Monogami Atau Poligami : Jadilah Wanita Yang Paling Bahagia

Published on: Sep 15 2011 by myilham.com

di hujung CINTA anda, menanti sebuah BAHAGIA

 

” Cuba tengok blog ni. Tulisan seorang isteri kedua..”

Saya menatap seketika beberapa tulisan dalam blog tersebut setelah ditunjukkan oleh isteri. Subjek poligami yang diterjemahkan dalam bahasa kehidupan. Berkongsi rasa, suka dan duka. Menariknya, terselit juga unsur-unsur dakwah di dalamnya.

Saya sejujurnya tidak menganalisis dan menelaah pun apa yang beliau tulis, sekadar singgah membaca sekali imbas sahaja. Kebanyakan point adalah rentetan dari perbahasan sedia ada. Isu-isu cemburu, buah mulut orang, cabaran berkongsi dan sebagainya.

Lalu saya terdetik untuk menulis. Dan sebenarnya, tulisan ini bukanlah selayaknya untuk mengupas topik poligami yang berjela-jela panjangnya. Bukan juga untuk memenangkan satu pihak dan mengalahkan atau menyalahkan satu pihak yang lain. Tulisan ini sekadar hadir untuk berbicara ke lubuk hati anda sebagai wanita.

Wanita yang sedang memburu erti sebuah bahagia.

 

BERKONGSI

Istilah lain untuk poligami adalah ‘berkongsi’. Berkongsi kasih sayang suami, perhatian suami dan juga batang tubuh suami itu sendiri. Bahasa kasar atau bahasa tuduhan pula adalah perampas dan ‘tidak cukup satu’.

Sebenarnya tidak hairan jika hari ini golongan wanita enggan bahkan menentang poligami. Dua sebab utamanya adalah :

 

SATU : FITRAH

Fitrah wanita itu sendiri mahukan dirinya menjadi satu-satunya isteri kepada suami. Biar apa sekalipun, dia enggan berkongsi suami dan mahu mendapat hak penuh untuk memiliki. Sebab lain, wanita itu sangat hebat emosinya dan sangat kuat sifat cemburunya. Dalam masa yang sama, mereka tidak yakin dapat berdepan dengan segala ujian hati sekiranya memilih untuk berkongsi suami.

 

DUA : REALITI

Bukan semua wanita enggan dan menentang poligami atas dasar fitrah semata-mata. Ada juga yang berjaya melawan perasaan tersebut, namun berjumpa dengan satu lagi halangan yang besar. Halangan itu adalah realiti atau aplikasi poligami itu sendiri pada hari ini. Ramai orang berpoligami dan hidup mereka tidak bahagia. Banyak sisi-sisi negatif yang dizahirkan ke mata masyarakat, menjadikan wanita sangat fobia dan takut untuk menempuh kehidupan seperti itu.

 

FOKUS

Saya tidak bercadang meleret-leretkan perbincangan tentang dua faktor di atas, cuma sebagai wanita, mengapa tidak anda fokuskan untuk menjadikan hidup anda bahagia dengan sebenar-benar bahagia? Bahagia yang bukan hanya terhenti di dunia, bahkan berpanjangan ke akhirat sana.

Cuba perhatikan.

Anda tertakluk dalam batasan takdir. Suratan kehidupan anda semuanya telah ditetapkan Tuhan. Dakwatnya telah kering dan hanya tunggu masa berjalan. Dan anda, tidak tahu apa yang akan terjadi di masa hadapan. Hari ini boleh jadi anda bahagia, esok lusa mungkin derita. Hari ini mungkin derita, esok lusa bertambah bahagia.

Sama jugalah dalam hal poligami ataupun monogami. Anda tidak tahu samada anda ditakdirkan menjadi satu-satunya isteri kepada si suami ataupun anda terpaksa berkongsi. Jadi, dalam keadaan ‘tidak tahu’ itu, sebenarnya apakah perkara yang lebih penting dan lebih wajar untuk anda FOKUS bagi meraih tenang dan tenteram dalam hati anda?

 

FOBIA

” Abang jangan mengada-ngada nak cari lain..saya hempuk abang nanti! ”

” Tak cukup lagi ke apa yang saya dah bagi selama ni? Kenapa abang sanggup buat macam ni kat saya..?!”

” Mati hidup semula pun saya tak kan bermadu. Abang pilih, nak kawin lain atau ceraikan saya! “

Semua bentakan dan luahan tidak puas hati ini cenderung untuk keluar dari mulut wanita-wanita yang fobia dengan poligami. Isu pokok tidak difahami dengan baik, sebaliknya meleret kepada isu-isu ranting dan akhirnya terjadilah perbalahan demi perbalahan. Dan sesungguhnya, perceraian bukanlah option yang patut disenaraikan.

Dek kerana fobia ini jugalah, ramai wanita berusaha keras untuk memastikan dirinya menjadi satu-satunya isteri kepada suami.

Ada yang berusaha keras daripada awal-awal lagi. Ada yang berusaha keras ketika ternampak bayang-bayang suaminya mahu berkahwin lain. Ada yang baru nak berusaha ketika suaminya telah pun selamat ‘membuka cawangan’. Lebih malang, apabila usaha dengan cara haram menjadi pilihan seumpama berbomoh dan sihir.

 

BALIK KEPADA ASAS

Saya berani katakan, bahawa bergelumang dengan kesemua usaha keras bagi ‘menghalang’ hasrat si suami seperti di atas tidak langsung menjadikan seseorang wanita itu bahagia. Hatinya tetap tidak tenang dan jiwanya tetap tidak tenteram.

Cuba kembali kepada asas.

