Selamat Datang

Bolehkah Lelaki Dan Wanita Bersahabat

credit : google

credit : google

 

Maha Suci Allah yang telah menciptakan manusia dalam keadaannya yang pelbagai bangsa dan berbeza jantina. Berbeza kabilah dan berbeza puak. Berbeza bahasa dan berbeza negara. Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana terhadap segala percaturan dan penetapanNya. Mudah-mudahan kita semua tergolong dalam golongan yang berfikir.

Timbul idea untuk menulis tentang persahabatan antara lelaki dan wanita, hasil cetusan dari salah seorang rakan di facebook saya.

Masih dalam ruang lingkup perbincangan yang penting, iaitu hubungan antara lelaki dan wanita. Allah dengan penuh bijak menciptakan kita ada yang lelaki dan ada yang wanita. Tidak Allah ciptakan hanya lelaki di muka bumi, begitu juga tidak hanya wanita. Dan kewujudan kedua-duanya pula disertai dengan beberapa garis panduan penting, yang hanya akan dikecapi hikmahnya oleh manusia cerdik lagi suka berfikir.

LELAKI SEBAGAI LELAKI, WANITA SEBAGAI WANITA

Kedua-dua lelaki dan wanita, hidup sebagaimana yang ditetapkan ke atas mereka. Lelaki cenderung menjadi gagah lagi kuat fizikalnya, manakala wanita cenderung menjadi lembut dan tertib. Lelaki sampai kiamat tidak akan boleh mengandung apatah lagi beranak. Wanita pula pasti akan didatangi haid dan sebagainya.

Mereka, lelaki dan wanita, hidup sebagai diri mereka. Satu sama lain tidak boleh menukar keistimewaan diri masing-masing walaupun kedua-duanya mahu.

Islam, sebagai satu cara hidup yang paling sempurna dan sesuai untuk semua manusia, tidak hanya berbicara perihal solat dan zakat. Bahkan Islam juga membicarakan tentang bab mu’amalat iaitu perhubungan sesama manusia. Termasuk juga perbincangan tentang perhubungan antara lelaki dan wanita.

Apabila lelaki dan wanita hidup sebagai diri masing-masing, maka di sana ada etika tertentu yang perlu mereka patuh dan ikut jika mahu berhubung sesama mereka. Sungguh Allah itu tidak zalim dan kejam, sehingga menyekat manusia berjantina lelaki untuk hidup serta bergaul sesama lelaki sahaja manakala wanita juga hanya bergaul sesama wanita sahaja.

Salah faham seperti ini, kerapkali menjadikan wanita sebagai mangsa, sehingga pergerakan mereka terbatas dan sudut pandang mereka menjadi sempit. Hakikatnya, mangsa yang sebenar bukanlah wanita sebaliknya Islam itu sendiri ditohmah sebagai punca kepada sindrom tersebut.

 

PERGAULAN DAN PERSAHABATAN

Islam tidak menyekat manusia untuk maju. Bermakna, Islam juga tidak menyekat manusia bertindak atau melakukan perkara-perkara yang boleh menjadikan mereka maju. Antara cara manusia maju adalah dengan bekerja, terlibat dengan bisnes, mendekati masyarakat dan sebagainya.

Secara dasarnya, kedua-dua lelaki dan wanita tidak disekat untuk memajukan diri mereka dalam apa sahaja aspek yang mereka ceburi. Tidak ada istilah hanya lelaki boleh maju, wanita perlu duduk di rumah. Islam itu prinsipnya bukan menyekat, sebaliknya memberi saluran dan alternatif.

Apabila manusia bergerak untuk maju, mereka akan bertemu dalam lapangan-lapangan tertentu. Seumpama kehidupan di kampus, kerja di pejabat mahupun turun memberi sumbangan pada masyarakat. Manusia yang bertemu ini, bukan hanya sesama jantina sebaliknya lelaki pasti akan bertemu wanita, dan wanita pula akan bertemu lelaki.

Islam tidak menghalang perkara tersebut.

Tidak haram lelaki bertemu wanita dalam satu-satu lapangan kerja, begitu juga wanita tidak haram bertemu lelaki. Mereka boleh berhubung, bergaul dan bekerja bersama-sama.

