14 Februari : Anugerah Tak Ternilai

di hadapan pintu gua al-kahfi

Sebelum 2010, 14 Februari bukanlah suatu tarikh yang penting kepada saya.

Tiada apa-apa dengan tarikh tersebut dan tiada beza dengan tarikh-tarikh yang lain.

Saya melalui kehidupan sebagai seorang pemuda yang ada pasang surut dalam kehidupannya. Ada suka, ada duka. Ada gembira, ada kecewa. Ada semangat, ada penat.

Saya melalui zaman remaja sebagai seorang yang berpandangan bahawa kahwin itu ‘lambat lagi’. Mungkin pada waktu itu, bayangan akal saya adalah, kahwin itu sepatutnya ketika 27 tahun ke atas.

Pandangan seorang remaja yang sangat jahil mengenal pelbagai sisi kehidupan.

Namun, membesar dalam suasana didikan agama memberi kesan yang besar khususnya kepada jiwa. Saya berubah meyakini bahawa perkahwinan seorang remaja dapat memberi kesan yang lebih baik kepada perjalanannya.

Perkahwinan di usia muda, meskipun digambarkan sebagai sukar dan penuh dengan cabaran, namun saya merasakan itu seribu kali lebih baik daripada menyalurkan fitrah ke jalan yang haram.

Paling penting, ‘power’ seorang remaja tidak dapat diserlahkan dengan baik dek kerana terhalang dengan masalah jiwa dan masalah cinta.

Maka, saya perjuangkan untuk berkahwin.

Likunya bukan sedikit.

Bukan hari ini bertekad, hari ini cakap, esok terus dapat.

Perjuangannya memakan tahun.

Termasuklah juga tentang calon pilihan.

Saya mempelajari sesuatu dari apa yang saya lalui, dan saya kongsikan bersama orang lain. Pelajarannya adalah, jodoh kita adalah rahsia Allah. Namun itu tidak bermakna kita perlu goyang kaki tanpa usaha. Dan dalam usaha tersebut, Allah akan datangkan orang yang sebetulnya untuk kita.

Orang yang kita perlu, bukan yang kita mahu.

Kadangkala, dia bukanlah orang yang kita kenal sekian lama, bahkan saya sendiri hanya kenal tidak sampai dua bulan, kemudian terus berkahwin.

Kami bercinta selepas berkahwin.

Berkenalan selepas berkahwin.

Membina keserasian selepas berkahwin.

Membina kepercayaan selepas berkahwin.

Kami tidak pernah kenal hati budi masing-masing. Tidak pernah berbual, bersembang, berkongsi cerita. Tidak juga mempunyai minat yang sama ataupun kecenderungan yang sama. Cara fikir kami berbeza, latar belakang keluarga juga jauh berbeza.

Negeri tidak sama, makanan kegemaran juga tidak sama.

Namun Allah memberi suatu anugerah yang tidak Allah berikan kepada pasangan yang tidak berkahwin. Anugerah itu adalah rasa cinta dan kasih sayang yang terus subur meskipun tanpa didahului dengan perkenalan, percintaan dan sebagainya.

Itulah hikmah sebuah pernikahan.

Dan detik itu bermula tanggal 14 Februari 2010.

Ia mengakhiri segenap teka teki di dalam jiwa masing-masing.

Ia merungkai seribu keserabutan.

Bahkan paling penting, ia ibarat lampu yang memberi cerah pada seribu jalan.

Ia juga menghidupkan semangat juang.

Lebih jelas dan terang tentang apa yang perlu dilakukan dalam kehidupan.

Ya. Kehidupan yang kurang dihargai sewaktu di zaman bujang.

14 Februari adalah anugerah tak ternilai. Penyatuan dua jiwa yang dihadirkan istimewa oleh Pemilik Jiwa. Tidak pernah terfikir dan terjangka oleh sesiapa. Begitulah hebatnya percaturan Allah.

Dan 14 Februari semestinya akan terus kami sambut setiap tahun.

Tanpa perlu merasa resah meraikan cinta hingga menggadai akidah. Menyambut hari memperingati kekasih yang tidak halal, apatah lagi dengan perilaku-perilaku maksiat yang menjadi beban bila berjumpa Tuhan.

Kami diberi anugerah istimewa untuk meraikannya dalam batasan pahala.

14 Februari kali kedua semenjak kami bersama membina rumahtangga.

Lebih membahagiakan apabila kali ini ia tidak diraikan berdua, sebaliknya bertiga.

Kehadiran cahaya mata penyejuk hati yang saya namakan Nurul ‘Ain cukup-cukup menyimbah bahagia dalam kehidupan kami berdua.

Pejam celik, Nurul ‘Ain sudah mencecah 6 bulan. Membesar dengan sihat di hadapan Abi dan Umi yang masih berjuang di perantauan.

Tidak ada ungkapan lain yang lebih layak untuk diungkapkan oleh seorang manusia bertaraf hamba melainkan Alhamdulillah, segala puji hanyalah bagi Allah.

Kami tidak ingin menjadikan tarikh 14 Februari sebagai tarikh bersukaria semata-mata. Sebaliknya ia adalah tarikh muhasabah dan berdoa semoga Allah cekalkan hati untuk meneruskan kehidupan yang masih berbaki.

Bahagia itu datangnya dari Allah. Mintalah kebahagiaan itu saban waktu, dan bukannya pada tarikh-tarikh tertentu.

14 Februari ; dalam kerendahan jiwa, kami meraikan pertemuan dua jiwa untuk membina cinta.

Terima kasih Allah. Terima kasih Allah.

 

( Selamat Hari Ulangtahun Perkahwinan Ke-2 buat isteri tersayang. Moga Allah rahmati cinta kita hingga ke Syurga, amin )

About Ahmad Syafiq

Gemar menulis dalam bidang motivasi dan keremajaan. Mula berkarya melalui penulisan blog seawal tahun 2007. Graduan Ijazah Sarjana Muda Syariah ( Fiqh dan Usul al-Fiqh ) dari Universiti Yarmouk, Jordan.

One comment

  1. Suatu coretan yang cukup-cukup indah dari jiwa seorang lelaki..doa saya semoga ustaz dan zaujah terus bahagia dan bersama sehingga ke negeri akhirat..amin

Scroll To Top