Bila Rumahtangga ” Bajet Bagus “

Keluarga-Bahagia-Cara-Islam

 

” Kau tahu Jah, semalam si Zila cerita kat aku pasal dia selalu kena bangun malam-malam buat kopi kat suami. Yelah, suami dia kan katanya keje sampai lewat malam. Ish, kalau aku lah tak kuasa nak buat macam tu. Abang aku kalau nak kopi, bancuh sendiri. Kalau nak makan apa-apa, ambik je sendiri dalam peti..”

Begitulah rutinnya saban hari di tempat kerja. Kalau buka cerita, selain pasal shopping, topiknya adalah puji suami sendiri dan bandingkan dengan suami orang. Rakan-rakan sepejabat ada yang melayan, ada yang tidak. Kalau dilayan, akan meleretlah cerita tentang betapa bagusnya rumahtangga yang dimiliki, suami yang sangat caring, romantik, penyayang, memahami dan anak-anak yang tak pernah ada kerenah, sangat cerdik, pintar, keputusan cemerlang dan dipuji-puji oleh semua guru di sekolah.

” Suami i tak pernah sekali pun marah i. Tak pernah sekali pun tegur i kalau i buat apa-apa. Untungnya i..bertuah betul rasanya dapat suami macam tu.. ” Cerita si isteri bangga.

” Kalau you nak tau, anak-anak i adalah murid yang paling bagus kat sekolah..bukan takat cikgu-cikgu, Pak Guard pun puji anak i tau! ” Bertambah bangga si emak bercerita.

 

PSIKOLOGI PUJI BUKAN KERANA SEMPURNA

Ramai pakar menyebut teori yang berbeza tentang ‘puji’, yang mana jika dibaca bersama situasi di atas kita akan melihat suatu dimensi lain yang nyata berbeza.

Katanya, sebahagian besar manusia memuji dan mengangkat-angkat dirinya – atau rumahtangganya – di hadapan orang lain bukan kerana rumahtangganya benar-benar bagus, sebaliknya untuk menutup kekurangan dan kelemahan tertentu pada rumahtangganya sendiri.

Ketika hanya dia dan ahli dalam rumahtangga itu sahaja mengetahui segala sisi negatif dan teruk yang wujud di dalamnya, dia berusaha sekeras mungkin untuk mencantikkan pandangan orang pada rumahtangganya – dan dalam masa yang sama menutup kekecewaan sedia ada dalam dirinya sendiri!

Rupanya, ramai yang ketara memuji-muji dan mengangkat diri sebenarnya untuk melawan realiti yang tidak bagus..lalu dilaung-laungkan kepada orang bahawa rumahtangganya sangat bagus.

Sedangkan di telinga yang mendengar, dia tidak lebih dari menggambarkan rumahtangga yang ” bajet bagus “!

 

REALITI SEBENAR RUMAHTANGGA

Namun tidak semua yang menceritakan atau membawa sedikit contoh dari kehidupan rumahtangganya tatkala bercerita bertujuan untuk mengangkat atau memuji kehidupan sendiri. Tetapi yang pasti, nadanya cukup berbeza.

Realiti hidup berumahtangga tidak pernah sunyi dari air mata dan hati yang terasa. Tidak pernah lepas dari khilaf dan tersalah. Tidak pernah bebas dari sejuta emosi lain selain daripada ketawa dan gembira.

Itu realiti yang tidak perlu menjadi hipokrit untuk mengakuinya.

Sebabnya apa?

 

Sebab Allah tidak jadikan rumahtangga sebagai sebenar-sebenar Syurga.

Allah jadikan rumahtangga sebagai syurga dunia – sebagai kiasan sahaja. Namun untuk dibandingkan dengan nikmat Syurga sebenar di akhirat..terlalu jauh bezanya!

Dalam Syurga dunia, ada ketawa dan dukacita. Ada nikmat dan ada musibahnya.

Dalam Syurga akhirat, segalanya ketawa, segalanya nikmat dan segalanya bahagia.

Justeru tidak susah pun untuk membezakan antara rumahtangga yang benar-benar bagus dengan rumahtangga yang ‘bajet bagus’.

