Selamat Datang

Mengapa Perlu Motivasi Cinta?

Cinta. Cinta. Cinta.

Kadang-kadang ianya sungguh muak untuk disebut, lagi dan lagi. Kadang-kadang ia cukup bosan untuk dibincangkan, lagi dan lagi. Sehingga terdetik dalam hati, tidak ada topik lain ke?

Berbicara tentang cinta, seolahnya tidak ada topik lain yang lebih penting untuk dibicarakan. Menulis tentangnya juga begitu. Masih banyak isu-isu ummat Islam yang lebih utama dan lebih bermanfaat untuk ditulis, daripada menghadam topik cinta berulang kali.

Tempias dari situasi pemikiran seperti ini, acapkali juga menimpa blog saya, sekaligus sebenarnya agak mencarik fokus saya dalam menulis. Lalu saya terfikir, perlunya untuk saya melakar kembali fokus penulisan saya agar saya sendiri kekal berprinsip dengan paksi yang betul, begitu juga dengan para pembaca yang singgah ke laman ini.

SOAL CINTA

Asas kepada cinta sudah tentulah cinta kepada Allah dan Rasul. Ini jelas, terang lagi bersuluh bilamana Allah ta’ala menyebut di dalam Al-Quran :

” Dan orang-orang beriman itu ( sesungguhnya ) bersangatan cinta mereka kepada Allah “

Ditambah pula dengan sabda Nabi s.a.w :

” Tiga perkara yang jika dimiliki pasti akan dirasai kemanisan Iman ( antaranya ) : Menjadikan Allah dan Rasul sebagai kecintaan yang paling utama melebihi selain daripada keduanya..”

Dua nas ini sudah cukup untuk menyimpulkan bahawa cinta yang sebenar, adalah cinta kepada Allah dan Rasul, serta apa yang dibawa oleh Rasul yakni Islam itu sendiri. Jadi bagaimana pula dengan cinta sesama manusia? Sedangkan masalah yang kerap menimpa kita adalah bab cinta sesama manusia.

Jawabnya mudah. Cinta kepada sesama manusia, sepatutnya adalah buah cinta yang lahir daripada kecintaan hakiki kepada Allah dan Rasul. Ini titik temunya.

Bermakna, cinta sesama manusia yang tidak mengenepikan hak kepada Allah dan Rasul adalah cinta yang dibenarkan, manakala cinta sesama manusia yang membelakangkan hak Allah serta Rasul maka itu adalah cinta yang salah dan dilarang.

 

MENGHALANG CINTA

” Cinta? Kecik-kecik dah cakap pasal cinta? Dah gatal sangat..?! “

Herdikan begini perkara biasa yang akan diterima oleh budak muda yang mahu bercinta. Jarang sekali keinginan mereka disambut dan diurus dengan baik. Kebiasaannya, ia dihalang. Dihalang kerana banyak sebab. Tanpa menafikan faktor si budak yang masih muda, sebenarnya faktor orang tua yang tidak pandai mengurus atur bab cinta juga acapkali membuahkan satu lagi masalah yang lebih besar.

Orang tua tidak dipercayai untuk diceritakan tentang cinta. Orang tua tidak diyakini mampu menyelesaikan hal ehwal berkaitan cinta. Ini perkara biasa yang akan tersemat dalam minda budak muda, sebagai respon balas kepada ‘halangan’ orang tua.

Menghalang cinta atau lebih tepat, menghalang keinginan budak muda untuk bercinta, sebenarnya bukanlah suatu tindakan yang bijak. Menghalang tidak akan menyelesaikan masalah, kecuali dalam beberapa keadaan yang sedikit. Menghalang dengan hujah mungkin masih boleh diterima, tetapi kebiasaan menghalang tanpa hujah sangat tidak dapat diterima, lebih-lebih lagi oleh jiwa si budak muda.

 

JATUH CINTA PERKARA BIASA

Masalah lelaki jatuh hati pada perempuan, perempuan jatuh hati pada lelaki, ini bukan perkara ajaib bahkan ia suatu perkara yang sangat biasa. Soal jatuh hati itu pula tidak ada siapa yang boleh sekat, meskipun oleh orang yang melahirkan atau membesarkan mereka.

Lebih daripada itu, perlu diperhalusi dengan baik akan ‘perkara biasa’ tersebut. Jatuh hati atau jatuh cinta, bukan bermakna comfirm berakhir dengan zina. Jatuh hati atau jatuh cinta, bukan bermakna comfirm akan berlaku maksiat. Ini salahfaham yang sangat teruk, sehingga kebanyakan daripada golongan dewasa enggan bersikap terbuka dalam hal ehwal cinta.

Jatuh cinta bukan masalah, yang menjadi masalah adalah bagaimana mengurus sebuah cinta. Menghalang bukan tindakan kita, sebaliknya menyalurkan cinta itu kepada saluran yang betul adalah tanggungjawab berat yang wajib kita pikul.