Cuma, Islam menyalurkan manusia dengan etika yang betul. Etika inilah yang akan menjadikan pergaulan serta perhubungan tadi selamat, bukan hanya di dunia bahkan hingga ke akhirat. Antara etika yang Islam tetapkan adalah menjaga pandangan.

Dan bab menjaga pandangan ini cukup teliti dan panjang untuk diulas. Apa yang penting, tersirat satu hikmah besar di sebalik arahan Allah supaya lelaki jangan pandang wanita dan wanita jangan pandang lelaki.

Habis tu, lelaki kena jalan pandang bawah je la?

Bukan.

Menundukkan pandangan maksudnya jangan pandang tanpa ada keperluan untuk pandang. Jangan pandang dengan nafsu. Jangan pandang dengan keinginan tertentu. Jangan pandang tempat-tempat tertentu.

Jangan dan jangan ini, untuk kebaikan manusia sendiri. Apabila suka pandang, dari mata jatuhlah ke hati. Salah. Dari mata jatuhlah ke NAFSU. Timbullah keinginan-keinginan tertentu. Akhirnya bila bertemu jalan buntu, zinalah menjadi jalan keluar paling mudah.

Itu baru satu etika.

Banyak lagi etika lain yang Islam wajibkan untuk patuh dalam pergaulan lelaki dan wanita.

Antara lain :

1. Jangan berdua-duaan

2. Jangan letakkan diri dalam keadaan yang mengundang fitnah

3. Jangan bertepuk tampar, bersentuh-sentuhan, berpegangan tangan

4. Jangan bermain soal hati

5. Jangan bergaul dengan lawan jantina, seperti bergaul sesama jantina

6. Jangan terlalu rapat sehingga semua benda boleh ‘open’

7. Jangan bersubahat dalam perkara maksiat

8. Dan banyak lagi ‘jangan’ yang lain.

 

JADI, BOLEHKAH BERSAHABAT LELAKI DAN WANITA?

Sebelum dijawab, saya kira ada sedikit beza antara istilah ‘sahabat’ dan ‘kawan’ pada pengertian umum. Kawan atau rakan atau kenalan, sifatnya tidak terlalu rapat. Tapi istilah ‘sahabat’ menampakkan keakraban dan mungkin juga kemesraan.

Tak mengapa, itu isu istilah. Kita tidak mahu berbicara tentang istilah, tetapi mahu memfokuskan kepada apa yang diistilahkan. Kaedah Fiqh menyebut : ” Hukum dikira kepada apa yang dinamakan, bukannya pada nama “. Maknanya, kalau arak ditukar nama menjadi soya sekalipun, hukumnya tetap haram.

Begitu juga bab bersahabat atau berkawan dengan berlainan jantina.

Mudahnya, mari kita sama-sama fahami prinsip asas yang digariskan Islam :

1. Lelaki dan wanita berbeza ciptaannya. Bersentuh tangan atau duduk dekat-dekat sesama jantina, tidak sama dengan bersentuh tangan atau duduk rapat-rapat dengan beza jantina. Ada ‘cas’ tertentu yang akan mengalir. Oleh itu, Islam sama sekali mengharamkan sentuh menyentuh, pegang memegang, tepuk menepuk, dakap mendakap dan yang sewaktu dengannya oleh manusia yang berbeza jantina – kecuali setelah berkahwin.

2. Bersahabat mesti ada tujuan. Dan tujuan yang dibenarkan dalam Islam adalah tujuan yang membawa kepada Al-Birr (kebaikan) dan At-Taqwa (ketaqwaan). Sebagaimana Firman Allah ta’ala dalam Surah Al-Maaidah :

” dan hendaklah kamu sekalian bertolong-tolong dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan , dan janganlah kamu sekalian bertolog-tolong dalam perkara maksiat dan permusuhan “

Jadi, kalau bersahabat atas dasar taqwa dan kebaikan, caranya juga mestilah ada ciri-ciri orang bertaqwa dan orang yang membawa kebaikan. Orang bertaqwa tidak akan sembrono sahaja bergaul dengan bukan mahramnya. Dia pasti akan memelihara adab dan sahsiahnya. Begitu juga, tujuan yang sama-sama diusahakan juga tentulah yang menuju kepada Allah, seumpama dalam satu team dakwah, program untuk masyarakat dan sebagainya.