Kalau ceritanya hanya menjurus kepada ‘hidup aku semuanya perfect’ dan dikembar pula dengan bandingan bahawa tidak bagusnya rumahtangga orang lain..maka dengan mudah kita boleh mengenal bagaimana kehidupan sebenarnya.

Pasti ada something wrong dengan jiwa.

 

ALLAH CIPTA SYURGA DUNIA UNTUK DIUJI, SYURGA AKHIRAT UNTUK DINIKMATI

Sebagai mukmin – tidak kiralah kita masih bujang atau sudah berumahtangga atau sudah ada anak sekalipun – kita kena sentiasa kembali kepada hakikat kehidupan dunia, iaitu bertujuan untuk DIUJI.

Banyak ayat Allah yang menegaskan statement ini. Antaranya dalam Surah al-Mulk :

 

67_2

” ( Dia Allah ) Yang menciptakan kematian dan kehidupan ( dengan tujuan ) untuk menguji kamu – siapakah di antara kamu yang paling baik amal perbuatannya “

( al- Mulk : 2 )

Dalam ayat yang lain Allah berfirman :

 

3_142

” Adakah kamu menyangka kamu akan masuk Syurga, sedangkan Allah mengetahui siapakah di antara kamu yang benar-benar berusaha ( menghadapi ujian hidup ) dan yang benar-benar bersabar “

( ali Imran : 142 )

Hidup bujang, diuji.

Hidup berumahtangga, juga diuji.

Tidak tepat kalau sesetengah orang kata, hidup berumahtangga macam Syurga, dengan maksud bahawa segalanya indah tanpa cacat cela, tanpa ada sudut lemah dan kurangnya!

Ingat, memang Allah jadikan rumahtangga ibarat syurga dunia..tetapi untuk diuji. Justeru, bagaimana mengenali rumahtangga yang n

benar-benar bagus?

Jawabnya, rumahtangga yang benar-benar bagus adalah rumahtangga yang dibaca atas konsep ujian dunia..bukan konsep nikmatnya syurga!

 

MUKMIN DIUJI SENTIASA SEDAR DIRI

Orang yang hidup di atas kesedaran konsep ujian dunia, tidak akan bercerita seperti orang yang hidup di syurga sana.

Ceritanya pasti terselit kesedaran bahawa rumahtangga dan kehidupannya juga punya cacat cela dan kelemahannya.

Ceritanya juga pasti berpada-pada. Jika berkongsi contoh kehidupannya dengan rakan-rakan, ia jauh dari unsur-unsur riak dan mendabik dada.

Kadangkala kasihan pula dengan orang yang tenggelam dengan ‘bajet bagus’ nya sendiri.

 

Puan Aida : Terlewat sikit datang hari ni. Yelah, si Alif semalam susah tidur. Puas pujuk tak juga nak tidur. Itu yang berjaga malam tu.

 

Puan Siti : Ish… Anak awak tu dimanjakan sangat tu. Anak saya semua bagus-bagus. Kalau time tidur tu tak payah bising-bising, letak je terus tidur. Tak pernah meragam langsung! Saya memang seronok sangat dengan anak-anak saya ni, mudah dididik. Agaknya mengikut saya lah tu. Tak pun ikut ayahnya. Yelah Aida, saya ni bukan nak bangga dirilah kan, tapi saya dengan suami ni dari latarbelakang baik-baik. Mak ayah saya dulu pun didik anak masyaAllah bagus sangat..anak-anak semua menjadi..suami saya pun sama..bla..bla..bla..

 

Kasihan.

Ada situasi lain, baru dengar sepatah ‘masalah’ rumahtangga orang lain, terus diangkat seratus patah kebagusan dan kehebatan rumahtangga sendiri.

Walhal dia terlupa, kalau dia sedarkan diri, boleh jadi masalah orang lain itu CUMA sepatah. Tapi masalah dirinya sendiri mungkin lebih dari seratus patah.

Jadi kata kunci pentingnya adalah ; mukmin yang diuji akan sentiasa sedar diri!

Mukmin yang menyedari konsep ujian dari Allah tidak akan mudah mendabik dada.

