Bila Kanan Dan Kiri Sama Sahaja

o-FORK-IN-THE-ROAD-facebook

credit

 

Terbukti, menulis bukan satu benda yang mudah.

Kalau artikel ini tak menerima nasib Ctrl + A + DELETE seperti nasib selonggok artikel sebelumnya, maka ia adalah kelahiran pertama setelah blog ini hampir dianggap mandul, 7 purnama sebelumnya.

Terbukti, memang menulis bukan satu benda yang mudah.

Kita biasa lihat almari kitab yang cantik-cantik di rumah orang-orang alim, tok-tok guru. Sejak beberapa lama dulu, almari kitab yang cantik dan deretan kitab yang cantik sudah menjadi hal yang wajib ada di rumah lepasan agama Timur Tengah. Sampai sudah lali dengar ingatan serius mahupun perlian tajam berbunyi ; beli kitab banyak-banyak, susun cantik-cantik, tapi akhirnya kitab yang baca enta, bukan enta baca kitab!

Biarlah yang itu dulu. Belum nak sentuh lagi. Yang hendak dijentik satu hal yang lain ; yakni keramatnya para penulis kitab itu.

” Ulamak-ulamak yang menulis ni cukup hebat. Allah bagi mereka kehebatan menulis kitab dari malam sampai pagi sampai malam balik. Dalam bilik mereka, penuh timbunan kitab. Kiri, kanan, depan, belakang. Jadi macam mana mereka nak rujuk kitab-kitab sekeliling bila dah menimbun macam tu? ”

Kami para pelajar tahfiz termangu mendengar. Ada ternganga, ada yang penuh excited dan tak kurang juga yang tidur. Tak ada perasaan.

” Leher mereka boleh memanjang! ”

Tekan pak ustaz bersungguh-sungguh.

” Waaah! ” Serentak bunyi keterujaan memenuhi masjid. Yang tertidur pun terjaga, terpisat-pisat matanya.

Ada lagi cerita lain.

Tangan bercahaya. Tangan memanjang boleh tutup lampu, tak payah bangun dari tempat duduk. Pen bercahaya. Dan lain-lain.

Tapi semenjak saya menjadi makin tidak tahu – yakni belajar dan berguru – saya tak berjumpa lagi hikayat mahupun riwayat begitu. Akhirnya buat para alim ulamak penuh karamah itu, saya sesuaikan dengan ungkapan ‘Qaddasallah Sirrahum’ sahaja. Maksudnya, biarlah segala rahsia itu kembali kepada Allah. Betul atau tidak, bukan itu tujuan agama kerana ulamak menyambung risalah anbiya’, bukan mengganti Tuhan untuk disembah.

Apa yang pasti, karamah sebenar mereka adalah ISTIQAMAH.

Lihatlah deretan kitab itu dan periksa setiap jilidnya. Mereka menulis dan terus menulis. Ilmu dan kefahaman mereka disadur kemas atas setiap kepingan kertas. Pada setiap helaian kertas itu bukan hanya ada warisan tinta ilmu dan hikmah, bahkan juga keringat dan pengorbanan mereka buat ummah.

Terbukti, menulis bukan satu benda yang mudah.

 

Kekuatan Luar Biasa Bernama Karamah

Para sarjana Islam seumpama Syed Qutb, al-Qardhawi dan lainnya bila menulis tentang ciri-ciri khusus atau umum bagi Islam, pasti akan meletakkan yang pertamanya adalah Rabbaaniyyah.

Maksudnya, Islam bersifat ketuhanan.

Dan disambung oleh para sarjana Islam kemudian dengan menjelaskan sifat ketuhanan itu dari segi sumbernya, tujuannya dan matlamatnya.

Maksud Islam bersifat ketuhanan dari segi matlamatnya adalah ; tak ada tempat tuju lain dan tak ada niat tersembunyi yang lain dari kerja-kerja agama ini, selain dari keredhaan Allah. Noktah.