3. Batasan sesama bukan mahram. Atas nama apa sekalipun, jika hakikatnya mereka bukan mahram, maka hukumnya tetap haram jika batasan pergaulan dilanggar. Bermakna, walaupun kita ada sahabat / sahabiah berbeza jantina, tidak bermakna mereka boleh sampai ke tahap saudara kandung kita. Prinsipnya tetap sama. Justeru, selagi batas perhubungan sesama bukan mahram tidak dilanggar, maka persahabatan itu tidak salah.

 

ATAS NAMA KAWAN / SAHABAT?

Mereka keluar berdua, makan-makan dan melepak atas bukit. Ambil angin katanya. Bila ditanya, mereka jawab : ” kami hanya kawan biasa. Kebetulan dia ada masalah, nak cari tempat meluah, jadi saya luangkan masa. Lagipun, kami masing-masing dah berpunya “.

Sila ambil perhatian. Bercouple itu menjadi haram bukan kerana namanya couple atau semata kerana isu ‘aku cinta kau, kau cinta aku’. Couple menjadi haram dek kerana wujudnya gejala berdua-duaan, bercakap dari hati ke hati tanpa had batasan dan sebagainya. Jadi, jika berlaku elemen-elemen tersebut, tidak kiralah namanya ‘kawan’ , ‘sahabat’ ataupun ‘couple’ , hukumnya tetap adalah haram. Ia termasuk dalam kategori khalwat dan mukaddimah zina.

Ada lagi contoh situasi lain.

Si lelaki aktif dalam sesuatu pertubuhan. Ada kenalan ataupun sahabat wanita dalam pertubuhan yang sama. Mereka ramai, bekerja dan bergerak bersama. Tetapi dalam diam-diam, si lelaki suka ‘mengadu masalah dari hati ke hati’ dengan salah seorang kawan atau sahabat wanitanya. Hampir setiap malam bergayut di telefon. Bila ditegur, katanya ; saya mengadu kepada sahabat saya. Soalnya, mengapa sedemikian ramai sahabat sama jantina yang ada, sahabat lain jantina juga yang dicari?

Kalau jawabnya ; yang wanita lebih memahami, saya selesa mengadu kat dia, dan kadang-kadang dia pun mengadu kat saya – maka jatuh hukum haram, kerana wujudnya elemen mukaddimah zina dan ‘khalwat’ dalam telefon. Apatah lagi tujuannya langsung tidak ada ciri-ciri Taqwa.

 

BAGAIMANA YANG BOLEH?

Cuba lihat di mana anda berada.

Kalau dalam situasi anda di kampus, anda tentu punya rakan sekuliah atau sepersatuan. Mungkin terlibat dalam program, kerja bersama dan sebagainya. Maka anda boleh saja menganggap ‘muslimin itu sahabat saya’ atau ‘muslimat itu sahabiah saya’. Bahkan ia berpahala kiranya disandarkan kepada firman Allah : Sesungguhnya setiap mukmin itu bersaudara.

Tetapi, menganggap mereka sebagai sahabat atau sahabiah, tidak bermakna kita boleh ‘masuk’ ke dalam kehidupan mereka seperti kita masuk ke dalam kehidupan sesama kita. Maka, undang-undang pergaulan sangatlah perlu untuk dijaga.

Kalau dalam contoh bekerja pula. Katakan kita sebagai wanita, dan ketua kita adalah lelaki. Masing-masing boleh menganggap sesama sendiri sebagai sahabat. Tetapi jika berhubung, perbincangan hanyalah tentang hal-hal kerja sahaja. Selagi mana topiknya tidak tersasar, ia tidak menjadikan kita salah. Kita akan mula menjadi salah, apabila topik sedikit demi sedikit beralih dari hal kerja kepada hal peribadi, dari satu jam kepada berjam-jam, dari menaip kepada bergayut dan sebagainya.

