Manis Manis Pahit

credit pic : marriage by michalivan on deviantart

Alam rumahtangga selalu disebut sebagai penamat kepada zaman bujang, namun hakikat yang lebih penting untuk disebut adalah ; alam rumahtangga merupakan suatu permulaan.

Permulaan kepada suatu kehidupan yang sebenar. Permulaan kematangan, permulaan kedewasaan dan lain-lain. Justeru menyebut ia sebagai suatu permulaan sudah tentulah lebih sulit berbanding menyebutnya sebagai suatu penamat. Akad nikah adalah permulaan. Kenduri kahwin dan bergembira diraikan sebagai raja sehari, semuanya itu satu permulaan.

Kalau kehidupan bujang ada sisi manis dan pahitnya, maka alam rumahtangga sudah tentu lebih-lebih lagi. Silapnya apabila ada yang membayangkan alam rumahtangga itu sebagai manis-manis belaka. Ini simptom tidak matang namanya.

Lalu kerapkali kedengaran pengantin baru mengeluh tentang sisi ‘pahit’ sedangkan baru semalam seronok bercerita sisi ‘manis’nya.

 

MANIS

Si suami terkocoh-kocoh mendapatkan isterinya.

” Yang..ni ada mesej Midah..” Disua handphone isterinya bagai ada mesej penting yang perlu dibaca.

” Ye? mesej apa ek..” Sambil dicapai handphone dan dibaca mesej. Seketika dahinya berkerut. Semuanya mesej lama dari Midah yang sudah dibalas.

” Eh? Mana ada mesej baru bang? ”

” Memanglah..abang kata ada mesej Midah..bukan mesej baru ” Si suami tersengih dengan muka tak bersalah.

” Jahat! ” Si isteri ingin mencubit.

Lalu berlakulah adegan kejar mengejar di petang yang damai itu.

 

PAHIT

” Camne Man, sejak kahwin ni sibuk je aku tengok..” Usik Azmi memulakan perbualan. Mereka sedang duduk-duduk di masjid selepas solat.

” Itulah. Dah ada bini ni lain pula Mi. Asyik balas mesej dia jelah kerja aku. Boleh katakan 5 minit sekali dia mesej kalau aku keluar rumah. Padahal aku datang masjid je pun..” Azman tiba-tiba bercerita. Azmi terdiam, tak sangka pula ada cerita. Dia mulanya sekadar mahu berbasa basi sahaja.

” Oh yeke. Biasalah, kau kan dah kawin..”

” Memanglah. Tapi penat kot asyik mesej je. Tengok ni, baru je cakap. Dah mesej. Kena baliklah ni jawabnya. Nak lepak sekejap pun susah..”

Azmi terdiam. Azman bingkas selepas bersalam dan berlalu.

 

MANIS ITU MANIS, YANG PAHIT PUN HAKIKATNYA MANIS!

Mana ada perkara atas dunia ini, semuanya manis. Perkahwinan juga begitu. Manisnya ada, tapi tak sentiasa manis. Cantiknya ada, tapi tak sentiasa cantik. Machonya ada, tapi tak sentiasa macho.

Tapi sisi satu lagi itu bukan dicipta untuk menghilangkan keseronokan dan kebahagiaan, bahkan sisi itulah sebenarnya PELENGKAP kepada sebuah kehidupan. Tanpa sisi satu lagi itu, kehidupan akan menjadi hambar.

Sisi itu sebenarnya bukan sisi ‘pahit’. Ia dianggap pahit kerana proses kematangan sedang berlaku. Proses pembelajaran baru bermula. Ada yang seolah terkena kejutan budaya. Dari lenggang kangkung selaku anak dara, bertukar menjadi suri rumah paling bergaya. Memanglah banyak yang tidak sama dengan kehidupan sebelumnya.

Tapi apa pun ia, ia perlu dihadapi dengan hati terbuka. Positif!

Pahit yang anda anggap pahit itulah sebenarnya kemanisan dalam rumahtangga anda. Azman mungkin mengeluh kerana sikap isterinya yang terlebih prihatin, terlebih rajin menghantar mesej 5 minit sekali. Tetapi Azman beruntung kerana boleh jadi isteri-isteri yang lain tidak seprihatin isterinya. Dia mendapat isteri yang cukup istimewa dan disediakan khas untuk dirinya. Boleh jadi, kalau sehari selepas dia merungut di hadapan Azmi, isterinya tidak lagi menghantar mesej 5 minit sekali, dia pula yang akan merasa sesuatu telah hilang dari hidupnya.

