5 Asas Penting Menilai Calon Suami Yang Soleh

670px-Be-a-Successful-Muslim-Husband-Step-4

 

 

Memilih suami bukan satu perkara kecil, kerana ia ibarat kita memilih seorang nakhoda buat mengemudi sebuah bahtera. Tentu tidak mudah untuk dipastikan jauh dekat dan susah senang sepanjang pelayaran nanti, justeru kekuatan dan kemampuan yang sebenar harus dipastikan ada pada seseorang nakhoda yang dipilih.

Kalau nakhoda yang dipilih itu sekadar ambil yang mana ada sahaja, atau tidak dipastikan betul-betul latarbelakangnya sebelum dilantik jadi nakhoda, maka bayangkan sajalah apa nasib yang akan diterima sepanjang pelayaran nanti?

Itu baru nakhoda kapal.

Ini nakhoda kehidupan. Bahtera yang akan dinaiki oleh kita dan dia menuju ke satu destinasi yang cukup jauh, selagi nyawa masih dikandung badan.

Justeru mari lihat apakah asas penting dalam membuat pilihan penting tersebut.

 

( 1 ) DIA SEORANG YANG SOLEH

Allah Ta’ala yang menciptakan manusia, lelaki dan perempuan, DIA cukup tahu apa keinginan dan fitrah semulajadi seorang perempuan. Seorang perempuan mahukan dirinya dibimbing, dan sangat mengimpikan kehidupan selepas berkahwin yang tenang dan tenteram.

Kerana itu, syariat Islam menitikberatkan soal memilih siapa yang akan menjadi pembimbing tersebut, dengan menekankan perihal SOLEH sebagai asas penting menentukan pilihan.

Hanya seorang lelaki yang soleh, akan menjadi seorang yang amanah dan konsisten dengan tanggungjawab yang digalas. Manakala lelaki yang tidak soleh, lebih mudah cuai dan pecah amanah.

Jangan ambil mudah soal tidak amanah. Ia bagi kesan yang cukup besar selepas bernikah.

Saya bagi contoh begini.

Islam perintahkan suami berbuat baik dengan isteri. Haram hukumnya suami menyakiti isteri, samada dengan kata-kata – seumpama selalu ugut untuk ceraikan – atau dengan perbuatan – seumpama pukul, sepak atau tendang.

Apabila anda berkahwin, anda jadi amanah yang dijaga oleh suami, iaitu untuk anda diperlakukan dengan baik. Lelaki soleh menganggap amanah itu benda besar, yang akan ditanya oleh Allah kelak. Tetapi lelaki yang tidak soleh, apakah dia mengambil kisah apa itu amanah?

Justeru kita lihat banyak lelaki-lelaki tidak soleh ini menyakiti dan merosakkan kemuliaan hubungan suami isteri, bahkan anehnya di zaman ini, jadi satu ‘style’ pula bila suami arrogant, kasar, suka menyakiti isteri, bahana dari filem dan drama melayu yang mahu tunjukkan itu sebagai ‘sweet’. Lalu jangan anda fikir, kesudahan hidup anda seperti drama itu, di mana yang sombong jadi penyayang, yang kasar jadi romantik. Cari panduan dalam agama bukan dari ‘trend’ dunia.

Ingatlah, lelaki yang tidak soleh memang tidak boleh memikul amanah.

Sebelum bernikah lagi anda boleh lihat tindak tanduknya. Jika sedikit demi sedikit dilonggarkan batas ikhtilat dengan anda, sedang kalian belum punya ikatan yang halal, sedarlah bahawa dia sedang melanggari amanah dari Allah untuk menjaga diri dan agamanya. Bagaimana dia akan menanggung amanah yang lebih berat dari Allah, iaitu untuk menjaga anda?

Sebab itu, soal SOLEH ini sangatlah penting.