Justeru, yang boleh tetap boleh, selagi mana tidak diresapi unsur-unsur yang menjadikannya sebagai tidak boleh.

 

KESIMPULAN

Sebagai mukmin yang membawa Islam sebagai cara hidup, lelaki mahupun wanita tidak sewajarnya membuka ruang fitnah kepada Islam hanya kerana sikap masing-masing. Kadang-kadang, ada wanita yang kononnya terlalu ‘menjaga perhubungan’ sehingga pergaulannya dengan lelaki – meskipun dalam hal-hal kerja – menjadi begitu sempit, tertutup dan menyusahkan.

Wanita jenis itu, ada isu yang panjang juga jika saya mahu ulas. Mungkin di entri lain.

Untuk kali ini, saya kira cukup untuk menjelaskan kekeliruan dan menampakkan jalan kepada kita, bolehkah lelaki dan wanita bersahabat? Anda ada jawapannya.

 

Sekian.

About A. Syafiq Jusoh

A. Syafiq Jusoh merupakan pelajar tahun akhir Yarmouk University, Jordan dalam jurusan Syari'ah pengkhususan Fiqh dan Ushul al-Fiqh. Memulakan karier penulisan blog dari tahun 2007 sehingga sekarang. Merupakan penulis buku Manisnya Cinta Si Anak Muda terbitan Karya Bestari Sdn Bhd.

47 comments

  1. jika kita minta bantuan seorang lelaki utk membantu si perempuan ini yg selalu diganggu oleh seorang lelaki yg tak fhm bahasa dan tak sudah2 ganggu si perempuan ni?pandangan?

    • mohon pertolongan, bantuan dan sebagainya, tidak ada masalah. lagipun mmg tggjwab lelaki melindungi wanita. just mintak tolong, jangan melarat2..so xada masalah :)

    • laporkan pada pihak berkuasa.
      jika mohon kepada kawan yang berlainan jantina terutamanya yang spesifik seorang maka ia membuka pintu fitnah jua.

  2. salam..erm kesimpulannye boleh berkawan tapi kena pandai jaga pergaulan..kan?

  3. mknenye kalo msj lelaki dgn tujuan btnye khabar,xleh la ehh???

  4. berhati2 itu lebih mendekatkan kita dengan ‘taqwa’… :j

    bergaullah, tapi pastikan sentiasa dalam lingkungan syariat islam.

    Insyaallah selamanya kemaslahatan akan terpelihara.

    semoga pergaulan yang terjalin mampu menatijahkan kebaikan dan sumbangan yang besar untuk ummah dan islam,

    bukan menambah dosa.

    tajdid niat, jelas tujuan, jaga adab dan pergaulan. semoga sentiasa berjalan dalam redha-Nya.

    ~Kita satu ummah~

  5. saya masih menantikan entry y disebut dalam perenggan kesimpulan. :)

  6. mohamad syed rizzuan

    ok..abg kata ,,,org lainan jantina ,,,tak boleh mengadu masalah peribadikan,,,apa hukumnya seorang perempuan mengadu masalah dya pada cikgu lelaki,,,doktor lelaki tentang masalah peribadi

    • anda perlu baca kembali artikel ini dgn baik, dan fahami bahawa di sana ada keadaan2 yang dibolehkan bahkan tidak termasuk dalam skop ‘persahabatan/berkawan’ itu pun. anak murid perempuan mengadu masalah exam dgn cikgu lelaki, pesakit perempuan dgn doktor lelaki. itu semua jauh dari perbincangan bahkan tak termasuk pun dalam fokus artikel ini. mohon dibaca dengan teliti.

  7. Terkadang tersasar jua..terkesan dgn ayat “..ats dsr ktaqwaan..” dlm entri ni…astaghfirullah..

  8. macam mana nak nasihat rakan sekelas yang suka bertepuk tampar dengan rakan berlainan jantina, apabila ditegur mereka menjawab ” ala xpe bukan bernafsu pun”

    • menarik isu tu. anak2 muda kebanyakannya menganggap itu sebagai normal. bersukan bersama,lepak bersama,bertepuk tampar,bersalam dan sebagainya dianggap sbg perkara biasa dan jika kita kaitkan dengan larangan agama akan dianggap kolot dan ‘tak sporting’. insyaAllah saya cuba ulas dalam bentuk artikel.:)

  9. kt da tersuke pd seseorg .boleh tak kalo kt memutuskan silaturahim dgn laki tu sbb x nak jatuh dlm zina.