Mungkin, Azman akan melalui beberapa proses konfrontasi dengan isterinya. Biasalah, baru 3 purnama bernikah. Isterinya merasakan ia suatu yang ‘sweet’ dan Azman tidak patut menegur hal seperti itu, Azman pula berdepan cabaran untuk memahamkan isterinya bahawa bukan keprihatinan itu yang dia mahu tegur, tapi cara menzahirkan keprihatinan isterinya yang perlu diubah. Setidak-tidaknya dikurangkan kepada 10 minit sekali… contohnya :)

Tapi apa sekalipun, ia tetap suatu yang manis.

Semakin meningkat tahun dalam perkahwinan mereka, apabila cabaran tadi sudah berjaya diatasi, maka masing-masing akan merasakan bahawa alangkah manisnya apa yang telah mereka sama-sama tempuhi, walaupun ketika ‘mentah’ mereka merasakan ia suatu yang pahit.

 

TABIAT BERCERITA

Realiti perkahwinan telah saya tuliskan di atas. Ia suatu yang normal. Jika anda pengantin baru dan berdepan hal di atas, percayalah bahawa anda bukan orang pertama dan bukan orang terakhir yang melaluinya.

Tetapi kadangkala, apa yang menjadi masalah adalah apabila gemar bercerita, ataupun bercerita bukan pada tempatnya.

Contoh :

Midah yang berkahwin muda dengan Mamat mengeluh, kerana sewaktu bujang dia cuma membasuh baju seminggu sekali, ataupun dua minggu sekali kalau malas. Tapi apabila ‘tiba-tiba’ berkahwin dengan Mamat, dia terpaksa membasuh baju sehari atau dua hari sekali! ( Saya gunakan ‘tiba-tiba’ kerana Midah sepertinya berkahwin tanpa persediaan mental dan fizikal, seperti ‘eh, aku dah kahwin ke?’ )

” Aku stress lah Wati. Nak dengar ceramah kat Youtube pun tak sempat. Dulu sebelum kahwin, kalau malas baca buku aku dengar ceramah Youtube je malam sampai pagi. Tapi sekarang, asyik-asyik kena basuh baju suami. Badan pun lenguh-lenguh..”

” La..tak kan sampai macam tu bila kahwin? ”

” Ya lah Wati..Suami aku tu tukar baju tiap-tiap hari. Pulak tu, dia kuat berpeluh. Baju tak banyak. Jadi setiap hari kerja aku basuh baju sajalah..”

Wati geleng kepala. Teruk benar bunyinya tu. Lalu Wati membuat kesimpulan ; dia ingin meletakkan syarat kepada bakal suaminya nanti, jangan suruh dia basuh baju.

Itu baru kesimpulan Wati. Wati akan segera menyampaikan cerita kepada kawan-kawannya yang lain pula. Lalu tidak lama kemudian keluarlah banyak lagi kesimpulan lain :

Jangan kahwin dengan lelaki kuat berpeluh, nanti badan kau lenguh kena selalu basuh baju.

Suami tidak boleh suruh isteri basuh baju, basuhlah sendiri.

Suami yang kuat berpeluh kena beli banyak baju, supaya isteri boleh mantain basuh baju seminggu sekali.

Perlu disepakati lebih awal bahawa mesin basuh hanya boleh ‘on’ seminggu sekali, demi mengelakkan ditimpa tragedi basuh baju sehari sekali.

Dan macam-macam lagilah kesimpulan lain.

Sudah tentu, yang memberi kesimpulan adalah dari kalangan yang belum masuk ke alam rumahtangga. Justeru, sisi ‘pahit’ itu boleh menjadi igauan ngeri pada mereka.

Semoga tidak ada yang sampai tahap enggan berkahwin kerana fobia dengan cerita mesin basuh.

 

SOALNYA, KENAPA BERCERITA?

Bercerita atau meluah, memang fitrah manusia. Tetapi kena ingat, bukan semua benda perlu dicerita. Lebih-lebih lagi melibatkan alam rumahtangga. Midah mungkin sekadar mahu meluah bahawa dia penat sejak berkahwin, tak sama macam waktu dia anak dara. Tapi orang yang mendengar boleh jadi tersalah anggap. Lalu Midah boleh saja dilihat seolah-olah bercerita keaiban suaminya. Selain suaminya kuat berpeluh ( suatu yang langsung tak perlu isteri cerita pada kawan-kawan! ), suaminya juga dilihat sebagai pemalas atau tidak bertanggungjawab.

Apabila fenomena begini berulang-ulang kedengaran di kalangan pengantin baru ( belum masuk yang suka tulis kat facebook ), saya terpanggil untuk berpesan. Selain supaya anda mengubah sudut pandang bahawa yang ‘pahit’ itu sebenarnya manis, anda juga harus berhati-hati apabila bercerita.

Silap bercerita, aib anda bakal DIJAJA!

