Kedudukan Wanita Dari Kacamata Islam

Carolina3-300x196

Isu penindasan ke atas kaum wanita sebenarnya bukanlah suatu isu yang baru, bahkan ia adalah suatu kebejatan yang telah lama berlaku sebelum kedatangan Islam lagi. Tanggapan yang salah kepada kaum wanita serta diskriminasi yang mereka terima menjadikan kedudukan kaum wanita sentiasa tertindas dan menduduki tangga yang rendah dalam masyarakat.

Orang jahiliah sebelum kedatangan Islam begitu membenci anak perempuan. Allah Ta’ala merakamkan kejelekan sikap mereka ini dengan firman-Nya :

Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa ia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang ia menahan perasaan marahnya dalam hati.

Ia bersembunyi dari orang ramai kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang ia beroleh anak perempuan; sambil ia berfikir): adakah ia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina, atau ia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.

( Al-nahl : 59 – 60 )

Namun Islam datang bersama dengan rahmat dan kasih sayang yang cukup tinggi, selaras dengan kedudukannya sebagai sebuah cara hidup dan syariat yang lengkap. Islam tidak datang hanya untuk mengajar manusia soal solat dan puasa yang bersifat hubungan manusia dengan Allah, bahkan juga perihal mu’amalat, sosial, pentadbiran, politik, pendidikan dan sebagainya.

Darjat wanita kembali diletakkan pada kedudukannya yang betul. Konsep yang dibawa oleh Islam adalah al-Adl ( keadilan ) yang bersifat membuka ruang kebaikan yang besar kepada manusia serta menutup ruang kerosakan daripada mereka.

 

Prinsip-prinsip asas Islam berkenaan wanita ini disebut oleh Syeikh Mustafa al-Sibaie dengan panjang lebar dalam kitabnya al-Mar’ah bain al-Fiqh wa al-Qanun :

Pertama  : Orang wanita sama sahaja dengan lelaki pada nilai insani mereka, sebagaimana firman Allah Ta’ala :

Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.

( Al-Nisaa’ : 1 )

Kedua : Mengangkat laknat ke atas wanita sebagaimana dibuat oleh sebahagian ummat terdahulu, yang beranggapan Adam alahi as-salam dihalau keluar dari Syurga kerana Hawa seorang sahaja. Sedangkan Allah Ta’ala berfirman :

Setelah itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami berfirman: “Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)”.

( al-Baqarah : 36 )

Dan Allah berfirman pula tentang taubat kedua daripada mereka :

Mereka berdua merayu: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi”.

( Al-a’raf : 23 )

Kemudian dalam ayat yang lain pula Allah menyebut tentang kemaafan Allah untuk sekalian wanita atas kesilapan ibu mereka Hawa – dan turut termasuk juga lelaki – dengan firman-Nya :

Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang mereka telah usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang telah mereka lakukan.

( Al-baqarah : 134 )

Ketiga : Kaum wanita juga berhak untuk beragama Islam dan melakukan ibadah ( sebagaimana lelaki ) dan berhak pula memasuki Syurga sekiranya mereka berbuat baik. Ini termaktub dalam firman Allah Ta’ala :

Barangsiapa yang berbuat amal soleh daripada lelaki dan perempuan, maka kami akan memberikan kepadanya kehidupan yang baik, serta kami akan ganjari mereka dengan ganjaran terbaik atas amalan yang telah mereka lakukan.

( Al-Nahl : 97 )

Lihat pulalah bagaimana pengiktirafan ini dinukilkan oleh Allah Ta’ala dalam ayat berikut :

Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.

( Al-ahzab : 35 )

Keempat : Orang wanita diberi kemuliaan yang jelas pada kedudukan mereka sebagai :

Anak perempuan : Dalam sebuah hadith Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda :

Sesiapa yang diberi oleh Allah akan anak perempuan maka dia memberi didikan kepadanya sebaik-baik didikan, serta memberikan baginya ilmu pengetahuan dengan sebaik-baik ilmu pengetahuan, kemudian dia memberinya kebebasan serta menikahkannya, maka dia beroleh dua pahala.

Isteri : Firman Allah Ta’ala :

Daripada tanda kekuasaanNya Dia menjadikan bagi kamu daripada diri kamu sendiri isteri-isteri agar kamu beroleh ketenangan dengan mereka, serta menjadikan di antara kamu itu kasih sayang dan kasihan belas.

