Isteri Solehah Tidak Tertindas

young-syrian-women-talking

credit

 

Menjadi isteri solehah adalah antara impian terbesar para muslimah. Bahkan tidak sedikit muslimah yang belum berkahwin begitu bersungguh-sungguh mendidik diri dan menambah ilmu sebelum berkahwin, semata-mata untuk memastikan mereka berjaya menjadi isteri solehah suatu hari nanti. Tidak sedikit juga di kalangan mereka yang mengalihkan fokus di usia anak muda itu kepada gerak kerja dakwah dan perjuangan Islam, sebagai salah satu asbab menyelamatkan diri dari tenggelam dengan budaya couple ataupun percintaan yang akhirnya memusnahkan diri mereka sendiri.

Buat mereka saya sertakan doa, semoga cita-cita menjadi isteri solehah itu dimakbulkan oleh Allah suatu hari nanti.

Apa yang menarik bila dibicarakan tentang isteri solehah adalah anggapan kurang enak bahawa isteri solehah adalah isteri tertindas.

Cuba lihat situasi ini :

 

” Alangkah besar ganjaran Allah pada Ros. Dengan Ros bersabar dan izinkan abang kahwin lagi, InsyaAllah payung emas menjadi ganjaran Ros di akhirat nanti. “

 

Bersungguh-sungguh si suami mempengaruhi isteri dengan ‘janji bulan bintangnya’ , disambut dengan senyuman pahit si isteri.

Redha.

 

” Boleh aku pinjam duit kau sikit? Sebenarnya aku nak belikan barang dapur dan pampers untuk anak aku, bulan ni tak sempat sikitlah..”

 

Perlahan dan berhati-hati si isteri berbisik dengan kawan pejabatnya. Sehingga kawannya menggeleng kepala.

 

” Kau ni terlampau baik. Suami tak pernah bagi duit dan kau pula tak cakap apa-apa. Itukan hak kau, anak-anak, kau kenalah minta.”

 

Terus si isteri mengunci mulut dan telinga, enggan mendengar nasihat seterusnya dari kawannya.

Sekali lagi kawannya geleng kepala. Wanita itu memang orangnya baik, lemah lembut, cukup molek segala segi dari pakaian sampailah perlakuan, sayangnya dengan suami tak pernah melawan. Duit nafkah tak dapat, anak-anak diabaikan oleh ayah, diterima sahaja. Redha.

‘ Ah. Baik aku jadi isteri biasa-biasa, kalau macam itu gayanya isteri solehah. Asyik kena tindas saja!’

Gumam si kawan. Geram.

 

MERENUNG PENYELEWENGAN MANUSIA PADA HIKMAH ‘SUAI-KENAL’

Kalau saya tambahkan lagi situasi-situasi lain di atas, pasti artikel ini akan menjadi lebih panjang. Tetapi ketahuilah bahawa, banyaknya situasi di atas berpunca dari kefahaman yang menyeleweng pada ketetapan Allah. Allah Pencipta yang Maha Bijaksana, sayangnya tidak ramai manusia yang bijak mentadabbur hikmahnya.

Kata lelaki :

Aku lelaki, lebih baik dan lebih mulia dari wanita.

Aku lelaki, lebih kuat dan lebih bijak dari wanita.

Kerana aku lelaki. Kerana dia wanita.

Padah apabila ayat Allah yang mengangkat nilai Qawwamah pada lelaki, dianggap sebagai mengangkat darjatnya satu tingkat lebih tinggi!

Justeru aturan hidup disengetkan timbangannya. Adil cumalah apa yang memihak pada lelaki. Jika tidak adil pada wanita, dianggap adil sahaja. Lelaki lebih arif, lebih panjang akalnya. Wanita? Cakap banyak tetapi hasilnya tiada.

Keangkuhan dan keegoaan cuba disinonimkan dengan nilai Qawwamah. Sangat tempang dan sangat jauh menyimpang.

Aturan hidup yang disengetkan pertimbangannya itu menjadikan suami sentiasa betul dan tepat. Isteri sentiasa tidak tahu dan jika tahu pun, tidak tepat!

