalurkan untuk menyempurnakan apa yang Allah dan Rasul-Nya suka.

Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam :

تزوجوا الودود الولود فإني مكاثر بكم الأمم يوم القيامة

” Kahwinilah wanita yang penyayang lagi mampu melahirkan, kerana sesungguhnya aku berbangga dengan ramainya bilangan ummatku pada hari kiamat ”

HR Ibn Hibban, al Maqasid al Hasanah.

 

Berkahwin untuk memperolehi zuriat, untuk meramaikan zuriat, untuk mendidik zuriat itu sehingga jadi soleh dan solehah, agar jadi ummat Baginda sallallahu alaihi wasallam yang dibanggakan.

Semua itu kan, bermula dari detikan fitrah.

Selagi fitrah itu masih dijawab dengan jawapan biasa-biasa, dengan jiwa kecil dan cita-cita yang kecil, selagi itulah tempoh perkenalan mahupun pertunangan tidak akan berada di landasan yang sepatutnya.

 

KEDUA : Mengenali Bukan Mendampingi

Silap besar bila kita anggap tempoh pertunangan ataupun kesediaan orang itu untuk berkenalan, sebagai ‘lesen L’ sebelum dapat ‘lesen P’. Ini memang kesilapan besar yang membahayakan kita dunia dan akhirat.

Sebab anggapan salah itulah, terjadinya tabiat keluar berduaan dan kerap berdampingan ke sana sini setiap hari atau setiap minggu.

Tempoh bertunang adalah tempoh untuk berkenalan. Ini dinyatakan oleh para ulama’ ketika menulis tentang bab khitbah ( pertunangan ) dalam kitab-kitab fiqh. Berkenalan itu pula tujuannya adalah untuk berkahwin. Disebabkan perkahwinan adalah satu ikatan yang serius dan satu perkara yang besar, maka kedua-dua pasangan yang ingin berkahwin tidak boleh mengambil mudah soal kenal mengenali dan penerimaan hati masing-masing.

Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam :

” Apabila seseorang dari kamu melamar seseorang wanita, maka jika dia mampu untuk melihat kepada wanita tersebut, yang boleh menguatkan keazamannya untuk menikahi wanita tersebut, maka hendaklah dia lihat ”

HR Abu Daud, dinilai hasan oleh al Albani.

 

Jangan hingga sebelum akad nikah pun, masih belum tahu wajahnya bagaimana.

Jangan sampai sebelum akad nikah pun, belum tahu sikapnya bagaimana.

Bila latarbelakang, sikap dan siapa bakal pasangan kita itu diketahui dan dikenali dengan baik, maka tenang tenteramlah hati untuk memeteraikan sebuah janji, untuk bersama di dunia sebelum bertemu semula di syurga kelak.

Tapi soalnya, mengenali dengan cara yang bagaimana?

Berduaan, selalu keluar bersama, sering bercakap di telefon dan sebagainya, itu bukan cara mengenali yang dianjurkan oleh agama. Kena ingat sifir mudahnya begini : semua perkara yang membuka pintu fitnah, dosa, maksiat dan syubhah, itu ditegah oleh agama.

Dalam kaedah fiqh disebut sadd al-zari’ah.

Tetapi semua perkara yang membawa kebaikan – contohnya menyelidiki dan mengambil tahu siapa, bagaimana dan apa perancangan bakal pasangan – yang mana perkara itu akan menyempurnakan sebuah pekara penting seumpama nikah, maka ia disarankan oleh agama.

Dalam kaedah fiqh disebut fath al-zari’ah.

Jadi, kena bezakan betul-betul.

Berkenalan itu perlu dan mesti, bahkan itulah tujuannya bertunang. Tapi bukan dengan cara yang ditegah oleh Islam.

Berdampingan itu tak perlu dan mesti dijauhi, bahkan itulah yang akan merosakkan keberkatan dalam pertunangan.

 

KETIGA : Bukan Hanya Soal Aku Dan Dia

Bila kita berkahwin nanti, kita bukan hanya kahwin dengan suami atau isteri kita, tetapi kita juga ‘berkahwin’ dengan keluarganya.

Tentu pesanan ini pernah kita dengar.

Maksudnya jelas, perkahwinan bukan hanya penyatuan dua jiwa, tapi juga penyatuan dua keluarga. Perhubungan silaturrahim dan pengukuhan hubungan kekeluargaan adalah salah satu dari objektif perkahwinan.

Justeru, tempoh bertunang atau berkenalan mesti mengambil kira tentang itu.

Tempoh inilah yang kena dimanfaatkan sebaiknya untuk mengambil hati dan membina hubungan baik dengan keluarga bakal mertua.

Alangkah sedih bila berlaku dalam masyarakat kita, baru sahaja bergelar tunang sudah membelakangkan keluarga tunangnya. Ambil dan hantar anak dara orang sesuka hatinya sahaja, kerana merasakan dirinya punya ‘hak’ sebagai tunang. Sedang dirinya tandus ilmu, sebab itulah jadi begitu.