Ibu : Datang seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam tentang siapakah yang lebih berhak untuk didampinginya, maka Rasulullah menjawab : Ibumu. Kemudian dia bertanya lagi, dan Rasulullah menjawab : Ibumu. Dia bertanya kali ketiga, Rasulullah masih menjawab : Ibumu. Kali keempat barulah Rasulullah menjawab : Ayahmu.

Kelima : Diberikan kepada mereka hak memiliki harta pusaka, samada mereka ibu atau isteri mahupun anak perempuan. Muda, tua mahupun masih berada dalam kandungan.

Sebelum kedatangan Islam, masyarakat arab jahiliah tidak memberikan wanita hak untuk memiliki harta pusaka, hak untuk memilih bakal suami, hak sebagai seorang isteri, demikian juga bilangan talaq tidak ada had, bilangan isteri untuk poligami juga tidak ada had dan banyak lagi bentuk penafian hak yang lain.

Keenam : Wanita diberikan hak dalam institusi rumahtangga. Islam memberikan kepada mereka hak sama sahaja seperti lelaki dalam rumahtangga, melainkan lelaki dipertanggungjawabkan sebagai ketua keluarga. Dan kelebihan sebagai ketua itu diikat dengan arahan agar berlaku adil dan bukanlah berbuat kezaliman.

Firman Allah Ta’ala :

Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

( Al-baqarah 228 )

Enam lagi prinsip yang disebut oleh Syeikh Mustafa al-Sibaie boleh dibaca dalam kitabnya al-Mar’ah baina al-Fiqh wa al-Qanun, antara lainnya menyebut Islam datang dengan meletakkan had Talaq sekadar tiga, meletakkan had poligami setakat empat beserta syarat-syaratnya dan sebagainya.

 

Seterusnya Syeikh Mustafa al-Sibaie menyimpulkan kemuliaan kedudukan wanita ini kepada tiga aspek :

1- Aspek manusiawi ( al-Insani ) : Islam meletakkan prinsip yang cukup jelas bahawa wanita dan lelaki sama sahaja darjat mereka selaku manusia, sekaligus menolak tanggapan ummat terdahulu bahawa wanita lebih hina, lebih rendah darjat dan sebagainya.

2- Aspek sosial ( al-Ijtimaie ) : Islam datang meletakkan mereka dalam kedudukan yang cukup terhormat di sisi masyarakat. Bahkan kedudukan ini makin bertambah baik seiring bertambah umur mereka, daripada seorang anak perempuan, berpindah kepada kedudukan sebagai seorang isteri seterusnya kedudukan sebagai seorang ibu.

3- Aspek hak asasi ( al-Huquq ) : Islam telah memberikan kepada mereka hak milik penuh ke atas harta mereka sendiri apabila mereka baligh. Bahkan harta itu tidak boleh diambil oleh sesiapa samada suaminya, bapanya ataupun keluarga. Mereka juga tidak perlu memberikan nafkah, sebagaimana lelaki.

 

“Pejuang hak wanita”

Seiring peredaran zaman, muncul pelbagai aliran dan kumpulan yang antaranya mengaku memperjuangkan hak wanita. Mereka – tidak kira apa sekalipun namanya – kadangkala bersikap lebih sudu dari kuah atas nama pejuangan dan pembelaan.

Keadaan ini sebenarnya tidak berlaku sekiranya setiap Muslim dan Mukmin itu sentiasa mengikat hati mereka dengan Allah serta menyuluh jalan mereka dengan ilmu ( konsep ‘ala basiroh ). Namun apabila perjuangan dialas dengan emosi dan latarbelakang berbentuk pemberontakan, maka kesucian Islam sebagai suatu cara hidup akan tercemar sedikit demi sedikit.

Apa yang kita dapati daripada himpunan firman Allah dan hadith Nabi sallallahu alaihi wasallam di atas sebenarnya sudah cukup untuk menjadikan jiwa kita aman daripada sebarang prejudis dan persepsi buruk kepada syariat Islam itu sendiri, sehingga membuka ruang-ruang kepada talbis al-Iblis.

Perjuangan wanita – selain perlu memperhalusi sekalian prinsip asas yang dinyatakan di atas – perlu berdiri benar-benar di atas paksi la ifrath wa la tafrith, iaitu tidak bersikap terlalu melampau dan tidak juga bersikap terlalu terbuka ( bermudah-mudah ).

