Selamat Datang

Bila Hukum Di Tangan Manusia

Sunrise-at-Pulau-Harapan

 

Seorang peragut tidak bernasib baik. Tidak tahu berapa kali dia pernah meragut beg tangan orang, tetapi hari itu ternyata nasib tidak menyebelahi dirinya. Dia tertangkap, habuan dalam beg tangan melepas, dia pula dibelasah oleh orang ramai. Bajunya koyak rabak, muka dan badannya berlumuran darah.

Itu salah satu kisah yang sedang berlaku dalam masyarakat kita. Saya pernah sekali membaca tentangnya di facebook, kemudian ramai yang seolah berpuas hati dengan ‘hukuman’ yang diterima oleh peragut tersebut. Apabila ada suara yang menegur bahawa itu bukan caranya menghukum si peragut, ramai yang tidak boleh terima, sebaliknya suara yang menegur pula dimaki dan dikutuk.

Saya ingin bawakan contoh kes yang lain, iaitu khalwat.

Saya hairan bagaimana dalam masyarakat ini boleh wujud ‘budaya’ rakam merakam orang berkhalwat, kemudian diupload ke internet dan sebagainya. Dulu pernah kecoh, ada pihak yang menerjah pasangan yang berdua-duaan di tempat awam, tepi tasik dan sebagainya, beserta rakaman video. Gambar orang yang terlibat tidak dikaburkan, bahkan dibiarkan sewenang-wenangnya berlegar di alam maya.

Betul, dari satu sudut kita fikir orang marah sebab dia meragut beg tangan orang. Orang marah sebab dia berkhalwat dan sebagainya. Tapi marah kita itu tidak boleh sampai menidakkan peraturan Allah. Sampai satu keadaan, seolah-olahnya hukuman itu di tangan kita pula, bukan mengikut aturan Allah.

 

ZALIM

Hukum itu, kalau diletak di tangan manusia, porak perandalah dunia. Tak boleh dinafikan, hukum kena ikut aturan Allah. Dalam kaedah fiqh disebut لا ضرر ولا ضرار yang bermaksud tidak boleh menimpakan mudarat pada orang dan tidak boleh membalas mudarat pada orang. Sebabnya, akan berlaku kezaliman. Ragut beg tangan orang itu kezaliman, tetapi membelasah peragut sampai separuh mati, itu juga satu kezaliman. Begitu juga orang berkhalwat, dia buat maksiat dan zalimnya itu dengan Allah, tetapi merakam gambar yang mengaibkan, kemudian disebar atas nama ‘pengajaran’ atau ‘padan muka’, itu satu bentuk kezaliman yang lain.

Sebab itu adalah Islam, ada hukum hudud, qisas dan ta’zir. Setiap satu hukum itu ada disiplinnya yang tersendiri. Dalam menjatuhkan hukum, wajib mengikut saluran undang-undang dan prosedur. Kita diajar cara membalas hukum yang salah dalam sebahagian filem dan cerita. Bila orang ditangkap berzina di sebuah kampung, mereka diserbu dan dibelasah, bahkan dibogelkan, diaibkan dan sebagainya. Sedangkan dalam Islam, menjatuhkan hukum tidak semudah itu, perlu melalui prosedur yang tertentu demi memastikan kezaliman tidak berlaku dan keadilan benar-benar dapat ditegakkan.

 

RAHMAT ALLAH

Manusia yang meletak hukum di tangan sendiri sebenarnya adalah manusia yang angkuh, sombong dan takabbur. Dia merasa dirinya suci dari dosa dan sangat mulia jika dibandingkan dengan ‘pesalah’ dan pelaku maksiat di hadapannya. Sebab itu dia tidak berfikir panjang untuk mencaci, menuturkan kata-kata hinaan kepada orang yang ditangkap khalwat, merakam gambar dan bahagian-bahagian yang mengaibkan serta menyebarkan pula di alam maya.