    • apa yang perlu dilawan ( sehingga tahap perlu mujahadah utk dijauhi ) adalah perbuatan zina, ataupun segala perkara yang membawa kepada zina. mujahadah ataupun penentangan kita adalah kepada segala pintu2 maksiat, pintu2 dosa dan bukannya kepada batang tubuh saudara seislam dengan kita mahupun silaturrahim sesama kita. kalau perhubungan saudari dengan lelaki itu diyakini boleh membawa kepada zina, maka tindakan yg perlu diambil adalah menjauhi lelaki tersebut. tidak perlulah diisytihar ‘perang’ atau ‘permusuhan’ kepada lelaki tersebut. itu tidak dkira sebagai memutuskan silaturrahim.

  10. hamiza mujahidah

    penjelasan yang sungguh bermanfaat..

    terkadang dalam bersahabat memang ada masa akan telalai..

    moga Allah pelihara dari perkara yang menyesatkan,,

  11. salam.. cm mne nk wt klu kwn laki tu lbh selese ngadu maslh kt kwn perempuan?
    pdhal bule je ngadu mslah kt kwn y sme jantina.

    • wslm. lumrah lelaki memang begitu, kalau mengadu sesama lelaki katanya ‘tak ada feel’. perempuan pun sama, lebih seronok nak mengadu dengan lelaki. hakikatnya itulah mukaddimah kepada maksiat dan zina. bila dah main touch2 hati, benda lain akan mengambil alih. kita sangka bercerita masalah sahaja, tapi sebenarnya dah jauh melangkah entah ke mana. sedar2, dah ada perasaan lain.

      solusi utk masalah ini bukan mudah. kena dekati mereka, raih kepercayaan mereka barulah sedikit demi sedikit mereka nak bercerita dengan kita. kalau kita pun tak buat begitu, macam mana nak harapkan dia datang mengadu. soalnya, kepercayaan. itu sahaja.

  12. salam… mula2 skali, alhmdulillah sbb da jupe jwpn yg sdh lme t’cari2…. tp, nk tanye… lau sblm ni kte ad rmai kwn laki… ( tp cume kwn.. mksdnye, lau jupe x tgur mne ), tp lau dlm msg bese je b’tanye kbr ke ap ke…. tp x m’nyntuh soal hati la….. pastu, ap yg p’lu dilakukan..? krenye, lau kwn laki tu ntr msg kt kte, apakah perlu kte balas..? ad org kbo lau x bls, 6t org kbo kte sombong plak… terima kasih

    • wslm. sebenarnya, bab berkawan laki perempuan ni dilarang demi nak menjaga maslahat maruah masing2. bukanlah sampai tahap haram kalau berkawan biasa dan tak menyentuh soal hati. tapi pergaulan seperti itu natijahnya akan membawa kepada fitnah dan masalah hati juga. jadi syarak larang awal2 supaya maruah terjaga. berkawan sekadar kenal tak apalah. tapi tidak perlu berhubung, tanya2 kabar, sembang2, borak2 dan segalanya yg kita boleh bergaul dgn lebih selama kiranya sesama jantina. ttg soalan tu, balas sekadarnya saja. jgn meleret2, dan berusaha ke arah meminimakan dan menghapuskan.

