Bila Dihamba Pesona Cinta

Cinta bukan sekadar kalimah yang indah disebut, tetapi juga candu yang cukup luar biasa.

Ia menjadikan ‘mangsanya’ hilang pertimbangan, gagal menetapkan pendirian dan cenderung untuk mengikut sahaja ‘naluri’ tersebut tanpa panduan.

Seseorang boleh memberi dan terus memberi, berkorban dan terus berkorban, bagai lilin yang terus terusan membakar diri, semata-mata atas nama ‘cinta’.

Tiada siapa dapat nafikan, penangan sebuah cinta memang cukup luar biasa.

 

CENDERUNG MEMBERI


Lilin yang menyala membakari dirinya

Buat menerangi insan yang memerlukan

Tanpa disedari diri sendiri sirna

Duka nestapa dibiarkan saja

– Pesona Cinta, Hijjaz

 

Salah satu ciri-ciri orang jatuh cinta adalah, dia sanggup melakukan apa sahaja, sanggup memberikan apa sahaja dan sanggup mengorbankan apa sahaja.

Tanpa balasan.

Seorang manusia dilengkapi dengan sifat ego secara semulajadi. Ego itu menjadikannya tidak mudah ikut orang dan tidak mudah mengalah dengan orang.

Namun cinta terbukti berkuasa menyahkan ego seorang manusia.

Filem menggambarkan kesanggupan seorang lelaki membakulsampahkan egonya kerana cinta, dengan merayu-rayu di pagar rumah kekasih hatinya tika hujan turun lebat.

Novel menggambarkan kesanggupan seorang perempuan melupakan hak dirinya untuk bahagia dengan berterusan menanggung derita, asalkan lelaki yang dicintainya bahagia.

Dalam dunia percintaan anak muda remaja, memberi dan berkorban seperti itu adalah normal bahkan terpuji.

Rata-rata yang menghayati kisah cinta seperti itu akan merasa terharu dan terkesan dengan sebuah ‘pengorbanan’ atas nama cinta.

Kata mereka kemudiannya, itulah cinta. Memberi tanpa mengharap apa-apa.

 

TIDAK CERDIK

Allah Ta’ala sebagai Pencipta kepada manusia, Maha Tahu akan selok belok cinta yang fitrahnya wujud dalam diri setiap manusia. Lantas manusia diberi satu bentuk manual tersendiri untuk mengemudi cinta tersebut, iaitulah Al-Quran dan Hadith.

Sebabnya mudah. Allah Maha Tahu yang cinta itu jika tidak kena dengan caranya, maka manusia akan menjadi tidak cerdik. Sedangkan Islam datang untuk mencerdikkan. Menyedarkan bahawa cinta itu alat, sedang Allah adalah matlamat. Maka janganlah manusia menjadi hamba kepada alat.

Saidina Ali pernah menyebut sebuah kata-kata yang masyhur :

Orang yang cerdik ialah orang yang sentiasa memuhasabah dirinya dan membuat amal persiapan sebelum menemui mati. Orang yang tidak cerdik pula adalah orang yang suka mengikut hawa nafsu dan dalam masa yang sama berangan untuk mendapat macam-macam nikmat dari Allah.

Itu satu bentuk kecerdikan yang Islam mahu.

Buat amal, tetapi untuk hidup selepas mati.

Bercucuk tanam di dunia, hasilnya tuai di akhirat.

Nah, cinta juga begitu.

Orang bercinta yang tidak cerdik adalah, bercinta dengan memberi dan berkorban, tanpa mengharap untuk mendapat apa-apa. Bahkan secara hakikatnya pun, memang tidak mendapat apa-apa.

Tetapi orang bercinta yang cerdik adalah, bercinta dengan memberi dan berkorban, tetapi untuk mendapat habuan dan ganjaran di akhirat sana.

