Selamat Datang

Panduan Ketika Jatuh Cinta

Tidak seorang pun daripada manusia yang mampu membohongi hakikat, bahawa di dalam tubuhnya itu ada hati. Dan hati tersebut pula diciptakan oleh Allah dengan satu keistimewaan, iaitu menjana al-hub yakni rasa cinta,kasih dan sayang.

Itulah yang dinamakan sebagai fitrah.

Menidakkan peranan dan hakikat fitrah seumpama cuba menukar manusia menjadi satu makhluk yang lain. Kerja yang sia-sia dan hanya mengundang derita tiada sudah.

Justeru terlebih dahulu, marilah kita bersama-sama bercakap dengan diri sendiri. Bisikkan kepada diri sendiri bahawa tidak ada salahnya mengakui hakikat penciptaan seorang manusia, yang ada jiwa dan ada cinta.

Islam tidak pernah menyekat fitrah dan naluri manusia. Jika manusia melihat Islam sebagai suatu peraturan dan cara hidup yang menyekat, bermakna manusia tersebut masih belum mengenali Islam dalam ertikata yang sebenar.

TERIMA HAKIKAT, FAHAMI DAN BERTINDAK

Lihatlah jam di dinding. Perhati detikan jarum panjang dan pendeknya. Renungi dan tanamkan dalam diri anda, bahawa lambat laun fitrah dalam diri tetap akan bersuara. Kebenaran itu tidak bisu. Sampai masanya, ia tetap akan bercakap dengan anda.

Menyedari hakikat tersebut, maka jalan yang bijak bukanlah ‘memerangi’ sebaliknya bersedia untuk menerima. Jangan perangi fitrah dalam diri anda mahupun diri orang lain. Apabila seorang saudara anda mengeluh jatuh hati atau jatuh cinta, jangan dikecam orang tersebut. Begitu juga apabila hati anda bersuara dengan jelas kepada anda tentang fitrahnya, maka jangan dikecam jiwa anda sendiri.

Jika dari awal, anda menyediakan otak untuk ‘menerima’ dan bukannya ‘memerangi’ , maka saya kira anda boleh bertindak dengan lebih rasional, matang dan bijak. Bertindak atas dasar kefahaman dan bukannya emosi semata-mata.

 

PANDU KE JALAN SELAMAT

Anda perlu faham bahawa jatuh cinta itu bukan suatu kesalahan. Jika ditakdirkan tiba-tiba anda terjatuh hati, atau terpikat, atau tersuka kepada seseorang yang mana sebelumnya perasaan tersebut langsung tidak ada, maka terima dan raikannya perasaan ataupun ‘suara jiwa’ anda terlebih dahulu.

Ini kerana ada golongan yang kelihatannya langsung tidak mahu bertolak ansur dengan suara jiwa mereka sendiri. Kata mereka itu suara Syaitan. Suara nafsu. Bukan suara Iman. Lantas mereka bersifat keras terhadap suara jiwa mereka sendiri, dan lebih malang apabila orang sekeliling mereka turut dipaksa untuk mengambil pendirian yang sama.

Meraikan suara jiwa anda bukan bermakna membiarkan diri anda hanyut. Itu kena jelas.

Sebab itu saya bercakap soal panduan. Setiap masalah, ada penyelesaian. Setiap perkara, ada tempat duduknya. Soal hati dan perasaan juga begitu. Ada tempat duduknya sendiri. Justeru menafikan tempat duduknya adalah suatu bentuk kezaliman.

Raikan perasaan suka. Raikan perasaan minat. Raikan perasaan terpikat. Jangan kecam dan jangan salahkan diri sendiri. Ini step yang sangat penting ketika anda jatuh cinta.

Kemudian, setelah anda mampu meletakkan diri anda dalam konteks yang betul, stabil dan meraikan bahasa jiwa, maka barulah anda boleh ‘memandu’ fitrah tersebut ke jalan yang sepatutnya.