Tak ada ‘kerana’ puja puji.

Tak ada ‘kerana’ secret admire.

Tak ada ‘kerana’ anugerah itu ini.

Dan tak ada ‘kerana’ royalti.

Bukan tolak dunia, tapi tak ada langsung niat dalam amalan melainkan hanya kerana Allah!

Rupanya, itulah kekuatan luar biasa para penulis di martabat ulamak ini. Allah benar-benar muliakan mereka, sehingga riwayat hidup mereka sendiri kekal hidup dan terus diriwayatkan lapisan generasi. Kecaknaan mereka tentang masa, sebagaimana ditulis oleh Abdul Fattah Abu Ghuddah dalam Qiimat al-Zamaan ‘ind al- ‘Ulamak bisa menjadikan penulis yang mengaku penulis mahupun penuntut ilmu yang mengaku penuntut ilmu terduduk malu sendiri.

Terbukti, menulis bukan satu benda yang mudah.

Tetapi kesusahan bukan penghalang bagi mereka yang menulis bersumberkan kekuatan dari Allah, Pemilik Segala Kehebatan.

 

Tiada Lagi Karya Dari Hati

Satu hal yang belum pernah saya akui secara terbuka adalah, saya tidak gembira bila dikenali.

Ia kedengaran poyo, tapi itulah realiti.

Bukan hanya bagi saya, bahkan bagi sebaris penulis hebat yang nama mereka tak pernah saya dengar sebelum ini. Hingga semalam, Allah izinkan saya bertemu mereka di laman maya yang sepi. Tanpa bicara kata, saya mengecap lontaran mereka dari hati. Tiap apa yang mereka titipkan, buat saya ada terpukul dan ada termalu sendiri.

Benarlah, hikmah itu satu benda yang hilang dari kita. Bila terjumpa, ambil dan kutiplah semula. Dan apa yang saya tatap sepanjang semalam adalah hikmah yang sangat tinggi nilainya.

 

” Biarlah kita menulis untuk diri sendiri, dan kita merasa hidup, daripada menulis untuk orang, tetapi kita sendiri mati! “

Betapa.

Betapa ‘kematian’ itu boleh berlaku pada seorang penulis ketika dia sedang bergambar di sana atau ketawa di sini.

Dari menulis dari hati, kepada menulis demi royalti.

Dari berkarya dari hati, kepada berkarya untuk anugerah Menteri.

Sedang di sudut hati, terasa beku dan tidak ‘hepi’.

Dahulu, papan keyboard terasa luas, jemari terasa bebas berlari ke sana sini. Kini papan keyboard terasa mengecil, bahkan menekannya pun terasa melantun kembali!

Dahulu, menulis jadi satu kedamaian buat diri, rasa puas usai memberi dan berkongsi. Kini usai taip sebaris dipadam kembali, taip dua perenggan pun ada saja yang tak menjadi.

Buat penulis yang tidak pernah terikat dengan mana-mana syarikat penerbitan ataupun organisasi, peluang dan tawaran buat pertama kali adalah satu mimpi indah berpelangi. Tetapi ceteknya pengalaman dan rapuhnya prinsip diri boleh menjadikan mereka akhirnya keliru mana kanan mana kiri.

Akhirnya, niat asal Lillaahi Ta’ala itu mudah ditolak ke tepi. Lalu tidak ada lagi beza, kanan ataupun kiri.

Terbuktilah, menulis bukan satu benda yang mudah.

Kerana apa yang penting bagi seorang pengkarya itu adalah JIWANYA!

Bila jiwa itu berubah, karyanya hilang mutu, dan sampai satu ketika apa yang dia cari dari tawaran itu dan ini hanya tinggal nama sahaja.

Ah, dunia. Bukankah memang begitu sifatnya? Kalau tak menipu dan memperdaya, bukanlah namanya duniawi.