Di dalam hadith Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda :

 

” Apabila datang kepada kamu lamaran seorang lelaki, yang kamu redha akan agama dan akhlaknya, maka kahwinilah dia, kerana jika tidak nescaya akan berlaku fitnah dan kerosakan di atas muka bumi ”

( HR Tirmizi )

Walaupun ramai yang dengar dan tahu pentingnya pilih seorang lelaki yang soleh sebagai suami, namun ramai juga yang akhirnya ketepikan soal soleh itu selepas hatinya terpikat dengan seseorang lelaki. Justeru, asas penting ini ditulis dan diletakkan sebagai nombor satu, supaya ia benar-benar dijadikan asas dalam memilih.

Fahamilah, asas itu umpama kita membina rumah. Secanggih mana binaan kita dan sehebat mana reka bentuknya, kalau ia dibina di atas asas yang tidak kukuh, maka bila-bila masa sahaja ia boleh roboh dan hancur.

 

( 2) DIA SEORANG YANG BERAGAMA

Hidup beragama adalah nikmat sebenar menjadi seorang muslim. Ada ramai muslim yang agamanya Islam, tetapi cara hidupnya jauh dari nilai beragama. Ada ramai juga muslim yang berada dalam jurusan agama dan digelar orang agama, tetapi jiwanya jauh dari konsistensi hidup beragama.

Lelaki yang hendak dipilih sebagai pembimbing dan nakhoda kita itu, mestilah seorang yang benar-benar beragama.

Maksudnya, yang tidak hanya Islam pada nama. Atau kalau suka yang belajar agama, yang tidak hanya Islam pada jurusannya sahaja.

Islam itu pada sejauh mana kita menjadikan ia sebagai satu cara hidup. Dari kita bangun pagi sehinggalah kita tidur malam nanti, seluruh kegiatan dan perbuatan kita dipastikan agar bernilai ibadah. Itu takrifan hidup sebagai seorang muslim yang beragama.

Ada pula orang tanya, macam mana nak tahu dia seorang yang beragama?

Siasat dan selidik.

Samada dari mata kita sendiri, atau dari mata orang lain, atau dari pandangan orang lain yang benar-benar kenal dengan dirinya.

Seorang lelaki yang beragama, sangat menjauhi perkara syubhah. Antara perkara syubhah adalah bermesej dan berhubung dengan perempuan yang bukan mahramnya, tanpa urusan kerja atau sengaja dileret-leretkan dari urusan kerja, tanpa mengira masa bahkan kerapkali menjangkau ke tengah malam.

Seorang lelaki yang beragama, dia biasanya dihormati orang kawan-kawan dan sahabat-sahabatnya. Bukan bermakna dia tak pandai bergurau, bukan semestinya dia digelar murabbi, bukan. Tetapi prinsip berpegang dengan agama dalam dirinya itu tinggi, seumpama menjauhi lepak-lepak buang masa ataupun sangat tegas menghindari ‘halaqah’ mengumpat atau mengata.

 

( 3 ) DIA SEORANG YANG BERAKHLAK TINGGI

Akhlak terpuji atau mahmudah itu perkara yang tak boleh dibuat-buat, tetapi ia tumbuh mekar apabila dilatih dalam diri.

Seorang lelaki yang baik untuk dipilih sebagai suami adalah seorang lelaki yang subur jiwanya dengan akhlak terpuji. Dia mampu menjaga lisannya dari mencarut apabila kesabarannya diuji. Dia mampu menjaga anggotanya dari menyakiti apabila emosinya mencabar diri.

Akhlak tinggi dan terpuji itulah yang terus dijadikan penghias peribadi.

Satu perkara yang kita perlu beri perhatian adalah, akhlak terpuji itu bukan lakonan. Ada orang, dia tahu calon suaminya itu tidak berapa sopan dan berakhlak, tetapi bila hendak diperkenalkan dengan keluarga, dia ‘ajar’ lelaki tersebut supaya pakai begitu dan begini, bercakap nada begitu dan begini, supaya mak dan ayahnya berkenan untuk terima.

