Apa Itu Unit Baitul Muslim ( UBM )

“Selamat pengantin baru. Wah tak sangka kau dah nak kahwin. Tak pernah cerita pun, mana kenal calon untuk buat isteri tu?”

Tengah-tengah sibuk kenduri kahwin, ada juga soalan macam itu menyelit.

Lalu si pengantin yang dari pagi senyumnya sampai telinga pun bercerita.

“Alhamdulillah..sebenarnya kami tak pernah kenal sebelum ni. Kami guna UBM..”

“ UBM? Apa tu?”

Pengantin senyum sekali lagi. Ada kisah manis yang telah menjadi sejarah hidupnya. Bertemu dan menjalin cinta kerana Allah, kata orang.

Cewah.

 

Ok, kisah di atas bukan kisah tentang saya. Cuma pernah dengar dari kawan-kawan yang bercerita. Jadi untuk mereka yang tidak tahu tentang UBM, boleh baca tulisan ini.

Juga untuk mereka yang tahu sikit-sikit, mahu tahu tapi malu-malu. Tak apa, baca senyap-senyap sorang-sorang dalam bilik. Tambah ilmu kerana Allah, besar faedahnya.

 

1- Tujuan

Walaupun semua orang nak kahwin, tapi tak semua orang mudah untuk dapat calon. Jadi kewujudan unit seperti UBM ini selain tujuannya menggalakkan berkahwin dan membina rumahtangga atas asas matlamat yang betul, ia juga bertujuan membantu saudara saudari kita mencari pasangan hidup masing-masing.

Bagus ke orang kerja UBM ni?

UBM ini kalau diperhatikan kebanyakannya bukan kerja bergaji, walaupun ada juga yang buat secara bergaji. Nanti saya ceritakan. Tetapi nak kata bagus atau tidak, cukuplah kita perhatikan dua hadith Rasulullah s.a.w di mana Baginda bersabda :

 

النكاح سنتي فمن رغب عن سنتي فليس مني

Nikah itu daripada sunnahku maka barangsiapa yang membenci sunnahku bukan dari kalangan aku.

Sebuah lagi hadith Rasulullah s.a.w bersabda :

من دال على خير فله أجر فاعله لا ينقص من أجورهم شيئا

Barangsiapa yang menunjuk ke arah kebaikan maka dia beroleh pahala seperti orang yang mengerjakannya, tanpa mengurangkan pahala orang itu.

Berkahwin itu sunnah yang mulia, jadi sudah tentu kalau bantu orang untuk capai kepada perkara mulia tersebut juga dikira sebagai kerja mulia. Itulah yang tergambar dari hadith kedua di atas.

 

Kesimpulannya, orang yang buat kerja UBM ini jika betul ikhlas niatnya kerana Allah – bukan kerana faedah duniawi – maka besarlah ganjaran pahala yang Allah bagi, bahkan disebut dalam hadith yang lain Allah akan memudahkan urusan orang yang memudahkan urusan saudaranya yang lain.

 

 

2- KEPENTINGAN

Unit Baitul Muslim atau UBM ini biasanya sangat popular di kalangan mereka yang terlibat dengan gerakan Islam, baik di dalam negara atau luar negara. Bahkan perkara ini bukan suatu yang rahsia, sehingga ada borang-borang UBM ( beserta taklimat mengenai cara isi dan akujanji ) turut wujud dalam carian internet dengan mudah.

Mungkin ada tertanya-tanya kenapa UBM ini wujud dalam gerakan Islam atau organisasi dakwah, umpamanya.

Selain tujuan menyedarkan matlamat baitul muslim yang sebenar serta mencari pasangan hidup yang baik, kebanyakan gerakan Islam menitikberatkan soal kesinambungan tenaga ahli mereka sebelum dan selepas berkahwin.

Dari situlah timbulnya saranan berkahwin sesama ahli gerakan sendiri dan sebagainya. Itu mungkin saya akan panjangkan dalam tajuk yang lain.