 

PANDUAN PERTAMA : HUBUNGAN DENGAN ALLAH

Ini paling penting. Saat jatuh hati dan terpikat itu, bagaimana sebenarnya hubungan anda dengan Allah? Solatnya bagaimana, zikirnya bagaimana, bacaan Al-Quran dan amalan sunat yang lain di tahap mana?

Ini kerana, suara hati yang selamat adalah suara hati yang paling teguh dan kukuh hubungannya dengan Allah. Di dalam hadith Nabi s.a.w menyebut bagaimana hati boleh menjadi hitam, gelap dan keras akibat daripada amalan dosa tanpa taubat.

Justeru hati yang seperti itu – semoga Allah jauhkan – bicaranya sangat bahaya. Bicaranya lebih condong ke arah kejahatan, kemungkaran dan kemaksiatan. Maka berhati-hati. Tatkala mahu mendengar suara hati tersebut, perbaiki dahulu perhubungan dengan Allah ta’ala.

 

PANDUAN KEDUA : IMAN ATAU NAFSU

Tanya kembali pada hati, apa yang membuatkan anda terpikat? Anda mungkin sukar untuk jujur dengan orang lain. Tapi anda secara hakikatnya boleh jujur dengan diri sendiri. Kalau faktor rupa paras atau bentuk tubuhnya sangat dominan di pertimbangan anda, besar kemungkinan anda akan berdepan dengan jatuh hati pada banyak lagi keadaan yang lain. Maknanya, hari ini terpikat dengan Timah, esok dengan Yati pula. Lusa nampaknya Ina lebih baik, dan sebagainya.

Tetapi jika faktor budi bahasanya, atau kecantikan akhlaknya yang mendominasi, anda lebih dekat dengan zon selamat. Tinggal lagi untuk mengawal dan mengemudi hati ke landasan yang sepatutnya.

 

PANDUAN KETIGA : MASUK SECARA TERHORMAT

Dalam Islam, bab hubungan manusia sesama manusia adalah bab yang diperakui. Tidak ada mana-mana bahagian pun dalam Islam yang mencacatkan atau menidakkan soal hubungan manusia sesama manusia, sebaliknya sangat dititkberatkan dan disertakan pula dengan pelbagai panduan dan peraturan.

Maka untuk menyambut suara hati dan memandunya ke jalan selamat, cara terbaik adalah dengan ‘masuk’ secara terhormat. Masuklah ke dalam hidupnya dengan cara yang paling baik. Bukan melalui pintu belakang.

Rumah buruk macam mana sekalipun, kalau kita masuk ikut tingkap atau pintu dapur, tuan rumahnya tetap pasti merasa marah.

 

PANDUAN KEEMPAT : KETUK PINTU DENGAN ADAB

Sebelum masuk ke rumah orang, terlebih dahulu ketuklah pintu dan berilah salam. Kita sebagai tetamu, kalau datang dengan cara baik, insyaAllah tuan rumah juga akan layan kita dengan cara yang baik.

Apa yang penting adalah kita lakukan dengan adab sebagai seorang muslim. Cara untuk ‘mengetuk pintu’ itu pelbagai. Samada sendiri atau menggunakan perantaraan seperti orang tengah dan sebagainya.

 

PANDUAN KELIMA : MENGENAL BESAR DAN LEBIH BESAR

Ketika perasaan tersebut menyesak jiwa dan mengganggu hati kita, biasanya kita terdorong untuk menganggap bahawa itulah persoalan paling besar yang perlu diatasi. Dengan apa cara sekalipun, perasaan tersebut mesti tertunai dan si dia mesti dimiliki.

Sebab itu ada yang mengistilahkan ia sebagai soal ‘hidup dan mati’. Seolahnya, kalau tak dapat akan menderita hingga mati.

Islam ternyata lebih awal menyediakan solusi untuk kita. Islam mendidik kita supaya membezakan antara perkara besar dengan yang lebih besar. Di dalam sebuah hadith Nabi s.a.w bersabda tentang takdir : Telah diangkat kalam dan telah keringlah dakwat.

Bermakna, semua perkara telah ada ketetapannya, termasuklah apa yang sedang kita usahakan. Justeru, melipatgandakan usaha dan ikhtiar itu tidak salah, cuma perlu dikawal supaya tidak ‘mencabar’ perkara yang lebih besar iaitu TAKDIR.

