Hati-Hati Mengurus Hati

 

Red-Heart-Love-Wallpapers-Pictures-Timeline-Covers-600x330

Hati itu suatu anugerah Allah yang tak ternilai harganya. Boleh dikatakan, dalam tubuh badan kita ini, hatilah yang paling tinggi martabat dan kedudukannya. Bahkan, itulah juga yang dinyatakan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya : Apabila baik ia maka baiklah seluruh tubuh badan, apabila buruk ia buruklah seluruh tubuh badan.

Itulah hati.

Hati kita ini Allah jadikan satu sahaja, tiada duanya. Buruk baik hati itu pula, tidak dapat ditilik dari pandangan zahir manusia. Kalau dibelah sekalipun dada manusia, masih tidak akan mampu dilihat buruk atau baik rupanya. Buruk baik hati itu adalah atas neraca taqwa. Neraca keimanan seseorang manusia.

 

MILIK KITA UNTUK ALLAH

Seringkali, kita bercakap tentang masalah yang berlaku pada sudut simptomnya yang banyak. Kita tidak menilik lebih teliti tentang akar mula masalah tersebut. Bila kita jatuh hati, sakit hati atau ditimpa ‘masalah hati’, kita seringkali gagal mengatasinya dengan baik. Puncanya satu – kehilangan punca!

Mari kita tilik dengan lebih baik.

Hati ini, sebelum apa sekalipun bicara kita tentangnya, perlu dinobatkan sebagai milik Allah. Bermakna, hati kita secara hakikatnya bukanlah milik kita. Segala yang berkaitan dengannya, juga bukan milik kita. Ia adalah milik mutlak Allah – Sang Pencipta Yang Maha Bijaksana.

Tetapi hati itu, Allah pinjamkan untuk kita. Buat sementara ini – selagi hayat dikandung badan – hati itu menjadi milik kita. Kita yang perlu menguruskan hati tersebut. Namun bebaskah kita untuk melakukan apa sahaja dengannya?

Tentulah tidak. Bukankah telah kita bicarakan, hati itu pemilik sebenarnya adalah Allah? Biarpun ia menjadi milik sementara kita, ia tetap dikira pinjaman, dan setiap yang dipinjam itu ada tuannya yang lebih berhak. Maka dalam bab hati ini, Allah pinjamkan kepada kita namun ada syarat-syaratnya, iaitu yang paling utama – segala yang dilakukan dengannya mestilah untuk Allah dan kerana Allah!

 

MENGURUS HATI JUGA ADA PANDUANNYA

Seringkali juga dalam berbicara tentang hati ini, kita sebutkan tentang ”fitrah yang menjadi fitnah”.

Benar, mencintai sesama manusia itu adalah suatu fitrah. Ingin berpasangan, dikasihi dan dicintai adalah fitrah manusia yang suci. Menghalang dan menidakkannya sangat bertentangan dengan sunnatullah.

Namun, persimpangan antara fitrah dan fitnah itu cukup dekat dan rapat. Untuk terkeliru itu cukup mudah.

Apabila prinsip asal tentang ‘ hati milik kita untuk Allah ‘ tidak dipegang dengan baik, maka kesilapan menguruskannya sangat mudah berlaku. Ramai orang menganggap hatinya itu mempunyai pemilik di kalangan manusia. Sekali lagi saya ulang, ramai orang anggap hatinya itu mempunyai PEMILIK di kalangan manusia!

Justeru, di awal-awal bertapak mengenal cinta, dia sudah meletakkan suatu target penting – iaitu mencari siapakah pemilik hatinya itu.

Mulalah timbul pelbagai madah, mencari tulang rusukku, mencari bakal imamku, yang mana asal madah tersebut tidak salah, tetapi orang yang bermadah itu selalunya tersalah!

Buktinya, ramai yang sangat teruja apabila bertemu dengan ‘pemilik’ hatinya. Seakan-akan, hatinya itu sudah tidak sabar lagi untuk diserahkan kepada pemiliknya – atas nama fitrah. Sedangkan acapkali berlaku, yang diserah itu sebenarnya atas nama fitnah!

Kata-kata manis dan bicara romantik si jejaka yang mencairkan hati gadis-gadis muslimah yang asalnya sangat terjaga dan menjaga – sebenarnya hanyalah simptom dari kejahilan mengenai panduan mengurus hati. Mana tidaknya, tidak sedikit dari kalangan mereka yang membiarkan ego mereka berbicara ; Ah! takkanlah nak mengurus hati sendiri pun perlu diajar. Itukan fitrah setiap manusia!

Tiada panduan, tiada pegangan, maka hanyutlah mereka tatkala hati sudah diserahkan. Maka tidak perlulah kita lanjutkan bicara tentang akibatnya, apabila hati sudah diserah pada ‘pemiliknya’ maka apa yang akan terjadi atas nama ‘cinta’.

 

CINTA SEPENUH HATI ATAU SELURUH HATI

Kadangkala, dek keterujaan mengecap cinta manusia, kita terlupa untuk membezakan antara beri cinta sepenuh hati atau seluruh hati.