Cuma yang utamanya, masing-masing gerakan Islam tidak mahu kehilangan tenaga ahli mereka. Bayangkan muslimat A aktif dengan gerakan A tetapi kerana tiada usaha mencari pasangan yang sesuai, A berkahwin dengan muslimin B – yang walau baik agama dan peribadinya – namun tidak mempunyai kefahaman untuk membenarkan A terus aktif dengan gerakan A.

Selain situasi di atas, berlaku juga muslimat A aktif dengan gerakan A namun kerana beberapa kekurangan tiada muslimin yang aktif dengan A mahu memperisterikannya. Muslimin dalam gerakan A lebih gemar mencari muslimat yang lain yang lebih menepati citarasa, pilihannya dan sebagainya.

Ok, saya tidak panjangkan dulu tentang itu. Tapi sebagai gambaran kepentingannya, UBM diwujudkan dalam gerakan-gerakan Islam dan dakwah dan diaktifkan demi mencapai maslahat-maslahat seperti di atas.

 

3- AGEN CARI JODOH

UBM ini pada suatu sudut tidak jauh bezanya dengan agen cari jodoh yang ramai di luar sana. Yang mana agen-agen sukarela ini kebanyakannya tidak mengambil berat pun soal fikrah perjuangan, soal keaktifan dengan gerakan Islam dan sebagainya.

Persamaan yang ketara adalah pada sudut tolong cari calon yang sesuai.

Perbezaan yang paling ketara pula adalah pada sudut prosedur, bimbingan, disiplin perhubungan, kepekaan pada garis panduan syariah dan sebagainya.

Ada agen yang bagus. Menubuhkan web atau komuniti cari calon. Bahkan telah banyak pun membantu orang mendapatkan pasangan hidup, Alhamdulillah.

Ada juga agen yang tidak bagus. Sekali pandang, tidak ubah seperti agen bantu orang couple dan pergaulan bebas. Tidak benar-benar tapis dan disiplinkan. Hasilnya, pintu maksiat lebih banyak terbuka dari pintu kebaikan.

 

4- PROSEDUR

Biasanya UBM menggunakan strategi tersendiri. Kalau yang berbentuk khusus untuk ahli, mungkin lain caranya. Saya pernah mendengar pengalaman seorang ustaz yang ditentukan calonnya oleh gerakan Islam yang disertai. Tetapi tidaklah sampai ke tahap memaksa. Agak tidak cantik kalau berkahwin kerana terpaksa. Kesimpulannya, strategi UBM mungkin pelbagai.

Selain mempromosi kelebihan menggunakan UBM, pengurusannya juga akan menyediakan borang. Bab promosi ini ada persamaan dengan agen-agen cari jodoh juga. Mempromosi benda yang baik adalah sebahagian dari dakwah, apa lagi promosi melaksanakan sunnah.

Kalau cerita pasal UBM, benda pertama yang orang sebut bukan calon tapi borang. Hairan juga.

Ok. Ini cerita tentang borang.

Borang UBM ini biasanya diminta isi untuk beberapa tujuan.

Selain memberitahu status dan maklumat diri sendiri, ia juga sebagai panduan untuk orang tolong carikan, atau sekiranya anda ‘dicari’. Jangan seram pula untuk isi sebab dengar perkataan dicari tu. Bukan dicari untuk sumbat anda dalam penjara. Dicari untuk cadangkan calon, cadangkan pernikahan, kan benda baik tu.

Dalam borang selain maklumat khusus tentang diri, biasanya ada segmen soalan-soalan untuk menzahirkan siapa diri kita. Soalan ini biasanya untuk mengesan kecenderungan kita, samada dari sudut pandang kehidupan, ciri-ciri calon yang kita nak, perancangan masa depan, gambaran tentang corak pemikiran, pandangan tentang perancangan kewangan dan sebagainya.