Kehidupan ini suatu amanah, dan anda diamanahkan untuk menjadi suri kepada seorang suami. Tugas dan tanggungjawab anda adalah jelas untuk berbakti. Fokuslah kepada tugas tersebut dan persediaan ke arahnya.

Dan sudah tentu, anda wajib MENGIKAT kesemua tugas dan persediaan itu dengan keikhlasan yang hakiki kepada Allah. Lakukan kesemuanya dengan niat hanya kerana amanah daripada Allah. Pemberi pahala adalah Allah, penentu syurga neraka juga hanyalah Allah.

Suami itu hanya wasilah dan pinjaman bagi menguji anda, adakah anda teguh berpegang dengan tali Allah ataupun tewas dengan dugaan.

Apabila anda kembali ke titik ini, sebagai wanita, anda pasti akan merasa tenang. Masakan anda tidak tenang, jika anda dapat meyakini KEADILAN Allah melebihi keadilan manusia.

Meyakini KASIH SAYANG Allah melebihi kasih sayang manusia.

Meyakini PERHATIAN Allah melebihi perhatian manusia.

Meyakini JANJI Allah melebihi janji manusia.

Ya. Semua ini berkait rapat dengan asas yang paling utama iaitu KEIMANAN dan KEYAKINAN yang kukuh kepada Allah. Sesungguhnya, hanya itu yang berupaya menjadikan anda beroleh tenang dan berupaya mencapai erti bahagia.

 

SEMUANYA UJIAN

Monogami juga ujian. Siapa berani cakap berkahwin satu lebih bahagia daripada berkahwin lebih dari satu? Bahkan ramai juga wanita yang punya seorang suami, namun hidupnya lebih tertekan dari wanita yang bermadu tiga. Contoh, suami hanya seorang tetapi perhatian suami lebih kepada kerja dan bisnes. Kerapkali juga tiada di rumah dan tiada masa bersama. Begitu juga suami aktif dalam dakwah dan aktiviti kemasyarakatan. Dari satu sudut, tekanannya sama sahaja dengan isteri yang mempunya ramai madu dan kurang masa bersama suami.

Lalu, bukankah itu juga suatu ujian?

Dan adakah anda mahu terus-terusan mengatasi ujian ini dengan ‘membolot’ seorang suami sepenuhnya? Adakah itu yang anda mahu istilahkan sebagai BAHAGIA?

 

KESIMPULAN

Justeru, isu sebenar bukanlah soal dimadukan ataupun tidak. Bukan itu penentu anda beroleh bahagia atau tidak. Isu sebenar adalah sejauh mana anda sebagai wanita sedang berusaha atau telah berusaha untuk menjadi pasangan yang paling baik kepada suami atau bakal suami? Sejauh mana anda yakin dengan arahan dan kewajipan yang ditentukan Allah ke atas anda? Sejauh mana anda berusaha untuk menjadi penyejuk mata kepada suami? Sejauh mana anda telah berusaha untuk mencapai REDHA ALLAH atas segala yang anda curahkan ke atas suami? Sejauh mana anda YAKIN bahawa ada balasan di syurga sana untuk segala usaha dan pengorbanan anda terhadap suami dan rumahtangga?

Jika di situ fokus anda, maka insyaAllah, isu ‘ramalan’ masa depan ini tidak akan terus-terusan menghantui anda sehingga fokus utama tadi terabai.

Percayalah, monogami atau poligami, anda mampu untuk menjadi wanita yang paling BAHAGIA.

 

sekian.

Comments

comments

11 Comments to “Monogami Atau Poligami : Jadilah Wanita Yang Paling Bahagia”

  1. qaniah says:

    salam… artikel yang bagus… kena basuh sikit kepala suha yang bencikan poligami…

    • myilham.com says:

      wslm. bencilah kepada perlakuan poligami yang salah dan menyimpang tetapi jangan membenci konsepnya yang suci dan mulia..

      • Whoamie says:

        SEBELUM MEMBUAT KEPUTUSAN BERPOLIGAMI, TANYAKAN KEPADA DIRI SENDIRI… MAMPUKAH KITA UNTUK BERPOLIGAMI… IN ALL POINT OF VIEW… SEKIRANYA KITA JUST TENGOK 2 ATAU 3 POINT OF VIEW MAKA AKAN TERTINGGALLAH BEBERAPA VIEW LAIN YANG KITA TIDAK MAMPU

  2. bazlee says:

    hargai yang pertama… akan datang yang kedua…. (ayat ini bukan untuk suami tapi untu isteri) apa yang kedua itu???

  3. Sue says:

    Sy redha bermadu…sbb sy percaya kasih syg itu milik Allah…kita x blh tamak,adakala Allah bg kasih syg dan Allah nk kita b’kongsi…sbb sy nk jd istri solehah pd suami sy…sy nk buru syurga dunia dan akhrat..

  4. comot says:

    pada saya pahit hidup bermadu apatahlagi dengan suami yg pendapatannya cukup2 makan…

  5. mak limah says:

    sy sokong….poligami ada hikmah disebaliknya..mereka2 yg merasai sahaja mampu merasa bahagia…

  6. mekji says:

    saya isteri pertama, saya sokong poligami, saya percaya boleh bahagia dengan poligami, saya bantu suami saya dan bakal madu( sebelum nikah) agar dipermudahkan poligami, suami dan bakal madu berjanji untuk bahagia bersama… tetapi panas tak sampai ke petang, belum pun sampai setahun nikah, suami dah berubah, gilakan madu saya sampai saya jadi sampah… itu orang beragama, kalau orang takda agama, camna la… kasih sayang saya pada madu dah jadi sakit hati, cinta saya pada suami da jadi benci…
    saya tak tau apa lagi yg saya percaya, dulu kononnya saya nak sokong orang bepoligami, sekarang saya sendiri separuh menyesal…

Leave a Reply

*

*