Akhirnya hubungan dua keluarga sudah mula ada bibit-bibit pergeseran, walhal belum pun bergelar besan.

 

KEEMPAT : Lengkapkan Diri Dengan Ilmu Dan Hikmah

Sebab itulah, ilmu itu penting.

Hikmah dan kebijaksanaan pula lahirnya dari keutuhan ilmu.

Tanpa kedua perkara ini, hilanglah wibawa seorang lelaki untuk mengemudi bahtera rumahtangga.

Jangan jadi lelaki yang ambil mudah tentang ilmu, dan hanya berbangga dengan fitrahnya sebagai lelaki sahaja. Kononnya, soal memimpin dan menjaga perempuan itu ‘kacang’ saja!

” Alah..aku taulah. Dah jadi bini aku nanti, pandai-pandailah aku jaga dia ”

Ini ayat sombong, bukan ayat berwibawa.

Allah jadikan lelaki punya kelebihan atas wanita cuma pada nilai qawwamah dalam dirinya saja. Dek kerana itu, Allah jadikan dia pemimpin dan wanita pula dipimpin. Justeru suami mesti jadi ketua dalam rumahtangga, dan isteri kena jadi pembantu kepadanya.

Tapi tanpa ilmu dan hikmah, memimpin itu hanya tinggal nama sahaja. Hendak pimpin ke mana, jika diri sendiri tidak tahu arah mana yang betul dan arah mana yang salah? Bagaimana keluarga hendak sejahtera, jika punca keberakatan hidup pun tidak tahu hilang ke mana.

Akhirnya jadilah keluarga yang hanya ramai bilangan, tapi kontang dari kasih sayang. Jadilah rumah yang hanya besar di pandangan, tetapi kosong dari rahmat Tuhan. Hidup tidak aman, jiwa tidak tenteram, wang ringgit ada di tangan, tapi jiwa setiap masa dihimpit kesempitan dan kegelisahan.

Semua itu, berpunca dari tiada ilmu untuk membimbing keluarga, agar Syurga benar-benar jadi destinasi dan bukan sekadar janji-janji.

Jadi ingat, dalam tempoh bertunang, persiapkan diri kita dan calon kita dengan ilmu-ilmu bermanfaat. Jika itu jadi tabiat, insyaAllah, selepas berkahwin pun rumahtangga akan subur dengan budaya ilmu sekaligus menjemput kebaikan dan keberkatan.

 

KELIMA : Serah Dengan Hati Bukan Hanya Di Mulut

Kita tidak perlu sebut beratus kali, betapa besarnya harapan kita untuk memiliki calon atau tunang kita itu satu hari nanti. Kalau kita tak sebut banyak kali pun kepada manusia, Allah tetap tahu sehebat mana impian dan keinginan dalam hati kita.

Bukan Allah tidak tahu. Bukan juga Allah tidak faham.

Ini akidah dan keimanan kita, kena yakin dan percaya dengan sebenar-benarnya.

Cuma, Allah mahu kita usaha. Allah tidak jadikan rezeki turun dari langit, tetapi kita kena bergerak cari rezeki, barulah dapat makan. Allah tidak jadikan zuriat tumbuh dari bumi, tetapi kena bergerak cari pasangan hidup, barulah dapat zuriat. Ini tamsilan dari kata-kata Syeikh Ibn Uthaimin rahimahullah.

Justeru, bila kita sudah berusaha dengan sebaik-baiknya – demi mendapat apa yang kita hajati itu – maka serahlah semula urusan atau keputusannya kepada Allah. DIA memiliki hati dan jiwa manusia. Hati manusia boleh dibolak-balikkan bila-bila masa sahaja, jiwa manusia boleh diambil bila-bila masa sahaja.

Apa yang hendak kita bimbangkan sangat sebenarnya?

Perkara yang perlu kita kemaskan adalah keyakinan dalam diri kita kepada percaturan Allah. Keyakinan bahawa yang terbaik untuk hidup kita itu hanya diketahui oleh Allah, bukan oleh kita dan bukan juga oleh mana-mana manusia lain di dunia.

Apabila kita berjaya serahkan benar-benar kepada Allah untuk ditentukan, maka itulah namanya TAWAKKAL. Hati jadi tenang sahaja kerana yakin, bahawa yang terbaik untuk kita itu sudah ditentukan oleh Allah.

Serahlah soal berjaya atau tidak, cepat atau lambat dan dia atau orang lain itu kepada Allah. Tapi ingat, jangan hanya cakap serah itu di mulut, kerana jika ia hanya di mulut, maka kesannya adalah jiwa kita tak akan berteman dengan ketenangan.

 

Sekian.

 

About Ahmad Syafiq

Gemar menulis dalam bidang motivasi dan keremajaan. Mula berkarya melalui penulisan blog seawal tahun 2007. Graduan Ijazah Sarjana Muda Syariah ( Fiqh dan Usul al-Fiqh ) dari Universiti Yarmouk, Jordan.

Comments are closed.

Scroll To Top