Format borang pada saya bukanlah perkara utama. Jadi tidak kiralah bagaimana bentuknya, apa yang ingin saya kongsi – sekadar yang saya tahu – maqasidnya adalah seperti di atas.

Selain borang, prosedur lainnya adalah mengenalkan anda dengan beberapa calon yang difikirkan sesuai dengan carian anda. Sekiranya anda dan dia positif, maka akan diberi tempoh berfikir, berbincang dan tidak lupa untuk istikharah. Selepas suatu tempoh dan jawapan masih positif, maka anda dan dia boleh menyampaikan kepada keluarga masing-masing samada untuk bertunang atau melangsungkan pernikahan.

Begitulah kebiasaannya yang saya tahu.

 

5- RANGKAIAN CARIAN

Bila anda mengisi borang UBM – tidak kiralah di bawah apa sekalipun – maka anda secara automatik akan termasuk dalam indeks carian. Menarik bukan?

Bukanlah maksudnya indeks carian google. Indeks carian sulit dengan rangkaian carian tersembunyi. Jangan risau, ia tidak sampai ke tangan FBI dan CIA pun.

Sebab itulah pentingnya mengisi maklumat dan memberi maklumat melalui perantaraan ( contohnya UBM ) yang benar-benar dipercayai.

Saya nak sebut suatu perkara.

Alangkah baik sekiranya muslimat yang risau memikirkan jodoh mereka menggunakan UBM atau agen cari jodoh sebagai antara usaha paling maksima. Kadang-kadang anda bimbang untuk berikan maklumat diri anda, berikan gambar dan sebagainya, sedangkan anda sendiri keliru menimbang mana satu yang lebih patut anda bimbangkan.

Anda bimbang beri maklumat untuk cari calon tetapi dalam masa yang sama anda juga bimbang menunggu calon!

Tulis status facebook siang dan malam mengeluh tentang diri sendiri yang menunggu ‘bakal imam’ tidak bermakna tanpa usaha tahap maksima. Bukankah Allah menyuruh kita berusaha. Lalu kita susuli dengan azam dan tawakkal yang tinggi kepada-Nya?

Kadang-kadang ada yang fikir terlalu complicated. Lalu dia fikir, tak apalah, ini masalah diri sendiri tak perlu minta tolong orang.

Konsepnya mudah sahaja.

Orang tahu anda sedang mencari calon dan orang tahu ciri-ciri calon yang anda mahukan ( seperti anda tulis dalam borang ) jadi orang tolong carikan. Tahukah anda, ramai orang bertemu pasangan hidup mereka dengan menggunakan rangkaian orang sebagai asbab ( semua ketentuan Allah akhirnya ) sedangkan mereka tinggal berjauhan, belajar tempat berbeza dan tidak pernah kenal satu sama lain.

Pokok pangkalnya, usaha.

Dan menggunakan unit seperti UBM adalah salah satu usaha yang mulia.

Dijawab pula : “ Malulah!”

Tanya balik kat dia : “ Kahwin mahu..?”

Setel.

 

PRO & CONTRA

Tulisan ini sebenarnya bukan nak promote mana-mana UBM ( yang tidak terkira wujudnya hari ini ). Tapi lebih bertujuan memberi maklumat tentang unit seumpama UBM atau agen cari jodoh.

Ada orang mahu tahu tapi tidak tahu dari mana hendak bertanya. Boleh manfaatkan artikel ini.

Akhirnya saya sebutkan sedikit pro dan contra.

 

CONTRA

1. Guna UBM mungkin lambat, mungkin cepat. Bergantung. Kalau anda muslimat, dah minta emak kakak tolong cari tapi belum jumpa, boleh lebih serius gunakan UBM atau perantaraan lain yang lebih luas rangkaiannya. Tapi jangan desak nak cepat, jangan stress fikir bila dan bila. Orang beriman itu tenang-tenang sahaja dengan usaha mereka.

