Wanita, Benteng Hati Dan Anak Kunci

 

gambar hiasan

Mahu menjadi wanita yang baik. Mahu memiliki suami yang baik.

Itu harapan wajib setiap wanita. Samada pernikahan sudah dekat atau masih dilihat jauh, niat dan rasa itu ada ketikanya sukar disembunyikan. Lantas ia diluahkan dalam banyak cara. Antara paling ketara adalah di facebook.

Perkongsian pelbagai gambar dan animasi, gambaran indahnya ‘hidup bersyariat’ dan percintaan selepas nikah, serta pelbagai note ringkas di bawah setiap gambarnya jelas menunjukkan harapan dan cita-cita murni para srikandi hari ini.

TRAGEDI DAN IKTIBAR

Syukurlah. Meskipun kita hidup di zaman yang sangat mencabar, dengan pelbagai gejala pelik kedengaran saban hari, namun di sana kita ada peluang besar untuk mengenali kebejatan maksiat dan bertindak bijak menjauhinya.

Menjauhi pergaulan bebas, percintaan tanpa batas yang membawa kepada gejala zina dan buang anak.

Kelihatan ramai wanita yang dapat bersedia lebih awal. Maksudnya, sebelum mereka mengenal cinta, mereka telah terlebih dahulu mengenali bahana yang lahir daripada sebuah cinta. Justeru mereka dapat mengambil tindakan berjaga-jaga dari awal.

Pada saya, ini sudah tentu suatu perkara yang sangat positif.

 

UMUM DAN KHUSUS

Tetapi perlu diingat.

Melihat dan mentafsir perkataan ‘cinta’ secara umum dengan melihat dan merasai secara khusus adalah dua benda yang jauh berbeza.

Di sinilah, kebanyakan wanita jatuh dan terus jatuh.

Ketika ‘bayu’ cinta itu belum menyapa, anda cuma menyaksikan kehidupan orang lain. Ujian orang lain. Cabaran orang lain. Kesalahan bercinta oleh orang lain. Anda lantas mengambil pendirian tertentu atau komen tertentu atau kritikan tertentu. Normalnya begitu.

Namun apabila ‘bayu’ cinta itu menyapa anda sendiri secara khusus, barulah anda tahu langit itu tinggi atau rendah!

Sebab itu jangan pelik, apabila ada wanita yang dilihat begitu kuat berpegang dengan agama, atau sebahagian orang mengistilahkan sebagai ‘syadid’, di mana mereka bersikap keras dalam hal ehwal couple, cinta dan masalah hati, namun apabila tiba masa hati mereka direntap perasaan tersebut, mereka mula menikus dan mahukan privacy.

Jangan ditanya ; mengapa kau pun ‘terima’ juga cinta walhal sebelum ini engkau bukan main lagi nasihat orang sini sana?

Kerana jawapannya telah lama saya tuliskan : fitrah itu jangan diperangi, kelak engkau bakal malu sendiri.

 

HATI UNTUK SATU

Kelemahan paling besar untuk seorang wanita adalah apabila mereka menerima seseorang dan meletakkan orang tersebut di dalam hati mereka. Wanita diciptakan dengan prinsip kesetiaan yang cukup luar biasa.

Hati mereka hanya untuk seorang sahaja.

Apabila telah diberi, sukar untuk diambil kembali dan sukar untuk dikongsi-kongsi.

Dalam hal ini, saya tidak menyalahkan wanita yang bersikap ‘keras’ seratus peratus kerana itu mungkin alternatif terbaik mereka supaya hati yang mahal itu kekal terjaga dan terpelihara. Cuma perlulah berpada-pada. Jangan sampai tahap ‘isytihar perang’ kerana itu jelas bukan satu tindakan yang bijak. Jangan pula terlalu lembut dan terbuka, sehingga dengan mudah boleh dipermainkan oleh sesiapa sahaja.