 

PERBEZAAN

Dalam alam percintaan sebelum kahwin, pesona cinta memang berlaku. Mencandukan akal manusia sehingga kerap kali bertindak tidak waras dalam perbuatannya. Duit dilabur, masa diluang, perhatian diberi, bahkan banyak berlaku, tubuh juga digadai. Biarlah tidak beroleh apa-apa, asalkan dia dapat ‘memberi’.

Begini jadinya

Bila dihamba pesona cinta

Yang buta tak mengenal sebenar sifatnya

– Pesona Cinta, Hijjaz

Ya. Memberi, atas nama cinta. Atas sebab dihamba sebuah pesona cinta.

Bila ditegur, mereka berdalih. Kata mereka, mereka bukan tidak mendapat apa-apa. Bahkan mereka dapat. Mereka dapat cinta, kasih dan sayang dari buah hati mereka.

Tetapi cuba kita lihat perbezaan mereka dengan orang-orang yang berada di alam percintaan selepas kahwin.

Cinta selepas kahwin, realitinya bukan semua indah. Ada juga yang diuji. Isteri tidak mendapat kasih sayang dan perhatian dari suami. Suami mendapat isteri yang sikapnya tidak menyenangkan hati, dan sebagainya. Namun pesona cinta tetap berlaku.

Meski suami sedikit dingin, namun isteri tetap juga ‘memberi’ dan berkorban. Layanan paling baik tetap dipersembahkan. Senyum tetap dikuntum meski hati bersalut duka. Suami juga begitu. Nafkah tetap diberi, hadiah tetap dihulur.

Bolehkah mereka juga dikira sebagai ‘dihamba pesona cinta’?

Ya. Boleh.

Tetapi bukan versi tidak cerdik.

Sebabnya?

Mereka memberi untuk menerima, bukan semata-mata memberi tanpa mengharap menerima apa-apa.

Seorang mukmin berhutang amalannya dengan Allah, untuk menuntut syurga di akhirat kelak.

Begitu juga cinta seorang isteri. Dia melabur segenap keikhlasannya berkhidmat untuk suami, semata-mata untuk merebut syurga Allah di akhirat kelak. Suami juga begitu, kesabarannya mendidik isteri, tidak diharap balasan pantas di dunia, tetapi pemberian agung Allah di akhirat kelak.

 

HAMBA SEBUAH CINTA

Hamba yang cerdik, adalah hamba yang mengenali siapa tuannya. Seorang mukmin yang mengenali siapa Tuhannya, akan menjadi hamba kepada CINTA dan bukannya cinta.

CINTA, balasannya ada, iaitu di akhirat.

Cinta, boleh jadi tiada balasan apa-apa. Menanggung sakit hati semata-mata sewaktu couple, berkorban bagai nak rak, akhirnya clash juga.

Justeru bangkitlah dari terus menjadi hamba kepada sebuah cinta.

Memberi dan terus memberi atas nama cinta, walaupun tidak mendapat apa-apa.

Kerana sesungguhnya, cinta yang sebenar adalah memberi dan berkorban, dengan mengharapkan ganjaran besar di akhirat kelak. Dan ini tidak terjadi melainkan dengan cinta bersyariat.

Mari terpesona dengan janji Allah, dan bersama menyulam cinta untuk dipersembahkan kepada-Nya.

 

Sekian.

 

About Ahmad Syafiq

Gemar menulis dalam bidang motivasi dan keremajaan. Mula berkarya melalui penulisan blog seawal tahun 2007. Graduan Ijazah Sarjana Muda Syariah ( Fiqh dan Usul al-Fiqh ) dari Universiti Yarmouk, Jordan.

3 comments

  1. semat header baru tuh. hehe.

    maaf komen tak ada kaitan.

  2. Bila menghulurkan cinta hanya kerana mengharap redha Ilahi (cinta selepas kahwin) maka apa jua yang datang dalam cinta dihadapi kerana CINTANYA pada Ilahi..

  3. Syukran, nice entri, jadilah kita hamba CINTA walaupun tak nampak tapi wujud ketenangan dan kemanisan hasil pengorbanan kita kepadaNYA…:)

Scroll To Top