Sebab itu saya selalu sebut, alangkah indah apabila cinta kita ini kita mulakan dari asas yang benar dan tapak yang kukuh. Dan asas serta tapak itu adalah mencintai Allah serta mengiktiraf bulat-bulat bahawa hati kita adalah milik Allah – dipinjamkan kepada kita – untuk diabdikan diri kepada Allah.

Justeru kita telah bermula dengan asas yang jelas, bahawa tidak mungkin lagi untuk kita memberikan kepada manusia seluruh hati kita. Bermakna juga, tiada di kalangan manusia yang akan menjadi pemilik kepada hati kita!

Tetapi di atas nama fitrah, cinta kita kepada manusia kita berikan sepenuh hati. Cinta isteri kepada suami, cinta suami kepada isteri, cinta kepada yang melahirkan kita, cinta kepada zuriat dan sekalian saudara – semuanya ini adalah cinta sepenuh hati. Maksudnya jelas, cinta itu disertai kesungguhan dan keikhlasan, tiada sangsi, curiga apatah lagi benci. Ia juga akan disusuli dengan pengorbanan, kasih sayang, kemaafan dan kebertanggungjawaban.

Jangan anggap tiada beza, walaupun istilah itu kita yang bina.

Ada beza yang besar antara orang yang menyerahkan hatinya kepada manusia dan menganggap manusia itulah pemilik hatinya, dengan manusia yang mencintai manusia tetapi menyerahkan hatinya kepada pemilik sebenar iaitu Allah.

” Dia sayangkan saya dan telah berterus terang untuk jadikan saya isterinya nanti. Kalau keluar berdua pun, kami tetap menjaga. Lagipun, kami dah tunang syar’ie!”

Ketika kata-kata itu disebut oleh muslimah solehah lagi beragama, dia bukan tidak tahu akan hakikat dan kebenarannya. Bukan juga tidak tahu halal atau haramnya. Tetapi segalanya didiamkan kerana ‘hatinya sudah bertukar pemilik’ lalu dia sendiri tidak mampu mengawal hatinya. Apabila dia serahkan harapan dan kepercayaan yang begitu tinggi kepada lelaki yang belum bergelar suami – hakikatnya yang dia lakukan adalah menukar pemilik hati.

Seluruh hatinya diberikan. Seluruh kepercayaannya dipertaruhkan. Seluruh harapannya digadaikan. Kadangkala ‘pemilik’ hati itu berjaya hanya dengan mengungkap kalimah ‘sayang’.

 

BERHATI-HATILAH DENGAN HATI

 

” Saya hairan ustaz, dia bukan tak solehah. Sangat baik orangnya. Gerak kerja dakwah pun kuat. Tapi lepas kenal lelaki tu, terus jadi watak berbeza..”

” Jangan salahkan dia. Kadangkala, kekeliruan boleh menjadikan manusia hilang jiwa sebenarnya ”

” Maksudnya bagaimana?”

” Ramai muslimah meletak target cintanya adalah mencari siapa pemilik hati untuk diserahkan seluruh hatinya. Lalu apabila orang itu berjaya dijumpai, dia mudah hilang diri. Kadangkala sanggup berbuat apa sahaja, walaupun menderhakai pemilik sebenar hatinya!”

 

Dia mengeluh. Sulit juga. Apa yang mampu dilakukan kalau begitu sekali bahayanya?

Pertamanya, tetapkan betul-betul siapa PEMILIK hati. Bukan manusia, tapi Allah. Walaupun sudah berkahwin sekalipun, jangan tukar pemilik hati kita sehingga dalam cinta itu tiada lagi untuk Allah dan kerana Allah.

Kedua, hati-hatilah memberi hati. Jangan jadikan kalimah ‘sayang’ dan yang sewaktu dengannya sebagai kunci untuk menggadai hati atau menyerahkan hati kita kepada manusia. Air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Nampak alim dan beriman jangan dianggap bukan buaya. Berhati-berhati adalah ciri-ciri manusia bertaqwa.

Ketiga, dalam apa jua keadaan, kembalilah kepada PEMILIK sebenar hati kita. Kalau cinta kita dengan manusia senang, jangan alpa dari memuji-Nya. Kalau cinta kita dengan manusia susah, jangan lari dari mengadu kepada-Nya.

Sesungguhnya hati ini lebih mudah diurus, bila sentiasa kenal dengan Pemilik sebenarnya.

 

Sekian.

 

About Ahmad Syafiq

Gemar menulis dalam bidang motivasi dan keremajaan. Mula berkarya melalui penulisan blog seawal tahun 2007. Graduan Ijazah Sarjana Muda Syariah ( Fiqh dan Usul al-Fiqh ) dari Universiti Yarmouk, Jordan.

One comment

  1. putri farah nur shairah

    Assalammualaikum..ustaz saya nak tanya,,saya seorg yg d gelar tunangan urg,,tapi saya tak d anggap pun sebagai tunang??smua perkara walau kecil smu saya yg salah…lagi satu tunang saya kata dalam sms dia,,selepas ibunya meninggal hidupnya kosong malah khwn dia merasakan was2…so apa yg perlu saya lakukan ustaz sebab saya tk tahu nak bercakap dengan siapa…

Scroll To Top