Cinta : Antara Memilih Dan Terpilih

Autumn-Love-Nature-HD-wallpaper

image from google

 

Cinta ini ‘sunnahnya’ memang begitu.

Ada yang akan memilih.

Ada yang akan dipilih.

Dan di antara mereka, ada yang akan ‘terpilih’.

 

Orang lelaki sangat sinonim dengan ‘kuasa’ memilih. Ada ciri-ciri tertentu yang dia cari pada seorang wanita, lalu apabila ditemui, maka wanita itu akan dipilih olehnya.

Ada banyak keadaan, lelaki punya ramai calon di hadapan mata. Ada yang namanya Khadijah, Aminah dan mungkin Fatimah. Lalu dia akan memilih siapa di antara tiga calon itu yang berkenan di hati dan dirasakan paling sesuai dibuat isteri. Sekiranya dia seorang lelaki yang baik – lagi dikagumi ramai wanita – dan Aminah dipilih sebagai calon isterinya, maka Aminah adalah wanita yang sangat beruntung.

Aminah akan merasa sangat gembira dan bersyukur, di samping merasakan dirinya adalah wanita terpilih.

Khadijah dan Fatimah pula mungkin merasa sedih, lalu merasakan dirinya sebagai wanita ‘tak terpilih’. Bahasa lainnya, terkorban.

Tapi hakikatnya tidak begitu.

Bahkan sebenarnya, ketika si lelaki memilih dan Aminah dipilih, Khadijah dan Fatimah lah yang merupakan wanita terpilih!

 

RAHSIA SEBUAH TAKDIR

Ini bukan semata-mata bahasa motivasi.

Ini adalah bahasa akidah. Bahasa keimanan.

Sejauh mana pun manusia dilihat bebas memilih dan dipilih, hakikatnya mereka berada di dalam caturan takdir Allah yang Maha Hebat.

Lelaki yang memilih wajib dibaca sebagai percaturan Allah, dengan sejuta hikmah tersendiri.

Wanita yang dipilih juga wajib dibaca sebagai percaturan Allah, dengan sejuta hikmah tersendiri.

Demikian juga wanita yang ‘tidak terpilih’ , juga wajib dibaca sebagai percaturan Allah dengan sejuta hikmah tersendiri.

Sebab itu saya katakan, wanita yang merasa tidak terpilih itulah sebenarnya wanita yang ‘terpilih’.

Dia terpilih untuk berada dalam kerangka takdir Allah yang berbeza daripada apa yang pernah dijangka oleh akal dan mindanya. Dia terpilih untuk memasuki suatu pintu kehidupan yang berbeza daripada apa yang pernah dirancang olehnya.

 

 

YANG BAIK DAN LEBIH BAIK

Allah is Best of Helpers

 

“ Ustaz, tiga tahun kami bertunang. Bukan sekejap tempoh berkenalan dan bukan sedikit dihimpun kenangan. Tapi tiba-tiba dia minta putus, dan pilih orang lain. Sakit saya ustaz, hanya Allah Yang Tahu! ”

Betul kata anda, hanya Allah Yang Maha Tahu.

“ Maksud ustaz? ”

Pertama, Allah Maha Tahu kesakitan yang anda alami.

Kedua, Allah Maha Tahu keadaan mana yang lebih baik untuk anda.

“ Saya kurang faham..”

Saya dan anda – dengan capaian akal dan ilmu kita yang sedikit – mungkin cuma sampai ke tahap tahu mana yang baik. Kalau anda temui seorang lelaki yang baik dan prihatin, anda akan tahu bahawa dia calon suami yang baik. Saya juga, jika anda ceritakan demikian, akan tahu bahawa dia memang calon suami yang baik.

Tapi sekarang, dia tidak lagi calon suami yang baik untuk anda – sepertimana apa yang anda dan saya tahu. Dia telah menjadi calon suami untuk orang lain.

Ternyata, di antara apa yang anda dan saya tahu tentang ‘baik’, ada sesuatu yang kita tidak tahu, iaitu tentang ‘yang lebih baik’!

Persoalannya, siapakah yang lebih tahu tentang perkara tersebut?

Wajib ingat betul-betul dan genggam kemas-kemas. Bila disebut LEBIH, maka tiadalah ia wujud di kalangan manusia. Jangan ditanya bomoh, jangan ditanya pawang, jangan ditilik dari sang nujum.

Kerana LEBIH itu hanya wujud pada ZAT Yang Maha Agung..iaitu Allah!