Kata-kata suami sebagai lelaki adalah kebenaran yang tidak boleh disangkal apa lagi ditolak.

Kata-kata isteri – meski lebih jelas rasional dan relevan – lebih ‘afdhal’ untuk diabaikan dan ditolak.

Ini jauh dari ajaran agama. Jauh dari bimbingan Saidina al-Musthofa Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam. Juga jauh dari rasional minda waras dan fitrah yang jernih sebagai manusia.

Penyelewengan ini adalah natijah kegagalan dari memahami ayat Allah yang berbunyi :

 

49_13

” Wahai sekalian manusia. Sesungguhnya telah Kami ciptakan kamu dari jenis lelaki dan wanita, serta Kami jadikan kamu berbagai bangsa dan kabilah, dengan tujuan kamu dapat kenal mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia dari kalangan kamu di sisi Allah adalah yang paling tinggi taqwanya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Mendalam Pengetahuannya.

( Al- Hujurat : 13 )

Hanya dengan mengenali akan timbul rasa mencintai. Hanya dengan mengenali baru sempurna interaksi dan komunikasi. Hanya dengan mengenali suami dan isteri mengiktiraf kemuliaan pasangan dan tidak hanya memikirkan diri sendiri.

Sayangnya, keegoan menghijab proses suaikenal. Kejahilan lantas mengambil tempat, menggantikan sebuah kemuliaan yang Allah atur pada sebuah proses ‘ Suai- Kenal ‘.

 

MENTAATI SUAMI BUKAN PROSES MEMANDULKAN AKAL SENDIRI

” Kamu kalau dah kahwin nanti, kena dengar cakap suami. Jangan suka melawan, jangan jadi isteri keras kepala. Kamu kena hidup dengan dia sampai ke tua! “

Begitulah kerasnya nasihat orang tua-tua pada anak dara mereka. Si anak dara diam saja. Kata-kata itu walau keras, tapi seakan nasihat yang ‘merdu’ buat mereka. Alam rumahtangga masih satu teori, tentulah mendengar dari yang sudah melalui adalah lebih hampir dengan realiti.

Nasihat bernada begitu ada asasnya dalam agama. Cuma mungkin, apabila nasihat dinaqal generasi ke satu generasi yang lain, asas agamanya menipis, lenturan adat sahaja yang menjadi tebal. Akhirnya yang menurut adalah kerana hormatkan orang tua-tua, yang membakulsampahkan pula kerana sudah jauh dari leteran orang tua-tua.

Sesungguhnya kita tidak membicarakan tentang ketaatan pada suami sebagai suatu adat dan ikutan semata-mata. Kita membicarakannya di atas tuntutan dan perhatian agama. Agama mengajar kita untuk menjadi isteri yang taatkan suami, bahkan menjadikan ketaatan itu sebagai suatu jalan menuju syurga buat seorang isteri.

 

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam :

” Apabila seorang wanita itu solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, menjaga kehormatan dirinya dan mentaati suaminya, maka dikatakan kepada wanita tersebut : Masuklah kamu ke syurga melalui mana-mana pintu yang kamu sukai. “

( Hadith Riwayat Ibn Hibban )

Tetapi soalnya, ketaatan yang bagaimana?

Mengapa semakin kita bicarakan soal taatkan suami, semakin berlaku situasi-situasi tempang yang diceritakan di awal tadi?

Mengapa semakin diajar isteri tentang taat, semakin mandul akal mereka, semakin lemah sensitiviti tentang hak-hak mereka?

Mungkin kerana itu, sesetengah ‘pejuang wanita’ begitu garang dan menyinga bila mendengar nasihat ” isteri kena taatkan suami ” !

Hakikatnya, ketaatan yang diajar oleh agama tidak lebih daripada melengkapi proses suai kenal aturan Allah.