  13. salam..terteba sy tertarik dgn artikel nie..sy ade 1 persoalan yg xdpt jwb smpai ke arini..sy brkawan baek dgn sorang laki nie..dah lme pn..kire kwn dr sekolah ler..tp bila sy dah besar n byk membaca n belajar jd mkin pham konsep persahabatan dalam islam..cume adakah slh klo kt berckp melalui phone n bercerita mengenai apa yg perlu kt wat..i mean..contoh-‘awk tau x,doa utk kerunsingan mcm nie..awk tau x nabi dlu sgtla baik n bla2..mule brcerita…’awk..dlm hari2 kt wat kerja kt kene jga solat..”n so on….sbbnya dlu byk yg sy kurng dlm diri n mkin lama byk blaja n sy pk kongsi dgn my bes fren yg pn mcm 2 jgak b4 nie..sbb sy rase mcm perlu mengingatkan..so..ape hukumnya dr pandangan islam yer…ermm niat baik tp mcm terslh cara ke?

    • betul2… sy pun nak taw jugak pe jwpannya!!

    • Saya pon nk tahu jgk jwpn nye. Mcm kite saling menasihati kaum bkn sejenis yg mmg sebelum ni kite dah mmg rapat dgn dia.

  14. apa hkum nye klau kita kwn gn org bkn islam ?

  15. saya baik dengan seorang kawan lelaki. semua perkara penting, contoh seperti exam,saya akan bgtahu padanya. kiteorang selalu share problem.kadang2, kalau saya stay up smpai lewat malam,kiteorang akan msg, dok hilang mengantuk. tapi tu semua atas dasar seorang sahabat. Pernah saya di maki oleh kawan saya,then tak tahu nak cita dekat siapa,so sy cita kat dy. sy call pada waktu malam. adakah itu pon jatuh hukum haram?

  16. wahhhh,, panjangnya

  17. Salam… mengenai isu ini sangat menarik..kadang2 saya keliru dengan bersahabat antara lelaki dan wanita. Saya ada sahabat lelaki, dia suka bertanya khabar. cuma kadang kala dia berimaginasi kiranya membawa kpd situasi saya sediakan breakfast dan kami sama2 makan. pernah saya marah sebab saya tak selesa dan perkara camtu patut dijauhkan..kan?

    tapi dia jawab: gurau je..janganlah serius sangat.. adakah saya terlalu emosi?? apakah hukumnya atas situasi yg saya hadapi..harap mendapat penjelasan…

  18. salam..saya msih dalam kekeliruan..maknanye lelaki tidak boleh la berhubung dgn wanita untuk mengambil berat dia sebagai kawan?..boleh kah kami berhubung utk menjadi pendorong bagi kami lebih kuat semangat dlm pembelajaran dan juga menghadapi kehidupan..

  19. come on bro, camne la nak kahwin cari pasangan kalo semua x boleh niii..aduhaii. kalo nak cerita dari hati ke hati dah kira haram. kalo camtu main ‘bedal’ je la kalo nak kawin x payah susah2 nak kaji selidik hati budi pasangan tu camna. rasa entah macam mana pulak ustaz,lebai, pak imam mengorat isteri dia dulu erk?

  20. come on bro, camne la nak kahwin cari pasangan kalo semua x boleh niii..aduhaii. kalo nak cerita dari hati ke hati dah kira haram. kalo camtu main ‘bedal’ je la kalo nak kawin x payah susah2 nak kaji selidik hati budi pasangan tu camna. rasa entah macam mana pulak ustaz,lebai, pak imam mengorat isteri dia dulu erk? haa 1 lagi “habis ni dalam blog ni ramai golongan hawa yang mengadu macam2 masalah ni boleh dikira luahan -hati ke hati- ka”???????bezanya bukan dalam telefon tapi dalam chit-chat x gitu bro…:D

    • SALAM, SDARE..DYORG BERTANYA LA… NAK TANYA, KNA MENTION MASALAH DULU, BIAR JELAS… BUKANNYA LUAHAN HATI KE HATI… LU X BACA HABIS2 KE ARTIKEL NI????

  21. assalamualaikum, saya nak tanya apa hukum bagi seorang lelaki yang suka berkawan dengan perempuan dan menjadikan niat untuk berdakwah sebagai alasan untuk berkawan, pada mulanya cara berkawan tu bergurau senda dan dan santai kerana bila di tanya sebabnya untuk perempuan tersebut selesa dan senang nanti bila nak tegur untuk suruh berubah ke jalan allah. dan hari2 berhubung setiap masa untuk menjaga perempuan tersebut. bila ditanya sampai bila, lelaki tersebut menjawab. sampai perempuan tersebut betul2 berubah? betul ke tindakan lelaki tersebut? mohon penjelasan.

