Nikah : Mahu Yang Mencetus Mampu

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Dalam cerita Adnan Sempit katanya ; di mana ada kemahuan, di situ ada highway.

Apa sekalipun bidalannya, hakikatnya adalah betul lagi sahih. Suatu galakan kepada manusia supaya beraksi dari titik tolak sebuah ‘mahu’. Mahu berjaya, tingkatkan usaha. Mahu kenyang, usaha untuk dapatkan makanan. Mahu dihormati, gandakan pembinaan diri.

Samalah juga dengan bab yang paling seronok untuk difikirkan oleh muda mudi ; iaitu pernikahan.

Semua orang mahu bernikah. Itu satu perkara yang bagus. Yang tidak bagusnya kalau tidak mahu bernikah. Atau mahu bernikah, tapi dengan kaum sejenis dan sebagainya. Cuma, ‘mahu’ yang tercetus dalam bab hendak bernikah tadi biarlah sampai mencetus ‘mampu’.

Mahu tanpa mampu, ibarat kereta BMW tanpa tayar.

 

ANTARA DUA BENTUK MAHU

Secara santai, saya mahu menampakkan kepada anda dua bentuk keadaan dalam mendepani pernikahan.

Keadaan pertama adalah ‘mahu’ dalam konteks segera.

Keadaan kedua pula ‘mahu’ tetapi dalam konteks bertangguh.

Dan kedua-dua keadaan tersebut perlu dipandu ke arah ‘mampu’. Bagaimana?

 

KEADAAN PERTAMA

Saya mahu bernikah. Segera. Tidak boleh bertangguh-tangguh. Kalau tangguh lagi, saya hidup dalam dosa. Luah seorang anak muda, penuh mengharap.

Ok. Baik. Then?

Menggaru kepala. Mak saya tak bagi. Ayah pula suruh sediakan kereta, atau sekurang-kurangnya bekerja. Saya pula baru tahun dua di sini.

Tersekat.

Jadi apa tindakan yang sudah dibuat?

Garu kepala sekali lagi. Tak ada. Berkurung dalam bilik. Hilang minat untuk belajar. Hilang rasa kasih pada mak dan ayah. Sebab mereka, saya tak dapat berkahwin.

Ok. Anda sudah cukup bagus. Mahu bernikah, ada kesedaran. Ada kemahuan. Tapi usaha mencari jalan masih kurang. Mahu sahaja tetapi belum mencetus mampu.

Habis, bagaimana lagi saya nak jadi ‘mampu’? Mak ayah saya memang dah tak bagi. Kompem! Mula membentak. Muka merah, telinga pun sama.

Nanti. Jangan emosi. Emosi selalu menghilangkan kewarasan.

Berapa kali anda beritahu mak dan ayah?

Dua kali. dua-dua ditolak.

Berapa kali pujuk mak ayah?

Tiada.

Berapa kali cuba ambil hati mak ayah?

Berapa kali cuba yakinkan mak ayah tentang kebolehan anda untuk berkahwin?

Berapa banyak jalan dan planning baru yang cuba diteroka seterusnya dijadikan alternatif kepada alasan-alasan mak dan ayah?

Semua soalan-soalan itu dan banyak lagi soalan lain, jawapannya adalah tidak. Terbuktilah mahu itu masih gagal mencetus mampu. Saya maksudkan, usaha yang berlipat ganda, bersungguh-sungguh, konsisten dan berterusan. Itulah gayanya seorang yang benar-benar mahu.

Kalau sudah bergerak dari titik mahu, berjalan, laju sedikit, kemudian berlari, tetapi masih gagal sampai ke titik ‘kejayaan’, itu masuk dalam bab lain. Apa yang penting adalah mahu tersebut telah berjaya menjana sebuah ‘mampu’.

 

KEADAAN KEDUA

Saya bukan tak mahu bernikah. Tetapi untuk tahun-tahun ini, ianya mustahil. Bukan saja sukar, bahkan saya sendiri belum bersedia untuk melangkah ke situ. Masih banyak list to do zaman bujang yang belum saya capai.

Ok. Terbaik. Then?

Tapi yang tidak seronoknya, kawan-kawan suka bercakap tentang nikah. Tahun ke tahun, kawan-kawan saya bernikah. Terbaru, kawan satu sekolah dengan saya pula bernikah. Saya bukan mahu berfikir tentang nikah. Seboleh-bolehnya saya mahu letakkan itu di antara item akhir dalam senarai. Bahkan kalau saya terfikir tentang nikah sekalipun, saya tidak ketemu walau satu pun sebab untuk bergerak ke arahnya pada masa ini.

Panjang lebar. Jelas dalam gundah.

Mahu tetapi tunggu dulu. Mahu tetapi ditangguhkan sehingga ke suatu waktu. Lantas, bagaimana ‘mahu’ itu bisa mencetus ‘mampu’?