Hanya setelah gagal menyalur cinta, barulah timbul sejuta masalah dalam hidup manusia. Tanpa kawalan, tanpa panduan, tanpa bimbingan , mereka cenderung mengikut kata hati masing-masing. Akhirnya , jiwa ‘budak muda’ itu ditimpa musibah tanpa sudah.

 

MOTIVASI CINTA

Orang jatuh cinta perlukan motivasi, perlukan panduan, bimbingan, semangat dan sebagainya. Bukan saja orang yang sudah jatuh cinta, orang yang belum jatuh cinta pun sebenarnya sangat perlukan perkara tersebut. Cuma kadangkala, keegoan dalam diri menghijab maksud sebenar di hati.

Gagal membezakan yang mana salah dan yang mana betul, akhirnya semua perkara dipandang sebagai salah dan serong. Menganggap sesuatu perkara tidak penting, menjemukan dan membuang masa, lalu ‘dipaksa’ orang lain untuk mempunyai tanggapan yang sama.

Saya berfikir dengan mendalam. Sekiranya ‘kerja’ tidak rasmi yang sedang saya lakukan ini tidak bermanfaat, tidak penting ataupun ‘tidak diperlukan’, apa yang terbukti di depan mata membuktikan sebaliknya. Mereka memberitahu saya tentang manfaat yang mereka dapat, dan sudah tentu segala rasa syukur saya pulangkan kepada Sang Pemberi Manfaat, iaitu Allah.

Saya bukan sesiapa. Saya tidak ada kuasa untuk memberi bahagia, tidak ada super power untuk menentukan takdir hidup sesiapa. Apa yang terlakar, pendek mahupun panjang, itulah cetus ilham yang saya dapat, setelah diadun serba sedikit dengan ilmu dan pengalaman.

Melihat ‘mereka-mereka’ yang datang kepada saya, di alam maya mahupun di alam nyata, mencambahkan keyakinan kepada saya bahawa motivasi cinta ini bukanlah suatu hal picisan yang boleh dibuat main-main. Ia ibarat paksi penting dalam sebuah kehidupan. Sesiapa jua perlu mengakui hakikat tersebut apabila tiba masanya.

 

PERLU DAN TIDAK PERLU

Mereka yang mempunyai keperluan akan mengakhiri ‘lawatan’ mereka dengan penghargaan. Sebaliknya orang yang tidak mempunyai keperluan akan mengakhiri ‘lawatan’ mereka dengan keluhan.

Itu normal.

Soal cinta mungkin dianggap sudah jemu, muak ataupun bosan oleh sesetengah orang, namun di sana terdapat sebahagian besar yang langsung tidak merasakan demikian. Kerana apa?

Cuba lihat. Orang yang merasa bosan boleh jadi kerana sudah tahu, sudah pernah lalu, sudah pernah rasa, sudah ada pengalaman dan sebagainya. Dalam meneruskan langkah, soal cinta bukan lagi menjadi prioriti hidup mereka.

Tetapi di sana, ada satu golongan yang masih baru atau masih belum mengenal cinta. Generasi baru yang keperluannya tidak sama dengan generasi lama. Cara fikir yang jauh berbeza. Berbicara soal cinta dengan generasi lama boleh jadi sangat membuang masa, tetapi meluangkan masa, tenaga dan idea demi berbicara soal cinta dengan generasi baru besar kemungkinan mengait banyak pahala.

Justeru saya kira, biarlah yang berada di sini cuma yang ‘perlu-perlu’ sahaja. Yang tidak perlu, janganlah biarkan diri anda membuang masa.

 

DAKWAH DAN CINTA

Benar, sangat banyak isu ummat yang mahu diperkatakan. Kita memandang semuanya sebagai penting. Namun harus diingat, perkara penting itu wajib sama-sama dipikul dan dilaksanakan. Bukannya membiarkan satu orang memikul semuanya, manakala kita memandang sahaja tanpa berbuat apa yang kita kata.

Dakwah adalah satu kerja yang bukan mudah. Silap cara, silap niat, padahlah jawabnya.

Menulis tentang cinta ini, saya niatkan kerana agama, kerana saham akhirat, sebagai amal jariah sekiranya esok hari terakhir untuk saya. Tetapi bisikan jahat untuk menuju populis kadangkala cukup meresahkan jiwa. Ditambah pula, apabila di sana kelihatan begitu banyak blog mahupun group FB yang masing-masing seolah ‘bersaing’ untuk menjuarai bab ” Cinta Islamik “.

Tidak mengapalah jika dakwahnya mengena. Namun apa yang membimbangkan adalah liuk lentoknya tidak begitu. Membuka satu ‘komuniti’ dengan nama ‘islamik’ kemudian mengisinya dengan tazkirah cinta, mutiara cinta dan pelbagai lagi madah cinta islamik, TETAPI membiarkan ahli-ahli komuniti ‘bertepuk tampar’ sesama sendiri tanpa sedikit pun mempedulikan soal ikhtilat lelaki dan perempuan.

