Hukum Remove Friend Di Facebook

Published on: Aug 25 2011 by myilham.com

 

Artikel kali ini mahu memfokuskan perbincangan tentang beberapa fenomena dan hukum berkaitan aktiviti di facebook. Walaupun tidak ada satu pun ayat Al-Quran mahupun hadith Nabi s.a.w yang menyebut secara khusus berkenaan dengan hukum facebook, tetapi Islam menyediakan kaedah-kaedah tertentu yang sesuai digunakan sebagai kaedah umum bagi semua keadaan yang bersifat khusus. Ini menjadikan Islam itu sentiasa sesuai dan relevan untuk semua situasi dan ketika.

Sebelum itu ingin saya nyatakan, bahawa terlalu banyak hukum berkaitan yang boleh dihuraikan jika ingin bercakap tentang aktiviti di facebook. Namun apa yang cuba saya fokuskan dalam entri ini adalah dalam bab add friend ataupun remove friend.

KONSEP SYARIAT

Suatu perkara asas yang perlu kita faham tentang Syariat Islam adalah, Islam ini datang kepada kita sebagai satu sistem yang matlamat utamanya adalah untuk memberikan kemaslahatan ( kebaikan ) kepada manusia dan menjauhkan sebarang kemudaratan daripada manusia. Ini konsep teras kepada hukum hakam Islam. Sebarang perkara yang boleh mendatangkan manfaat ataupun kebaikan kepada manusia adalah dibenarkan manakala sebarang perkara yang boleh memberikan mudarat kepada manusia adalah ditegah dan dilarang.

Arak umpamanya. Suatu perkara yang boleh memberi kemudaratan maksima kepada manusia, kerana ia menghilangkan fungsi akal yang waras. Ketika mabuk, manusia boleh berzina bahkan membunuh. Islam menegah keras perbuatan minum arak kerana kesan-kesan negatif yang akan timbul daripadanya.

Jadi secara mudah, boleh kita fahami begini. Islam mahukan yang terbaik untuk kita, maka segala yang baik dan boleh membawa kepada kebaikan adalah diharuskan. Manakala segala yang buruk dan boleh membawa kepada keburukan, adalah ditegah dan diharamkan.

Ok, itu step yang pertama.

 

KAEDAH UMUM

Kita fokuskan pada satu kaedah fiqh yang ada dalam Islam, di mana kaedah ini menyebut :

Satu perkara yang mana tidak akan lengkap sesuatu perkara wajib, melainkan dengan perkara tersebut, maka perkara tersebut turut sama menjadi wajib.

Analogi asas : mengambil wudhuk itu sunat tetapi solat itu wajib. Namun untuk bersolat wajib ada wudhuk, kerana wudhuk itu adalah syarat untuk solat. Justeru, walaupun wudhuk itu asalnya tidak wajib umpama solat, tetapi ia menjadi wajib kerana solat tidak akan sempurna melainkan dengan wudhuk.

Kita aplikasikan.

Dalam hidup kita, kita tidak akan dapat lari dari 5 hukum yang utama. Daripada bangun tidur, sampailah tidur semula, kita bermain dengan 5 hukum ini iaitu wajib, sunat, harus , makruh dan haram. Contoh, bangun pagi solat subuh, hukumnya wajib. Dengar azan tarik selimut sambung tidur, hukumnya haram.

Kalau kita perhatikan, kesemua perkara yang Allah tentukan sebagai wajib, pada perkara tersebut pasti dan pasti ada manfaat serta kebaikan untuk manusia. Begitu juga pada perkara yang haram, pada perkara tersebut pasti dan pasti ada keburukan kepada manusia. Saya sudah berikan satu analogi di atas, iaitu arak.

Justeru, kalau mahu aplikasikan kaedah penting ini, kita boleh katakan ; minum arak itu haram, justeru membeli arak juga haram, berjalan pergi ke kedai untuk membeli arak juga haram dan begitulah seterusnya. Bermakna, kesemua perkara yang boleh menyempurnakan benda haram akan turut sama menjadi haram.