Mahu atau tidak, kelemahan yang satu ini perlu diakui oleh anda. Mengakui kelemahan ini sewajarnya menjadikan anda lebih bijak dan matang dalam bertindak.

 

CARA TERBAIK

Jika ditanya pada saya, sudah tentulah cara paling baik, selamat dan bijak adalah ; tidak menerima dan meletakkan seorang lelaki di dalam hati kecuali setelah dikenali, diselidiki dan diyakini bahawa lelaki itu adalah manusia baik yang mahu menikahi anda secepat yang mungkin.

Percayalah. Menjaga hati daripada diberi kepada seseorang bukanlah suatu kerja mudah, lebih-lebih lagi untuk seorang wanita. Ia bukan suatu pembelajaran dari dalam bilik kuliah, dan bukanlah suatu praktikaliti di makmal-makmal tertentu. Ia adalah soal kehidupan.

Janganlah terlalu mendabik dada kononnya anda kuat dan powerful. Tiada lelaki mampu tawan hati anda selain suami. Anda tidak akan jatuh cinta sebelum kahwin. Dan pelbagai ‘slogan’ lain yang pada saya, tidak nampak keperluannya untuk dilaungkan oleh anda.

Bergaul dengan manusia dan mengambil ibrah dari kehidupan, membuatkan saya terbuka untuk menterjemahkan mesej ini kepada anda. Ramai sekali wanita yang berlagak gagah dalam hal ini, namun sebenarnya hati mereka jauh lebih halus dan rapuh berbanding minah rempit. Ini hakikat.

 

KAMAR PERIBADI

Apabila terlajak meletakkan seseorang di dalam hati, ia bukan suatu yang mudah untuk diundur kembali. Apatah lagi jika sudah banyak ‘suka duka’ atau ‘warna warni’ yang telah dikongsi. Kadangkala si wanita tampak hebat umpama seorang srikandi perang di luaran namun apabila kembali ke kamar peribadi, dia seolah bertukar personaliti.

Kepada lelaki itulah segalanya terasa lebih mudah untuk diadu. Segala masalah seolah hilang apabila disapa perhatian dan keprihatinan si lelaki. Meskipun anda sedaya upaya cuba ‘melaungkan’ kepada dunia bahawa KAMI HANYA KAWAN tetapi percayalah, suara anda itu hanyalah bahan ejekan untuk geng Syaitan.

Dalam tidak sedar, sebenarnya anda sedikit demi sedikit telah menukar ‘hak milik’ hati anda kepada lelaki tersebut. Seminggu mungkin anda boleh mendabik dada. Setahun dua tahun, belum tentu.

Pemberian ‘anak kunci’ hati bukan hanya berlaku secara rasmi sebagaimana anda saksikan dalam filem atau drama , di mana si lelaki melutut dan melamar ‘i love you’ kepada anda. Ataupun apabila si lelaki telah mengakad nikah dan menyarung cincin kahwin ke jari anda. Banyak kes, setelah detik-detik ‘rasmi’ tersebut berlaku pun, wanita masih gagal menyerahkan ‘anak kunci’ hati mereka kepada si lelaki.

Tetapi ‘anak kunci’ itu seringkali diserahkan tanpa sedar. Maharnya bukan material. Cukuplah kasih sayang, perhatian, memahami dan seribu satu kebaikan yang dihulurkan oleh sang lelaki. Biar apa pun namanya tika itu, dan biar apa pun jenis hubungan anda dan dia waktu itu, ia tidak lagi menjadi perkara penting.

 

PERANGI SELEPAS KENA

Saya menyebut bahawa ia bukanlah suatu tindakan bijak, jika si wanita ‘memerangi’ fitrah dalam diri mereka semata-mata takut hati mereka diberi sebelum tiba masanya. Apa yang perlu dibuat adalah berhadapan dengan fitrah tersebut, bertolak ansur dan mengambil pendirian berlandaskan ilmu serta matlamat. Saya kepilkan satu reason kepada anda, bagaimana tindakan ‘memerangi fitrah’ tersebut berjaya merubah seorang wanita normal kepada cintakan kaum sejenis.