Sesetengahnya pula, apabila diselidiki rupanya diuruskan oleh individu yang masih terlalu muda dan belum pun berkahwin. Sungguh merisaukan apabila dakwah yang dicita kelihatannya seperti ‘kalimah yang haq namun dikehendaki hanyalah kebatilan’.

Jangan begitu kawan. Perjuangan kita adalah membersihkan cinta dari segala fitnah yang dilemparkan kepadanya. Perjuangan kita adalah mengembalikan kembali kesucian cinta ke tempat asalnya, iaitu sebagai ‘buah enak’ yang lahir daripada kecintaan hakiki kepada Allah dan Rasul.

Selain cinta, mungkin masih banyak isu ummat Islam yang perlu dibicarakan. Ambillah tanggungjawab tersebut selagi merasakan diri kita seorang muslim. Apabila saya memfokuskan kepada sesuatu bab, bukanlah bermakna saya menidakkan kepentingan bab yang lain. Tidak menulis tentang semua benda bukan bermakna tidak mengambil tahu tentang benda-benda tersebut, apatah lagi jika ianya melibatkan masalah ummat Islam.

 

BUAT DAN BUAT

Sebagai akhirnya, renungi kembali firman Allah di dalam surah At-Taubah.

” Dan katakanlah ( wahai Muhammad ) beramallah kamu, nescaya akan dilihat amalanmu oleh Allah, RasulNya dan orang-orang beriman..”

Beramal maknanya buat dan buat, jangan hanya cakap dan cakap. Buat kerja dakwah bukan suatu benda yang mudah, dengan makna tanpa cabaran mahupun dugaan. Kalau buat kerja atas nama dakwah, pasti dan pasti akan rasa susah. Kalau tidak susah, bukan dakwah namanya.

Apabila segala tenaga, masa dan idea kita disalurkan kerana Allah demi dakwah ke jalanNya, maka apa sekalipun bidangnya ia pasti akan diuji. Termasuklah menulis tentang cinta. Menulis untuk membuai perasaan orang muda memanglah mudah, namun menulis untuk menggamit hati mereka merasa lunak dengan cinta kepada Allah, itu suatu perkara yang sangat payah.

Kerana itu kita perlukan motivasi cinta. Jika disempitkan cinta itu hanya antara dua jantina, memanglah tidak terasa apa-apa. Tetapi jika dipandang dalam konteks yang lebih luas, insyaAllah bahang cintaNya akan terasa. Jika ditanya kepada saya, siapa sebenarnya yang sangat perlukan motivasi cinta?

Maka saya pasti akan menjawab, orang itu adalah saya!

 

Sekian.

About A. Syafiq Jusoh

A. Syafiq Jusoh merupakan pelajar tahun akhir Yarmouk University, Jordan dalam jurusan Syari'ah pengkhususan Fiqh dan Ushul al-Fiqh. Memulakan karier penulisan blog dari tahun 2007 sehingga sekarang. Merupakan penulis buku Manisnya Cinta Si Anak Muda terbitan Karya Bestari Sdn Bhd.

7 comments

  1. ruangan ini bnyk membantu sy dlm mencari jln keluar………syukran…bleh buat rq?… bleh buat artikel tntg shbt….mslh dgn shbt memang menyakitkan. ssh nk hndle hati bla berhadapan dgn shbt yg sering membuat kita sedih n shbt tu lah yang kita syg…

  2. hati saya dah tawar.. dulu saya pernah berusaha untuk ke arah pernikahan.. tp tak sangka ramai yg menentang.. cakap terdesak.. sanggup tgk anak bercinta tanpa ikatan sah.. akher nya saya undur diri.. walaupun susah hendak melupakan.. saya cube.. biarlah Allah tentukan.. hati ini betul2 kecewa dgn manusia yg…

    . wassalam

  3. terbaik artikel ni ustaz :j…. jazakallah… truskan memotivasi dan dimotivasi…. pastinya masih sgt ramai yang tercari2 makna cinta sebenar..,, dan motivasi cinta bersyariat sebeginilah yg sgt perlu utk digarap dn diberikan panduan pd masyarakat agr mereka tidak memilih cinta yg salah dn mampu menguruskan cinta yg hadir seiring jalan yg diredhai Allah …mslh cinta mampu mendekatkan diri manusia kembali kpd Allah. smg ikhtiar ini mendapat ganjaran dr Allah swt… truskan ‘bekerja’ mengikut posisi masing2…insyaallah smg mesejnya tetap smpai kepada semua.. :)

  4. Ya Allah aku sedang jatuh cinta.. hanya Allah yg tahu bagaimana perasaannya.. ianya hadir tanpa undangan,hendak diluahkan bimbang bertepuk sblh tngan,diluah mati emak..ditelan mati bapak.

  5. Menjadikan Allah dan Rasul sebagai kecintaan yang paling utama