Bagaimana Pertunangan Terputus

 

Saya tidak pasti adakah soal ini diambil perhatian oleh semua orang ataupun tidak. Tapi yang pasti, memang ada yang keliru dengan hal ehwal pertunangan ini. Daripada bagaimana sesebuah pertunangan terjadi, sehinggalah kepada bagaimana sesebuah pertunangan terputus.

Perkara yang mudah untuk difahami, tetapi mungkin ramai yang terlepas pandang.

Saya telah menulis beberapa artikel tentang bab bertunang ini. Antaranya di sini, sini dan sini

Kali ini saya sekadar mahu menulis ringkas tentang bagaimana terputusnya satu-satu pertunangan.

Sebelum itu, saya nak ulang balik beberapa perkara penting dalam tajuk bertunang :

1. Pertunangan bukan akad nikah. Ia adalah janji untuk bernikah.

2. Hikmah sebenar pertunangan adalah untuk kenal mengenal dan mencari keserasian antara pasangan dan dua keluarga.

3. Sepakat para fuqaha’ bahawa haramnya pinangan atas pinangan, melainkan jika diizinkan oleh si lelaki.

Tiga perkara yang disebutkan di atas sangat penting untuk difahami apabila kita berbicara tentang pertunangan. Sebabnya, banyak sekali kekeliruan yang berlaku berpunca daripada tidak faham dengan jelas tiga perkara di atas.

Sebenarnya, bagaimana pertunangan terputus dengan bagaimana pertunangan terjadi, kaifiatnya lebih kurang sama.

  • Pertunangan terjadi apabila seorang lelaki menyatakan hasrat untuk menjadikan seseorang wanita itu sebagai isterinya, yang kemudiannya diterima oleh wali si wanita ataupun oleh wanita tersebut, maka jadilah keduanya pasangan yang bertunang. Kesannya, haramlah orang lain untuk meminang si wanita tersebut.
  • Pertunangan terputus apabila si lelaki menyatakan untuk membatalkan pinangannya, ataupun si wanita membatalkan penerimaannya, ataupun wali si wanita membatalkan penerimaannya.

Ini kerana, pertunangan bukanlah akad nikah. Dalam sesebuah pernikahan, kuasa talaq adalah di tangan suami. Lafaz talaq dari isteri tidak sah sama sekali. Adapun bertunang, keadaannya tidak begitu.

Bertunang hanyalah sekadar perjanjian untuk berkahwin setelah melalui proses-proses perkenalan ( suai kenal ) dan membuat penilaian mendalam. Contohnya macam kita berjanji untuk membeli satu-satu rumah, kemudian setelah melihat dan meneliti, tiba-tiba kita menemui kecacatan tertentu ataupun pertimbangan kita berubah, lantas kita membatalkan perjanjian untuk membeli rumah tersebut. Begitu jugalah dengan pertunangan.

Setiap dari keduanya, baik lelaki ataupun perempuan, berhak untuk membatalkan pertunangan yang dibuat, meskipun tidak dipersetujui oleh salah seorang dari keduanya.

 

Apa hukumnya?

Pembatalan pertunangan ini hukumnya adalah harus, samada pembatalan itu dari si lelaki, atau wanita, atau wali kepada si wanita, kerana pertunangan itu bukanlah akad nikah atau perkahwinan, akan tetapi ia adalah janji untuk bernikah. Bagaimanapun pembatalan ini menjadi makruh sekiranya bukan kerana sebab-sebab yang jelas lagi syarie seumpama si wanita atau walinya nampak sesuatu yang tidak kena pada si lelaki sehingga memerlukan kepada dibatalkan pertunangan dan membatalkan penerimaan yang telah dibuat. Ataupun si lelaki nampak sesuatu yang tidak kena pada tunangannya yang memerlukan kepada pembatalan pertunangan, asalkan ianya daripada sebab-sebab yang diterima syarak.

Dr Abdul Karim Zaidan, Al-Mufasshal Fi Ahkam Al-Mar’ah Wal Bait Al-Muslim ( 4/ 74 )

Jadi jelas kepada kita bahawa meminang atas pinangan orang lain itu hukumnya haram, manakala memutuskan pertunangan dengan sebab-sebab yang perlu adalah harus, dan dengan sebab-sebab yang tidak perlu ( semata-mata mahu putus tanpa sebab ) hukumnya adalah makruh.

 

Beberapa situasi yang sering berlaku :

 

(1 ) Gantung tak bertali

Ada beberapa situasi, si wanita bagaikan digantung tak bertali apabila matlamat untuk bernikah semakin kabur sedangkan tempoh bertunang semakin lama. Si lelaki pula bagaikan tidak serius untuk bernikah, sebaliknya lebih selesa membiarkan hubungan mereka ‘pending‘ begitu sahaja. Akibat tidak tahu bagaimana mahu memutuskan pertunangan, maka si wanita terus bertahan tahun demi tahun. Akhirnya, si lelaki dengan mudah-mudah sahaja memutuskan pertunangan dan membiarkan si wanita terkapai-kapai sendirian.