Jawabnya mudah.

Anda benar-benar mahu bertangguh dalam hal tersebut. Mahu menyelesaikan urusan lain terlebih dahulu. Mahu mencapai kejayaan gilang gemilang sebelum berfikir untuk bersatu. Lalu kemahuan anda itu pasti akan mencetus kemampuan yang teguh.

Mampu mendepani dugaan-dugaan kecil kerana anda berjiwa besar.

Mampu mengatasi cabaran-cabaran kecil kerana anda berjiwa besar.

Mampu mengabaikan perkara-perkara kecil kerana anda fokus pada perkara yang lebih besar.

Soalnya cuma satu, mahu yang terpancar dari dalam diri itu adalah mahu yang benar lagi telus. Itu lah yang akan mendorong anda menyerlahkan sebuah kemampuan.

 

ISLAM

Kalau tengok dalam Islam, bab ini sebenarnya adalah antara bab-bab awal yang akan dibahaskan oleh ulamak. Sebagai contoh dalam karya masyhur Imam Nawawi iaitu Al Arba’in An Nawawi. Hadith yang diletakkan paling awal adalah hadith tentang niat.

Ya. Niat. Maksud dari dalam hati. Sebuah kemahuan yang telus dan suci. Sebuah tekad yang kukuh bertapak di dalam diri. Jangan main-main dengan power sebuah niat.

Gunung pun boleh runtuh!

 

Sekian.

About Ahmad Syafiq

Gemar menulis dalam bidang motivasi dan keremajaan. Mula berkarya melalui penulisan blog seawal tahun 2007. Graduan Ijazah Sarjana Muda Syariah ( Fiqh dan Usul al-Fiqh ) dari Universiti Yarmouk, Jordan.

8 comments

  1. salam…

    ulasan yang bagus dan nasihat yang bagus bagi mereka yang berdalih mahupun masih terkial-kial dalam isu nikah ini…

    sekadar pertanyaan :

    jika seseorang itu dah tekad niatnya…dia akan sanggup buat apa sahaja untuk dia dapat benda tu..takkan mudah putus asa di tengah jalan … betul atau tidak?

  2. Alhamdulillah.. artikel ni buat saya rasa terharu dengan kegigihan suami saya. Terima kasih. nice article.

  3. Entry yang bagus. Kalau masih belajar dan segalanya masih ditanggung mak ayah janganlah mengajak anak dara orang berkahwin ye. Belanja kahwin seperti hantaran, mas kahwin dan belanja kehidupan selepas berkahwin siapa pulak yang akan menanggung? Itu termasuk dalam kategori belum mampu jadi berpuasalah.

  4. ana mujahadah

    Assalamualaikum.. Nak minta pandangan ustaz. bagaimana pula dgn lelaki yg sudah merancang utk bernikah dan sudah mempunyai calon. tapi tergugat dgn peluang untuk sambung study. dia merasakan peluang untuk study secara pjj xkan datang selalu.. jadi merancang untuk menangguh pernikahan. apakah pro n kontra dalam setiap keputusannya. mohon pendapat ustaz. syukran

    • wslm. tergugat kerana peluang study pjj? sepatutnya pembelajaran jarak jauh itu lebih menyempitkan halangan utk hidup bersama. full time study lebih besar halangannya. kalau orang yang full time study pun punya tekad begitu kuat, bernikah dan sambung belajar, apatah lagi dgn yang study jarak jauh? jika sudah ada rancangan nikah, dah ada calon, bersegeralah ke arah pernikahan. cabaran akan tetap ada, tetapi kalau niat berumahtangga ikhlas kerana Allah, Allah mesti tolong. Ini nasihat saya.

  5. Salam..boleh ke kita mempercayai mimpi? sekiranya mimpi yang berulang kali itu sering mengganggu tidur kita, adakah kita harus mempercayainya?

    • wslm. pertamanya, mimpi sama sekali tidak boleh dipercayai sehingga dijadikan akidah. mimpi tidak boleh dijadikan panduan hukum, apa lagi untuk menghukum. namun mimpi orang yang soleh boleh jadi petunjuk dari Allah manakala mimpi orang tidak soleh boleh jadi gangguan syaitan. saudari boleh merujuk kepada pakar yang lain ttg mimpi tersebut, kerana menafsirkan mimpi atau mengambil iktibar daripadanya tidaklah jatuh kepada haram. cuma, jangan terlalu percaya sehingga tahap ‘beriman’ pula dgn mimpi. wallahua’lam.

      • Salam..Pc, bagaimana kita nak tahu bahawa cinta insani pasangan kita tu hanya untuk kita?dan bagaimana pula kita nak mengenal pasti bahawa dalam diam dia ada menyukai gadis lain?harap PC dapat membantu ummi..

Scroll To Top