Betapa ramai wanita yang bergelak tawa dan bersungguh-sungguh bercerita memuji rumahtangganya sendiri hari ini tetapi menangis keesokan hari apabila diuji. Ketika dia bercerita jam 11 pagi..dia tidak tahu kemungkinan ujian datang pada jam 12 tengahari!

Ketika dia memuji dan merasakan betapa bagusnya rumahtangga sendiri pada tahun ketiga perkahwinan, dia tidak tahu bahawa kemungkinan ujian datang pada tahun keempat perkahwinan.

Begitulah seterusnya.

Sehingga sampai ke satu tahap, kita akan menyedari bahawa dalam hidup ini tidak ada satu peringkat pun kita menjadi ‘halal’ untuk mendabik diri, memuji-muji kehidupan ‘bajet bagus’ kita, berlagak, riak, takabbur apatah lagi merendah-rendahkan rumahtangga atau kehidupan orang lain yang sedang diuji.

Dan ini tidak pelik, kerana bukankah dari awal kita tahu bahawa semua di atas adalah Sifat Mazmumah yang dilarang oleh agama?

 

KUKUHKAN RUMAHTANGGA SENDIRI, AMBIL IBRAH RUMAHTANGGA ORANG LAIN

Kalau Abu mengadu dia menyesal sebab main bola sampai lewat petang, akhirnya badan penat malam exam, tak dapat study betul-betul dan akhirnya markah examnya cukup teruk, adakah kita akan menyua kertas exam kita yang mendapat markah penuh ke muka Abu sambil mendabik dada dan berkata : Itulah engkau. Tengok aku ni!

Tentunya tidak.

Mukmin yang baik, bila berada dalam situasi di atas akan menasihati Abu supaya bersabar dan cuba lagi. Dia juga akan segera membuang rasa riak dalam dirinya dengan berkata, next time boleh jadi Abu akan score lebih tinggi darinya dan mungkin dia pula akan beroleh markah rendah kalau ada sesuatu yang menimpanya sehingga tidak boleh study. Dia juga akan segera mengambil ibrah supaya tidak main bola sampai lewat petang sehingga terlalu penat untuk study.

Begitulah juga dalam rumahtangga.

Sebahagian orang berkata susahnya mahu lari dari bercakap topik rumahtangga sendiri dengan orang lain, khususnya bila dalam pergaulan dengan kawan-kawan sepejabat. Memang benar, ia sukar. Tapi jika pun kita tidak dapat menjaga telinga, setidak-tidaknya kawallah lisan dan kawallah hati.

Sebahagian orang yang masih hangat sebagai pengantin baru pula kadangkala suka bercerita tentang keindahan hidup sendiri – kerana teruja dengan banyak perkara menarik dalam kehidupan berumahtangga. Memang benar, ia menarik dan indah. Tapi berjaga-jagalah bila berkongsi dan bercerita.

Angkatlah tema rumahtangga atau ” baitul muslim ” sebagai suatu syariat Allah yang bagus.

Angkatlah tema itu sehingga manusia mengerti bagaimana rupa sebenar rumahtangga di bumi yang realiti, bukannya fantasi.

Angkatlah tema UJIAN dan NIKMAT yang rencam..bukannya semata-mata seronok dan perfect.

 

Lebih dari itu, angkatlah nilai taqwa sebagai hamba dan sebagai manusia, bukan sebagai Malaikat yang tak pernah bersalah terhadap Tuhannya.

Rumahtangga bukan benda untuk dibanggakan. Bukan kerana itu pun rumahtangga atau pernikahan disyariatkan.

Ia bukan barang untuk dijulang-julang. Ia medan bersatunya dua hati..yang sama-sama mendaulatkan CINTA ILAHI di dalam diri.

Ia sebuah  ” syurga dunia ” yang unik sifatnya.

Dan hakikatnya ia adalah jambatan menuju Syurga sebenar yang berkekalan sifatnya!

 

Sekian.

About Ahmad Syafiq

Gemar menulis dalam bidang motivasi dan keremajaan. Mula berkarya melalui penulisan blog seawal tahun 2007. Graduan Ijazah Sarjana Muda Syariah ( Fiqh dan Usul al-Fiqh ) dari Universiti Yarmouk, Jordan.

Comments are closed.

Scroll To Top