Saya melihat situasi seperti ini berlaku dengan beberapa faktor. Antaranya tidak serius dengan pertunangan, bercampur tidak menjiwai matlamat pertunangan itu sendiri. Matlamat untuk saling mengenal dan bergerak ke arah pernikahan bertukar kepada matlamat untuk bermain cinta, saling berkasih sayang dan sekadar untuk reserve si wanita daripada diambil orang lain. Begitu juga, si wanita tidak memainkan peranan dengan baik. Sebagai tunangan orang, si wanita tidak sepatutnya meletakkan diri dalam ‘penjara’ dan hanya bergerak mengikut kata-kata tunangnya sahaja. Dia sepatutnya lebih proaktif dan serius, sebagai mengimbangi perjanjian awal yang dibuat.

Kiranya si lelaki mula hilang arah dan mula hilang serius, si wanita perlu bertegas, samada diteruskan atau dibatalkan. Banyak kes, si wanita kerugian akibat pintu yang tertutup sedangkan lamaran demi lamaran yang datang daripada lelaki yang lebih baik.

 

( 2) Datang yang lebih ideal

Ada juga situasi, si wanita pada mulanya bersetuju menerima pinangan si lelaki dan masing-masing akan berusaha untuk berkahwin. Namun tindakan dari si lelaki selepas pertunangan sangat lembab. Lebih gemar berada dalam zon selesa berbanding berusaha keras bagi menyegerakan pernikahan. Lebih suka berhubung saban waktu dan berbicara perkara-perkara yang tidak penting berbanding menghubungi ibu bapa si wanita dan membincangkan untuk segera bernikah. Si wanita yang asalnya menerima mula tawar hati, dek kerana janji-janji sebelum bertunang kelihatannya tidak bersungguh-sungguh dilaksanakan. Bagaikan sekadar mahu ‘menanda’ si wanita daripada diambil oleh orang lain.

Dalam masa yang sama, ada seorang lelaki lain yang juga berhasrat kepadanya dan menjanjikan pernikahan dalam tempoh yang lebih cepat. Keadaan itu lebih sesuai dengan kehendak si wanita. Akan tetapi, dia tersekat atas nama ‘tunangan orang’ di mana haram baginya menerima pinangan yang lain. Sedangkan dalam keadaan tersebut, si wanita boleh saja membatalkan pertunangan yang telah dibuat.

 

( 3) Lelaki tidak izinkan

Ada juga situasi, si lelaki berkeras tidak mahu membatalkan pertunangan yang telah dibuat, walaupun pihak wanita melalui walinya sudah membuat keputusan untuk membatalkan pertunangan. Kononnya, pertunangan itu tidak boleh diputuskan kerana dia tidak izinkan. Kefahaman ini silap, kerana hak untuk memutuskan pertunangan tidak hanya terletak pada si lelaki sebagaimana dalam perkahwinan, sebaliknya ia terletak kepada ketiga-tiga pihak ; lelaki, wanita dan wali si wanita.

Jadi sekiranya pihak wanita ingin memutuskan pertunangan, memulangkan kembali cincin dan sebagainya, maka si lelaki terpaksalah menerima dengan redha. Apapun, saya kira di sana masih ada banyak ruang-ruang diplomasi yang boleh digunapakai dengan sebaik-baiknya.

 

Kesimpulan

Pembatalan sesebuah pertunangan bukanlah suatu perkara yang menggembirakan. Namun adakalanya, ia menjadi langkah yang terpaksa dibuat demi menjaga maslahat yang lebih besar. Maka saya nasihatkan, bertunanglah dengan menjiwai hikmah pertunangan, agar pertunangan tidak menjadi fitnah dan benar-benar dapat dicapai kehendaknya yang digariskan syarak. Sebaik-baik pertunangan adalah dengan menyegerakan pernikahan, kerana ia lebih selamat dari fitnah dan lebih menyempitkan ruang-ruang untuk diganggu oleh syaitan.

Sekian.

About Ahmad Syafiq

Gemar menulis dalam bidang motivasi dan keremajaan. Mula berkarya melalui penulisan blog seawal tahun 2007. Graduan Ijazah Sarjana Muda Syariah ( Fiqh dan Usul al-Fiqh ) dari Universiti Yarmouk, Jordan.

7 comments

  1. assalamuálaikum ustaz….bagaimana kalu pertunangan diputuskan disebabkan oleh orang ketiga?maksudnya lelaki@wanita jatuh hati kepada orang lain sepanjang tempoh pertunangan itu?apakah hukumnya?

    • wslm. jika selepas bertunang jatuh hati pada orang lain dan rasa tidak boleh diteruskan pertunangan, maka boleh saja dibatalkan pertunangan tersebut.

  2. assalamualaikum, sy nak bertanya sekiranya lelaki tersebut (tunang sy) suda lama x bkerja iaitu sblm kami btunang lagi sehinggala skrg, orang nya baik tp masala besar dia suka mengongkong..mana saja sy nak pergi mesti nak minta persetujuan drpd dia. Sy yang paksa dia btunang dgn sy sbb nak dia brubah selepas btunang maksudnya dia harus mula bfikir psl depan kami dgn serius tp sampai sekarang pun dia belum mendapat kerja walaupun sy suda berkali-kali ingatkan dia, jadi apa nasihat dari ustaz cara jalan penyelesaian nya & adaka sy berhak memutuskan pertunangan ini.