    • wslm. pertamanya, kita perlu akur bahawa lelaki berkawan rapat dengan lelaki, xsama dengan lelaki berkawan rapat dengan wanita. ‘berkawan rapat’ tu macam yang saudari gambarkan dalam soalan di atas. ia salah di sisi syarak kerana ruang2 fitnah yang terbuka luas dalam perhubungan tersebut. tiada siapa yang kebal dalam menjaga iman di atas dunia ini, dan tiada siapa yang boleh mendabik dada mengatakan iman dia superpower justeru dia tidak risau terjebak dalam fitnah jika berkawan rapat dengan wanita. alasan dakwah tidak menghalalkan cara. hendak dakwah betul2, ambillah sebagai isteri. selesai masalah, insyaAllah :)

  22. Assalamualaikum. Sy amat tertarik dengan artikel ni. saya ada berkawan dgn seorang lelaki. Kami berkawan dalam 2 bulan lebih. Dia lelaki baik maksudnya tidak ada sentuhan antara kami, setiap hari dia akan sms sy wpun sekadar perkataan ‘hi’. Kami keluar makan n menonton wayang bersama jk ada kelapangan. Tp dia hanya anggp sy kawan shj. Sy mengambil keputusan utk tidak berkawan dgn dia lagi dan tdk mahu berjumpa dia lagi kerana dia hnya aggp sy kawan, dn bg sy kawan tidak perlu keluar berdua n tidak perlu berhubung setiap hari sbb sy rasa keberkatan hubungan tu tak ada. Betul kah tindakan sy.

  23. Menarik artikel yang tertulis nie..segala persoalan saay sudah terjawab selama ini..bermakna kiter masih boleh berkawan selagi ia tidak melanggar undang2 islam.

  24. Menarik artikel yang tertulis nie..segala persoalan saay sudah terjawab selama ini..bermakna kiter masih boleh berkawan selagi ia tidak melanggar undang2 islam.

  25. Assalamualaikum.Im new here.kan tanye blh kah kawan perempuan masuk rmh kwn lelaki yg bkn mahram ttapi berbicara dgn kerja2 yg penting sperti mmbuat projek utk presentation.. dan blhkah perempuan dan lelaki berlawak dan ketawe bersme2??

    • wslm. boleh, kalau ramai dan tidak menimbulkan fitnah, cth tempat xsesuai, sempit, suram, banyak sia2 n gelak daripada serius buat keje. kalau buat lawak sekadar nk hilangkan bosan xde masalah. jangn sampai lagha dan lalai

  26. Assalamualaikum. Saya ada sorang kawan laki yang saya agak selesa dengannya, discuss pasal isu semasa etc. Kami berhubung melalui wassap wechat etc, jarang sekali bersua. Jadi apakah hukumnya? Terima kasih. He bless us :)

  27. assalamualaikum.. saya nk tny.. saya ada abg angkat dan kami memang rapat… jika abg angkat saya ada masalah… dia akan bagitau masalah dia dkat saya… dan jika saya ada masalah,,saya juga akan memberitahu abg angkat sya akn masalah saya melalui facebook… boleh kah kami meluahkan masalah antara satu sama lain ??

  28. assalammualaikum..
    sya tertarik dgn artikel ini dan ingin mengajukan soalan tentang hubungan kawan antara tunang orang (perempuan) dgn suami orang?

  29. assalamualaikum :D saya tertarik dgn artikel ini walaupun sayang hanya berumur 14 tahun . saya ingin menanyakan satu soalan , bagaimanakah lelaki yg terpandang perempuan bukan islam secara tidak sengaja ? lelaki yg mempunyai nafsu yg kuat ttp kerana terpandang perempuan bukan islam tersebut yg mendedahkan aurat sehingga menyebabkan lelaki tersebut secara automatik ingin melakukan perkara yg tidak baik kerana nafsuny tersebut ? apakah hukumny ? :) saya akan menunggu balasan anda . terima kasih :D

Scroll To Top