Myilham.Com Rotating Header Image

Menegur Sikap

2 hari lepas, saya sekadar menulis satu status ringkas di facebook, mengenai sikap segelintir pengguna internet atau blogger yang menyalin artikel daripada penulis lain tanpa menyertakan link asal.

Saya kira, itu bukan suatu isu yang baru pun dalam alam maya, bahkan mudah sahaja untuk difahami oleh kita apa punca teguran tersebut dibuat.

Seorang penulis blog, yang benar-benar menggunakan blog untuk menyajikan artikel-artikel yang berkualiti, pastinya berbeza dengan pemilik blog, yang hanya menyalin dan menampal ( copy paste ) artikel dari blog atau website lain ke dalam blog mereka.

Masa yang diperuntukkan tak sama, memerah otak mencari idea tidak ada apatah lagi tenaga yang dihabiskan untuk membuat rujukan dan sebagainya.

Dek kerana itu, tidak sulit untuk difahami mengapa kebanyakan penulis blog – termasuk saya – menulis nota atau disclaimer seumpama ” dibenarkan menyalin artikel, dengan syarat disertakan link asal ” manakala sebahagian penulis blog menambah ” dengan syarat bukan untuk tujuan komersial “.

Sesuatu karya yang terhasil ada nilainya yang tersendiri.

Sesuatu artikel yang ditulis, ada nilainya yang tersendiri.

Itu dalam bab nilai, sebagai faktor utama menjustifikasikan mengapa kita tidak boleh sembrono mencuri hasil kerja orang lain.

Kemudian, tentang komen ataupun maklumbalas.

Andaikan, saya menulis satu artikel dari pandangan saya dan dengan beberapa rujukan tersendiri. Lalu saya terbitkan. Maka pembaca boleh membuat komentar dan bertanya sendiri kepada saya sekiranya terdapat percanggahan atau kekeliruan.

Bayangkan pula, artikel itu diambil oleh pemilik blog yang lain, disalin bulat-bulat dan tidak disertakan link asal artikel tersebut. Agak-agaknya, bagaimana proses komentar atau maklumbalas itu boleh berlangsung?

Ia akan menimbulkan dua keadaan : pertama, pembaca tidak mendapat respon atau kedua, pemilik blog tersebut akan memandai-mandai memberi respon sendiri.

Dan adakah dia, si pencuri artikel itu, memahami dan mengetahui sepertimana si penulis asal artikel tersebut? Lalu akan terjadilah salah faham dan terpesongnya fikrah asal si penulis.

Ini justifikasi kedua, yang saya kira cukup ditekankan oleh ramai penulis.

Ustaz Hasrizal dalam blognya pernah menulis artikel ini, di mana beliau meluahkan isu yang sama :

Saya amat berlapang dada jika mana-mana artikel dan ceramah saya disebarkan dengan tujuan dakwah, tetapi bentuk asalnya hendaklah dikekalkan dan alamat blog ini perlulah disertakan. Motifnya tidak sulit. Jika timbul kemusykilan, orang tahu ke mana hendak dirujuk, susah payah penulis, rujukannya, masanya, berbalas dengan bertambahnya orang datang membaca dan memanfaatkan tulisan di sini dan terlebih mudahnya ialah, tanpa sikap semudah ini, binasalah sistem beragama kita apabila siapa mengambil apa dari siapa dibiarkan sewenang-wenangnya dalam hadith Nabi SAW.

Ini soal sikap dan adab.

Bukan soal keikhlasan penulis, pahala ataupun manfaat yang orang lain dapat.

Membaca komentar beberapa pengunjung, saya terusik kecewa.

Lain yang ingin saya ketengahkan, lain pula yang difahami segelintir mereka. Saya pasti, bukan semua.

Ada beza orang yang tangannya cepat menaip komentar, dengan orang yang akalnya ligat menganalisis komentar.

Saya menulis untuk menegur sikap, bukan untuk menjuarai isu keikhlasan atau isu pahala. Mahu berlagak baik, biar bertempat. Kita hidup ada adabnya.

Saya memandang setiap karya saya dengan nilainya yang tersendiri, sepertimana ramai penulis-penulis lain yang memandang karya mereka dengan nilai yang tinggi. Ini kerana saya benar-benar menghasilkannya, bukan menyalin tampal dari tempat lain.