Sebenarnya, kesedaran sebegini perlu datang dalam diri kita sendiri, bermula dari detikan niat untuk bergelar isteri itu lagi. Menjadi isteri jika hanya untuk dicintai oleh suami, sia-sialah kehidupan kita di dunia ini. Tetapi menjadi isteri itu, jika untuk dicintai oleh Allah dengan wasilahnya mencintai dan dicintai suami, insyaAllah, berbahagialah kita di akhirat nanti.

Sebab itu, sebelum memilih akhlak sebagai asas memilih calon suami, biarlah hati kita terlebih dahulu mengetahui dan meyakini kepentingan akhlak tersebut. Bila kita cintakan akhlak terpuji dan berusaha ke arah itu, barulah ia boleh dijadikan asas dalam menentukan penerimaan dan penolakan kita terhadap seseorang lelaki.

 

( 4 ) DIA SEORANG YANG BERJIWA BESAR

Lelaki itu diciptakan oleh Allah secara fitrahnya punya jiwa untuk memimpin. Justeru dalam dirinya wujud nilai-nilai kepimpinan. Dia melihat masa depan, perancangan dan persediaan menempuh cabaran dalam sudut pandangnya yang tersendiri.

Ramai orang hendak berkahwin dalam usia yang muda, demi menyelamatkan diri dari terjebak dalam maksiat. Tetapi cabaran utamanya adalah kemampuan yang terhad, samada dari segi diri sendiri mahupun dari segi kewangan.

Jika hendak memilih calon suami, carilah yang berjiwa besar.

Iaitu seorang lelaki yang tika dihadapkan dengan seribu satu perkara seperti perkara di atas ini, dia punya kaki yang kuat dan badan yang tegap untuk terus bertapak. Itu tamsilan. Maksudnya, dia punya prinsip dan pendirian.

Jika soal prinsip dan pendirian itu ‘diserahkan’ kepada orang lain, contohnya ibu bapa, atau guru-gurunya, sedang dia cuma mahu ‘merengek’ hendak berkahwin sahaja, maka lelaki itu selain belum matang, dia juga tidak berjiwa besar. Lebih malang, jika yang menjadi tempat dia ‘merengek’ itu adalah anda, sedang dia tahu, jika dia tak boleh usaha, anda tentulah lebih-lebih lagi!

Sedang lelaki yang berjiwa besar, biasanya terzahir dari perlakuannya. Dia sembunyikan emosi dan kegundahan, dia kedepankan fikiran positif dan ketabahan. Dia susun strategi dan melangkah dengan seimbang. Tidak besarkan seratus peratus keinginan diri sendiri, dan tidak juga turut seratus peratus kemahuan keluarga.

Pilihlah lelaki yang berjiwa besar sebegini.

Saya selalu sebutkan, cabaran dan halangan yang ditempuh sebelum berkahwin itu cumalah sesi memanaskan badan sahaja, sedang cabaran sebenar bermula selepas kita berkahwin. Emosi kita dan dia bila bertembung, tentulah lebih menekan, berbanding beremosi seorang diri. Dan latihan mengurus emosi diri sendiri itu perlu ditempuhi ketika hati menyuarakan hasrat untuk berkahwin, atau untuk mengambil anda sebagai isteri.

Ada juga yang ‘manjakan’ calon suaminya lebih awal. Tak apa kalau si lelaki tak mahu buat, biar dia yang buat. Biar dia yang usaha pujuk mak ayah, biar dia yang cari duit buat tampung belanja kahwin, biar dia yang rangka cadangan kewangan untuk ditunjukkan pada keluarga dan sebagainya. Si lelaki pula sibuk dengan menghabiskan masa.

Betullah, menghabiskan masa adalah pekerjaan yang paling sibuk, kerana kita sendiri tidak tahu bilakah masa itu akan habis.

Berfikirlah tentang masa depan, jangan hanya fikirkan perasaan sayang. Jika anda teruskan begitu, tidak mustahil begitulah keadaan anda selepas bernikah. Mahukan anda ‘dibimbing’ oleh seorang lelaki berjiwa kecil dan suka lepas tangan?