Namun berperang mendapatkan kembali ‘anak kunci’ hati anda itu adalah suatu perkara penting yang perlu dibuat. Anda perlu sedar bahawa akibat lebih buruk sedang menanti di hadapan sana andaikata anak kunci tersebut terus dipegang oleh si lelaki yang bukan suami anda.

Kalau saya katakan si lelaki itu jahat, anda mungkin tidak bersetuju. Anda akan mendatangkan ribuan alasan, untuk meyakinkan saya bahawa si lelaki itu benar-benar baik. Tetapi saya kira, anda dan saya boleh bersetuju jika saya katakan bahawa Syaitan dan hawa nafsu itu memang jahat, bukan?

Justeru, berperang tidak perlulah ditafsirkan sebagai bersemuka semata-mata. Ada strategi peperangan di mana tidak perlu berdepan tetapi mudah beroleh kemenangan. Anda lenyapkan segala perangkap yang telah dipasang oleh Syaitan dengan strategi-strategi yang bijak.

Sebagai contoh, si lelaki telah memasuki hidup anda, dan mungkin hati anda telah diserahkan kepadanya. Tetapi anda tahu, langkah si lelaki tidak fokus kepada pernikahan. Kelihatannya banyak terhoyong hayang daripada berjalan betul. Kadang-kadang, tempiasnya terkena pada anda. Dan anda pula terpaksa ‘menyantuninya’ meskipun hati anda tidak bersetuju. Apa boleh buat, ‘anak kunci’ sudah diberi.

Dalam keadaan tersebut, anda sedar yang anda sukar untuk menang jika berperang secara berdepan. Maksud saya, jika anda mahu katakan begini : ” saya mahu hubungan kita diputuskan, kerana saya risau kita berdua tidak dapat saling menjaga agama. Jika betul mahukan saya, tunggu sehingga awak betul-betul bersedia menikahi saya “. Anda sudah tentu tidak sanggup mengucapkan kata-kata tersebut secara berdepan, apatah lagi jika si lelaki pandai memujuk atau bermain kata. Mungkin juga anda boleh ucap ketika kuat, tetapi akan mengubah fikiran apabila terasa lemah, simpati dan sebagainya.

Maka anda boleh gunakan strategi lain. Contohnya ; LENYAPKAN dia dari hidup anda. Zaman ini, kebanyakan hubungan cinta berlaku dalam medium maya, di mana jika nombor telefon, facebook profile dan YM tidak wujud, hubungan cinta dengan mudah boleh terbantut.

Jadi silalah berperang dengan bijak. Melenyapkan dia dari hidup anda sangat membantu untuk mendapatkan kembali ‘anak kunci’ hati.

 

TIDAK YAKIN

Buat akhirnya, marilah kita lihat kepada dua kalimah di atas. Tidak yakin. Takut teringat. Takut dibadai rindu tidak sudah. Takut itu dan takut ini. Cuba buat eksperimen. Hadir solat berjemaah di masjid kemudian dengar tazkirah setiap hari selama seminggu, atau paling bagus 40 hari ( ketika tidak merah ). Selepas itu, check kembali hati. Masihkah ‘hantu’ itu menguasai hati anda ataupun sudah diganti dengan alunan merdu yang sungguh menenangkan jiwa?

Soalnya, anda kena yakin. Jika melenyapkan si lelaki kemudian membiarkan jiwa terus kosong, memanglah tidak ada faedahnya. Saya maksudkan, lenyapkan anasir negatif dan gantikan dengan unsur yang positif.

InsyaAllah, anda mampu mengubahnya.

 

Sekian.

About Ahmad Syafiq

Gemar menulis dalam bidang motivasi dan keremajaan. Mula berkarya melalui penulisan blog seawal tahun 2007. Graduan Ijazah Sarjana Muda Syariah ( Fiqh dan Usul al-Fiqh ) dari Universiti Yarmouk, Jordan.