Dr Yusuf al-Qardhawi ketika diwawancara berkenaan kedudukan wanita dalam kehidupan ( Daur al-Mar’ah fil Hayah ) menyebut :

” Orang wanita itu sebahagian daripada masyarakat, mereka itu adalah ibu kita, isteri kita, saudara perempuan kita. Lelaki dan perempuan sifatnya saling melengkapi untuk hidup dan bukannya satu lebih mulia dari yang satu lagi ataupun satu menjadi musuh kepada yang satu lagi. Al-Quran telah jelas menyebutkan tentang ini. Kalau kita kembali merujuk kepada prinsip Al-Quran, maka kita akan dapati tiada masalah. Apa yang menjadi masalah adalah apabila terdapat golongan yang terlalu terbuka dan juga golongan yang terlalu melampau. Sudah tentu yang terbaik adalah berdiri di pertengahan antara keduanya. ”

Bahkan ditekankan lagi dengan katanya :

” Bagi menyelamatkan kita daripada konflik sebegini, maka tiada cara lain kecuali kembali kepada nas syarak daripada Al-Quran dan Hadith yang sahih yang mana menyebut secara jelas tentang apa yang kita perselisihkan. Bukan mengambil hadith dhaif ataupun nas-nas yang mempunyai lebih daripada satu tafsiran, serta tidak boleh seorang mengatakan pendapat dia lebih betul dari pendapat orang lain. ”

 

Senario

Sebahagian mereka yang mengaku memperjuangkan wanita seringkali mengambil contoh kegagalan praktik Islam di sebahagian negara orang Islam seumpama Arab Saudi. Wanita di sana sehingga kini dinafikan hak mengundi bahkan tidak dibenarkan untuk memandu.

Jika diteliti, apa yang mereka serukan kepada konsep keadilan dan pembebasan kaum wanita daripada penindasan dan ‘pembulian’ sosial bukanlah suatu yang salah. Melainkan apabila mereka mula memasuki ruang keterbukaan yang tidak diikat dengan had. Lantas perjuangan mereka menjunjung falsafah-falsafah yang jauh daripada fikrah Islam yang sebenar. Ia bertambah buruk apabila hujah pembebasan dialas dengan serangan berbentuk prejudis dan prasangka yang cukup tebal. Seumpama menyebut bahawa para ulamak Fiqh terdahulu bersikap Patriarki, membuat tafsiran dan syarah kepada nas agama yang bias serta berat sebelah, lantaran ramainya dari kalangan ulamak itu adalah lelaki.

Kita boleh lihat dengan jelas, di mana kedua-dua keadaan berada dalam keadaan yang silap. Keterlampauan berpegang dengan nas agama secara literal – seumpama larangan wanita keluar rumah berdasarkan ayat وقرن في بيوتكن – membawa kepada perlecehan martabat wanita dalam masyarakat, manakala golongan yang mendakwa mahu memperjuangkan hak wanita tersebut pula bersikap drastik dengan menolak pelbagai disiplin ilmu dan asas yang diletakkan oleh para ulamak, serta menghalakan perjuangan mereka kepada satu perjuangan yang lari daripada paksi syariat Islam itu sendiri.

 

Konsep al-Adl

Sebab itu sewajarnya kita fahami dengan teliti. Perjuangan jika mahu kepada keadilan dan kebaikan sejagat, tidak dapat tidak mesti kembali kepada Islam. Baik itu adalah apa yang dinilai baik oleh Islam, manakala buruk itu adalah apa yang dinilai buruk oleh Islam.

Keadilan Islam yang bersifat Rahmatan lil Alamin adakala dipergunakan oleh segelintir orang untuk membawa ideologi yang salah. Akhirnya ia menjadi persis ungkapan masyhur oleh Saidina Ali Karramallahu wajhah :

Kalimah al-Haq Yuraadu bihi al-Bathil

( perkataan yang benar tetapi digunakan untuk tujuan yang salah ).

Konsep keadilan Islam mesti berpaksi kepada penghayatan nas daripada Al-Quran dan Hadith itu sendiri. Adil pada takrifan syarak adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Lawan kepada keadilan adalah kezaliman, yang merupakan musuh kepada Islam.

Memperjuangkan sesuatu atas nama keadilan wajib merujuk kepada dalil yang mengiktirafnya sebagai adil. Sebagai contoh, lelaki boleh jadi imam, kenapa wanita tak boleh jadi imam? Lelaki boleh lafazkan talaq kenapa wanita tak boleh lafazkan talaq?