 

( 5 ) DIA SEORANG YANG CINTAKAN ILMU

 

Firman Allah Ta’ala :

dalil1

” Allah mengangkat orang yang beriman dari kalangan kamu, dan orang-orang yang diberikan ilmu, dengan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan. ”

( al-Mujadalah : 11 )

 

Selalu orang tersilap, katanya pilih suami soleh mesti yang berada di jurusan agama. Seumpama pelajar jurusan Syariah, Usuluddin, Tahfiz Al-Quran dan sebagainya. Sebenarnya, yang ditekankan adalah mesti pilih suami soleh yang belajar agama.

Kita jangan sesekali lupa, bahawa belajar agama itu tidak akan pernah habis.

Orang yang belajar agama untuk mengenal Allah, menguasai fardhu ain, mengenal halal haram, untuk membuka laluan ke Syurga Allah, jauh lebih mulia daripada orang yang belajar agama semata-mata untuk menghabiskan ijazah.

Apa guna ilmu agama jika hanya ditulis atas kertas?

Ada ramai lelaki soleh yang begitu hebat keperibadian mereka, mereka konsisten dengan majlis-majlis ilmu dan membaca Al-Quran setiap hari selepas maghrib. Kalau tidak duduk dengar kuliah-kuliah agama di masjid-masjid, dia buat catatan nota kuliah agama depan Youtube.

Saya tabik dan kagum dengan lelaki sebegini, walaupun dia bukan dari jurusan agama.

Sebab, agama adalah kehidupan dan ilmu adalah lampu yang menyuluhnya. Tanpa ilmu, mana mungkin dicapai nilai hidup beragama.

Biarlah orangnya nampak tidak berapa hensem dan kacak, tapi suka berguru atau duduk di majlis ilmu adalah kriteria yang jauh lebih mahal dan bernilai daripada rupa paras.

Biarlah orangnya nampak kurus macam tak cukup makan, tapi minatnya pada ilmu – masyaAllah – cukup tebal dan mendalam. Nanti lepas kahwin, insyaAllah dia boleh digemukkan.

Saya sebutkan begitu, sebab tidak sedikit juga yang memilih perkara rupa dan susuk badan sebagai yang lebih utama dari nilai beragama, akhlak, kewibawaan dan ilmu pada seseorang lelaki.

Bukan soal tidak pilih langsung, tetapi soal menyusun mana yang lebih utama, itu yang selalu bermasalah. Alasan lazim adalah hati sudah tertawan, atau hati tak boleh terima yang kulit warna sekian dan bentuk tubuh macam sekian.

 

 

Apa sekalipun, ingatlah bahawa sebanyak mana asas pemilihan yang dicadangkan, tetapi akhirnya yang akan memilih itu hanyalah dua, samada nafsu ataupun iman. Kalau akal kita kenal dengan kebenaran sekalipun, tapi nafsu lebih kuat merajai diri, maka yang akan dipilih tetap juga bukan kebenaran. Untuk membuat pilihan yang tepat, kita perlu memilih dengan kekuatan iman, dan untuk memilih dengan iman, kita perlu bermujahadah menyuburkan keimanan dalam diri kita sendiri.

Sekadar satu catatan ringkas, moga bermanfaat dan berpedoman.

 

Sekian.

About Ahmad Syafiq

Gemar menulis dalam bidang motivasi dan keremajaan. Mula berkarya melalui penulisan blog seawal tahun 2007. Graduan Ijazah Sarjana Muda Syariah ( Fiqh dan Usul al-Fiqh ) dari Universiti Yarmouk, Jordan.

13 comments

  1. syukran atas informasinya ustaz

  2. Ada lagi ka lelaki mcm ni kat dunia mcm tak jumpa ja..

    • Permata memang sukar ditemui di akhir zaman, kerana kilauan kaca kadangkala lebih memukau pandangan. Bila Allah janjikan dalam Al-Quran, orang yang baik akan mendapat orang yang baik, ertinya orang baik itu ada, cuma cara kita mencarinya, itulah yang menentukan berjumpa ataupun tidak.