Sebab itu dalam bab zina, ada istilah mukaddimah zina. Yang jelas dinyatakan haram dalam Al-Quran adalah perbuatan berzina itu sendiri, namun kerana mata yang memandang itu boleh membawa kepada zina, telinga yang mendengar itu boleh membawa kepada zina dan kaki yang melangkah itu boleh membawa kepada zina, maka kesemuanya turut sama menjadi haram atas nama mukaddimah ataupun permulaan zina.

 

HUKUM FACEBOOK

Dalam 5 hukum yang saya sebut di atas, hukum ber- facebook adalah harus. Kaedah menyebut, asal usul kesemua perkara adalah harus. Boleh dibuat, boleh ditinggal tanpa ada pahala mahupun dosa. Keharusan ini kekal selagimana tidak ada dalil ataupun elemen-elemen lain yang boleh merubah perkara harus tadi menjadi haram.

Kembali kepada fokus saya ; add atau remove friend.

Kita semua tahu, berkawan di facebook adalah perkara yang paling mudah bahkan pada sesetengah orang sangat menyeronokkan. Boleh mendapat kawan dari seluruh dunia dan belajar dari mereka tentang banyak perkara. Berkawan ini, hukumnya harus bahkan boleh menjadi sunat sekiranya niat berkawan itu adalah kerana Allah.

Namun dalam keasyikan berkawan itu, ada batas tertentu yang kita perlu jaga, bagi mengelakkan keharusan pada hukum tadi tercemar dengan elemen lain yang boleh menjadikannya haram.

 

GAMBAR

Satu contoh paling mudah kita faham adalah gambar. Apabila saya menyebut tentang gambar, bermakna ia melibatkan hubungan berkawan antara lelaki dan perempuan. Ia terkait dengan gambar kerana antara lelaki dan perempuan diwajibkan menjaga pandangan masing-masing dan tidak boleh memandang melainkan ada keperluan.

Hukum meletakkan gambar bagi seorang wanita di facebook asalnya adalah harus semata-mata. Langsung tidak ditegah oleh agama. Tetapi dengan syarat ; gambar tersebut hanya anda, keluarga anda dan kaum sejantina anda sahaja yang boleh melihat. Apatah lagi jika gambar tersebut tidak menutup aurat ataupun mempunyai unsur-unsur tabarruj.

Bagaimana jika syarat ini dilanggar? Jawabnya anda terjatuh ke dalam dosa, kerana membiarkan diri anda ditatap oleh kaum lelaki yang bukan mahram. Menutup aurat anda dan menyembunyikan perhiasan anda adalah wajib. Menutup pintu-pintu fitnah juga merupakan perkara yang wajib. Lihat balik kaedah di atas, sesuatu yang tidak sempurna perkara wajib melainkan dengannya maka ia turut menjadi wajib.

Menutup aurat, menyembunyikan perhiasan dan menutup pintu-pintu fitnah itu wajib, maka mengelak dari meletakkan gambar yang boleh dilihat oleh lelaki ajnabi yang mana boleh menyumbang kepada sempurnanya perkara wajib tadi, turut sama menjadi wajib.

 

FRIEND

Ramai orang tidak menapis friend untuk masuk ke dalam list mereka. Asal ada permintaan, akan diterima. Ini kadangkala menjadikan begitu ramai orang yang tidak dikenali berada dalam koleksi kawan mereka. Dalam ramai-ramai orang tersebut, ada bermacam-macam ragam.

Kalau sebagai lelaki, ramainya kawan wanita itu boleh membawa kepada fitnah. Lebih-lebih lagi jika tidak kuat keimanan dalam diri. Biasa berlaku, wanita suka ambil gambar dan meletakkan gambar mereka dalam facebook. Kerapkali juga, gambar-gambar itu terpamer di muka hadapan. Maka si lelaki yang sedang bersiar-siar di facebook, akan membuka atau melihat gambar-gambar tersebut.

Ada yang bertudung rapi, tetapi gambar jarak dekat. Bibir berkilat dengan lipstik. Posing pula berbagai gaya. Mereka ini kadangkala tidak pun dikenali, dan kadangkala si lelaki bertanya pula kepada diri sendiri ; bila masa aku add minah ni ?