Paling cantik, mantapkan dahulu iman dan keyakinan dalam diri sebelum ‘mencabar’ diri untuk tampil ‘mengetuk pintu’.

 

PANDUAN KEENAM : BAHAGIA DAN TERSENYUM

Dalam melaksanakan beberapa panduan di atas, kita akan berdepan dengan beberapa natijah :

a) Dia yang kita suka pada awalnya, tetapi apabila diperhalusi rupanya kesukaan tersebut lebih diserabuti duniawi semata-mata, lalu kita kembali memperkasa cinta hakiki sebelum akhirnya menemui sejenis ketenangan padanya. Lalu kita tersenyum dan bahagia.

b ) Dia yang kita suka, rupanya juga menyukai kita, dan jalan ke arah pernikahan begitu mudah pula. Akhirnya bersatu di alam rumahtangga. Lalu kita tersenyum dan bahagia.

c ) Dia yang kita suka atau terpikat, rupanya sudah mempunyai seseorang di hatinya. Lalu kita bersabar dan merujuk kembali kepada perkara lebih besar iaitu soal takdir. Akhirnya kita temui ketenangan sebelum mampu tersenyum dan bahagia.

d ) Dia yang kita suka rupanya tidak ditakdirkan untuk kita, tetapi dalam waktu yang sama Allah bukakan jalan baru untuk kita dan dengan mudahnya keperluan kita terlaksana dengan seseorang yang kita sendiri tidak jangka. Akhirnya kita tersenyum dan bahagia.

Dalam apa keadaan sekalipun, kata kunci untuk tersenyum dan bahagia adalah REDHA. Justeru sangatlah penting untuk memegang panduan pertama yakni soal hubungan hati dengan Allah dalam menelusuri panduan-panduan seterusnya.

Yang penting, kita yakin bahawa setiap orang ada takdirnya masing-masing. Justeru mengapa tidak kita dan mereka berbahagia dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah ke atas setiap daripada kita?

 

Sekian.

About A. Syafiq Jusoh

A. Syafiq Jusoh merupakan pelajar tahun akhir Yarmouk University, Jordan dalam jurusan Syari'ah pengkhususan Fiqh dan Ushul al-Fiqh. Memulakan karier penulisan blog dari tahun 2007 sehingga sekarang. Merupakan penulis buku Manisnya Cinta Si Anak Muda terbitan Karya Bestari Sdn Bhd.

15 comments

  1. barangkali juga dia yang kita suka,rupanya telah mempunyai pilihan hati,maka kita fokus kepada perkara yang lebih patut kita fokuskan, mgkn jg dia tetap jodoh kita cuma Allah merancang perjalanan yg lbh baik utk dia,pilihan hatinya dan kita :) selagi ia rahsiaNYA,terpulang padaNYA untuk mengaturkan :)

  2. assalamualaikum ustaz nak buat request boleh ke boleh ke ustaz buat sedikit ulasan tentang HIMPUN dan kematian gadaffi baru-baru ini mengenai gadaffi tu makin banyak baca dari sumber-sumber berbeza makin keliru

    • wslm. ulasan ttg himpun dah dibuat. ttg gaddafi mungkin boleh dicari ulasan lain yg lebih muktabar. pada saya, ada perbezaan pendapat yg cukup besar dan bahaya ttg gaddafi. wallahua’lam.

  3. Syukron atas perkongsian ustaz. Bersyukur kerana dia menciptakan cinta buat hamba-hambaNYA, bersyukur kerana Dia membibitkan cinta untuk mencintaiNYA.

    Bila cinta memanggil,pasti ada saja yang sanggup terus berlari dan melalui jalan yang amat berliku & berbatu biarpun harta & nyawa menjadi taruhan..andai itu yang terjadi semoga segala yang ditaruhkan hanya keranaNYA dengan sebaik-baik jalan.

