Myilham.Com Rotating Header Image

Bukan Mudah Menjadi Penulis Yang Baik

 

Dia masih mengulangi cerita yang sama, seperti minit-minit awal pertemuan yang sudah menghampiri 2 jam tersebut. Sambil diselang seli dengan pelbagai sudut pandang yang cuba saya lontarkan dalam variasi yang pelbagai. Namun tetap diulang jua cerita yang sama. Isu yang sama. Point yang sama. Dilema yang sama. Bagaikan 2 jam berlalu tanpa dia mendapat apa-apa dari saya.

Itu suatu situasi dari banyak-banyak situasi yang saya lihat.

Ia membawa saya untuk berfikir. Merenung dan bertafakur. Sesekali, terasa hiba mencuit hati.

Hiba dan sayu, bukan kerana saya terpaksa berdepan dengan insan-insan mahupun situasi-situasi seperti itu. Tetapi sebaliknya ada sebab lain yang mengusik hati. Saya merasakan betapa tandus dan kontangnya jiwa manusia apabila ‘kehilangan’ Tuhan.

Saya juga tidak terkecuali.

Menulis atau bercakap, jika tidak ‘dihadirkan’ Tuhan, segalanya bagai tiada erti. Bagaikan jasad tanpa roh. Tiada nyawa. Tiada deria. Tiada rasa.

Saya seorang penulis. Alhamdulillah, Allah kurniakan sedikit bakat untuk menulis. Juga minat dan keinginan. Namun saya sering menegur dan mengingatkan diri sendiri ; betapa susahnya untuk menjadi seorang penulis yang baik.

Ia cukup-cukup sukar.

Penulis yang baik, tidak lahir sekadar dari kursus-kursus dan bengkel-bengkel penulisan.

Penulis yang baik, tidak menjelma dari sekadar keindahan lakaran-lakaran sastera yang puitis.

Penulis yang baik, bukan penulis yang hanya mampu menulis.

Bahkan lebih dari itu, penulis yang baik sebenarnya adalah penulis yang mampu merawat hati-hati manusia.

Tulisannya, adalah ubat kepada hati yang membaca.

Dari mata, ia turun ke hati. Meresap jauh ke dalam sanubari, mengocak tasik keinsafan seterusnya mencetus keinginan dan tekad untuk melakukan perubahan dan penghijrahan. Dari gelap kepada terang. Dari maksiat kepada ibadat. Dari dikir kepada zikir.

Itulah penulis yang paling baik.

Begitu jugalah dengan seorang penceramah.

Ungkapan nasihat dari seorang murabbi berjiwa besar, Al-Fadhil Ustaz Subki Abdur Rahman sentiasa segar di pendengaran. ” Kata-kata dari hati yang tidak baik tidak akan mampu meresap dalam hati-hati yang mendengar “.

 

Saya menulis tentang cinta. Tentang soal hati. Tentang segala hal yang berkaitan dengannya, yang begitu rapat dengan dunia remaja dan anak muda.

Menulis tentangnya bukan mudah.

Silap tulis, berbicara tentang fitrah boleh menjadi fitnah.

” Banyak lagi benda lain yang perlu ditulis selain pasal cinta “

” Para pendakwah asyik cakap pasal cinta, bukan mendidik ummah ke arah agama “

Serta banyak lagi kritikan yang lain.

Saya menyambutnya dengan senyuman. Dengan jiwa besar. Kerana di awalnya lagi, telah saya pasakkan satu prinsip dalam menulis, khususnya tentang cinta dan hal yang berkaitan dengannya. Justeru segenap sudut pandang telah dinilai di peringkat permulaan.

Namun menyanggahnya sebagai ‘bahan tazkirah’ sudah tentulah suatu perbuatan yang sangat rugi.

Saya bersyukur kerana masih punya hati. Dan hati itu, Allah masih berikan ‘nyawa’ untuk terus hidup.

Lantas menggamit jiwa raga saya untuk merenung topik ini. Sesungguhnya bukan mudah untuk menjadi penulis yang baik.

Menulis tentang cinta contohnya.

Adakah sekadar untuk menambahkan ‘sampah sarap’ dalam otak para remaja?

Adakah sekadar ‘perisa tambahan’ untuk meningkatkan keobsesan para anak muda kepada kalimah cinta?