Allah lah yang LEBIH TAHU.

Kenapa selepas 3 tahun kami bertunang, baru semua ini terjadi? Allah LEBIH TAHU.

Kenapa saya tidak dipilih? Kenapa orang lain? Allah LEBIH TAHU.

 

UBATI JIWA DENGAN HUSNUZZON BILLAH

Apa pentingnya saya sebutkan kepada anda tentang ‘LEBIH TAHU’ itu?

Dan apa pentingnya anda sebutkan kepada diri sendiri tentang ‘LEBIH TAHU’ tersebut?

Jawabnya cuma satu ; supaya jiwa yang sakit segera sembuh. Agar hati yang kecamuk segera menjadi khusyuk.

Kita sebagai manusia, apabila berdepan perkara yang kita tidak tahu, maka apa yang akan terbit di hati adalah kemungkinan itu dan ini. Boleh jadi begitu, boleh jadi begini.

Cerita saya tentang ‘TERPILIH’ dan ‘LEBIH TAHU’ adalah supaya kemungkinan-kemungkinan yang dicetuskan oleh jiwa itu dapat dipandu ke jalan yang sepatutnya!

Kereta perlukan pemandu yang cekap dan berpengetahuan, kerana sehebat mana pun kereta itu kalau jahil tentang laluannya, boleh masuk longkang..lebih bahaya lagi, boleh jatuh dalam gaung yang dalam.

Hati juga begitu. Cetusan-cetusan darinya, kalau tak cekap dipandu, boleh menatijahkan putus asa dengan hidup, buruk sangka pula dengan Allah Ta’ala. Ini sangat bahaya.

Sekarang, dengan mentadabbur tentang ‘TERPILIH’ dan ‘LEBIH TAHU’, anda boleh pandu kemungkinan-kemungkinan yang dicetuskan itu ke jalan yang benar dan di atas manhaj yang sahih.

 

 

TADABBUR HIKMAH

 

1. Boleh jadi dia tidak cukup baik untuk anda.

2. Boleh jadi berkahwin lebih awal tidak begitu baik untuk anda.

3. Boleh jadi anda tidak cukup baik untuk dia.

 

“ Tapi bagaimana saya nak anggap saya insan terpilih, kalau pun saya boleh cetuskan ‘boleh jadi’ seperti di atas? ”

 

1. Boleh jadi dia tidak cukup baik untuk anda. Bukan bermakna dia jahat, tapi sikap sebenarnya bertembung dengan sikap sebenar anda. Dan sikap ini cuma terzahir ketika berada di kemuncak konflik dalam rumahtangga. Sikap itulah yang menjadikan dia tidak cukup baik untuk anda – dengan makna tidak cukup sesuai untuk anda. Siapa lebih tahu? Allah. Adakah anda terpilih? Ya. Kerana Allah elakkan selamtkan anda dari situasi itu. Kalau diteruskan juga, boleh jadi anda dan dia sukar untuk bahagia.

2. Boleh jadi berkahwin awal tidak begitu baik untuk anda. Bukan semua orang kahwin awal itu gembira, bukan semua orang lambat kahwin itu derita. Bagaimana kita berinteraksi dengan apa yang Allah takdirkan untuk kita, itulah yang menentukan siapa sebenarnya diri kita. Kalau anda mahu cepat dan Allah tangguhkan, siapa yang lebih tahu? Tentulah Allah. Adakah anda insan terpilih? Ya. Kerana perkahwinan adalah sebuah rumah yang serius, bila sudah masuk pintunya, bukan senang-senang nak keluar!

3. Boleh jadi anda tidak cukup baik untuk dia. Bukan bermaksud anda tak cukup solehah, tapi mungkin dia mempunyai penyakit yang hanya diketahui setelah 5 tahun berumahtangga. Badannya lumpuh dan tak berdaya, perlu diurus dan dijaga sepanjang masa. Allah LEBIH TAHU bahawa anda tidak mampu, dan wanita yang dipilihnya sekarang lebih mampu untuk menjaganya dalam keadaan tersebut. Mungkin tahap kesabaran anda tidak sekental itu, atau mungkin keutamaan anda pada keluarga berbeza dengan wanita itu. Jadi adakah anda insan terpilih? YA. Kerana anda perlukan suami yang kuat dan sihat untuk bersama dengan anda, dan Allah tidak takdirkan untuk anda apa yang anda tidak mampu.