Isteri wajib taat kerana suami itulah lelaki yang menjaganya. Suami itulah yang telah mengambil alih tugas untuk melindunginya daripada bapanya sendiri. Suami itulah satu-satunya lelaki yang diiktiraf oleh agama untuk mengambil berat dan menjaga setiap inci tubuh isterinya, setiap satu pergerakan isterinya dan setiap detik dari perlakuan isterinya.

Suami itulah juga yang akan ditanya oleh Allah di akhirat kelak tentang isterinya!

Nilai Qawwamah ( kepimpinan dan tanggungjawab ) yang Allah anugerahkan kepada lelaki tidak akan punya apa-apa nilai jika isteri enggan taat. Disuruh berhenti dari kelab mengumpat se-taman perumahan, isterinya enggan. Disuruh labuhkan tudung, juga enggan. Disuruh tinggalkan wangi-wangian tebal ketika keluar rumah, juga enggan. Diajak solat berjemaah dia enggan, disuruh solat awal waktu juga enggan. Bahkan diajak ke tempat tidur, juga enggan!

Justeru ketaatan kepada suami adalah suatu yang disyariatkan. Hanya kerana amanah jagaan, wajiblah diberi ketaatan. Hanya kerana taat itu adalah bersumberkan taat kepada Tuhan. Tetapi ingat, ketaatan itu hanyalah pada perkara yang halal, yang makruf. Tidak sama sekali pada perkara yang haram. Tidak pada perkara yang melanggar arahan Tuhan.

Hakikatnya, ketaatan itu jika benar-benar diberi atas dasar ilmu dan kefahaman, tidak akan sesekali berlaku perlampauan, tidak juga akan berlaku pengabaian.

 

BELAJARLAH DARI IMRA’ATU FIR’AUN

Dia disebut dengan nama Asiah. Tetapi Al-Quran tidak menyebut namanya, sebaliknya disebut Imra’atu Fir’aun – isteri Fir’aun.

Apa yang pasti, jatidirinya disebut oleh Allah dengan jelas di dalam Al-Quran. Bahkan, Allah membandingkan dirinya yang bukan isteri seorang Nabi Allah dengan beberapa isteri Nabi Allah, seumpama isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Luth. Allah jadikan isteri kedua-dua Nabi ini sebagai perumpamaan buat orang yang tidak beriman, sebaliknya menjadikan isteri Fir’aun sebagai perumpamaan buat orang beriman.

Firman Allah Ta’ala :

66_10 66_11

 

” Allah membuat perumpaan bagi orang-orang yang tidak beriman dengan kisah isteri Nuh dan isteri Luth. Kedua-dua isteri ini hidup bersama dua hamba Kami yang soleh, akan tetapi mereka mengkhianati keduanya lalu kedua ( Nuh dan Luth ) tidak boleh menyelamatkan mereka sedikit pun dari ( azab ) Allah. Lalu diseru kepada kedua-dua isteri ini ; masuklah ke dalam neraka bersama sekalian penghuninya. 

Dan Allah membuat perumpaan bagi orang-orang beriman dengan kisah isteri Fir’aun. Ketika dia berkata Wahai Tuhanku binalah untukku ( sebagai ganjaran ) mahligai di dalam syurga, dan selamatkanlah aku dari Fir’aun dari segala kerja jahatnya dan selamatkanlah aku dari golongan yang zalim. “

( at-Tahrim : 10 – 11 )

 

Saya seringkali memetik ayat ini dalam bicara bersama kaum Hawa. Ia menginspirasikan sesuatu yang sangat besar buat mereka dan kita semua. Bagaimana mungkin seorang wanita ( ya, dia perempuan – kaum hawa, yang selalu dianggap lemah ) ditakdirkan menjadi isteri – insan yang paling rapat – kepada sejahat-jahat manusia iaitu Fir’aun ( gambaran lelaki yang bukan hanya kuat, kaya dan samseng bahkan mengaku sebagai Tuhan ) tetapi di akhirnya Allah angkat wanita ini menjadi contoh terbaik buat orang-orang beriman.

Sangat ajaib aturan Allah. Tidakkah kita berfikir?

Isteri solehah tidak tertindas oleh makhluk, termasuk suaminya.

