Thaqafah al-Da’ieyah : Mencerap Ibrah al-Qasas al-Qurani

credit : google

credit : google

 

baca artikel sebelum ini.

Antara perkara yang hebat dalam al-Quran adalah penceritaan Allah Ta’ala tentang pelbagai kisah.

Kisah-kisah yang diceritakan ini pula – sekiranya difahami dengan baik oleh pembacanya – akan menjadikan mereka lebih seronok dan khusyuk ketika membaca al-Quran. Umpamanya kisah Yusuf alaihi as-salam. Ia diceritakan oleh Allah dari mula sehingga akhir, sehingga menghayatinya ketika membaca terasa sangat manis, menghafalnya pula terasa sangat mudah dan teratur.

Al-‘Allamah Dr Yusuf al-Qaradhawi di dalam Thaqafah al-Da’ieyah turut menyebut kepentingan mengetahui kisah-kisah Al-Quran ini kepada para da’ie.

Mengetahui kisah, bukan hanya tentang jalan ceritanya sahaja, bahkan yang lebih penting adalah seorang da’ie itu berupaya mencerap iktibar, peringatan, pengajaran tersirat serta hikmah-hikmah yang mengalir dari sesuatu kisah yang diceritakan di dalam al-Quran.

Kata al-Qaradhawi, teknik penceritaan Allah tentang kisah-kisah dari al-Quran itu bukanlah secara terperinci – seperti menceritakan nama-nama watak, nama-nama negeri, masa berlakunya kisah dan sebagainya. Sebaliknya yang diberi penekanan oleh Allah adalah tentang AKAR ‘IBRAH, merangkumi ciri-ciri watak, zaman dan pengajaran penting dari sesuatu kejadian, sebagaimana firman Allah Ta’ala :

” Dan pada kisah mereka itu ( Yusuf dan saudaranya ) ada iktibar ( yang besar ) bagi golongan-golongan yang mahu berfikir “

( Yusuf : 111 )

 

KAEDAH UNTUK PARA DA’IE MENCERAP IBRAH

Jika sebelum ini kita melihat bagaimana kaedah himpun dan bina huraian atau perkaitan ayat sebagai suatu kaedah berharga buat para da’ie, maka demikian juga da’ie boleh menggunakan kaedah demikian pada bab kisah-kisah yang Allah lakarkan dalam al-Quran.

Sebagai contoh, jika kita memilih tajuk ilmu untuk disampaikan, maka kita akan menemui banyak ayat dari al-Quran berkaitan tajuk tersebut, yang mungkin menyebut tentang ilmu secara langsung. Tetapi kita juga boleh menemui ayat tentang ilmu itu dari kisah-kisah al-Quran, meskipun tidak disebut secara langsung.

Dari situ sebenarnya da’ie akan lebih mengasah ketajaman mindanya mencerap hikmah Allah yang secara tidak langsung tersirat pada kisah-kisah yang diceritakan.

Kita lihat bagaimana Allah menyebut tajuk ilmu ini secara tidak langsung dalam kisah penciptaan Adam alaihi as-salam – umpamanya – tatkala Allah berfirman kepada Malaikat tentang kejadian Adam – dan mereka merasa pelik tentang itu sebelum kemudiannya akur akan kehebatan Allah sebagai Tuhan yang telah melengkapkan penciptaan Adam itu dengan ilmu.

Allah berfirman :

” Wahai Adam, beritahu mereka ( para Malaikat ) tentang semua nama-nama. Maka tatkala Adam berjaya memberitahu mereka akan sekalian nama-nama tersebut – Allah berfirman kepada para Malaikat ; tidakkah Aku telah katakan bahawa Aku mengetahui segala yang ghaib samada di langit mahupun di bumi, Aku juga mengetahui apa yang kamu zahirkan dan apa yang kamu sembunyikan ”

( Al- Baqarah : 33 )

Dari ayat ini, da’ie boleh gariskan hikmah atau pengajaran tersirat –  bahawa ILMU merupakan kelengkapan pertama kepada manusia – sebelum menjalankan tugasnya sebagai khalifah Allah di muka bumi.

Begitu juga kita melihat penceritaan Allah tentang kisah Nabi Allah Sulaiman alaihi as-salam dan Balqis ( Al-Quran tidak menyebut namanya sebagai Balqis ) yang merupakan Permaisuri Saba’. Dalam pengkisahan Allah, ada seorang lelaki yang mempunyai kemampuan luar biasa sehingga mampu memindahkan singgahsana Balqis sebelum mata sempat berkelip – berwasilahkan ilmu yang dia ada. Firman Allah Ta’ala :

” Berkata seorang lelaki dari kalangan mereka yang diberikan ilmu daripada kitab ; aku boleh memindahkan singgahsana tersebut sebelum kamu sempat mengelipkan mata ”

( al-Naml : 40 )

Sedangkan singgahsana Balqis itu berada di negeri Yaman, dan tempat Nabi Sulaiman alaihi as-salam berada pula adalah di negeri Syam!

