Myilham.Com Rotating Header Image

Kanak-kanak : Bawa Ke Masjid Atau Tinggalkan Di Rumah?

 

ajarlah mereka mengakrabi masjid -gambar google-

 

Melihat suasana masjid di Jordan ini memang banyak berbeza dengan suasana masjid di Malaysia. Antaranya perbezaan ketaranya adalah :

1- Kanak-kanak boleh solat di dalam saf dewasa bersama ayah mereka

2- Kanak-kanak itu tertib dan tidak mengganggu jemaah menunaikan solat

Adapun di Malaysia, keadaan tersebut sukar ditemui, sekaligus mencetus semacam perbalahan antara golongan yang mahu melihat budaya kanak-kanak bersolat di masjid dan golongan yang anti dengan kanak-kanak yang mahu solat di masjid. Timbul berbagai komen dengan bermacam-macam nada, antaranya daripada ibu atau bapa yang tidak berpuas hati akan layanan pengurusan masjid terhadap anak-anak mereka. Begitu juga daripada ahli jemaah masjid yang tidak berpuas hati kerana gagal khusyuk dalam solat dek kerana bisingnya kanak-kanak di dalam masjid.

Jadi siapa yang mahu menang? Dan siapa yang mahu dihukum bersalah?

Seharusnya, semua pihak perlulah memahami isu ini secara adil, barulah tidak timbul kekeliruan samada mahu membawa kanak-kanak di masjid atau meninggalkan mereka di rumah.

 

Soal Hukum

Banyak hadith sahih menceritakan tentang budaya kanak-kanak bersolat di masjid dan menggambarkan kepada kita betapa kanak-kanak itu sepatutnya diraikan di masjid. Tidak perlu wujud diskriminasi antara kanak-kanak dan orang dewasa, sehingga mahu dipaksa kanak-kanak itu berpisah saf solat dengan bapanya. Justeru hukum membawa kanak-kanak ini sebenarnya adalah sunat dan digalakkan. Bagaimanapun, keadaan itu berubah-ubah mengikut situasi.

1- Sunat ; kiranya dapat mendidik mereka menjiwai solat berjemaah dan menyukai masjid sebagai pusat ukhwah dalam  masyarakat.

2- Harus ; kiranya mereka sudah mumayyiz, tidak mencetus gangguan dan boleh dikawal.

3- Makruh, bahkan Haram ; kiranya mereka boleh mengganggu jemaah yang sedang solat, mencetus kekacauan dan menimbulkan fitnah serta perbalahan sesama ahli jemaah.

Nah, jika semua pihak memahami kesemua situasi ini dengan baik, maka tidak perlulah berbalah atau menghamburkan kemarahan secara sembrono, sehinggakan kerana satu masjid tidak mesra kanak-kanak, kesemua masjid dilabel sebagai anti kanak-kanak. Kerana satu pihak pengurusan bertegas dengan kanak-kanak, kesemua pengurusan dianggap tidak faham hukum hakam. Kadang-kadang, hadith yang dipegang sudah betul, tetapi pengaplikasiannya jauh terpesong.

Maka sebaiknya, semua pihak memainkan peranan masing-masing dan memperbetulkan kelemahan yang ada. Matlamat yang diimpikan adalah ; masjid akan menjadi pusat masyarakat yang mesra kanak-kanak dan dekat di hati orang muda. Sudah tentu tidak ada pihak yang mahu melihat mereka itu lari ke pusat-pusat hiburan lantaran mereka tidak dihargai di masjid.

 

Solusi :


Ibu bapa

Jangan hanya pandai membawa anak-anak ke masjid, tetapi didiklah juga mereka dengan akhlak dan disiplin yang baik. Letakkan syarat untuk mereka patuhi apabila berada di masjid. Mereka perlu dididik dan dibentuk dari rumah, barulah mereka berdisiplin di luar rumah. Ketegasan ibu bapa dalam hal ini sangatlah penting. Banyak terjadi, ibu bapa hanya tahu membawa anak ke masjid, sedangkan dalam kocek seluar anak-anak mereka penuh dengan pelbagai mercun. Ketika jemaah lain terganggu, ibu bapa hanya buat-buat tak tahu. Ini yang dikatakan menimbulkan fitnah.

Sebaliknya, jika anak-anak yang dibawa benar-benar berdisiplin dan tidak mengganggu kekhusyukan jemaah masjid, atau mereka boleh dikawal dengan baik, maka bawalah mereka ke masjid dan sebaiknya, solatlah bersama mereka di dalam satu saf yang sama.