Kebejatan ilmu dan kejahilan yang mengaburi pandangan mata mereka akhirnya membawa kepada perjuangan menghakiskan konsep-konsep yang lain dalam ajaran Islam, bahkan membuka ruang kepada tuduhan liar bahawa Islam menilai wanita sebagai lebih rendah akalnya , sebab persaksian mereka dikira sebagai separuh persaksian lelaki. Sedangkan hadith yang menyebut tentang nuqsan al-din wa nuqsan al-aql ( kurang agama dan kurang akal ) langsung tidak menjurus kepada kefahaman sedemikian.

Sebenarnya hal sebegini menjadi lebih parah bila tidak disuluh dengan disiplin ilmu yang betul. Antara yang paling besar adalah ilmu Usul al-Fiqh. Dr Abdul Lathif Farhu ( Ahli Majma’ Fiqh Islami ) menyebut : Sesiapa yang tidak belajar ilmu usul al-Fiqh maka dua pertiga ilmunya telah hilang.

Ia adalah satu mekanisme penting untuk mencari hikmah pada pensyariatan Islam. Dalam ilmu Usul al-Fiqh ada perbahasan tentang ‘Illah, di mana ‘illah ( sebab ) kepada sesuatu hukum yang disyariatkan tidak boleh dicedok pada logik akal semata-mata.

Dr Wahbah al-Zuhaili menyebut dalam kitabnya Usul al-Fiqh al-Islami bahawa ‘illah itu mempunyai laluan ( masalik ) tersendiri, disebut masalik al-‘illah. Tingkatan pertama masalik al-‘illah adalah masalik al-Nas, iaitu sebabnya dinyatakan dalam ayat Al-Quran mahupun Hadith. Kemudian barulah masalik al-Ijma’ serta masalik al-munasib.

Dalam perbincangan tentang persaksian wanita dikira separuh persaksian lelaki – maknanya perlu dua orang wanita baru sama dengan satu orang lelaki – ‘illah ataupun sebabnya dinyatakan terus dalam ayat tersebut, iaitu ; agar kalau salah seorangnya terlupa, maka seorang lagi akan mengingatkan ( أن تضل احداهما فتذكر احداهما الأخرى )

Kita juga mempelajari tentang keadaan tersebut dalam ilmu psikologi, yang mana wanita lebih kuat emosinya berbanding lelaki manakala lelaki lebih kuat kudrat fizikalnya berbanding wanita.

Justeru, kenapa suatu qadhiyyah yang seharusnya kita terjemahkan dengan penuh kemanisan taabudiyyah kita kepada Allah, kita terjemahkan dengan nada prejudis “ penindasan kepada wanita”, “penghinaan” dan sebagainya? Tidak cukupkah dengan berapa banyak lagi nas sahih yang lain yang mana menegakkan dengan tegas akan prinsip Islam memuliakan wanita?

Berkenaan wanita juga mahu menjadi imam, sama seperti lelaki. Ia disandarkan dengan iringan hujah ‘aqli kepada hadith Ummu Waraqah, di mana Rasulullah sallallahu alaihi wasallam mengizinkan kepadanya untuk menjadi imam. Solat itu berlaku di rumah, dan Nabi meminta seorang lelaki yang tua ( ada disebut hamba ) untuk melaungkan azan. Ini dijadikan dalil bahawa boleh wanita menjadi imam kepada lelaki dewasa.

Penghujahan ‘mudah’ sebeginilah yang mengingatkan kita kepada hadith Sahih riwayat al-Bukhari, di mana Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda :

Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dari manusia dengan sekali cabutan, tetapi Allah mencabut ilmu dengan mematikan para Ulamak, sehinggalah manusia dibelenggu kejahilan dan mengeluarkan fatwa-fatwa dengan pendapat mereka sendiri, lalu sesatlah mereka dan sesatlah yang mengikut mereka.

( al-Bukhari no. 7307 )

Sedangkan hadith mengenai keizinan Nabi sallallahu alaihi wasallam kepada Ummu Waraqah menjadi imam dibahas oleh para Ulamak dari pelbagai sudut. Perlu diingat, disiplin untuk mengeluarkan sesuatu hukum tidak cukup hanya dengan satu hadith atau satu dalil semata-mata.

Ia perlu melalui satu proses yang disebut sebagai Jam’ul Adillah ( menghimpunkan sekalian dalil ). Proses ini mana mungkin mampu dilakukan oleh orang yang tidak mempunyai kepakaran ilmu seperti fuqaha’ dan mujtahid. Sepakat para ulamak bahawa wanita tidak boleh menjadi imam kepada lelaki, dan jika dia menjadi imam maka solat si lelaki tidak diterima.