Kata ulamak, tawakal itu adalah bila jasadmu penat berusaha tetapi hatimu tenang sentiasa.

2. Susah jumpa UBM yang baik. Kalau anda adalah ahli mana-mana persatuan, gerakan atau organisasi yang wujud UBM di dalamnya, anda bertuah – itu pun jika anda mahu manfaatkannya. Tetapi bagi orang biasa-biasa yang tidak tahu tentang itu, pilihannya lebih kepada menggunakan agen atau laman cari jodoh. Saya tidak cadangkan mana-mana kerana saya sendiri tidak tahu dan tidak pernah menggunakannya.

Ada orang terjumpa agen yang tidak baik, ada orang jumpa agen yang baik. Begitulah. Selidik dulu betul-betul sebelum guna.

3. Kalau muslimin, UBM mungkin pilihan akhir buat kebanyakan mereka. Sebab yang selalu saya jumpa, muslimin lebih cerewet kerana “ mata hakim pertama”. Faham kan?

4. Muslimat yang guna UBM dianggap terdesak dan tidak laku. Digambarkan sebagai saki baki yang tinggal selepas yang cantik-cantik dikebas orang. Sehingga disebut, kalau cantik dah lama orang ambil, tak perlu guna UBM.

Ini persepsi orang sahaja. Realitinya ramai yang cantik, cerdik lagi terdidik menggunakan UBM sebagai asbab bertemu pasangan hidup mereka. Antara mereka ada yang kurang masa untuk cari sendiri, guna UBM sebab nak lebih berhati-hati , terjaga dan sebagainya.

5. Untuk pengendali atau pengurus UBM pula, terpaksa bersabar dengan kerenah orang. Ini juga contra, tapi tak apa, contra berpahala. Yang penting ikhlas.

Nak kena luangkan masa dengar luahan budak muda yang sedang tenat fikir pasal cinta, belum masuk yang over cerewet ; saya nak yang cerdik dan nampak cerdik, pakai spek sebab nampak intelek gitu, muka putih, cerah tak ada jerawat, macam cina tapi tak luntur nilai melayunya, sopan santun, bijak dan pointer tinggi, nampak solehah tapi tak nampak macam ustazah sangat, dan hafal 30 juzuk Al-Quran!

Sabar sajalah.

 

PRO

1- Salah satu usaha cari calon yang tidak bertentangan dengan syarak. Kalau buat ikhlas, insyaAllah berkat dan dimudahkan urusan untuk bernikah.

2- Terjaga dari didatangi lelaki yang entah dari mana atau yang tertarik sebab rupa kita sahaja. Ini untuk muslimatlah. Sebelum kena ayat-ayat cinta dengan lelaki yang main terjah saja, baik guna unit yang ada prosedur, lebih hati-hati dan terjaga.

3- Kerahsiaan terjaga. Orang nampak anda kaki study, tak banyak sembang pasal cinta, pasal nikah muda dan sebagainya, tapi anda sebenarnya sudah jumpa calon cumanya nun jauh di sana. Jadi bolehlah anda focus priority masa itu iaitu study setenangnya!

4- Kalau kena UBM yang baik, pengurusnya soleh solehah, boleh jadi ala-ala murabbi kat anda. Boleh bagi nasihat, motivasi, ilmu-ilmu pra perkahwinan, bimbing anda sepanjang anda kenal dengan bakal pasangan dan sebagainya. Itu kira bonuslah tu, bukan senang nak jumpa.

5- Bagi muslimin muslimat yang mencari teman hidup sefikrah, sejemaah, seorganisasi, sepersatuan dan se se yang lain, UBM antara rangkaian carian yang terbaik masa kini.

 

Oklah. Saya sudah kelihatan seperti promoter UBM tidak bertauliah. Sesungguhnya saya tidak ada kena mengena dengan mana-mana UBM, bukan juga merupakan agen cari jodoh, bukan juga pengedar borang UBM dan yang sewaktu dengannya.