      • Assalamualaikum, ustaz, sy pernah taqdim seorg pensyarah di tempat kerja saya melalui orang tengah. dia guru tahfiz, orang tengah cuma bagi gambaran kepdanya saya ni “staf”. guru tahfiz tu bagitahu dia inginkan calon yg hafaz alquran jgk,, wlupun dia tak tahu siapa saya, saya rasa sedih sgt.

        Persoalan saya. tak layakkah saya utk memiliki seseorg yg soleh yg hafaz quran wlaupun sy bukan penghafaz alquran, tapi sebagai muslimah, saya cuba utk menjdi muslimah n hamba yg terbaik d sisi Allah.. saya tak tahu knpa hati saya ni terarah seolah2 tertuntun utk memilih dan taqdim dia. lelaki kan seorg pemimpin,,, x layak kah sya utk dipimpin oleh seorg lelki yg soleh.

        perlukah sy cuba taqdim dia sendiri dan bgitahu dia sendiri keikhlasan dan hasrat hati saya. saya teringin dan impikan suami yg boleh bimbing saya dan zuriat sy nnti.

        syukran harap respon.

        assalamualaikum.

  3. Teringin utk brumah tgga,tp hati masih takut dgn kelukaan..

  4. Saya minta penerangan, kalau dah tersilap langkah dan memilih suami yg tidak mempunyai ciri2 diatas – adakah penceraian pilihan seterusnya?

    • It’s not a good idea to divorce. Apa yang boleh buat , mulakan perubahan pada diri kita dahulu. Seterusnya, ajak dia bersama menghadiri majlis ilmu. Ilmu itu cahaya. Cahaya itu dapat menyuluh ke arah yang lebih terang.

  5. Alhamdulillah .tq utk info yg menarik . Moga info dpt membantu para gadis . :)

  6. Alhamdulillah… sy bertemu dgn seorg llki seperti yg disebutkan… dan insyaAllah.. proses nazor(melihat) sy tdk lama lg…doakan semoga Allah mudahkan…

  7. Masya-Allah… berat ye t/jwb seorang suami.. :)

  8. Ada lelaki macam ni.. :’) saya sendiri telah jatuh cinta padanya..
    perkenalan kami hanya sekejab dalam 3 bulan lebih je..dalam suasana berkerja (sya student praktikal). 3 minggu sebelum nak balik ke tanah air, entah kenapa kami mula ‘mesra’. mesra maksudnya sini, mula pandai bergurau sebab sebelum ni tak gurau pun, tak banyak cakap pun. Tambahan pulak dengan usikkan kawan2 yang mula nak tamu2kan kami. Lucu pulak bila ingat kembali. Padahal kami bukan la rapat, tak pernah pun ada niat nak jatuh cinta kat orang luar. Tapi bila kawan-kawan dah usik, emm mulalah hati tu..lumrah manusia kan? Dia pun macam tu juga. Entah mengapa nak balik baru timbul rasa ni. Dugaan dari Allah. Seminggu bila nak balik, saya bagi buku kat semua pekerja, sorang satu, dia saya bagi istimewa sikit, dua buku haha..tak tau la sebab pa, mungkin sebab sya nak dia belajar banyak ilmu. Selepas abis tempoh kerja, beberapa hari lagi nak balik, Dia text dalam phone. jangan salah faham ye.. Dia bukan jenis yang nak ambil kesempatan tapi kawan saya yang beri sebab dia nak bagi ucapan buat kami. So first text dia sent, sangatlah panjang..ucapan yang sama juga dia beri kat semua. semua dia text private kat whatsapp. Tu lah orang yang beriman, orang yang berilmu, dia jaga cara pergaulannya. Dia tak text direct pun ‘Hi, apakabar?’ ‘buat apa tu?’. Tak. Dia tak macam tu :) Lepas tu sya balas la dua kali, dia balas juga dua kali. lepas tu stop! singkat je tak meleret. Esuknya dia text juga tapi bukan text yang sia-sia, dia kongsi ilmu, ilmu dari buku yang dia baca. start hari tu kami saling berkongsi ilmu. bukan hari-hari, tak selalu. itu pun kitaorang tak berhubungan, tak bertanya kabar atau sebagainya. hanya berkongsikan ilmu, satu text panjang sehari. Tu jee.. Beberapa minggu selepas tu, kitaorang dah tak kongsi ilmu dah..dah tak text dah. Mungkin dia juga sama macam sya, tak nak teruskan, takut-takut terjerbak dalam maksiat walaupun hanya berkongsi ilmu. Takut memberi harapan yang belum tentu pasti. Rindu ada juga..masih ada perasaan kat dia. Tapi tak apa, Allah ada tempat mengadu, Allah faham. dan kalau jodoh takkan kemana kn? Walaupun dia tinggal kat Malaysia, sya kat Brunei. Kalau Allah izinkan, dia akan datang juga :) :) Tu lah cerita tentang pemuda yang ada ciri-ciri seperti diatas. Alhamdulilah. InshaAllah. Ya..memang ada lagi pemuda mcm ni. Tapi jangan sangka mereka sempurna, mereka ada kekurangan…mereka juga tak lepas dari melakukan dosa so jangan expect kesempurnaan dalam diri seseorang. Maaf panjang pulak..nak kongsi je. tak apa kn? :) mungkin bermanfaat. sekian.

