Tajuk ini adalah antara ungkapan yang pernah saya berikan kepada beberapa orang gadis ketika mereka meminta pandangan tentang lamaran. Mereka menerima lamaran, dan serba salah untuk mengambil tindakan terbaik atas lamaran tersebut.
KEHARUSAN
Saya pernah sebutkan beberapa kali dalam entri sebelum ini, bahawa sebagai wanita yang dilamar, anda ada hak samada untuk menerima atau menolak seseorang. Ini asas yang perlu difahami.
Bermakna, jika ada orang datang melamar, anda tidak perlulah menganggap bahawa anda ‘wajib’ atau ‘kena’ terima lamaran tersebut. Ada kes, si lelaki datang melamar dan si wanita merasa ‘diasak’ untuk menerima lamaran tersebut, antaranya kerana si lelaki berhujah dengan hadith :
” Apabila datang kepadamu seorang yang engkau redha akan agama dan akhlaknya, maka kahwinilah dia. Jika tidak akan berlaku kerosakan yang besar di atas muka bumi “
Memang pening.
Hadith itu betul, tetapi ditafsirkan serta ‘dipergunakan’ secara salah. Seolahnya, si lelaki berkata begini :
” Engkau, wajib kena terima lamaran aku. Sebab aku ini baik agama dan akhlaknya. Kalau kau tak terima, akan terjadi bala atas muka bumi..”
Ini kefahaman yang salah. Seorang lelaki datang ‘menafikan’ keharusan anda untuk memilih, sekaligus ‘memaksa’ anda secara halus untuk menerima lamarannya, tanpa melihat kepada sejumlah besar faktor yang lain.
BETUL PADA SITUASI MASING-MASING
Saya suka bagi pencerahan kepada isu di atas, iaitu sebenarnya anda dan dia kedua-duanya betul, tetapi pada situasi masing-masing.
Dia sebagai orang yang melamar, dia ada hak untuk melamar, dan dia ada hak untuk ‘merasakan’ dirinya baik dari segi agama dan akhlak. Dan dia juga ada hak untuk merasakan lamarannya patut diterima.
Manakala anda sebagai yang dilamar, anda juga ada hak untuk menerima lamaran dia atau tidak, dan anda juga ada hak untuk consider faktor-faktor lain selain dirinya ( agama dan akhlak ). Sebagai contoh ; pelajaran yang belum habis, kesediaan yang belum ada, keizinan keluarga dan lain-lain. Mustahil anda mahu terima lamaran dia hanya kerana dia berhujah dengan hadis tersebut, walhal anda sendiri baru ‘tingkatan satu’ ( sebagai contoh ).
Justeru, lelaki tidak ada hak untuk menjadikan hadith tersebut sebagai ‘senjata’ bagi menafikan keharusan wanita memilih yang terbaik untuk hidup mereka. Sebaliknya lelaki tersebut perlu istiqamah dan terus dengan tekadnya untuk berkahwin, tetapi dia harus menerima hakikat bahawa mungkin dia melamar pada orang yang salah. Lamarannya tidak salah, cuma belum berjumpa orang yang betul.
Jelas?
” JUAL MAHAL “
Selesai masalah asas di atas, saya sebenarnya mahu menulis tentang istilah ‘jual mahal’ yang kerap dilontarkan kepada wanita. Ini kesinambungan dari tajuk ‘keharusan’ di atas.
Saya katakan, wanita secara asasnya ada hak untuk menolak lamaran. Namun adakah perlu sampai ke tahap dilabel ‘jual mahal’? Ini kerana menolak lamaran itu normal dan tiada salahnya, tetapi sengaja ‘jual mahal’ itu memang salah dan tidak normal.
Jadi, elok kita lihat beberapa sebab yang membawa kepada gelaran ‘jual mahal’ tersebut. Saya harap, wanita jangan gembira dan selesa pula dengan gelaran tersebut.
PERTAMA : DEMAND TINGGI
Terlalu memilih. Ini sebab paling basic untuk anda digelar jual mahal. Anda mahukan yang sempurna bahkan yang paling sempurna. Kalau boleh, jangan anda cacat celanya lelaki tersebut di mata anda. Dari hal personaliti hinggalah hal pekerjaan, semuanya mesti perfect. Demand sebegini menjadikan anda terus menolak dan menolak dengan alasan lelaki itu ‘tidak layak’ atau ‘not my taste‘.
