Myilham.Com Rotating Header Image

Kahwin : Antara Penawar Dan Racun

 

 

 

” Saya kurang bersetuju kalau kita mempromosikan perkahwinan dalam waqi’ sekarang. Kewujudan entiti seumpama Bait Muslim itu bagus, tetapi cukup sekadar saluran dan bukannya promosi atau menggalakkan perkahwinan..”

Seorang sahabat senior berpangkat ‘adik’ mengutarakan pandangan. Kebetulan terkeluar topik tentang pernikahan semasa belajar dan kewujudan unit seperti Bait Muslim di kebanyakan tempat belajar dalam dan luar negara.

” Tetapi mungkin ada sedikit keperluan, terutama dalam usaha menjadi tempat rujukan bagi pelajar-pelajar yang berhasrat kepada pernikahan. Dan mugkin juga boleh membuka jalan untuk mereka-mereka yang kaki couple..” Saya menduga.

” Betul. Sebagai saluran tidak ada masalah. Tetapi kalau hendak mempromosikan, tidak sesuai. Kita tidak tahu, ada orang sesuai berkahwin di usia 20 tahun, ada orang 25 tahun..”

Saya terdiam. Fikiran mula menganalisa lontaran idea tersebut. Jauh di sudut hati, saya memang bersetuju. Bahkan saya cuba meletakkan diri dalam posisi sahabat-sahabat yang berada di jurusan kedoktoran,umpamanya. Mereka perlu menempuh satu perjalanan yang cukup panjang selama 5 hingga 6 tahun. Sudah tentu, jika isu perkahwinan dibebankan kepada mereka di awal ataupun di tengah perjalanan, ia akan cukup mengganggu.

Bertukar-tukar fikiran seperti ini, cukup menarik. Ada perkara yang boleh difikir dan boleh dikongsi.

 

GANGGUAN

Tidak dinafikan, isu kahwin ini jika datang bukan pada masanya, ia boleh diumpamakan seperti racun. Bukan hanya berpotensi untuk mengganggu,bahkan boleh menjadi pembunuh dalam senyap.

Bukan kesihatan individu itu yang bakal terjejas, ataupun jiwanya bakal melayang, tetapi tekad, keazaman dan cita-cita yang sebelumnya dipasakkan dengan begitu kukuh. Akhirnya datang badai nikah-kahwin, segala perancangannya tergugat. Tanpa kesediaan yang betul dan tekad yang jelas, seseorang itu boleh tersasar dari landasannya yang sebenar sehingga segala karier dan pelajarannya hancur musnah.

Dan sudah tentu, antara perkara yang boleh menggelincirkan seseorang itu dari landasannya, adalah berfikir dan bergerak ke arah perkahwinan sebelum tiba masanya.

Namun begitu, apabila bercakap mengenai gangguan seperti ini,  saya terfikir tentang beberapa sudut yang lain.

Gangguan yang dilihat sebagai gangguan itu, kalau hanya dinisbahkan kepada promosi nikah-awal atau nikah-waktu-belajar oleh pihak-pihak tertentu, agak kurang adil. Kalau kita perhatikan, sebenarnya terdapat begitu banyak ‘gangguan’ yang lain di mana turut berperanan sebagai ‘pendorong’ seseorang itu kepada perkahwinan meskipun dia masih belajar.

 

CONTOH SITUASI

Seseorang yang seringkali mendengar kawan-kawannya bercakap atau berbincang tentang perkahwinan, sedangkan dirinya tidak langsung bersedia untuk berfikir ke arah itu, akan mengalami gangguan dari banyak sudut. Dari segi cara berfikir, cara bertindak, fokus dalam pelajaran dan tekad mengejar cita-cita, semuanya akan terganggu. Gangguan ini pula boleh membawa kepada goyahnya seseorang itu dari matlamat asal. Sebagai contoh, daripada tidak memikirkan tentang kahwin dan berusaha menjauhinya, kepada secara tiba-tiba berminat kepada perkahwinan dan bergerak ke arahnya tanpa ada keperluan dan sebab yang kukuh. Inilah yang saya sebutkan sebagai ‘racun’ yang boleh membunuh.

Situasi di atas jelas, iaitu gangguan berbentuk ‘promosi’ tidak kiralah daripada entiti khas ataupun dari mulut kawan-kawan sendiri.

Tetapi perlu diingat, tidak semua gangguan itu datang dalam bentuk ‘lafaz’. Sebenarnya, setiap hari seseorang itu akan berdepan dengan gangguan samada dia sedar ataupun tidak.