  9. assalam.mohon pandangan ustaz.

    maaf sekiranya pertanyaan di luar topik sedikit.saya dilamar oleh seorang lelaki melalui telefon.dia boleh dikatakan hampir mempunyai ciri2 di atas.atas dasar kawan sepengajian boleh dikatakan saya mengenali sikapnya serta pergaulannya dengan org2 yg baik dan sgt cintakan masjid.

    walaupun phubungan kami jarak jauh atas dasar tugas,dia sgt menjaga ikhtilat dan sentiasa berpesan supaya kami tidak berhubungan sekiranya tiada kepentingan.dia juga mengotakan janjinya utk tidak call atau sms saya tanpa tujuan.atas dasar keyakinan dan kepercayaan, kami hanya sms sekiranya ada hal penting atau masalah yg selalunya lebih kpd urusan kerja.namun sekiranya ada apa2 dia sentiasa ada utk meberi pendapat atau pertolongan kpd saya.kami belum bertunang secara rasmi.namun keluarga boleh mengagak hubungan kami.

    apabila saya bertanya tentang perancangan berjumpa keluarga utk pertunangan secara rasmi dan perkahwinan,dia meminta saya ruang dan masa utk dia menyiapkan diri.katanya belum bersedia di samping ingin fokus dlu pada ibu bapanya yg sudah tua,kewangan yg belum stabil dan juga beri peluang kepada saya utk fokus kepada keluarga saya sebelum menjadi isterinya.

    dia tidak mahu bertunang dahulu selagi dia belum sedia utk berkahwin.namun dia bertegas dia mmg berniat utk mengahwini saya dan yakin saya adalah pilihannya dan berjanji utk setia sehingga sampai masa utk dia betul2 bersedia berjumpa keluarga saya.namun dia juga menyatakan andai saya berubah fikiran atau berjumpa dgn calon yg lebih baik dia redha sekiranya itu pilihan saya.

    katanya andai saya yakin ttg jodoh kami, saya tak sepatutnya risau ttg itu kerana bagi dia kerisauan itu tanda saya tidak yakin pada takdirNya dan juga pada dirinya.

    apakah yang terbaik saya perlu lakukan ustaz?

  10. Semoga mba atas sharingnnya, smoga ntar ketemu yang pantas dan cocok dengan apa yang sayya lakukan. :)

Scroll To Top