KEDUA : TERLALU KERAP MENOLAK
Lamaran pertama ditolak, lamaran kedua ditolak, sampailah lamaran ke sepuluh, pun anda tolak. Sebabnya pula langsung tidak masuk akal. Alasan rapuh dan tidak boleh diterima. Bahkan kadang-kadang tanpa alasan. Maka anda akan dilabel sebagai ‘jual mahal’.
KETIGA : SOMBONG
Ini masalah sikap. Anda tidak pandai untuk bersikap profesional terhadap lamaran, bahkan boleh jadi anda gagal mengklasifikasikan permintaan itu sebagai ‘lamaran’. Tindakbalas ataupun respon anda yang ‘kurang cerdik’ akan dilihat sebagai jual mahal. Apatah lagi jika anda memang benar-benar sombong.
KEEMPAT : TIDAK TAHU APA YANG DICARI
Anda sendiri tidak tahu apa yang anda cari. Tengok orang berkahwin, anda pun nak kahwin. Apabila dilamar, anda tolak. Bila ditanya apa yang anda cari pada seseorang lelaki, anda tiada jawapan. Mahu tapi tak tahu. Ini masalah besar. Apapun, ini juga antara faktor anda digelar ‘jual mahal’.
KEJUJURAN
Saya pesan ‘ telus dengan Tuhan, jujur sesama manusia ‘ bukan saja-saja mahu pesan. Tapi kerana saya mahu, sebagai wanita, anda seboleh mungkin berlaku adil dengan manusia. Jangan hanya ikhlas dengan Allah tetapi dengan manusia, anda beri layanan buruk.
Antara manusia yang kerap diberi layanan buruk adalah lelaki yang masuk melamar kemudian ditolak. Mungkin juga fenomena ini berlaku tanpa sedar. Sebagai contoh seorang wanita berpendapat ;
” Aku ada hak untuk terima dia atau tidak. Aku dah cakap kat dia aku tak nak, kenapa dia tak faham-faham bahasa? Lantak dia lah. Yang penting bukan aku yang terhegeh-hegeh nak kat dia “
Saudariku, awasi bahasamu, awasi juga hatimu.
Dalam tak sedar, anda mengkhianati hak seorang manusia yang lain bahkan anda turut meletakkan kesemua ‘kesalahan’ ke atasnya seorang.
Ya, dia mungkin salah kerana melamar anda. Tetapi niatnya mungkin betul dan ikhlas. Tetapi anda boleh jadi lebih salah, kerana anda bukan sahaja menolak tanpa alasan yang kukuh, bahkan menghina pula dia sebagai ‘peminta’ yang terhegeh-hegeh.
Justeru, kejujuran sesama manusia sangat penting.
Ketika berdepan lamaran itu, anda memohon petunjuk dari Allah, kemudian berbincang dengan orang tengah atau ibu bapa, sehingga perbincangan itu matang dan membuahkan keputusan, maka anda mempersembahkan keputusan tersebut kepadanya dengan cara yang paling baik.
KESILAPAN TANPA SEDAR
Saya mahu tulis juga contoh ini, supaya lebih jelas.
Situasi satu :
Nina enggan menerima lamaran Rizal. Bahkan membuka ruang untuknya pun Nina tak mahu. Rizal pendek, gelap dan kata orang badannya berbau. Walaupun pelajarannya bagus, tapi personalitinya langsung tidak menarik. Dia juga bukan seorang yang kemas dan mementingkan kebersihan. Lalu Nina memberi jawapan kepada Rizal ;
‘ Saya bukan tak nak terima awak, tapi saya nak fokus pada pelajaran. Buat masa sekarang, saya tak nak terima mana-mana lelaki dalam hidup saya. Dan saya harap awak tak hubungi saya lagi lepas ini..”
Selang sebulan, Rizal ternampak status in a relationship Nina dengan Dolah di facebook. Kemudian barulah diakui sendiri bahawa mereka sedang merancang untuk bertunang.
Situasi dua :
Nina enggan menerima lamaran Rizal. Rizal pendek, gelap dan kata orang badannya berbau. Walaupun pelajarannya bagus, tapi personalitinya langsung tidak menarik. Dia juga bukan seorang yang kemas dan mementingkan kebersihan. Lalu Nina memberi jawapan kepada Rizal, melalui orang tengah yang dipercayai :
‘ Saya sudah pertimbangkan lamaran awak, saya cuba istikharah dan berbincang dengan ibu bapa sendiri, namun saya berat untuk menerima awak disebabkan hati saya langsung tidak condong ke arah awak. Saya akui ini sebagai kelemahan di pihak saya sendiri, namun saya hormati lamaran awak dan saya harap awak redha bahawa saya mungkin bukan orangnya untuk awak. Saya mohon kemaafan atas penolakan ini ‘
Apa yang anda nampak?