    ** terkadang tak perlu terucap kata-kata.. untuk selami betapa besar hikmah ujianNYA..

    sekalipun terasa perit di jiwa.. sekalipun badan menanggung derita.. pastikan cinta & JIHAD padaNYA terus membara..

    BANGKITKAN JIHAD !!

    **

  4. Terima kasih atas panduan ni, byk membantu saya dalam mengatasi jiwa saya yang kacau ni….

  5. Dia yang kita suka, rupanya juga menyukai kita, dan jalan ke arah pernikahan begitu mudah pula. Akhirnya bersatu di alam rumahtangga. Lalu kita tersenyum dan bahagia.

    bagaimana jika masih belajar dan masih mude? nk kahwin parent x benarkan lg atau x mampu.. so ape solusi terbaik walaupun mereka suke same suke?

    • Bagi saya berfikiranlah secara matang dan mendalam,kadang2 ada sebab mengapa keluarga menghalang.berusaha melaksanakan sesuatu yg lebih penting atau dlm erti kata lain,sibukkan diri dengan keluarga dan kawan2 Insya allah kita lebih nampak tujuaan hidup. Kita kahwin bukan krn usia makin tua atau semata2 demi cinta :)

  6. hamiza mujahidah

    Dia yang kita suka atau terpikat, rupanya sudah mempunyai seseorang di hatinya. Lalu kita bersabar dan merujuk kembali kepada perkara lebih besar iaitu soal takdir. Akhirnya kita temui ketenangan sebelum mampu tersenyum dan bahagia.

    situasi yg pernah dialami..kadang2 tenang kadang mengundang sedih.. moga Allah sentiasa beri ketenangan kepada diri ini..

    saya suka artikel ni..syukran ustaz..

  7. Sangat terkesan dgn kata2 ustaz….. terima kasih blog ini sangat berguna, terutama utk anak2 murid saya yg baru mengenali dunia cinta…. apapun utk diri saya juga, syukran jazilan kasiran….

  8. Assalammualaikum wbt saudara, sy baru mengenali blog saudara tahun ini, dn byk artikel yang sy baca sy tertarik dengan artikel ni dan ingin mengajukan persoalan..semoga saudara sudi membantu meleraikan permasalah sy..

    Saya pernah mendapatkan rawatan di klinik pakar kardiologi Hospital Serdang pada 02.02.2012, dan di situ sy bertemu dengan seorang lelaki yang bekerja sebagai pegawai perubatan di klinik tersebut, saya menjalani ujian echocardiagram bersama beliau dan pada mulanya saya tidak merasai apa2 namun stelah sy teliti cara dan kesantunan beliau yang menjga pndangan dan pergaulan ketika ujian tersebut sangat menyentuh hati saya..dan beliau sangat menghormati wanita berniqab spt sy walaupun masih muda dan tidak mengambil kesempatan dengan memanggil seorang petugas wanita menemani sy ketika ujian tersebut dijalankan kerana ujian tersebut dlam blik khas yg agak gelap sdikit dan aurat sy perlu dibuka sdkit..kerana itu persoalan sy, perlu ke sy menyelidiki si dia dn menyuarakan hasrat hati sy?apa yg perlu sy buat?adakah ini skdar suka atau sy plu muhasabah dri lagi..sy xberniat untuk jtuh hati pdnya nmun mlhat akhlaknya ketika itu, mbuat hati sy spt terpaut padanya..

    • wslm wbt

      isunya adalah saudari tertarik dengan akhlak si pemuda, namun saudari mungkin tidak langsung tahu latarbelakang pemuda tersebut. mungkin dia sudah bersuami, atau tunangan orang dan sebagainya. jatuh hati dengan akhlak seseorang itu lumrah, tetapi tidaklah semestinya menghala kepada perkahwinan ( memiliki ). bagaimanapun, jika saudari merasa benar2 serius sukakan pemuda tersebut utk dijadikan suami, maksudnya saudari bukanlah terpengaruh dengan kekaguman smata2, maka bolehlah saudari menyelidiki dan menyuarakan hasrat tersebut dengan cara yang terbaik dan bermaruah.

  9. Mohon nak share artikel ni di blog saya, boleh?