Sifir Bahagia Tak Semudah Satu, Dua, Tiga

” Untuk kami berkahwin ini bukan mudah, sudah perit rasanya dengan pelbagai dugaan. Akhirnya kami berjaya bernikah. Kami sangkakan inilah bahagia yang berjaya kami temui. Tetapi rupanya, dugaan masih datang bertalu-talu. Bahkan ada ketikanya, kami rasakan lebih hebat dan berat. Kenapa kami masih belum bertemu bahagia..?! “

____________________________

Itulah antara luahan yang saya baca beberapa hari lepas.

Lalu saya terfikir, ramainya yang tersalah sangka tentang sifir bahagia. Mereka fikir bahagia itu boleh tercapai semudah satu, dua dan tiga.

Satu, berjaya temui kekasih hati.

Dua, berjaya berkahwin dengan kekasih hati.

Tiga, hidup bahagia dengan kekasih hati.

 

Ternyata sifir itu silap.

Bahkan silap pada asal meletakkan sifir itu lagi.

Ada orang mentakrifkan bahagia bila mereka dapat segala apa yang mereka hendak. Sifir bahagia semudah satu dua tiga ini kadangkala dipelajari dari drama, filem ataupun novel.

Segalanya happy ending.

Kalau susah dan diuji pun, tidak lama. Akhirnya akan beroleh juga apa yang mereka mahu.

 

Tetapi ada orang sifirnya berbeza.

Dia meletakkan asas kepada sebuah kebahagiaan adalah apabila kehidupannya berjalan mengikut apa yang Allah hendak, biarpun bercanggah dengan apa yang dia hendak.

Biarpun tangisnya lebih banyak dari tertawa.

Biarpun lelahnya menongkah ujian lebih banyak dari bersenang lenang dan waktu rehatnya.

Dia hidup di atas sifir bahagia yang begitu berbeza.

Sifir bahagianya adalah apabila kita bisa melalui lorong takdir dengan sebuah kesabaran yang luar biasa!

 

Orang begini mungkin zahirnya dilihat tidak bahagia.

Tetapi hakikatnya, dia lebih bahagia dari kita!

Hidupnya lebih mengagumkan dari kita yang mengira-ngira berapa banyak sudah ujian yang kita terima dan bilakah ujian ini akan berakhir buat kita.

Sedang dia hidup tanpa berkira-kira dengan caturan Tuhannya. Biarpun satu dia belum bahagia, dua juga belum, bahkan tiga dan seterusnya. Dia tidak mengeluh dan bertanya bila dia akan temui bahagia, sebaliknya dia sering beritahu dirinya bahawa dia telahpun bahagia!

 

Ajaib bukan?

Sebahagian kita mungkin menganggap ia mustahil, kerana manusia punya hati dan perasaan. Kesabaran juga ada batasannya.

Namun percayalah, manusia dengan sifir bahagia sedemikian memang wujud.

Ada yang sanggup bertahan biar tidak bertemu apa yang dia mahu sepanjang usia perkahwinannya.

Ada yang sanggup bersabar menjadi seorang isteri, melalui kembara usia bersama seorang suami yang masih belum dimengerti, semata-mata yakinnya akan apa yang telah Allah aturkan untuknya sebagai jodoh terbaik.

 

Boleh jadi, kita hidup dengan tilikan yang berbeza-beza, sekaligus menjadikan kekuatan kita juga berbeza-beza.

Ada isteri, tidak mendapat apa yang dia mahu dari perbelanjaan perhiasan diri, sudah mula berkira-kira untuk menuntut cerai, kerana beranggapan hidupnya tidak bahagia.

Ada juga, kerana 3 tahun berturut-turut terpaksa beraya di kampung suami dan belum berjaya beraya di kampung sendiri, sudah berkira-kira untuk bungkus kain baju dan lari balik ke rumah ibu bapa sendiri.

Ada suami, baru beberapa kali menegur sikap isteri sudah mula merasa jemu dan putus asa, lalu menjadikan itu sebagai alasan untuk mencari yang kedua dan ketiga.

Kalau kita renung sejenak, generasi dahulu sebenarnya jauh lebih kuat dari kita.

Mereka mungkin tidak moden, tetapi mereka tahan uji.

Mereka mungkin tidak mewah, tetapi mereka cukup berdikari.

Sekali melangkah, mereka tidak goyah.

Selepas bernikah, apa pun yang mendatang benar-benar dihadapi dengan tabah.

 

Kuat atau lemah kita sebenarnya bergantung kepada apa yang kita percaya.

Jika kita percaya bahawa sebagai mukmin, kita akan terus diuji walaupun di mana pun tahapnya, kita tidak akan mudah berputus asa. Bahkan sifir bahagia kita juga pasti berbeza.

Tetapi jika kita percaya bahawa pelangi yang datang selepas hujan bermakna tiada hujan dan ribut untuk kali kedua dan seterusnya, nyata sekali sifir kita silap dari awalnya.

Hidup ini adalah perjalanan mencari bahagia.

Namun ia tidak semudah menghitung satu dua dan tiga.

Hidup ini adalah rencaman tawa dan air mata, berselang seli sehingga kita dijemput menemui Sang Pencipta.

 

Justeru, usahlah mudah mengeluh kerana tidak bahagia.

Beritahu kepada diri, aku sedang hidup dalam bahagia. Ia wujud di dalam jiwa, cuma aku belum mampu menghargainya.

Sedang yang aku anggap sebagai bahagia, yang aku pandang nun jauh di depan sana, itu sebenarnya hanyalah sebuah fatamorgana.

 

Sekian.

About Ahmad Syafiq

Gemar menulis dalam bidang motivasi dan keremajaan. Mula berkarya melalui penulisan blog seawal tahun 2007. Graduan Ijazah Sarjana Muda Syariah ( Fiqh dan Usul al-Fiqh ) dari Universiti Yarmouk, Jordan.

One comment

  1. ALLAHU AKBAR! jazakallah ustaz

Scroll To Top