 

JADILAH INSAN YANG BENAR-BENAR TERPILIH

Kalau kita boleh ‘create’ begitu banyak kemungkinan yang disuntik roh husnuzzhon ( sangka baik ) dengan Allah, mengapa kita biarkan juga racun suuzzhon ( sangka buruk ) dengan Allah merajai jiwa?

Tidak terpilih dari tangan manusia tidak mengapa. Yang memilih itu manusia, kudratnya terbatas ilmunya juga terbatas.

Tapi jangan sampai tidak terpilih dari ‘tangan’ Allah Ta’ala. Dalam cinta, kita bukan hanya mahu memilih dan dipilih, tapi lebih dari itu kita mahu jadi yang terpilih!

Dan itu bukan suatu yang mudah.

Untuk jadi insan terpilih harus sempurnakan syarat-syaratnya yang utama : tingkatkan taqwa, gandakan munajat, banyakkan sangka baik dengan Allah, doakan kebahagiaan orang yang buat kita ‘kecewa’, bersihkan jiwa dari dendam atau putus asa , dan antara yang paling penting – mesti berkawan dengan perkara-perkara yang positif.

Biarlah manusia yang memilih itu tidak memilih kita.

Biarlah manusia yang dipilih olehnya itu bukan diri kita.

Kerana yang lebih penting dalam episod itu, kita adalah insan terpilih dari pandangan Allah Ta’ala.

Insan terpilih itu sentiasa tenteram jiwanya.

Insan terpilih itu sentiasa tabah hatinya.

Dan insan terpilih itu sentiasa damai CINTANYA.

Kerana hakikat cinta itu adalah apabila berjaya mencintai Sang Pencipta..lebih daripada mencintai sekalian makhluknya!

 

Sekian.

 

About Ahmad Syafiq

Gemar menulis dalam bidang motivasi dan keremajaan. Mula berkarya melalui penulisan blog seawal tahun 2007. Graduan Ijazah Sarjana Muda Syariah ( Fiqh dan Usul al-Fiqh ) dari Universiti Yarmouk, Jordan.

14 comments

  1. Assalam..sy suka baca penulisan awk…dan sy nk
    Minta awk menulis tentang perempuan yg pernah
    Bertunang,putus sbb tiada jodoh..dan saat
    Berkenalan dgn seseorg yg serius tuk dibuat permaisuri tp tidak direstui oleh family pihak lelaki
    Sebab isu pernah bertunang..mcmne tu ye?..

  2. Assalamualaikum, mohon share

      • Saya tidak mendapat didikan agama yang cukup. Berlatarbelakangkan asuhan dari keluarga sebelah ayah adalah cina.Saya sedang belajar ilmu agama.Jadi harapan saya nak minta tunjuk ajar dan nasihat yang berguna.mohon saudara doakan juga kebahagian saya di dunia dan diakhirat, kelapangan dari stress yang saya alami kini disebabkan ujian Allah keatas hati saya… saya sedang kalah.. terima kasih

  3. Mcm nma klu nk thu ustz dh reply msj bg soalan sy

  4. Askum…. Sy nk tnye, sy takut dgn kptsan y telah sy buat, y pd mulanya sy tekad ttp bila tiba hari nya sy mula sangsi…. Tolong sy , sy buntu sangat

    • Wslm wbt.

      1- Ingat Firman Allah Ta’ala : ” Maka setelah kamu berazam, maka hendaklah kamu bertawakkal kepada Allah ”

      Tawakkal atau serah urusan pada Allah, itu perintah Allah dan kunci ketenangan hati. Bila yakin bertapak kukuh bahawa Allah akan membantu urusan seterusnya, jiwa kita akan berteman ketenangan.

      2- Ingat juga, bahawa tiada satu pun keputusan di dunia ini yang tiada risiko. Kita sentiasa dihadapkan dengan pilihan, tetapi kita sama sekali tidak boleh menilik apa akan berlaku di masa depan terhadap satu2 pilihan. Justeru yakinlah, apa yang Allah rahsiakan itu demi mendidik kita agar jadi berani dan sedar hakikat manusia yang penuh kelemahan.

      3- Apa sekalipun berlaku hasil dari satu2 keputusan, ingatlah bahawa kita tetap beruntung, jika kita benar2 beriman. Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam : ” Sungguh hebat keadaan seseorang mukmin, dia tetap beruntung dalam kedua2 keadaan. Jika dia beroleh nikmat, dia bersyukur lalu itu baik baginya. Jika dia beroleh musibah, dia sabar, lalu itu juga baik baginya ”

      Jadi genggamlah kemas2 jiwa kehambaan, dan melangkahlah dengan nafas tawakkal yang tidak pernah padam.