Sedangkan orang yang dianggap hina dan pelaku maksiat itu, boleh jadi di akhir hayatnya menjadi lebih mulia dan bertaqwa daripada orang yang menangkap dan mencacinya.

Lupakah manusia-manusia ini kepada hadith Nabi sallallahu alaihi wasallam yang berbunyi :

” Seorang di antara kamu beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jaraknya dengan syurga hanyalah tinggal sehasta, namun telah tertulis suratannya di luh mahfuz, lalu dia beramal dengan amalan ahli neraka dan masuklah dia dalam neraka. Seorang di antara kamu juga beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jaraknya dengan neraka hanyalah tinggal sehasta, namun telah tertulis suratannya di luh mahfuz, lalu dia beramal dengan amalan ahli syurga dan masuklah dia dalam syurga.”

Orang yang mencaci maki, memandang hina atau sewenang-wenangnya mengaibkan pelaku maksiat adalah seumpama orang yang menyangka dirinya pemberi taubat atau penentu suratan orang lain di luh mahfuz. Hadith di atas menyebut perihal takdir manusia, yang setiap seorang telah tertulis dirinya ahli syurga atau ahli neraka.

Tugas kita bukan menilik siapa ahli syurga siapa ahli neraka, sebaliknya tugas kita adalah berusaha sebaiknya dan memohon dari Allah agar kita dipilih sebagai ahli syurga dan dijauhkan dari neraka.

Sungguh, hukum manusia sangatlah zalim. Jauhkanlah diri kita dari terlibat dengan budaya mengaibkan orang lain, samada dengan kata-kata atau perbuatan. Fikirlah panjang-panjang, mulia sangatkah diri kita sehingga begitu angkuh menghina orang yang tersasar melakukan maksiat dan lalai dari jalan-Nya? Ada berlaku, orang yang mengaibkan orang lain itu akhirnya diaibkan pula oleh Allah. Orang sangka dirinya mulia dengan kerja-kerjanya menyelak aib orang ke mata masyarakat, akhirnya aib dirinya sendiri dibuka oleh Allah.

Jangan main-main dengan perkara sebegini. Tidak pernah mana-mana ulamak mengajar supaya kita memandang hina pelaku maksiat. Sebaliknya yang diajar adalah menyelesaikan sesuatu kes dengan penuh hikmah, menjaga keaiban orang yang didakwa selagi tidak dibuktikan bersalah, dan membimbing orang yang tersasar agar kembali ke pangkal jalan.

 

PUTUS ASA

Di zaman yang serba canggih dan serba pantas, tekanan kepada orang-orang yang terjebak dengan maksiat semakin meningkat. Ada beratus-ratus kes yang pelik-pelik dan mengaibkan, di mana pasti tidak akan didengari dan diketahui oleh orang yang tidak terjun dan terlibat dengan masyarakat. Kes-kes rogol, cabul, khalwat, sebaran gambar mengaibkan, video dan sebagainya meningkat dengan mendadak saban hari.

Kadangkala kita terfikir, ke mana akan pergi mereka-mereka yang terlibat dan sudah pun bertaubat serta berubah? Aibnya sedang dijaja, tersebar luas entah ke mana, sedang dirinya masih bernyawa. Tidak hairanlah kalau ada yang sanggup bunuh diri, selain ada yang sanggup terus ‘rosak’ kerana beranggapan dirinya memang telah rosak dan tiada harapan. Terjerut perasaan tatkala menonton dokumentari al-jazeera tentang kehidupan watak-watak remaja di chow kit. Begitu juga dengan laporan demi laporan dari akhbar hangat seperti Harian Metro.

Saya tidaklah bersetuju kisah-kisah ‘panas’ dijadikan tajuk utama dan pelaris akhbar seumpama metro, tetapi saya tidak juga menafikan kewujudan kisah-kisah seperti itu. Orang yang biasa terlibat dengan kem-kem bersama remaja, pastinya punya seribu satu cerita, biarpun tidak dilapor di dada media.