Memang ramai wanita jenis itu di facebook. Berbagai teguran diberi, namun minat bergambar dan menayangkan gambar tetap tidak dihentikan. Apatah lagi jika komen-komen di bawah gambar tersebut cenderung memuji, mengusik dan menyakat. Semakin seronok lah mereka.

Kadangkala lelaki hanya mengambil mudah, dan mengomen ; poyo betul minah ni. macam cun sangat.

Hati-hati.

Kata-kata anda belum menjamin anda selamat jika berdepan dengan situasi tersebut. Syaitan belum datang mencucuk. Mula-mula anda fikir anda kuat, dan ‘minah poyo’ tersebut tidak menggugat. Namun pandangan kedua mungkin mengubah segalanya. Tadi nampak tak cantik, sekarang macam ada daya penarik. Mula lah memerhati wajah si wanita, bibirnya, bentuk tubuhnya. Kesudahannya, nafsu yang akan berbicara.

Tiada istilah dari mata turun ke hati. Yang ada, dari mata turun ke nafsu!

Sebab itu, Islam wajibkan lelaki menahan pandangan. Inilah bahayanya. Maka, aplikasikan kaedah di atas. Jangan berlagak kuat dan hebat dengan memperjudikan keimanan. Jika terbukti gambar tersebut boleh memberikan mudarat pada iman, maka menjauhi gambar tersebut hukumnya adalah wajib dan menatapnya adalah haram.

Jika tindakan remove friend dengan wanita seperti itu boleh menyelamatkan iman dan membersihkan pandangan, maka remove friend itu hukumnya adalah wajib.

 

BEBERAPA SITUASI LAIN

1- Remove friend boleh menjadi wajib sekiranya anda yakin lelaki atau wanita tersebut boleh memberikan mudarat tertentu kepada anda, lebih-lebih lagi jika mereka itu menzahirkan sebarang niat yang jahat. Contohnya ; stalker.

2- Remove friend boleh menjadi wajib, sekiranya anda meminati seseorang itu, dan anda tidak boleh menahan diri dari selalu melihat wall atau gambarnya. Lebih-lebih lagi jika menjadi igauan, sejenis obses ataupun melibatkan kecenderungan nafsu. Jika hilang dari pandangan mata, anda akan merasa lebih selesa.

3- Remove friend juga boleh menjadi wajib jika dengan adanya orang tersebut di facebook anda, anda tidak boleh menahan hati anda dari mengumpat ataupun mengejeknya setiap kali membaca status yang ditulis. Mungkin kerana benci, bergaduh, berdendam ataupun iri hati. Jika dengan ketiadaan dia lebih menyelamatkan anda dari dosa, maka remove dia dari friend menjadi wajib. Saya pernah berjumpa situasi ini, dan saya nasihatkan supaya dia remove friend sahaja untuk mengelak dari dosa.

4- Add friend boleh menjadi haram, sekiranya bertujuan untuk mendapat akses kepada gambar-gambar peribadi seseorang, ataupun mengintip cerita dan perbualannya, ataupun dengan tujuan mencari keaiban orang tersebut. Perbuatan itu haram dan wasilah kepada perbuatan yang haram, hukumnya juga haram.

5- Kiaskan kepada situasi-situasi yang lain.

 

KESIMPULAN

Apa yang mahu difokuskan dalam entri ini hanyalah perihal menambah kawan tanpa tapisan dan perlunya anda membuang senarai kawan yang mendatangkan mudarat kepada diri dan iman anda. Termasuk padanya, wanita suka tayang gambar, lelaki yang suka tayang video tak senonoh ataupun orang berniaga yang setiap kali melihat post darinya akan membuatkan anda naik gila.

Ingat, wasilah kepada perkara yang wajib , hukumnya adalah wajib. Dan wasilah kepada perkara yang haram, maka hukumnya adalah haram. Selamat melakukan proses pembersihan.

 

Sekian.