Adat berblog, yang semua orang tahu sebagai boleh dibaca secara percuma, sememangnya saya membenarkan orang membaca bahkan menyebarkan seluas mungkin. Tetapi bersyarat. Dan saya telah menjustifikasikan syarat tersebut di atas.

Kebenaran diberi secara luas. Tidak minta izin pun tidak mengapa, kerana kebenaran menyebarkan atau menyalin tampal telah diberi. Namun bersyarat. Jika dibakulsampahkan syarat itu, bermakna tiadalah kebenaran. Ia dikira curi dan khianat.

Saya menulis ini kerana saya melihat ia berlaku berulangkali. Saya pernah terjumpa artikel saya di blog lain, di mana pemiliknya menyalin seratus peratus dari blog saya, tanpa menyertakan link asal. Lebih menyedihkan, pemiliknya dengan senang hati menjawab komentar dari pembaca blognya yang mana beranggapan itu adalah tulisan asli daripadanya.

Lalu relevankah untuk hanya dijawab : Ala, kalau ikhlas kita dapat pahala. Ala, ilmu semua datang dari Allah. Ala, itu dan ala, ini ?

Ini juga suatu sikap buruk sebahagian daripada kita.

Gagal memahami isu sebenar dan mengalihkan kepada isu yang lain. Mahu mengheret kepada isu niat, ikhlas, dosa, pahala dan sebagainya.

Jangan pula selepas ini, timbul isu ‘maaf memaafkan, Nabi pun ampunkan ummat’.

Saya mahu memberi nasihat, kiranya tidak memahami hakikat, usahlah bercakap. Kerana boleh jadi, apabila bercakap tanpa faham, ada hati yang akan terguris.

Maaf telah lama diberi. Ikhlas telah lama dipateri. Pahala telah lama menjadi target hati.

Tetapi sikap ummat mesti diteguri, agar tidak berulang menjadi barah dalam sanubari.

Sekian.

Segala tulisan di blog ini merupakan semata-mata pandangan peribadi penulis dan tidaklah mencerminkan pandangan atau pendirian mana-mana pihak. Sudah tentu ia terdedah kepada kelemahan. Justeru ambillah mana yang baik dan tinggalkan mana yang buruk.
myilham.com
View all posts by myilham.com
s website

5 Comments

  1. razfira says:

    btol3.. memang sedih kan kalau tengok orang salin hasil nukilan kita tanpa memberi pautan …

    1. myilham.com says:

      lebih sedih bila ada orang memperkecil2kan perasaan sedih tersebut. tak apalah, moga Allah beri hidayah pada kita semua.

      1. norzuraidah md nor says:

        Nak tanya…bagaiman cara nak dapatkan lesen hak cipta terpelihara sbb saya juga penulis blog….

        1. myilham.com says:

          masuk web creative common, pilih kategori then copy code. mudah je.

  2. Penulis Tersedar says:

    Terima kasih di atas penerangan yg terperinci itu. Saya pernah melakukan kesalahan yang sama tanpa sedar implikasinya pada saat2 tertentu. Sehinggalah suatu hari bila blogpost yg mmg SAYA bina menggunakan ayat sendiri,memerah otak selama beberapa jam, telah dicopy paste oleh rakan2 tanpa pengiktirafan. Terasa hampa kerana usaha berjam2 saya hanya dpt dilakukan dlm tempoh kurang dari 5 minit.Mereka siap menambah illustrasi,kata2 hikmah orang ternama di dalam nukilan tersebut menampakkan ke’gah’an penulisan ‘mereka’. Kini, saya akan pastikan website rujukan sebarang blogpost akan saya nyatakan.
    Kini sebarang post saya mrk tidak dapat right click utk copy paste.Saya tidak keberatan jika idea itu diambil asalkan diolah mengikut gaya bahasa mereka.Yang menyakitkan hati ialah bila ayat B.Inggeris mereka begitu ‘perfect’ sedangkan realitinya,mereka agak lemah dari segi bahasa inggeris, dan lagi, mereka sekadar menukar nama saya kepada nama mereka.itu sahaja penat jerih yg perlu mereka lakukan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan-BukanKomersial 2.5 Malaysia Creative Commons.