Mengindahkan Sebuah ‘Rasa’

credit : google

Rasanya, tidak perlu disebut atau diajar bahawa cinta itu indah, kerana manusia secara semulajadinya sudah tahu bahawa cinta itu sifatnya indah. Sebab itulah, rasa cinta itu dinamakan fitrah.

Tetapi suatu yang asalnya indah, sangat mudah bertukar punah. Ibarat segelas air yang jernih sifatnya, tetapi dituang ke dalam sebuah bejana penuh habuk lagi berbau busuk.

Sekelip mata sahaja terus hilang indahnya.

 

FITRAH MANUSIA MEMBURU YANG INDAH

Tiada manusia yang seronok dengan persekitaran yang kotor.

Tiada manusia yang gembira dengan suasana yang serabut.

Begitu juga, tiada manusia yang suka hidup bersama bau yang busuk.

Fitrahnya begitu, manusia sukakan yang wangi, cantik dan indah.

Sebab itulah di atas meja study dan almari kaca, ada hiasan-hiasan yang menyenangkan mata. Hiasan itu pula mesti melengkapi ciri-ciri sebuah hiasan yang sifatnya mengindahkan. Sudah tentu, berus jamban tidak dijadikan hiasan di atas meja study, sepertimana habuk kayu tidak dijadikan permaidani.

Begitulah fitrah manusia.

Dalam hidup ini, saya, anda dan mereka, semuanya memburu yang indah. Dan, salah satu yang indah itu adalah sebuah rasa bernama cinta.

 

PERLUKAH MENGINDAHKAN SESUATU YANG TELAH INDAH?

Soalan ini samalah dengan soalan perlukah memuliakan manusia yang telah mulia?

Ya, anak Adam ini Allah jadikan mulia. Tetapi ingat, Allah juga boleh tukarkan dia menjadi hina dina, jika menyimpang dari ‘disiplin’ kemuliaannya.

Samalah juga dengan cinta. Ia indah, tetapi boleh bertukar menjadi hodoh dan punah, jika menyimpang dari ‘disiplin’ keindahannya.

Nah, sekarang kita sedang berbicara tentang bagaimana untuk mengindahkan sebuah rasa.

Memang kita manusia semuanya mencari yang indah di dalam hidup. Tetapi cara kita berbeza-beza. Nilaian ‘indah’ itu juga tidak sama. Ada orang menganggap indah itu adalah apabila dia boleh hidup tanpa masalah. Ada orang menganggap indah itu adalah apabila dia boleh lakukan apa sahaja tanpa sekatan. Macam-macam lagi anggapan yang lain, berbeza-beza setiap manusia.

Tetapi soalnya, nilai indah bagi kita sebagai MUKMIN ini bagaimana?

Jawabnya adalah : nilai indah bagi kita adalah apabila kita menjalani hidup ini mengikut aturan Allah. Itulah erti indah bagi kita.

Bukan apabila boleh hidup tanpa masalah, kerana kita tahu masalah atau ujian datangnya dari Allah untuk mendekatkan kita kepada-Nya, dan itu adalah suatu yang INDAH.

Bukan juga apabila boleh buat apa sahaja tanpa sekatan, kerana jika segalanya boleh buat tanpa panduan dan disiplin maka di hujungnya kita bakal bertemu binasa. Sekatan atau panduan adalah untuk menjaga kita, dan jagaan itu adalah cerminan kasih sayang Allah. Sudah tentu, itu adalah suatu yang INDAH.

 

ANTARA FITRAH CINTA DAN BAGAIMANA UNTUK BERCINTA

Ada orang cakap, cinta itu semua orang tahu ianya indah. Untuk bercinta tak perlu diajar, macam juga makan nasi. Semua orang tahu suapnya di mulut!

Saya katakan begini.

Memang semua orang ada fitrah cinta, macam semua orang ada rasa lapar. Memang orang tahu kalau lapar kena makan, dan kalau makan suapnya mesti ke mulut, dan itu tidak perlu diajar.

Tetapi suapnya dengan tangan mana? Itu perlu diajar.

Makanan yang disuapnya dari sumber yang halal atau haram? Itu perlu diajar.