 

Pihak masjid

Masih banyak masjid yang terlalu keras dengan kanak-kanak, sehinggakan pantang melihat kanak-kanak solat di dalam saf dewasa. Alasan tidak suci dan dalil-dalil pemisahan saf yang tidak tepat, dimomokkan kepada kanak-kanak untuk mereka menjauhi saf dewasa. Dalam masa yang sama, pihak masjid enggan mengambil tanggungjawab maksima untuk mengawal kanak-kanak yang hadir. Kalau mahu dikhaskan saf untuk mereka sekalipun, pastikan hanya untuk kanak-kanak yang benar-benar tidak boleh dijaga dan ibu bapa mereka pula tidak sensitif dengan mereka. Sebaliknya kanak-kanak yang pendiam, tidak buat bising, janganlah dihalang untuk bersolat bersama bapa mereka.

Banyak alternatif yang pihak masjid boleh usahakan untuk menangani isu kanak-kanak membuat bising di masjid. Antara yang banyak dibuat adalah menyediakan bilik atau ruang khas bersama penjaga. Kalau di masjid saya dahulu, ada seorang pak cik yang memang agak ditakuti oleh kanak-kanak, dan dia mengambil peranan secara sukarela menjaga saf kanak-kanak dan mengawal keriuhan mereka. Cara itu dilihat berkesan meskipun tidak semaksima yang diharapkan.

 

Pendakwah / Ahli Agama

Pada saya , mengubah cara fikir masyarakat bukan perkara yang mudah. Mereka bukan ahli akademik dan mereka bukan pemikir yang bijak membaca waqi’ apatah lagi melakukan satu resolusi ke atas budaya sedia ada. Maka ketegasan melampau ke atas kanak-kanak yang mahu solat di masjid menjadi budaya dan adat yang berterusan. Umum akan melihat kanak-kanak yang solat di saf dewasa sebagai salah bahkan ibu bapa mereka pun ditegur dan dimarahi. Dari situ, para pendakwah dan ahli agama harus lebih bijak menyelami perasaan dan situasi kesemua pihak, sekaligus merencana alternatif baru yang lebih segar dan praktikal untuk dilaksanakan. Melontar idea untuk menjadikan masjid pusat masyarakat memang sangat  mudah, tetapi untuk melaksanakan ia tersangatlah payah.

Maka , dakwah dan proses islah tetap perlu diteruskan. Tidak berjaya hari ini, mungkin berjaya esok. Tidak esok, mungkin bulan depan, tahun depan. Kerja tetap perlu dibuat dan diiltizamkan.

 

Kesimpulan

Kebanyakan masjid berada di bawah Jabatan Agama negeri masing-masing. Justeru pihak atasan yang mengawal seharusnya lebih peka dan agresif dalam memperbetulkan budaya yang salah dalam masjid. Keluarkan satu garis panduan untuk kakitangan masjid dan perbanyakkan program mendidik ibubapa dalam hal membawa anak mereka ke masjid. Kita mahu mereka akrab dengan kita, tetapi kita tidak menyediakan jalan dan ruang untuk mereka. Dari situ timbul berbagai fitnah dan perbalahan, di mana kesemuanya hanya simptom dari isu pokok yang tidak diselesaikan. Alangkah indah jika semua pihak memahami dan menjalankan peranan masing-masing. InsyaAllah budaya yang kita impikan itu akan berjaya direalisasikan.

Sekian.

Segala tulisan di blog ini merupakan semata-mata pandangan peribadi penulis dan tidaklah mencerminkan pandangan atau pendirian mana-mana pihak. Sudah tentu ia terdedah kepada kelemahan. Justeru ambillah mana yang baik dan tinggalkan mana yang buruk.
myilham.com
View all posts by myilham.com
s website

18 Comments

  1. kebetulan di radio IKIM baru2 ni ada membincangkan hal ni.Hakikatnya kanak2 kena didedahkan dgn suasana yang baik.

    1. myilham.com says:

      betul.mendedahkan anak2 dgn suasana yg baik seiring mentarbiah mereka juga dengan baik.

  2. megat says:

    alhamdulillah, perkongsian yang amat berguna. sepatutnya ibu bapa bertanggungjawab sepenuhnya untuk mendidik anak-anak pada awal pengenalan mereka apabila berada di masjid.

    kecewa dengan sikap ibu bapa yang bersahaja dengan perangai anak-anak mereka berkeliaran ketika jemaah solat. bukankah ini menggambarkan sikap ibubapa itu sendiri!?

    aku sendiri pernah membawa anak-anak aku ke masjid (pengenalan) dan ingin melihat sejauh mana perangai mereka. alhamdulillah bermula dengan baik dan hingga kini tidak membawa masalah. syukur!