Isteri solehah bukan hanya hebat berzikir, bahkan juga kuat menuntut ilmu.

Isteri solehah isteri yang cerdik dan terdidik, lalu dia bukan isteri yang mudah diperkotak katik!

 

” Ros, kenapa tarik balik kebenaran nak bagi abang kahwin lagi satu? Ros tak ingin ke payung emas di Syurga? ”

” Ros tarik balik sebab tak jumpa hadis sahih pun tentang payung emas. Itu satu. Satu lagi, Ros tak jumpa sebab kenapa abang beriya-iya nak bagi Ros payung emas kat Syurga, tapi abang tak bersungguh-sungguh nak pimpin Ros masuk syurga? Abang pun tahu, kalau abang abaikan nafkah, hak isteri dan anak-anak abang akan tersekat dari masuk syurga. Abang tak nak ke sama-sama berteduh bawah ‘payung emas’ di syurga..?”

 

Sebelum diri ditindas, tetapkan prinsip dengan ilmu sebagai isteri solehah.

” Saya masih sayang dan hormatkan suami. Saya juga akan terus mentaati suami. Tetapi dalam hal nafkah, ia adalah hak saya dan anak-anak. Sekiranya suami abaikan, saya wajib tegur, sekiranya suami enggan, saya boleh lapor. Saya juga boleh mendapatkan pembelaan jika saya dipukul, didera atau dicedera, termasuklah emosi. Saya hidup dengan suami sebagai insan merdeka..bukan sebagai hamba. Hakikatnya, saya dan suami, kami berdua adalah hamba kepada Allah Ta’ala.”

 

Biarkan ada jawapan dan perbincangan, bukan tunduk dan angguk sahaja atas nama ketaatan. Itu bukan ketaatan, itu proses pemandulan akal yang jauh dari keizzahan dan jatidiri orang beriman. Sebagaimana suami punya hak bersuara, isteri juga mempunyai hak yang sama.

Ketaatan tidak bermakna suami sahaja bercakap betul, isteri cakap salah.

Ketaatan tidak bermakna suami cakap isteri kena diam, isteri cakap..oh tak boleh. Isteri tak boleh cakap.

Ketaatan bukan bermakna isteri diambil dari ayahnya dan dipenjara, diragut semua hak dan kemuliaannya sebagai insan merdeka.

Imraatu Fir’aun mengajar isteri solehah hari ini tentang keimanan. Lebih dari itu, dia juga mengajar isteri solehah hari ini tentang kemuliaan.

Seakan-akan dia sedang berbicara kepada semua isteri solehah hari ini tentang prinsip hidup, tentang tema penting sebagai isteri solehah iaitu PRINSIP dan ILMU.

Prinsip lahir dari keteguhan iman dalam diri, meyakini segenap janji Allah. Meyakini segala doanya dengan Allah. Mengimpikan ganjaran Syurga sebagai hadiah terbesar dari Allah, sebagai saham teragung dari kesabarannya di dunia kerana Allah.

Ilmu lahir dari peperangan terhadap kejahilan, penentangan terhadap penindasan dan pembodohan. Ia mengangkat martabat isteri solehah daripada persepsi ‘angguk-angguk’ kepada isteri solehah yang merdeka akalnya, bebas membuat penilaian dengan akal yang cerdas serta jiwa yang tenteram. Ilmulah yang membezakan antara ketaatan pada hal yang makruf dengan ketaatan pada hal yang berupa maksiat pada Tuhan.

 

Belajarlah dari Imraatu Fir’aun.

Adakah dia seorang isteri yang tertindas?

Tidak.

Dia isteri solehah. Dan hakikatnya, isteri solehah bukanlah seorang wanita tertindas.

 

Sekian.

About Ahmad Syafiq

Gemar menulis dalam bidang motivasi dan keremajaan. Mula berkarya melalui penulisan blog seawal tahun 2007. Graduan Ijazah Sarjana Muda Syariah ( Fiqh dan Usul al-Fiqh ) dari Universiti Yarmouk, Jordan.

Comments are closed.

Scroll To Top