Anda mungkin beranggapan orang yang mendengar cerita anda itu akan MENJAGA, tetapi jangan terkejut jika bila anda sudah ‘establish’ nanti barulah anda perasan bahawa kawan anda itu sebenarnya sudah lama MENJAJA cerita anda. Rupanya, satu komuniti dah tahu.

Jika mahu bercerita, pastikan ia memang satu masalah yang benar-benar MASALAH!

Contohnya, suami anda yang kelihatan lemah lembut itu sebenarnya kaki pukul. Sampai tak ada lagi bahagian di tubuh anda yang elok, semuanya penuh dengan kesan lebam. Ya, anda memang perlu bercerita. Itupun, mesti pada tempatnya yang betul, supaya anda tidak terus dizalimi.

Adapun isu banyak kena basuh baju, isteri suka mesej, suami suka pakai t-shirt kaler pink, isteri suka letak pasu bunga atas televisyen, tak payahlah cerita kepada orang, sekalipun niat anda sekadar mahu bercerita. Apa yang paling penting perlu anda jaga apabila bernikah adalah MARUAH SUAMI, dan juga rumahtangga.

Ini perkara yang selalu orang kahwin muda terlepas pandang.

Saya beristighfar panjang apabila dulu-dulu, pernah terdengar seorang mengadu yang si pengatin baru gemar bercerita sampai hal-hal sulit. Saya tertanya-tanya, terlebih excited kah mereka?

Pernah juga terdengar seorang isteri mengadu kepada kawan-kawan tentang cara suaminya yang sedikit tegas menjaganya, apabila sampai ke telinga saya, saya katakan : Biarkan mereka, itu rumahtangga mereka dan itu cara mereka. Untuk apa kita bercerita?

Hari ini, pasangan yang diceritakan itu telah pun stabil dengan cara mereka. Dan mereka bahagia. Adakah kita mahu mengiringi kebahagiaan mereka dengan umpatan dan dosa-dosa?

 

KESIMPULAN

Apabila anda berkahwin, ia rumahtangga anda. Itulah suami anda, itulah isteri anda. Itulah rumah anda. Itulah cara anda. Ia tidak akan sama dengan orang lain, dan anda juga tidak perlu samakan dengan orang lain. Anda bebas mencorak hidup anda mengikut landasan syarak dan kekreatifan anda sendiri.

Saya tidak membincangkan soal suami kena tolong isteri, atau adakah wajib isteri khidmat pada suami, atau perlunya suami isteri tolong menolong meringankan beban masing-masing. Tidak. Itu mungkin di artikel lain. Saya membincangkan suatu sikap dan kesilapan yang sangat perlu untuk ditegur dan diperbaiki.

Pada pengantin baru, jagalah rumahtangga anda, samada dari syaitan yang ingin meruntuhkan masjid yang kalian bina, ataupun dari syaitan yang bertopengkan manusia.

Pada para isteri, jagalah maruah suami anda. Jangan kerana gemar bercerita, anda menanggung aib bila semakin dewasa.

Pada suami, didiklah isteri dan bertoleransilah dengan mereka, khususnya di awal membina rumahtangga. Isteri yang tidak diberikan ‘telinga’ akan melantik facebook dan kawan-kawan mereka sebagai ‘telinga’.

Pada kawan-kawan yang mendengar, khususnya dalam komuniti pelajar dan ada yang berkahwin muda, anggaplah apa yang anda dengar sebagai iktibar dan fokuslah kepada iktibar tersebut. Tolong, jangan sesekali menyebut nama mereka , kerana selaju-laju internet, laju lagi cerita dari mulut ke mulut manusia.

Dan saya, cuma berpesan sahaja. Semoga ada kebaikan yang boleh kita ambil bersama. Yang buruk-buruk itu, moga Allah ampunkan saya.

Oh ya, Selamat Pengantin Baru kepada semua yang baru berkahwin.

Barakallahu Lakuma Wa Baraka ‘Alaikuma Wa Jama’a Bainakuma Fi Khair

 

Sekian.

 

 

About Ahmad Syafiq

Gemar menulis dalam bidang motivasi dan keremajaan. Mula berkarya melalui penulisan blog seawal tahun 2007. Graduan Ijazah Sarjana Muda Syariah ( Fiqh dan Usul al-Fiqh ) dari Universiti Yarmouk, Jordan.

One comment

  1. Yup. Lumrah wanita suka berkongsi. Namun, kadang-kadang kita kurang sedar apa yang diceritakan itu patut atau tidak. Kadang-kadang ia seakan-akan membuka aib pasangan. Kasihan sesiapa yang tidak betul2 mengenali pasangan kita, tetapi terus dilabel yang bukan-bukan kesan daripada penceritaan kita tadi. Semoga Allah memelihara lidah kita daripada sikap “keterbukaan” yang mungkin melebihi had di laman sosial misalnya. Peringatan untuk diri sendiri juga. :)

Scroll To Top