Yang disuap ke mulut itu nasi atau habuk kayu? Itu perlu diajar.

Samalah macam cinta.

Fitrah cinta tidak cukup sekadar rasa, kerana akan ada tindakan susulannya. Para ulamak telah ringkaskan ‘timeline’ cinta yang tidak diajar sebagai : Bermula dengan saling memandang, kemudian senyum, kemudian cakap ‘hai’, kemudian berborak-borak, kemudian janji nak berjumpa, kemudian berjumpa, kemudian berdua-duaan dan akhirnya? Berzina.

فنظر فابتسام فسلام فكلام فلقاء فوقع

Ada orang kata couple bermaksiat, cinta terlarang atau zina itu juga seronok dan ‘indah’. Kata mereka, bagaimana suatu yang ‘best’ tidak indah? Tidak masuk akal.

Saya katakan begini.

Couple bermaksiat, cinta terlarang atau zina semuanya tidak indah. Kalau ada yang rasa ‘best’ sekalipun, hakikatnya ia tidak indah langsung. Sebabnya?

Pertama, ia tidak mengikut aturan Allah. Apa-apa perkara yang dibuat tanpa mengikut ‘manual’ Penciptanya, pasti tidak indah dan pasti natijahnya juga tidak indah.

Kedua, kerana bertentangan dengan fitrah. Kita telah lihat di atas, fitrah manusia itu mahu yang indah, suci dan bersih. Bukan suatu yang kotor, busuk dan berserabut!

Ketiga, rentetan sebab yang kedua, maka ulamak menyebutkan kondisi sebenar orang berzina atau bermaksiat dengan katanya :

الزنى : خوف أثنائه وندم بعده

Zina itu, waktu buat rasa takut. Lepas buat rasa menyesal.

Dan memang itulah yang berlaku, hatta dalam mukaddimah zina sekalipun!

 

ANALOGI 

Masih juga ada yang enggan mengaku bahawa couple bermaksiat, cinta terlarang dan zina itu tidak indah?

Cuba bayangkan, seorang yang diberi sekeping coklat yang balutannya cantik dan kelihatan sangat lazat. Tetapi pada pembalutnya tertulis ; Ini adalah coklat curi dan tuannya sedang memerhatikan anda. Coklat ini juga bila dimakan, akan membiakkan beberapa ribu ekor ulat di dalam perut anda. Selamat menjamu selera!

Agak-agak, tenangkah orang yang ingin makan coklat tersebut? Dan selepas coklat itu dimakan juga ( kerana nafsu makan telah mengalahkan kewarasan akalnya ) maka adakah orang itu tidak akan dihantui rasa gelisah dan menyesal?

Begitu jugalah dengan cinta.

Mengecapinya secara haram dan terlarang serta mengingkari aturan Allah akan menjauhkan cinta itu dari sebuah keindahan. Bahkan kondisi cinta seumpama itu tidak indah langsung. Penuh dengan pencemaran, kerosakan dan keserabutan berpanjangan. Justeru jangansesekali  ingat bercouple ‘kecil-kecilan’ itu tidak memberi apa-apa kesan.

 

MENGINDAHKAN YANG INDAH

Rasa cinta itu dicipta oleh Allah Yang Maha Indah. Ciptaan-Nya juga sangat indah, bahkan DIA juga sangat menyukai segala yang indah.

Apabila kita didatangi rasa cinta, atau dianugerahkan oleh Allah dengan sebuah rasa bernama cinta, maka jangan alpa dari mengindahkannya – walaupun kita tahu sifat semulajadinya sudah indah.

Kerana acapkali, yang menyebut cinta itu suci akhirnya dialah yang mencemarkan cinta.

Acapkali, yang menyebut cinta itu ikhlas akhiranya dialah yang mengkhianati cinta.

Acapkali juga, yang menyebut cinta itu indah akhirnya dialah yang meranapkan keindahannya.

Formula mengindahkan cinta cuma satu : Letakkan cinta itu ke dalam bekas yang indah.

Dan bekas itu adalah kehidupan kita sendiri.

Bermakna, untuk indahkan sebuah cinta, binalah sebuah hidup yang indah!

Dan hidup yang indah bagi seorang mukmin adalah :

Hidup yang penuh ketaatan kepada Allah.