  5. askum ahmad shafik, disini kak nak tanya pendapat, kak ada anak lelaki yg pernah dhtr belajar di sebuah sek tahfiz. alasan kak htr kesitu kerana dia kerap ponteng sek ketika bsekolah gov. semasa kak htr anak kak ckp dia pergi tahfiz ini kerana nak tebus kesalahan kerana kerap ponteng sek menengah dahulu. selama 2 thn berada di sek tahfiz dr ting 1 sehingga 2 dia mta tukar tahfiz lain dgn alasan ada ustaz n ustazah yg xsuka dia. semasa dia berada di tahfiz memang dia menunjukkan perubahan kearah kebaikan apatah lg dgn solat yg xperlu disuruh, amat menyenangkan hati kak…alhamdullilah.
    sementara kak cr tahfiz yg lain dia dh mula bkwan dgn kwn2 yg kerap ke CC. akhirnya kak dpt cr tahfiz dan mskkan skali lg tapi dia hanya bertahan sekejap sahaja n lari dr tahfiz itu. kak tya apa yg dia nk sbnarnya dia kata nk kembali ke sek men biasa, kak ckp klau itu yg dia mahu wlaupun kak rasa kecewa sbab sygkan pelajaran agama yg dia pelajari separuh jln tp kerana xmahu dia lari lg dr tahfiz kak ikutkan kemahuannya, sementara menunggu permohon utk kembali bel di sek men biasa dia telah mula buat perangai kerap kluar rmh dan xblik. kak fkir klau mcam ni baik msk sek tahfiz shj. dia tdk bsekolah sudah msk 4 bln dan dia mula kerap ke cc n sdah berani tdak pulang rmh sehingga berhari2, solatnya juga tdk menentu apatah lg mengajinya. kak sdah tdk mampu nk marah lg n skrg dia beritahu pd kakaknya dia tdk mahu bljar tahfiz atau sek biasa. dia lebih rela duduk di cc n bkerja menolong kwnnya menjual pakaian di mlm hr. ada pendapat yg mengatakan ikut saja kemahuan dia jgn dipaksa tp dgn umur yg br mencecah 16 thn kak rasa dia masih boleh diselamatkan lg. kak bercadang ingin mencari pondok agama yg jauh dr kota dan pendalaman utk dia musabah diri dan lbih mendekatkan diri pd allah serta memperbaiki ahlaknya kembali. baru2 ini kak ada terbaca di internet sebuah pondok tahfiz di kuala nerang kedah ( pusat tahfiz saidina abu bakar) agak pendalaman juga. kak tya adakah keputusan kak utk tdk menurut kemahuanya dan meneruskan niat kak utk menghantar ke tahfiz yg jauh pendalaman itu betul atau slah pd pandangan ahmad syafik….tkasih n maaf pjg lebar pulak email kak ni.

    • Wslm wbt

      Secara dasarnya, adalah sangat baik untuk bertegas dengan anak. Bahkan seawal tahun 2000 lagi saya mendengar method menghantar anak-anak yang agak nakal ini ke sekolah2 tahfiz atau pondok. Method ini jadi popular kalangan ibu bapa waktu itu, bahkan sebelum waktu itu lagi. Hasilnya, ada yang menjadi dan ada yang tidak. Pengalaman sendiri, saya melihat seorang budak lelaki yang sangat teruk perangainya, sehingga dia buat ‘disko’ dalam bilik asrama tahfiz, membuli, ponteng dan macam-macam lagi, akhirnya jadi seorang ketua pelajar dan ulama muda. Jadi, benda-benda macam ni sebenarnya bergantung pada doa ibu bapa + usaha si anak + suasana yang mendokong. Saya cadangkan kalau dihantar ke pedalaman, minta perhatian yang betul2 dari ustaz atau wardennya. Anak di usia 16 tahun methodnya berbeza di tahfiz, mgkin boleh dilatih sifat kepimpinan dan kebertanggungjawabannya. Tidak salah untuk menghantarnya ke tahfiz pedalaman itu, tapi yang lebih baik adalah kemahuannya ( contohnya suka berniaga cari duit sendiri ) diambil kira, dan cari jalan kreatif agar kemahuannya itu tidak tersekat begitu sahaja. Wallahua’lam.

  6. Assalammualaikum , ustaz . Saya Nak Share Masalah Saya .

  7. Assalamualaikum.
    Ustz bleh x sy tnye by email?

Scroll To Top