12 comments

  1. setuju dgn artikel ni.buat mereka yg dh diuji,jd kan ia pgalaman yg mematangkn diri anda dgn cr yg diredhaiNYA.buat mereka yg belum teruji,jgn mendabik dada dan perasan diri bagus sgt.dh diuji br tau langit tinggi atau rendah.“Ketegasan kita bukan diuji melalui tazkirah-tazkirah atau penulisan-penulisan kita mengenai tegasnya kita dgn sesuatu perkara,tetapi tegasnya kita teruji apabila ditimpakan ujian daripadaNYA “

  2. mohon share d blog saya.syukrn.

  3. syukran atas artikel, mengetuk jiwa yang dah terleka :)

    yaaa..beruntung diuji dengan semua ini, akan membuatkan kita lebih berhati-hati dan menjaga diri selepas ini..insyaallah…

    hati wanita memang sangat rapuh dan sangat tersentuh..dicuit sedikit..habislah..

    • betul…ujian menjadi wanita sangat berat..mudah sungguh nak lalai..alhamdulillah masih disayangi Allah..ape yg patut dibuat ketika “merah” ye? sesudah yakin dgn tindakan, sampai je saat itu mula kembali terkenang dan menangis..

  4. ustaz,boleh tak terangkan maksud ayat “atau paling bagus 40 hari ( ketika tidak merah )”?

  5. memang sangat tenang lepas tu ust.. rase happy sgt..tapi lepas tu ‘dia’ datang blik..ketuk hati ni..rasa macam nak ketuk2 ‘dia’.

    • kalau niat di awal tindakan itu benar dan tepat, insyaAllah teguh kita bersandar syariat, tidak akan goyah mahupun tergugat. tapi kalau tindakan dibuat semata2 atas nama semangat, ia sukar bertahan bahkan tak mustahil akan lenyap. jangan risau, keikhlasan manusia akan sentiasa Allah uji. teruskan mujahadah :)

  6. salam ustaz…maaf kalu soalan saya ini tiada sangkut paut….Sebenarnya sebelum ini saya adalah wanita yang mudah jatuh hati (kagum) lebih-lebih lagi kepada lelaki yang hebat agamanya…tapi takdela sampai tahap mahu meminang, Sekarang ini…saya sudah bertunang dengan seorang lelaki yang saya lansung tak kenal tetapi saya menerimanya kerana agamanya. dia juga begitu …menerima saya kerana akhlak dan agama.Soalan saya, kami mungkin akan menikah dalam 6 bulan lagi…tapi hati saya sedikit sebanyak sudah mula jatuh hati dengannya…kadang-kadang rindu…walaupun kami tak berjumpa, hanya berbual di dunia maya…adakah perlu saya menghilangkan perasaan ini? Saya takut perasaan ini menjadikan saya jauh dariNYA…

    • wslm.

      tahniah kerana bakal mendirikan baitul muslim tidak berapa lama lagi. apabila sudah diikat dan sudah nampak matlamat, meskipun tidak sering bersua atau melihat, perasaan rindu atau sayang itu sedikit sebanyak akan melekat. kita menginsafi hakikat kelemahan kita sebagai hamba, lebih2 lagi dalam mengemudi hati. cuma yang penting, janganlah kita membiarkan diri kita hanyut dikawal oleh perasaan2 tersebut sebelum tiba saat halalnya. cara terbaik adalah dengan MENGALIHKAN FOKUS, jangan kerap berhubung kecuali dalam hal2 yang penting. jaga laras bahasa, jaga waktu dan masa, insyaAllah lubang2 yang dicipta syaitan akan dapat ditutup. soal perasaan, mustahil utk dihilangkan, kecuali yg mampu adalah dilentur dan disalurkan kepada jalan yang sepatutnya. insyaAllah, kuatkan tekad, masanya akan tiba tidak lama lagi. saya doakan sukses utk anda dan dia. amin.

  7. entri ini sangat menarik…

Scroll To Top