Hidup yang jauh dari melakukan maksiat kepada Allah.

Hidup yang tidak leka dari merasai kehadiran Allah.

Percayalah, hidup yang indah adalah apabila segala-galanya dipulangkan kepada Allah.

 

Abu Dzar al- Ghifari telah meriwayatkan sebuah hadith di mana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda :

sahih muslim

Sesungguhnya setiap tasbih itu adalah sedekah, setiap takbir itu sedekah, setiap tahmid itu sedekah, setiap tahlil itu sedekah, menyuruh yang makruf itu sedekah, menegah yang mungkar itu sedekah, dan pada hubungan kelamin itu ada sedekah.

Lalu para sahabat radhiyallahu ‘anhum bertanya : Apakah jika kami mendatangi isteri ( melakukan hubungan kelamin ) juga ada pahala?

Maka Rasulullah sallallahu ‘alahi wasallam menjawab : Tidakkah kamu lihat, jika dia menyalurkan nafsu itu ke tempat yang haram maka dia mendapat dosa? Demikian jugalah jika dia salurkan ke tempat yang halal, maka dia beroleh pahala.

( Hadith Riwayat Muslim )

Mengindahkan sebuah rasa bernama cinta, adalah dengan bersegera menyalurkannya ke tempat yang halal. Bagi yang sedang bertunang, jangan selesa bertunang lama-lama dan melengah-lengahkan nikah, melainkan dengan sebab yang sangat kuat. Bagi yang sedang bercinta secara terlarang, ingatlah bahawa apa yang dirasakan indah itu sebenarnya hanya fatamorgana yang hakikatnya kontang dari keindahan sebenarnya.

Indahkanlah rasa cinta itu dengan sebuah pernikahan yang diredhai oleh-Nya. Segalanya yang dilakukan atas nama cinta bukan hanya beroleh nikmat dan seronok, bahkan juga beroleh pahala. Maka masihkah kita mahu membutakan mata dari melihat keindahan yang sebenar-benarnya?

 

Screenshot_2014-03-11-00-15-05

” Dalam buku Manisnya Cinta Si Anak Muda ini banyak saya kongsikan tips, nasihat, petua, panduan dan segala yang berkaitan dengan cinta anak muda. Sangat sesuai untuk dijadikan rujukan bagi yang baru, sedang dan akan mengenal cinta. Juga sangat bermanfaat untuk dihadiahkan kepada mereka yang perlu tahu tentang kemanisan cinta yang sebenarnya.”

Boleh dapatkan di kedai-kedai buku berhampiran.

 

Sekian.

About Ahmad Syafiq

Gemar menulis dalam bidang motivasi dan keremajaan. Mula berkarya melalui penulisan blog seawal tahun 2007. Graduan Ijazah Sarjana Muda Syariah ( Fiqh dan Usul al-Fiqh ) dari Universiti Yarmouk, Jordan.

3 comments

  1. Assalamualaikum ustaz
    saya mahasiswa di sebuah ipta. Umur saya 21 thn. Saya ada berkenan kat sorang gadis ni. Sy pernah luahkan rasa sy dan dia kata dia juga suka saya. Sy berasa amat gembira. Sy betul betul sygkan dia . Kerja sy tak fokus dibuatnya duk teringat kat dia. Perasaan nak jaga dan bahagiakn dia sgt kuat. Tp kami taklah pula berdating dan sebagainya. Adakah sy termasuk.golongan wajib kahwin? Ataukah ini mainan perasaan semata mata dan saya terpaksa melupakannya saja?

  2. salam ustaz..sy da terbaca ttg rumusan sunat istikharah..sy pnah buat solt sunat ini 3 kali berturut2 dan alhamdulillah dpt petunjuk beberapa kali didalam mimpi..sy da ceritakan kpd fmly n kwn2 jadi mcm manakah situasi sy ni sekiranya bercerita ttg petunjuk yg sy dpt..selepas buat solat ni juga sy berasa yakin n kadang2 sy was2 d sebabkn da skit2 mslh ngan kwn sy ni..tp hati naluri sy memang kuat memilih petunjuk yg sy dpt dr allah..

Scroll To Top