Dalam situasi pertama, Nina langsung tidak jujur dengan hak sesama insan. Dia berbohong dan menolak lamaran seorang lelaki tanpa suatu sebab yang boleh menenangkan lelaki tersebut. Bahkan lelaki tersebut sudah tentu akan merasa sakit hati dan dendam apabila melihat Nina bersama lelaki lain padahal sebelum itu mendakwa enggan menerima lelaki sehingga tamat belajar.
Apa yang cuba saya bawakan adalah :
1. Kejujuran itu wajib diaplikasikan dalam hal ehwal lamaran. Kalau tak mampu ungkapkan sendiri, gunakan orang tengah untuk memberi penjelasan. Objektifnya adalah untuk menunaikan hak si pelamar sebagai manusia yang punya hati perasaan dan memastikan si pelamar beroleh jawapan jelas mengapa dia ditolak. Antara lainnya juga, untuk mengelak dari timbul fitnah, dendam dan sebagainya.
2. Sekiranya prinsip ‘ telus dengan Tuhan, jujur sesama manusia ‘ ini benar-benar diaplikasikan oleh anda, insyaAllah tidak akan timbul istilah jual mahal tersebut. Mana mungkin anda boleh menolak berpuluh-puluh lamaran sekiranya anda benar-benar jujur? Bagaimana mungkin anda akan ‘bermain-main’ dengan sesebuah lamaran sekiranya anda benar-benar telus dengan Tuhan? Mana mungkin anda akan menghina atau memperlekehkan seseorang lelaki yang melamar sekiranya anda benar-benar ada iman?
KESIMPULAN
Walaupun asasnya anda sebagai wanita harus untuk menerima atau menolak, namun jangan sampai ke tahap anda dilabel sebagai ‘jual mahal’, ‘terlalu memilih’ , ‘entah apa yang hendak’ dan sebagainya. Sekiranya mahu membuka pintu lamaran, buka dengan baik, terima dengan baik dan tolak juga dengan baik. Kalau mahu menolak kerana belum bersedia, mahu tumpu pelajaran, jelaskan dengan cara yang paling baik. Kalau mahu menolak kerana merasa tidak serasi, tidak sekufu dan tidak berkenan, lakukan juga dengan cara yang paling baik.
Begitu juga andai mahu menutup pintu lamaran, jelaskan prinsip tersebut juga secara baik dan pastikan ‘pintu’ tersebut benar-benar ditutup. Jangan kata tutup, tapi sebenarnya anda ‘mengintai-intai’ dari dalam.
Selebihnya, kiranya anda benar-benar telah melakukan yang terbaik, telus dan jujur, dan orang tetap mahu mencemuh atau mengata ‘jual mahal’ , maka itu terserahlah kepada Allah. Daya kita hanyalah usaha.
Sekian.


Allah.. Subhanallah. indahnya motivasi cinta bersyariat…
jazakallahukhairan ustaz atas secebis perkongsian dan pencerahan yang ckup baik.. insyaallah smg bermanfaat untuk semua muslimah di luar sana…
Betapa Jalan Islam itu cukup indah dan syumul untuk memandu kita di sepanjang kehidupan ini. tinggal kita saja untuk mempraktikannya.. Habluminallah terjaga. habluminannas dijaga.. insyaallah smg ke’telus’an dan ke’jujur’an inilah menjadikan kita terus selamat dan bahagia dunia akhirat.. terpandu dalam suluhan Taufiq dan HidayahNya..
mudah2an Allah beri kekuatan utk diamalkan ..amin
mohon share..banyak info. saya ingatkan..jika dah ada org dtg melamar..kene trus terima..walhal kita tk tau pun..orgnye macammana..
demand itu kena ada juga, cuma jangan berlebih2
masyallah.. post2 ni betul2 tepat dgn timing.. bru je siang td sy terfikir situasi si lelaki yg melamar, dan menggunakan dalil “” Apabila datang kepadamu seorang yang engkau redha akan agama dan akhlaknya, maka kahwinilah dia. Jika tidak akan berlaku kerosakan yang besar di atas muka bumi “.. syukran ustaz atas pencerahan..