Sebab itu hadith Ummu Waraqah ada beberapa takwilan.

Antaranya : Rasulullah sallallahu alaihi wasallam memberi keizinan itu pada keadaan yang khusus, iaitu keadaan itu sahaja, tidak selainnya. Ini kerana ia tidak menjadi amalan oleh para Sahabat yang lebih pakar dan faqih tentang agama, hatta Saidatina Aishah radhiyallah anha menyebut bahawa jemaah wanita yang hadir solat subuh bersama Rasulullah sangat menjaga tertib akhlak serta bersegera pulang seusai solat.

Demikian juga, hadith tersebut tidak menyebut bahawa lelaki dewasa yang melaungkan azan bersolat sebagai makmum kepada Ummu Waraqah, bahkan berkemungkinan dia melaungkan azan untuk solat Ummu Waraqah kemudian pergi bersolat di masjid.

Bahkan banyak lagi dalil yang lain menguatkan larangan wanita menjadi imam kepada maklum lelaki, sebagaimana aturan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam berkenaan saf solat.

Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam : Sebaik-baik saf solat lelaki itu yang paling depan dan seburuk-buruknya adalah yang paling belakang, manakala sebaik-baik saf solat wanita adalah belakang dan seburuk-buruknya adalah yang paling depan.

 

Al-Taqnin 

Ada satu lagi perkara penting berkenaan perjuangan wanita, di mana kesilapan sering berlaku pada membezakan konsep dan aplikasi.

Sebagai Mukmin, kita wajib beriman bahawa syariat Islam itu syumul dan sempurna, tanpa sedikit pun kekurangan. Namun pada perlaksanaan, ia mungkin sahaja terdedah kepada kekurangan.

Proses al-Taqnin ( perletakan undang-undang ) contohnya dalam kehakiman syariah, ia terdedah kepada kekurangan. Namun kekurangan yang wujud tidak seharusnya dibaca sebagai kecacatan Islam, sebaliknya perlulah diperhalusi dengan pekerti yang tinggi serta bebas dari prejudis. Lainlah kalau yang menduduki majlis fatwa atau istitusi agama itu orang yang jahil, tidak pakar tentang disiplin ilmu, maka pastilah hasilnya menghilangkan kemuliaan Islam.

Namun apa yang berlaku hari ini, tetap juga tidak lari daripada khilaf pada ijtihad dalam ruang lingkup as- siyasah as-syariyyah. Persoalan urus tadbir dan pengaturan undang-undang tidak dapat lari daripada perselisihan ijtihad dan pegangan, seumpama pada meletakkan undang-undang kekeluargaan Islam mahu mengikut pendapat mazhab Syafie, Hanafi, Hambali, Maliki ataupun yang paling rajih antara mereka pada sesuatu perkara.

Bantahan ( objection ) perlu berfokus dan tidak berselirat dengan falsafah perjuangan yang pelik-pelik, sehingga mendatangkan kekeliruan dan penyelewengan fikrah Islam dalam masyarakat.

 

Kesimpulan

Kedudukan  wanita dari kacamata Islam adalah jelas, iaitu :

1- Meletakkan wanita pada tempatnya, sebagainya diakui oleh Al-Quran dan Hadith.

2- Memperbaiki kelemahan peraturan ataupun undang-undang yang dirangka oleh wali al-amr berpandukan kefahaman yang betul dari Al-Quran dan Hadith serta Maqasid al-Syariah.

3- Menentang unsur ifrath ( melampau ) dan tafrith ( bermudah-mudah ) dalam kehidupan dan perjuangan selaku seorang muslim dan mukmin.

4- Isi perjuangan seharusnya adalah ISLAM bukannya jantina, gender ataupun apa sahaja falsafah yang lain. Islam sebagai rahmat untuk semua, justeru fahamilah ia dari lisan para ulamak yang ikhlas lagi dekat dengan Allah, bukannya melabel mereka sebagai Patriarki, jumud, bersikap menindas dan sebagainya.

 

Sekian.

About Ahmad Syafiq

Gemar menulis dalam bidang motivasi dan keremajaan. Mula berkarya melalui penulisan blog seawal tahun 2007. Graduan Ijazah Sarjana Muda Syariah ( Fiqh dan Usul al-Fiqh ) dari Universiti Yarmouk, Jordan.

Comments are closed.

Scroll To Top