  3. assalamualaikum…ustaz. nk tye…sy bry bertudang lbh kurg 3 bln lps…dulu sy amat sygkn tunang sy…sgt setia kpdnye…sy selalu dahuluknye dlm sgala hal..menerima teguranya…tp baru2 ni..ade seorg gadis pkerja baru di tmpat kerjanya…ktanya budk 2 bagus…die suke tgk bdak 2. ktanye bdk 2 bagus dan brtudung labuh….sjak hari 2 sy xsedap hati…smpai satu hari sy trbace msj yg die hntr kt bdk 2…die bhsakn dirinya ‘abg’ dan bdk 2 ‘syg’…hncur hati sy ustaz..sy tahu sy byk kurg..tp xbolehkh die trima klemahan sy mcm sy trima klemahan dia…bile sy tye die ckp die brgurau sje dgn bdak 2…sy xpcaye ustaz…ptutlh sblum ni sy prasn cre die pndng bdk 2 pn lain…mcm ade prasaan…kbtuln bdk 2 pn ade maslah ndn pkwe die…so tunang sy kate dia cuma nk gembirakn hati bdak 2…tp dlm msj yg sy bace die siap berjnji2 lg dgn bdk 2..jnji2 manis…skrg sy dh tawar hati ustaz..tawar sgt2.mmg sy dh maafkn dia..tp sy xbleh nk trime die….skrg sy brtudung labuh..prtama kali die tgk sy pkai tudung labuh die senyum dan kata trime kasih, x sia2 die pilih sy…dia kata mesti mk ayah die suke….mmg sy ade fikirkn tntng keluargnya dan keluarga sya…sy bimbang klu hbugn ni ptus ape akan jadi…tp entahlah ustaz…hati sy ni…kdg2 rse benci..tp yg pasti syg sy kt die dh xmcm dulu lg.

  4. assalamualaikum ustaz… sy nak tnya.. sy dah btunang dgn seseorg yg sy xkenal ats dsar kluarga.. sy tak bleh sygkn dia sbb sy dah ad org lain sblum tunang sy tu.. sy msih tak dpt lupakan keksih sy.. sblum tu mcm2 alasan dah sy tolak pinangan dia dlu..tp fmily sy kurg setuju sbb tunang sy tu dr kluarga sblah atuk sy.. hmpir sluruh fmily sy stuju nak sy trima pinangan tu kcuali mak sy.. kluarga sy tetap mahukn sy trima pinangn tu ats sbb2 yg tak dpt di elakkan sprti mahu menjaga hubungan kekeluargaan.. sy betul2 blum bsedia lg mahu memberikan komitmen dlm hubungan yg serius sbb sy masih mentah lg dlm hal2 ni.. umr pun msih 19 tahun dan msih blajar.. sy btul2 buntu dgn msalah ni.. sy tak tahu nak ckap apa utk putuskan pertunangan kami..

  5. salam ust. sy sudah bertunang. dan sblm brtunang sy tidak mngenali dgn dkt mngenai keluarga tunang sy tu. dan dia meminang sy bsndirian. hanya ayahnya sj yang tahu. itu pun selepas sy memaaksanya utk memberitahu atleast slh sorg dr kluarganya.smse fatrah btunang, dia masih tdak mmperkenalkan sy dgn fmily nya. dan sy juga rasa seperti ada sesuatu yg disorokkan. dia mcm acuh xacuh bila berbicara soal family. hingga sy fedup.
    bila sy bercakap mengenai hal ini, dia tidak ambil serius dan menyalahkan sy. boleh kah sy memutuskan ptunangan krne sbb ini ? krne bg sy restu familynya sgt sy titikberatkan. tetapi, lain pulak jadinya.

    mohon respon dr ust , jzkk .

    • Wslm wbt. Pertunangan itu ikatan sementara, objektifnya untuk mengenali latarbelakang dan membuat perancangan berkahwin. Berkahwin itulah yang kita inginkan kekal selamanya. Kalau nama sahaja bertunang tetapi objektifnya tidak tercapai maka bertunang itu menjadi sia-sia. Tidak lebih sekadar tempat bermain rasa sahaja. Masing-masing yang telah bertunang mesti kembali kepada objektif bertunang, mesti usaha biar tercapai, sebab matlamatnya adalah bernikah. Jika objektif tunang tidak dipenuhi bagaimana mahu membuka pintu pernikahan? Jadi saya nasihatkan supaya bertegas dengan objektif dan sepakati bersama. Sekiranya tidak, maka saya kira saudari tahu apa langkah yang sepatutnya. Pernikahan bukan suatu yang remeh, perlu keseriusan kedua2 pihak jika mahu merealisasikannya. Wallahua’lam.

Scroll To Top