Tazkirah : Usah Berharap Lebih

 

” Penatlah. Dah berulangkali aku cakap benda yang sama. Mereka tetap serupa. “

” Masuk kali ini, entah sudah berapa puluh kali aku tulis isu yang sama. Mereka tetap tak faham-faham. “

” Mengapa ya? Preparation sudah cukup cantik aku rasa. Aku dah lontarkan yang terbaik. Mengapa anak didikku tetap dingin? “


Ajak manusia itu satu kerja.

Ajak tinggalkan maksiat, dekati ibadat. Ajak ubah kepada gaya hidup bersyariat, jangan leka dengan maksiat. Ajak ikut tauladan anbiya’, jangan asyik dengan jiwang karat.

Manusia yang punya kesedaran, akan buat kerja tersebut secara sukarela. Tanpa gaji lumayan, tanpa imbuhan bertindan-tindan. Mereka tahu, itu tanggungjawab dan bebanan kerja yang berbentuk taklifat. Dan kerja itu, namanya dakwah.

Penerimaan manusia, itu satu cerita yang lain.

Seorang pengajak, tidak harus membayangkan orang yang diajak akan berbondong-bondong menyahut ajakan mereka. Itu mustahil. Bahkan lebih penting, itu bukan dakwah namanya. Sebab, ajakan atau dakwah itu sendiri identitinya adalah susah, sukar dan memenatkan. Penat ajak orang, letih melayan kerenah orang.

 

Tapi apalah yang hendak dikeluhkan? Nabi s.a.w telah melaluinya beribu tahun dahulu. Orang yang Nabi s.a.w ajak, bukan semuanya sahut dan ikut. Bahkan ramai yang bangkang, ejek dan halau.

Kita hari ini, keadaannya sama.

Sebab itu bagi seorang pengajak, niatnya mesti tepat. Untuk apa diajak manusia? Untuk kepuasan dirinya atau kerana keredhaan Allah?

Ia menentukan tempat jatuhnya sebuah pengharapan.

Jika seorang guru mengajar muridnya semata-mata mahu menjadi guru terbaik ataupun diminati ramai, maka penghujungnya pasti kecewa. Silap-silap, belum sampai ke hujung sudah terbabas entah ke mana.

Lebih-lebih lagilah jika seorang manusia mahu mengajak manusia yang lain ke arah kebenaran. Puas diceritakan tentang kebenaran tersebut, beserta dalil dan bukti-buktinya, tetapi respon yang diterima tetap hambar. Bersahaja. Kadangkala, terasa bagai mencurah air ke daun keladi.

Maka penentu kepada keadaan tersebut, tidak lain dan tidak bukan adalah niat. Jika benar redha Allah yang didamba, bukan sekadar respon hambar, bahkan jika pendengar menutup telinga sekalipun dia tetap akan teguh dan istiqamah dengan ajakannya.

Firman Allah Ta’ala :

 

 

” ( berkata Nuh ) Dan sesungguhnya setiap kali aku menyeru mereka ( kepada Iman ) agar Engkau mengampuni mereka, mereka memasukkan anak jari ke dalam telinga dan menutup baju ke muka, dan mereka tetap mengingkari dan berlagak sombong ” ( Nuh : 8 )


HIDAYAH

Tidak hari ini, mungkin esok.

Dia membangkang kita hari ini, mungkin dia menerima hari esok.

Kata-kata ini perlu selalu dibisikkan jauh ke lubuk jiwa setiap kali kita mengajak manusia ke arah kebaikan.

Kadangkala, orang yang kita ajak sengaja menyakiti hati kita atau sengaja membesar-besarkan keegoan mereka. Adakala, kesabaran kita menipis sehingga amarah bersuara pinta dihamburkan semahunya. Namun orang beriman ada jatidirinya.

Menyeru ke arah kebaikan, jalannya juga mesti bercirikan kebaikan.

Jangan kita fikir, orang yang angguk mendengar ajakan kita hari ini, akan terus bertahan hari esok.

Jangan juga kita fikir, orang yang memandang sinis ajakan kita hari ini, tidak akan terbuka hatinya hari esok.

Ianya soal hidayah. Dan hidayah itu hak mutlak Allah. Sayang bagaimana sekalipun kita pada seseorang, kita hanya mampu cakap. Mampu ajak. Mampu tunjukkan jalan.

Dan kiranya hasil usaha kita tidak seperti yang kita mahu, kembalilah kepada Allah.

Hanya dialah sebaik-baik tempat mengadu dan berharap. Nabi s.a.w mengajar kita suatu kemuliaan yang cukup tinggi, bilamana Baginda s.a.w menyebut doa : ” Ya Allah, berikanlah hidayah kepada kaumku, sesungguhnya mereka itu tidak mengetahui “.

Jadi, usahlah berharap lebih dari usaha kita terutama dari lidah manusia. Tetapi berharaplah semata-mata limpahan kemewahan di akhirat kelak, yang insyaAllah maharnya adalah keikhlasan.

Sekian.

About Ahmad Syafiq

Gemar menulis dalam bidang motivasi dan keremajaan. Mula berkarya melalui penulisan blog seawal tahun 2007. Graduan Ijazah Sarjana Muda Syariah ( Fiqh dan Usul al-Fiqh ) dari Universiti Yarmouk, Jordan.

2 comments

  1. salam….ana suka sangat dengan post ni…ana mohon share ya…

  2. salam…ana suka dengan post ni…ana mohon share ya..

Scroll To Top