Sungguhlah, ujian Allah beri kepada manusia tidak sama. Ada orang menderita seumur hidupnya kerana maruah tergadai, biarpun telah benar-benar bertaubat kepada Allah. Hukuman manusia tetap tidak pernah surut, termasuk caci nista. Tetapi kasih sayang Allah, tiada bandingnya.

 

Kadangkala saya terfikir. Saya bukanlah watak besar. Tidak punya kelebihan apa-apa. Tetapi saya pasti, salah satu tanggungjawab kita sebagai hamba-Nya adalah menyambung harapan buat para pendosa, agar mereka tidak berputus asa dengan keterlanjuran dan dosa yang telah dilakukan oleh mereka. Di pusat-pusat pemulihan sana, banyak watak-watak yang hampir bunuh diri, hampir gila dan merasa dirinya tidak lagi punya apa-apa. Bukan hanya kerana kesilapan diri sendiri, tetapi juga kerana jahatnya hukuman dari manusia.

Akan saya sampaikan, walaupun satu kalimah. Bahawa mereka yang bertaubat itu sangat disayangi Tuhan, sedang para penghukum yang keterlaluan itu tidak selesai hutang dosanya dengan manusia, selagi tidak diampunkan. Mulia atau hina manusia, hanya di pandangan Allah dan hanya dengan izin-Nya, bukan di tangan manusia.

Sekian.

 

About A. Syafiq Jusoh

A. Syafiq Jusoh merupakan pelajar tahun akhir Yarmouk University, Jordan dalam jurusan Syari'ah pengkhususan Fiqh dan Ushul al-Fiqh. Memulakan karier penulisan blog dari tahun 2007 sehingga sekarang. Merupakan penulis buku Manisnya Cinta Si Anak Muda terbitan Karya Bestari Sdn Bhd.

4 comments

  1. assalamualaikum.

    sungguh sy bersetuju dgn entri saudara. yg menghukum itu hanyalah Allah dan Rasul, bkn manusia yg penuh dgn silap dan lemah spt kita hari ini.

    org Islam dh makin jauh dgn Islam, smpai terlupa akhlak berbicara sehingga mereka sewenangnya mencaci si pelaku kesalahan sedangkan Allah larang kita berbicara keburukan org lain.

    hukum dan syariat Islam spt hudud, takzir dan semuanya itu hny dpt dilaksanakan dgn adanya sistem Islam yg dilaksanakan scr spenuhnya. dan sistem itu hny akan terlaksana dgn adanya Khilafah. barulah semua benda ni takkan berulang lg.

  2. Assalamu’alaikum Akhi……”Sesungguhnya jawapan orang-orang Mukmin bila mereka dipanggil kepada Allah dan rasulNya agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka ialah ucapan: “Kami mendengar, dan kami patuh” dan mereka itulah orang-orang yang beruntung. Dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan rasulNya, maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan”. (Al-Quran, an-Nur, 24:46-52).

  3. Sesungguhnya jawapan orang-orang Mukmin bila mereka dipanggil kepada Allah dan rasulNya agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka ialah ucapan: “Kami mendengar, dan kami patuh” dan mereka itulah orang-orang yang beruntung. Dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan rasulNya, maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan”. (Al-Quran, an-Nur, 24:46-52).

  4. Seorg guru pernah mengingatkan kami; Rahmat Allah ada 10 buat kita. Hanya satu diberikan di dunia. Dgn satu segala haiwan dan binatang berkasih sayang. 9 Allah akan berikan kpd hambaNya di dalam syurga.

    Zalim bermaksud meletak suatu bukan pada tempatnya.
    Benar, jgn kita berlaku zalim krn doa makhluk yg dizalimi Allah angkat tanpa hijab walau dia kafir sekali pun.

Scroll To Top