Saya cuma seorang penulis yang bercita-cita menjadi penyebar motivasi untuk mereka-mereka yang memerlukannya.

Kalau ada soalan dan pandangan, boleh kongsikan dengan saya di ruangan komen.

Semoga bermanfaat!

 

Sekian.

 

 

About Ahmad Syafiq

Gemar menulis dalam bidang motivasi dan keremajaan. Mula berkarya melalui penulisan blog seawal tahun 2007. Graduan Ijazah Sarjana Muda Syariah ( Fiqh dan Usul al-Fiqh ) dari Universiti Yarmouk, Jordan.

9 comments

  1. Assalamualaikum..adakah UBM ini menerima & membantu mrk yg sudah mpunyai pilihan hati dlm diam tp tdk meluahkn pd pilihan hati?memandangkn krg manis & krg baik ssorg itu meluahkn perasaannya..

    • wslm. ya, tetapi lebih kepada bantu menyampaikan sebagai orang tengah. perlu pilih ‘ubm’ yang signifikan jika berhasrat sedemikian.

  2. assalamualaikum..ana nk tnye, mcmne kalu muslimat sndr ade berkenan dgn sorg muslimin, yg dia x tahu status muslimin tersebut, mcmne dia nk ‘approach’ muslimin tersebut?

    • Wslm wbt

      Kebiasaannya status muslimin itu akan dirujuk / dirisik melalui orang yang dekat dengannya, contohnya kawan baik dia, guru yang rapat dengan dia ( kalau dalam konteks kampus ) dan adik beradik kepada muslimin tersebut, sekiranya dikenali. Selepas dirisik dan dikenalpasti statusnya available, barulah boleh diambil tindakan selanjutnya. ada yang akan mulakan ‘lamaran’, ada yang akan minta dicadangkan melalui orang tengah, dan sebagainya.

  3. Salam. Bagaimana jika seorg wanita ‘ter’ lamar lelaki yg dihajati, dgn menyatakan hasrat hati melalui msg.

    Namun, sudah seminggu lelaki tersebut masih tidak membalas apa2 samaada iya atau sebaliknya.

    Apakah yg harus dilakukan oleh si wanita? Apakah tiada balasan dari lelaki tersebut bermaksud lamaran wanita itu ditolak?

    Apakah wanita tersebut perlu bertanya sekali lg?

    • Wslm wbt.

      Sebaiknya dicari kepastian dengan bertanya melalui orang terdekat dengan lelaki tersebut. Boleh jadi lelaki itu menolak lamaran dan boleh jadi dia tidak suka cara saudari membuat lamaran.

  4. slm. bgmn sy nak mendaftar dgn ubm ni? adakah ubm boleh bantu sy mencari calon suami atau bgmn?

  5. assalam.nak tnya pandangan ustaz.

    situasi di mana seorang lelaki melamar wanita.dia menyatakan bahawa dia tidak merancang utk mengahwini wanita itu dalam masa terdekat ( mungkin 2 3 tahun lagi)walaupun mereka sudah berkawan lebih dari 5 tahun (tetapi tak pernah couple)..lelaki itu meletakkan syarat sekiranya wanita itu menerima lamaran tersebut, wanita itu perlu sanggup dan sabar menunggunya dalam tempoh tersebut serta tidak memaksa dia..

    adakah syarat itu menunjukkan lelaki itu sebenarnya tidak bersungguh2 berhasrat utk mengahwini wanita itu?atau itu cara halus dia utk membuatkan wanita itu menolak lamarannya?dan perlukah wanita itu menunggu atau berbincang dgn baik supaya lelaki itu mempercepatkan perkahwinan mereka?

  6. mohamad izzat

    saya ingin masuk madrasah lepas SPM tahun depan..jika keputusan periksa saya kurang baik adakah saya layak masuk ke madrasah? tolong berikan nama madrasah yang terbaik di perak boleh tak?

Scroll To Top