    1. myilham.com says:

      ibu bapa seperti itulah yg menimbulkan fitnah pd org lain.tahniah pada tuan atas usaha tersebut :)

  3. Hud-Hud says:

    Setuju~! he…

    Ramadhan Kareeem, Allahu Akram!

  4. mohd hazli hashim says:

    same sperti majlis yassin dan tahlil, kanak2 dbiar kan bmain di luar rumah tika majlis blangsung.. Sepatutnya.. Ibubapa memainkn peranan or jkkk mbuat satu area utk kanak2 duduk, dberikn surah yassin dan dipantau shingga la majlis i2 selesai.. Jgn biarkn anak2 kecil ini terlalu dmanjakn.. Tp ajar la ia mhormati majlis2 sperti itu.. Shingga skrg tiada penyelesaian yg sy lihat2 jika sy d undang ke majlis2 ttentu..

    1. myilham.com says:

      di luar rumah atau luar masjid?luar rumah kalau ada majlis2 tahlil itu pun satu hal juga kan, tapi yg lebih bermasalah adalah buat bising luar masjid..sedangkan dlam masjid jemaah terganggu kekhusyukan mereka..

  5. Assalamualaikum Adik,
    Akak ni pun kurang perasan adik ni penah gi blog akak ke dulu. Kot dulu guna nama lain? Anyway, elok bawak kekanak ke surau/masjid tp pastikan mak bapak dah ajar dan didik adab dan tertib di majlis ilmu atau solat. Kalau buas sangat, tak payah bawak. Tima kasih utk entry ni. Selamat berpuasa!

    1. myilham.com says:

      wslm. ye,dah tukar nama sbb dah tukar domain dot com. :)

  6. Abu Azim says:

    Alhamdulillah. Perkongsian yang sangat relevan. Ibubapa muslim perlu diingatkan bahawa masjid bukan pusat jagaan, tadika atau taman permainan kanak-kanak. Masjid adalah rumah ibadat. Oleh itu hanya kanak-kanak yang sudah boleh beribadat atau sedang dididik dengan ibadat sahaja yang wajar dibawa. Kanak-kanak yang hanya tahu bermain-main, berlari-lari, membuat bising, dsb. sudah tentu belum boleh menjaga adab-adab di dalam masjid. Oleh itu mereka tidak wajar dibawa ke masjid. Tinggalkan sahaja mereka di rumah. Manakala kanak-kanak yang sudah diajar bersolat dan boleh menjaga adab wajar dibawa tetapi tidak wajar bersolat di saf dewasa. Mereka boleh solat di saf yang dikhususkan untuk kanak-kanak. Sebabnya, kebanyakan kanak-kanak (bahkan sesetengah remaja dan orang dewasa), tidak sempurna solat mereka (contohnya banyak bergerak, tergaru sana tergaru sini, menguap kerbau, dsb) sehingga boleh mengganggu orang yang bersolat di sebelah mereka dengan kelakuan-kelakuan tersebut.

    1. myilham.com says:

      apa yang menjadi masalah adalah soal disiplin kanak2 tersbut, itu sahaja. adapun solat di saf dewasa, mgkin belum mnjadi budaya. perkara tersebut tiada masalah dalam agama, bahkan di negara2 arab kanak2 solat bsama ayah mereka di saf dewasa. mereka cukup diraikan.

      1. Abu Azim says:

        Sekadar suatu perbincangan… Harap tuan jelaskan maksud ‘tiada masalah dalam agama’. Umum mengetahui melalui kitab2 feqah bahawa saf kanak-kanak adalah di belakang lelaki dewasa (sebahagian dalilnya disertakan di bawah). Perbuatan atau amalan orang2 Arab tidak semestinya selari dengan sunnah.

        Bila kanak-kanak turut sama solat berjemaah menurut riwayat dari Abdullah ibn Mas’ud Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Hendaklah berdiri mengiringi di belakang aku orang yang sudah baligh dan berakal, kemudian mereka yang berikutnya, mereka yang berikutnya. Jaga-jagalah kamu dari hingar-bangar seperti pasar”. (Sohih Muslim@ Al-Jamik, 2:30, turut meriwayat hadis ini ialah Imam Ahmad, Abu Daud dan At-Tirmidhi). Menjelaskan hadis ini lihat pula hadis berikut riwayat dari Abu Malik Al-Asy’ari: “Adalah Rasulullah SAW mengatur saf dewasa lelaki di hadapan kanak-kanak. Saf kanak-kanak di belakang lelaki dewasa dan saf perempuan di belakang kanak-kanak”.(Nailul Autar, 2:224).