Perhatikan di sekeliling. Bagaimana runtuhnya nilai akhlak dan maruah dalam masyarakat. Bagaimana hebatnya gadis-gadis kita dalam menayangkan tubuh badan. Bagaimana hebatnya gejala berpasangan sebelum kahwin yang melanda kampus-kampus dalam dan luar negara. Bagaimana terujinya iman seseorang tatkala menghadap internet. Bagaimana tumpasnya begitu ramai pemuda pemudi Islam di luar sana lantaran terkena penangan cinta dan nafsu yang tidak bertepian.

Kesemua itu secara tidak langsung, sedang bercakap kepada anda bahawa anda perlu kepada sebuah perkahwinan sebagai jalan keluar yang paling selamat. Saban hari dan saban waktu, kesemua fenomena itu tetap akan hadir sebagai satu bentuk ‘gangguan’ kepada anda. Apatah lagi, jika seseorang itu sememangnya terlibat dengan gejala berpasangan sebelum kahwin atau istilahnya bercouple.

Gangguan yang lain masih banyak. Sehinggakan membaca artikel, menonton drama ataupun menelaah novel-novel berkisar tentang cinta, semuanya itu juga adalah gangguan yang sedang mengajak anda kepada sebuah perkahwinan sebagai garis penamat.

 

BETUL PADA SITUASI MASING-MASING

Ajaibnya aturan Allah, Dia tidak menjadikan jiwa manusia itu sama. Dua orang sahabat karib, atau dua orang adik beradik, seorang berminat menjadi doktor tetapi seorang lagi begitu obses dalam bidang pertukangan. Begitu juga, seorang bertekad untuk berkahwin walaupun usianya baru 20 tahun tetapi seorang lagi belum pernah membuka mulut tentang perkahwinan meskipun usianya sudah 25 tahun.

Kerana wujudnya keadaan yang berbeza-beza inilah, maka wujud juga pendekatan yang berbeza-beza. Boleh jadi, pendekatan untuk si A tidak sama dengan pendekatan untuk si B dek kerana keduanya berbeza dari segi cara fikir dan cara bertindak.

Jika dinilai kembali dalam situasi-situasi di atas, kita akan melihat bahawa kedua-dua pihak betul pada situasi masing-masing.

Kewujudan satu entiti di sesuatu tempat, yang mana berperanan membuat kempen dan promosi supaya muda mudi berkahwin meskipun masih belajar, tidak boleh dinilai sebagai salah dan tidak patut. Tidak adil juga untuk dinisbahkan sebagai ‘mengganggu’, kerana sebenarnya gangguan-gangguan untuk seseorang itu mendekati zina pada hari ini jauh lebih hebat berbanding gangguan-gangguan mengajak seseorang itu bernikah di usia muda. Tindakan promosi seperti ini dalam dunia hari ini, pada saya ada asasnya dan ada relevannya. Tetapi sayangnya, promosi ini di mana-mana tempat masih berada di paras yang lemah berbanding promosi bercouple yang masyhur serata dunia.

Dalam masa yang sama, seseorang yang bertekad untuk menamatkan pengajian dan mencapai cita-cita tanpa memikirkan tentang perkahwinan, juga tidak boleh diganggu dan disekat. Tekad dan keazaman seperti itu sangat sukar diperolehi hari ini, di mana kebanyakan remaja terjebak dengan budaya cinta tidak syar’ie dan bergelumang dengan maksiat saban hari. Ramai yang enggan berkahwin tetapi gemar berzina. Tetapi sangat sedikit yang enggan berkahwin tetapi sangat konsisten menjauhi zina dan mukaddimah zina. Maka, komitmen itu perlu dipuji dan dihargai.

 

ANTARA PENAWAR DAN RACUN

Kalau dikatakan mengajak muda mudi supaya bernikah sewaktu belajar itu 100% salah, realitinya ramai orang bernikah sewaktu belajar dan lebih ramai yang perlu menikah sewaktu belajar. Nikah pada mereka, menjadi penawar yang bisa melonjakkan mereka ke tahap yang lebih tinggi dan berjaya.

Kalau dikatakan mengajak muda mudi supaya bernikah sewaktu belajar itu 100% betul, realitinya ramai juga orang yang bernikah sewaktu belajar kemudian hanyut entah ke mana. Daripada matlamat dan cita-cita yang jelas, akhirnya terkubur begitu sahaja. Segala tekad dan kezaman di tahun satu, hancur sebelum sampai ke tahun akhir, gara-gara bernikah dalam usia muda tanpa mengerti hadaf dan matlamatnya.