 

Sakit Juga Dalam Hati

” Encik, kami di Universiti Islamik Herzigovina ini nak lancarkan satu web khas kaunseling rumahtangga. Berdasarkan tulisan-tulisan encik, kami berminat untuk ajak encik bersama-sama dalam team ini ”

Manis saja bunyi ayat lelaki bergelar profesor itu. Team dia juga, barangkali profesor-profesor belaka.

Saya menyambut dengan baik, dan dengan sangka baik. Biarlah tidak dibayar, asalkan khidmat kita sampai ke luar. Tapi rupanya, bukan happy ending. Selepas Curriculum Vitae ( CV ) dihantar, sang profesor senyap sunyi.

Tahulah saya, ragam dan watak manusia. Nilai asal kerana idea dan karya, tapi terbungkam kerana darjat dan nama.

Syukur Allah temukan saya dengan banyak peristiwa dulu-dulu, waktu bekerja, waktu belum ada rumahtangga, waktu belum datang ke bumi Syawarma. Peristiwa jadi pengalaman, pengalaman jadi kekuatan. Terus melangkah, dan bila jumpa watak persis itu, kita abaikan.

Bahkan kadang-kadang, dari lenggok kata pun sudah tahu apa kesudahan. Jemput masuk dengan muka manis, hantar balik dengan senyum sinis.

Kotak email saya jadi penyimpan rahsia. Dia tahu banyak hal dan banyak perkara. Dalam banyak-banyak episod drama melayu itu, Alhamdulillah, ada editor ajak menulis bersama Karya Bestari. Dan buku pertama saya, sudah di pasaran kini. Kenal dengan insan-insan seperti ini menjadikan saya insaf sendiri, betapa BUDI yang baik itu sesungguhnya sangat bernilai tinggi, meskipun ia tiada nilai di sisi tengkolok yang tersumbat dengan duniawi.

 

Hargailah Diri Sendiri Sebelum Sesiapa Pun

Terbukti, menulis bukan satu benda yang mudah.

Dan ia jadi lebih susah, bila kita kian curang dari menghargai diri sendiri.

Saya juga baru tahu, rupanya tiada penulis hebat atau penulis kayangan macam orang cerita sana sini. Yang ada cuma penulis amateur, yang konsisten membaca dan menulis saban hari.

Yang ada cuma penulis kecil, yang besar penghargaannya kepada diri sendiri.

Yang ada cuma penulis biasa, yang melihat kehidupannya dari kacamata luar biasa.

Dan saya bersyukur, kerana akhirnya saya bisa pelajari semua ini.

Setelah 7 bulan tidak menulis blog.

Setelah 6 bulan unpublish fanpage myilham.com.

Setelah saya selesai bergraduasi – segala puji bagi Allah.

Saya belajar apa yang saya tertinggal sewaktu masih belajar, iaitulah untuk terus belajar dan belajar dari kehidupan.

Memetik kata-kata guru kami Fadhilah al-Duktur Fakhri Abu Sofiyyah : ” Aku adalah seorang pelajar dan akan terus belajar dan bernama pelajar selamanya ” – saya simpulkan keazaman untuk terus bergelar pelajar dengan kehidupan.

Berkongsi motivasi, untuk terus hidup dan menghidupkan. Belajarlah dari kehidupan, boleh daftar anytime..dan boleh mula belajar sekarang!

 

 

AHMAD SYAFIQ

122921

Irbid, Jordan.

 

About Ahmad Syafiq

Gemar menulis dalam bidang motivasi dan keremajaan. Mula berkarya melalui penulisan blog seawal tahun 2007. Graduan Ijazah Sarjana Muda Syariah ( Fiqh dan Usul al-Fiqh ) dari Universiti Yarmouk, Jordan.

2 comments

  1. Afizatul Husna

    Allah~ entri yang sangat baik, amat terkesan di hati! Menulis untuk diri sendiri,asal kita merasa hidup.

Scroll To Top