Atau adakah sekadar pelaris kepada judul-judul cinta-islami yang semakin mendapat tempat di pasaran?

Saya tegas menjawab tidak.

Saya pernah menukilkan satu masa dahulu. Menulis atas tajuk apa sekalipun, jika matlamatnya adalah untuk merawat hati manusia, ia adalah suatu dakwah yang susah. Tiada hamparan permaidani merah dan tiada laluan yang indah-indah.

Ia adalah kerja. Tanggungjawab. Kemestian.

Ada idea, ada bakat, ada kreativiti, ada minat, jika tidak disalurkan demi manfaat agama dan ummah, di akhirat kelak menjawablah di hadapan Allah Ta’ala.

 

Saya suka dengan tokoh motivasi seperti Ustaz Pahrol Md Juoi.

Bukan saya tidak kenal dengan tokoh-tokoh selainnya. Namun sentuhan dari Ustaz Pahrol, pada saya cukup berbeza.

Bahasa percakapannya ( penulisannya ) semuanya tepat mengena hati.

Zikir yang mencetus fikir. Fikir yang lahir daripada zikir.

Mengajak manusia mengenal Allah dan menjernihkan hati.

Seruan-seruan yang menjadi ubat kepada hati.

Sesungguhnya penulis yang baik bukanlah penulis yang hanya berbicara dengan otak pembacanya, jauh sekali dengan hawa nafsu dan keinginan pembaca semata-mata. Sebaliknya tintanya adalah penyembuh yang cukup berharga kepada hati-hati yang sedang sakit.

 

Kembali merenung, saya disapa kesayuan.

Situasi sukar menerima solusi yang dilontarkan, masih tidak faham-faham meskipun telah berulangkali dijelaskan, berdegil untuk melakukan perubahan dan masih berdolak dalik dengan sejuta alasan, semuanya sukar diatasi apabila penawar kepada hati gagal diberi.

Semuanya berpunca daripada kesempitan jiwa. Lebih malang, jika kesempitan jiwa itu puncanya dari pengabaian kepada peringatan-peringatan Allah. Sebagaimana Firman Allah Ta’ala :

Dan barangsiapa yang berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya bagi dia kehidupan yang sempit, dan Kami akan membangkitkan dia pada hari Kiamat dalam keadaan buta.

( Taaha : 124 )

 

Kita kepenatan bercakap dengan otak pesakit, akibat kegagalan kita menyuntik ‘roh’ ke dalam jiwa pesakit tersebut.

Saya sedar, di alam maya, saya bertemu dengan ramai pesakit.

Mereka boleh jadi sengaja datang atau tidak sengaja ‘terjumpa’ dengan saya. Namun pokok pangkalnya, mereka sedang mencari ubat dan penawar kepada penyakit masing-masing.

Saya menginsafi bahawa saya masih belum mampu menyediakan penawar yang terbaik kepada para pesakit tersebut.

Interaksi dengan hati, saya kira masih lemah.

Sekaligus menjadi cabaran terbesar untuk saya merealisasikan impian ke arah menjadi penulis yang baik.

Masih banyak yang perlu saya selami tentang selok belok jiwa manusia.

Tetapi sebelum itu, sudah tentulah jiwa penulis sendiri yang perlu diteroka.

Kekotoran dari jiwa penyampai, kesannya menghijab jiwa pendengar.

Penulisan juga begitu.

Saya mohon dijauhkan dari ujian yang tertimpa ke atas sebahagian penulis. Apabila mengira telah mendapat sedikit nama, kemuliaan dan sanjungan, maka terus merasa bangga, gembira dan tinggi lagaknya.

Sedangkan hakikatnya, kemuliaan itu hanya datang setelah Allah menutupi segenap keaiban yang kita ada.

Semoga Allah ampunkan dosa-dosa kita.

Semoga Allah berikan rahmat dan hidayah-Nya kepada kita semua.

Semoga setiap amalan baik yang kita lakukan mengundang belas kasihan dan maghfirah-Nya.

 

Menjadi penulis yang baik, ia bukan sekadar cita-cita.

Ia adalah bukti sebenar sebuah CINTA.

 

Sekian.