 

KESIMPULAN

Setiap kali berbicara tentang ini, sering terlintas kata-kata Ustaz Pahrol Md Juoi ; Jangan tergesa-gesa dan jangan bertangguh-tangguh. Ringkas dan cukup untuk mengajak kita meletakkan diri kita dalam posisi masing-masing.

Sekiranya tekad kita jelas demi cita-cita yang paling utama, dan perkahwinan menduduki tangga kedua dan ketiga, maka jangan tergesa-gesa bahkan tidak perlulah memikirkan tentang perkara seumpama perkahwinan, kerana perkara tersebut bolehlah diibaratkan sebagai suatu perkara yang tidak perlu dan sangat tidak penting untuk difikirkan. Demikian juga, jauhilah sebarang bentuk perbualan, cerita, novel, drama mahupun apa sahaja yang berpotensi ‘mengganggu’ perjalanan anda. Melainkan bahan ilmiah berkenaan pernikahan dan bukan sekadar mencambahkan benih ‘gatal’ dalam diri anda, itu tidak menjadi masalah bahkan perlu sebagai persediaan masa hadapan.

Sebaliknya, kalau sudah difikir dan ditimbang dari pelbagai sudut, setelah melalui proses istisyarah dan istikharah dengan penuh konsisten, dan pernikahan menjadi suatu target yang perlu dicapai dalam kadar segera, maka jangan sesekali bertangguh-tangguh. Jangan bermain-main dengan api, kerana pasti dan pasti, ia akan menyambar.

 

Sekian.

Segala tulisan di blog ini merupakan semata-mata pandangan peribadi penulis dan tidaklah mencerminkan pandangan atau pendirian mana-mana pihak. Sudah tentu ia terdedah kepada kelemahan. Justeru ambillah mana yang baik dan tinggalkan mana yang buruk.
myilham.com
View all posts by myilham.com
s website

6 Comments

  1. asma says:

    salam..terima kasih ustaz atas perkongsian..sudah lama saya mencari entry seperti di atas..kadang-kadang orang ramai menganggap kahwin awal kerana gatal,dan kahwin lewat sebab tak laku.tapi sebenarnya setiap orang mempunyai alasan tersendiri jika mereka, sama ada kahwin awal atau lewat..like kata-kata ustaz Pahrol Juoi “Jangan tergesa-gesa dan jangan bertangguh-tangguh”..tq.

    1. myilham.com says:

      wslm

      betul. sebab itulah perlu letakkan diri sendiri dalam situasi yang betul, dan dalam masa yang sama perlu memahami situasi orang lain juga. barulah masing2 akan lebih merasa rahmat di balik ‘perbezaan’ tersebut :)

  2. Hamba Allah says:

    Jazakallah ustaz, saya sangat setuju tentang pengaruh rakan ni.Kalaulah saya baca entri ustaz awal2 pasti saya akan kembali fokus pd akademik.Namun alhamdulilah sy redha pd ketentuan ini.Moga sahabat2 lain dapat menjadikan iktibar dr artikel ini :)

  3. pencerahan yang cukup baik. ana yakin ramai yang sedang diuji dan teruji sekarang tambahan musim2 cuti sebegini ramai sahabat2 yang kawin. perbualan di kampus mahupun di tempat kerja juga mungkin xlari dr topik nikah ini.

    Apapun benar setiap orang berbeza dan setiapnya telah Allah tuliskan jodohnya.

    yang penting kena jelas balik niat dan matlamat..

    kena sama2 membantu shbt2, tidak bermakna perkahwinan merupakan penyelesai kepada masalah. tetapi insyaallah ia tetap akan hadir pada waktu dan masa yang tepat yg diketahui Allah. insyaallah.

    kepada yg belum sampai seru, bersabarlah. kerana sabar itu indah, Fokus dulu apa yang ada di hadapan :j insyaallah semoga Allah memudahkan jalan2 seterusnya..

  4. credit untuk ustaz yang turut meraikan ‘kami2′ yang berada di bidang perubatan. berat mata memandang berat lagi bahu memikul. doakan smg terus kuat dan insyaallah dipermudahkan jalan sepanjang perjalanan yang ‘panjang’ ini :j insyaallah.. tidak salah kahwin masa belajar dan pastinya Allah akan lorongkan pada mereka yang selayaknya. :j

    1. myilham.com says:

      sebab kat tempat saya pun, ada sahabat2 dari jurusan perubatan. sebenarnya bukan perubatan saja, jurusan lain pun sama. insyaAllah moga Allah terus beri kekuatan.

      terima kasih atas semua komen saudari Dr.Ahyana. :)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan-BukanKomersial 2.5 Malaysia Creative Commons.