        Hadis di atas diambil menjadi hujah dan dalil nas syarak hendaklah meletakkan kedudukan kanak-kanak dalam solat berjemaah di belakang lelaki dewasa dan di hadapan
        saf perempuan. Imam Ahmad mengatakan makruh berjemaah bersama kanak-kanak di belakang imam kecuali yang sudah baligh ( Nailul Autar, 2:224). Jumhur ulama fiqh
        menghukumkan hendaklah mendahului lelaki dewasa kemudian kanak-kanak, kemudian khuntha dan kemudian perempuan. Inilah yang utama sebagai menolak pendapat yang mengesyorkan kanak-kanak (yang sudah suci) itu diselang-seli dengan orang dewasa bagi mereka belajar sedangkan dari saf belakang pun mereka boleh belajar. (huraian dalam Al-Majmuk Syarah Al-Muhazzab, 4:291-293).

        Untuk penerangan lanjut, sila ke laman berikut:
        http://qasolatjemaah.blogspot.com/2009/01/solat-jemaah-dengan-kanak-kanak.html

        1. myilham.com says:

          saya fikir, jika saudara meneliti sendiri link yang saudara sertakan, saudara akan bertemu sendiri dengan jawapannya. terima kasih atas perkongsian maklumat.

  7. Abu Azim says:

    Maaf tuan. Yang saya maksudkan tuan perlu jelaskan hukum kanak-kanak bersolat di dalam saf orang dewasa. Rasanya kita sepakat bahawa hukumnya adalah harus, bukan wajib, sunat, haram dsb. Namun di dalam keadaan tertentu, umpamanya jika kanak-kanak tersebut boleh mengganggu jemaah dewasa di sebelahnya, hukumnya boleh jadi haram. Di samping berpandukan hadith dha’if tersebut, mungkin ini juga menjadi alasan kebanyakan ulama nusantara mengasingkan saf kanak-kanak daripada saf dewasa. Mereka bukan tidak mesra kanak-kanak tetapi menjaga maslahah para jemaah yang hadir ke masjid. Saya bukan berniat untuk membesarkan isu ranting tetapi sekadar memberi keadilan kepada ulama yang menetapkan susunan saf sebegini. Dan seperti yang tuan boleh jangka, saya antara yang setuju dengan pandangan ini. Lagipun, saya tidak fikir bab saf kanak-kanak ini merupakan isu besar yang menjadi penyebab masyarakat jauh daripada masjid.

    Tentang hadith dha’if, ijmak ulama tidak menolak hadith dha’if untuk dijadikan amalan di dalam bentuk menggemar (motivasi), menakutkan, adab, sejarah, kisah tauladan dan sebagainya. Namun ada setengah kalangan seolah-olah meletakkan hadith dha’if setaraf dengan hadith maudu’ (palsu) dan beramal dengannya adalah keji. Dan saya tentu sekali tidak berpihak kepada mereka.

    Saya sendiri ada 2 orang anak lelaki dan saya dengan izin Allah adalah jemaah tetap sebuah masjid. Saya hanya bawa anak2 lelaki saya bersama setelah mereka diajar untuk solat dan menjaga adab-adab masjid. Saya juga didik mereka untuk menghormati orang-orang yang lebih tua dengan mengutamakan mereka untuk mendapat saf-saf di hadapan. Alhamdulillah, anak-anak saya tidak pernah menimbulkan sebarang masalah di masjid bahkan mereka ‘diminati’ oleh para jemaah.

    Sampai di sini sahaja perbincangan ini. WAllahu a’lam. Wassalamu’alaikum.

  8. mel~ says:

    yup..pttnya kita dedahkan pada mereka yang masih kanak2 spya mereka dpt blajar, tetapi harus diingatkan bahawa..mereka (kanak2) harus tahu menjaga adab berada didalam masjid dan lain2 lagi..
    wassalam…

  9. muhammad arif haris says:

    salam, nak tanya sikit

    Jika kanak-kanak yg suka bermain pusing-pusing ketika kita solat bagaimana? Ada kalanya semasa saya solat dia naik dibelakang saya tp saya biarkan saja. Salah ke? sbb ada satu hadis sohih berkenaan melintas orang2 solat yang menyatakan lebih baik kita menunggu 40(hari,bulan,tahun???) daripada melintasi orang solat. bagaimana hukum kanak2 melintas orang yg solat sama ada di masjid ataupun berseorangan?

    1. myilham.com says:

      wslm. kanak2 tidak tertaklif pada mereka dosa. sebab itu apabila dibawa ke msjid, tertaklif atas penjaganya yakni ibubapa utk mengawal dan mengawasi supaya tidak berlaku masalah melintas atau mengganggu orang solat. bahkan, jika memang ibubapa mengetahui anaknya itu jenis nakal dan mengganggu, haram dibawa ke masjid kerana mggnggu orang solat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan-BukanKomersial 2.5 Malaysia Creative Commons.