Segala tulisan di blog ini merupakan semata-mata pandangan peribadi penulis dan tidaklah mencerminkan pandangan atau pendirian mana-mana pihak. Sudah tentu ia terdedah kepada kelemahan. Justeru ambillah mana yang baik dan tinggalkan mana yang buruk.
myilham.com
View all posts by myilham.com
s website

15 Comments

  1. hani' says:

    moga jihad penulisan ustaz dipandu Allah.. terus-terusan menulis bagi merawat luka jiwa-jiwa insan yang memerlukan.. Allahu musta’an..

    1. myilham.com says:

      amin..terima kasih atas doanya :)

  2. Rasya Humaira says:

    ya bukan mudah nak jadi penulis…bukan mudah nak resap dalam diri pembaca dengan apa yang kita tulis…namun pada pandangan saya penulis itu sebenarnya pembaca…saya juga punya minat yang sama dengan ustaz..gemar menulis..menulis perkara yang memberi manfaat untuk diri dan orang lain…menulis adalah jiwa saya…biarpun kurang aktif menulis di blog..saya sering menulis dalam buku diari…..saya juga menyimpan cita-cita untuk menjadi penulis dan menerbitkan buku hasil tulisan saya sendiri…insyaallah

    1. myilham.com says:

      banyakkan mnulis dalam medium yg sampai kpada khalayak pembaca. ia lebih membantu penulisan kita, insyaAllah :)

  3. cikbeah says:

    bismillah.. assalamu’alaikum wbt..

    jujurnya, saya banyak mendapat inspirasi daripada tulisan tuan. mohon teruskan perjuangan tuan untuk terus merawat hati-hati yang sakit di luar sana!

    moga Allah membantu.

    1. myilham.com says:

      wslm.

      terima kasih atas doanya..insyaAllah :)

  4. teruskan menulis untuk islam. kengkadang tulisan akhi yang hebat mampu mengubah manusia ke arah lebih baik sebenarnya.

    Ammen… Doakan saya jadi sehebat akhi…

    1. myilham.com says:

      aduh ust ket ni, ber-akhi2 pula..ket pun sama hebat, amin..moga sama2 terus thabat :)

  5. Ameer Faris says:

    ziarah blog yg osem ni,truskan mnulis,moga Allah redha! ;)
    ukhuwah fillah

    1. myilham.com says:

      terima kasih. salam ukhwah kembali :)

  6. qaniah says:

    kita hanya menyeru…

    Doakan ana juga mampu berubah ke arah yang lebih baik. Amin

    1. myilham.com says:

      insyaAllah. amiin.

  7. nur says:

    subhanallah…ternyata utk mnjadi penulis yg baik bukan semudah madah bicara, bkn semudah tulisan yg terlakar kata…kerana tulisan kata2 yg ingn ‘dimasukkan’ roh mengenal dn mcintaiNya, pasti memerlukan sentuhan dari jiwa sang penulis yg terlebih dhulu perlu ‘disucikan jiwanya’…andai hati penulis sndri kotor, ekut hwa nfsu, pastilh tulisan itu tdk akn mmpu menarik hti2 bahkan mnjdi bala pula..

    syukran atas prkongsian ilmu yg amt bermakna buat sy sbg peringatan tuk trs berusaha mnjdi penulis sbaik mgkn…benarlh,,sy sdri dpt merasakn, tatkala ‘iman merasa sakit’ sy tdk kan mmpu tuk menulis dgn baik, kata-kata mudah mnjd tersasar…smoga Allah terus berikan hikmah dn istiqamah dlm mnulis cuma keranaNYA… :)

  8. cik Anon says:

    Alhamdulillah,

    saudara diberi nikmat oleh Allah untuk menulis supaya menyeru menyintaiNya terlebih dahulu sebelum makhluk lain dimuka bumi ini. Teruskan usaha dalam mencari redhaNya. Moga saudara dalam rahmat Allah sentiasa!!

  9. Nurhidayah says:

    Alhamdulilah..saya kira tulisan ustaz cukup sampai di hati saya..air jernih sntiasa ada saat membaca tulisan ustaz..kerana semuanya sungguh terkesan di hati saya..semuanya kerana Allah yang menghadirkan ustaz menjadi perantara untuk mendidik jiwa saya yang lalai ini..syukur hanya pada Allah swt yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..teruskan menulis ustaz..atas izin Allah swt..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan-BukanKomersial 2.5 Malaysia Creative Commons.