Justeru, da’ie perlu berinteraksi dengan kisah-kisah yang diceritakan oleh Allah bagi mengambil ibrah, iktibar dan isi-isi tersirat yang terkandung di dalamnya. Inilah yang telah disarankan oleh al-‘Allamah al-Qaradhawi dalam kitab yang sedang kita bincangkan.

Banyak lagi kisah-kisah lain yang memerlukan da’ie rajin membuat ‘homework‘ , seumpama kisah Penghuni Gua Kahfi ( Ashaab al-Kahf ) yang mengangkat tema KEIMANAN secara tidak langsung ( rujuk surah al-Kahf ayat 13 – 15 ) , juga kisah lain yang turut mengangkat tema keimanan umpama kisah ahli sihir yang dikalahkan oleh Nabi Allah Musa alaihi as-salam lantas beriman, sebelum diikuti oleh orang awam ( rujuk surah al-A’raaf ayat 120 – 126 ) dan juga kisah isteri Fir’aun yang dijadikan contoh buat orang beriman – meski hidup bersama sejahat-jahat manusia ( rujuk surah at-Tahrim ayat 11 ).

 

BERI PERHATIAN KEPADA ‘SAMPLE’ YANG ALLAH BERI

Di dalam al-Quran, Allah mendatangkan contoh-contoh atau sample yang boleh menjadi rujukan penting para da’ie. Meskipun al-Qaradhawi menukilkan 15 contoh daripadanya, saya cuma akan sebutkan dua sahaja, di mana Allah menyebut mengenai contoh seorang kaya yang bersyukur ketika menggambarkan Sulaiman alaihi as-salam :

Firman Allah Ta’ala :

” ( Berkata Sulaiman ; Wahai tuhanku kurniakan aku rasa syukur di atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepadaku dan ke atas kedua ibu bapaku, dan rezekikan aku dengan amalan soleh yang Engkau redhai ”

( Surah al-Naml : 19 )

Perkataan penuh kesyukuran dan kesedaran dari Nabi Allah Sulaiman alaihi as-salam ini diungkap ketikamana mendengar kata-kata kumpulan semut – dan dia berupaya untuk faham kata-kata semut tersebut.

Begitu jugalah ketika Baginda melihat singgahsana Balqis berjaya dipindahkan di hadapannya, perkataan Baginda dirakamkan oleh Allah dalam firman-Nya :

” Ini adalah kelebihan yang diberi oleh Tuhanku untuk menguji aku samada menjadi hamba yang syukur ataupun kufur. Dan sesiapa yang syukur maka ( kebaikan dari syukur ) itu adalah untuk dirinya sendiri, manakala sesiapa yang kufur maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia ”

( al-Naml : 40 )

Kisah lebih panjang boleh dirujuk dalam surah al-Naml ayat 16 sehingga ayat 44.

Contoh kedua, mengenai perempuan yang kufur meskipun didampingi oleh Nabi Allah yang soleh. Sebagaimana kisah isteri kepada Nabi Allah Nuh alaihi as-salam dan Nabi Allah Luth alaihi as-salam. Firman Allah Ta’ala :

” Kedua-duanya ( isteri Nuh dan Luth ) berdampingi dengan dua hamba Kami yang soleh, akan tetapi kedua-kedua perempuan itu khianat, maka mereka berdua tidak beroleh pertolongan apa pun dari Allah, sehingga dikatakan kepada mereka berdua : masuklah kamu ke dalam neraka bersama para penghuninya ”

( at-Tahrim : 10 )

Pokoknya, da’ie perlu menitikberatkan contoh-contoh yang telah Allah berikan tentang kisah dan individu, kerana ia sangat berguna bagi kerja dakwah mereka. Apabila menyebut tentang si kaya perlu bersyukur, ada contoh al-Quran yang terus dapat dibawa. Apabila menyebut tentang iman tidak diwarisi, ada contoh dari al-Quran yang boleh terus disebut, dan begitulah seterusnya.

 

KAEDAH TERBAIK BAGI DA’IE MENGAMBIL DALIL DARI AL-QURAN

Saya ingin terus menukilkan mutiara berharga dari pesanan al-Qaradhawi kepada para da’ie mengenai pentingnya berdalil dengan al-Quran.

Tetapi ia akan disambung dalam artikel seterusnya. Apa contoh bila kita guna dalil dari al-Quran, maka hujah kita tuntas tak terkalahkan. Begitu pun, ada juga garis panduan dan peringatan yang perlu diberi perhatian. InsyaAllah, dalam artikel seterusnya nanti.

 

Sekian.

About Ahmad Syafiq

Gemar menulis dalam bidang motivasi dan keremajaan. Mula berkarya melalui penulisan blog seawal tahun 2007. Graduan Ijazah Sarjana Muda Syariah ( Fiqh dan Usul al-Fiqh ) dari Universiti Yarmouk, Jordan.

Comments are closed.

Scroll To Top