Comments

comments

17 Comments to “Hukum Remove Friend Di Facebook”

  1. muslimah says:

    assalamu’alaikum wrt.

    syukran atas hujah2 dan pendapat yg diberikan. informasi yg sgt berguna, dan membuka mata.

    maaf, saya mohon tukar topik sedikit. minta dikongsikan pendapat saudara berkenaan penulisan di blog. pd saudara, bagaimana yg seharusnya bagi seorang perempuan yang menulis blog agar blog dan dirinya tidak membuka fitnah? selain, melindungi malunya sebagai seorang perempuan?

    adakalanya, saya merasakan berkongsi kisah hidup sangat baik untuk manfaat dan tatapan bersama. ini tiada masalah untuk orang yang sudah berkahwin, kerana pada saya, pintu-pintu fitnah kurang terbuka. bagi lelaki juga, saya rasa tiada masalah.

    tapi, untuk seorang perempuan yang belum berkahwin, saya ragu-ragu. bagaimanakah untuk menulis dalam keadaan yang baik, dan masih menjaga kesopanan dan iffah seorang perempuan? tambahan ada kalanya, perempuan menulis mengikut emosi dan rasanya. selain kita tidak tahu apa yang berada pada fikiran seorang lelaki. atau mungkin boleh diberi tips dan garis panduan berpandukan ilmu saudara.

    harapnya soalan ini jelas. mohon panduan.

    terima kasih.

    • myilham.com says:

      wslm

      insyaAllah nanti saya cuba tuliskan. pernah juga saya terfikir ttg perkara tersebut, dan mgkin juga ramai perempuan yg terlepas pndang ‘diari’ peribadi mereka. terima kasih atas komentar

  2. megat says:

    alhamdulillah perkongsian ilmu yang sangat baik. yang paling penting berjaya digarap sebaiknya untuk tatapan umum khasnya pengguna internet yang semakin terdedah dengan budaya tak elok.

    insya allah, mereka akan terbuka hati untuk menerima hujah yang sebaik ini.

    syukran!

  3. turun2 says:

    sgt menarik entry ni.
    kawan2 sy pun ramai y remove semua friends lelaki dan cuma accept request dpd perempuan je.
    sebabnya adalah semata2 mereka mahu menjaga hati dan pandangan.

    bab wanita menundukkn pandangan terhadap lelaki.
    bab ni sy perhati ramai yang tidak perasan.kebanyakkan orang fikir lelaki je y perlu tundukkn pandangan.lgpun kami dulu kat sekolah pun cikgu cuma tekankan kpd pelajar lelaki.

    berkaitan ni sy nak kaitkan dgn cerita korea.
    disebabkn ramai sgt y obses dgn korea ni,sy harap ust bolehlah komen2 sikit psl ni dlm sebuah entry y comel nanti.
    org y ambil bidang agama pun tak terkecuali.
    dan plg bahaya bila mereka tak sedar bahawa obses itu haram hukumnya.apatah lagi kepada hmba2 Allah y kafir dan fasiq.

    sekian,

  4. jieha says:

    salam mtk izin amek u sharing bley

  5. hidayah says:

    as salam…mntak izin copy masuk dlm fb..biar semua baca mengenai isu ini…smoga Allah mmbalas usaha dan jasa my ilham…shukran

  6. Mas Alieya says:

    Assalamualaikum,

    Saya juga setuju dengan cadangan cik turun2,saya risau ramai kawan-kawan saya yang obses dengan cerita korea,mereka menjadi sangat lalai.

  7. fiza says:

    terima kaseh atas perkongsian ini..sy rase sy mengalami mslh yg same..sy nak remove fren takut ade yg terase..smpai di satu tahap sy nekad delete akaun fb sy kerana sy merasa serabut dgn status2 kwn2 sy di fb..kalau boleh dari bangun pagi smpai tdo mereka nak update ape yg mrk buat..dan alhamdulillah slps delete sy rase hidup sy makin aman..=D

  8. hidayah says:

    syukran..satu perkonsian yg sgt bmakna trutama utk golongan nisa’..mohon share ya..

  9. joe says:

    apa pula hukum meng-like gambar2 perempuan yg tdk menutup aurat di facebook?

  10. nur_wa says:

    alhamdulillah…baru2 ni baru je remove friend lelaki..
    slpas trnampak updatenya dia bersama kwn2 prempuannya yg x mnutup aurat mmbuatkn sy buat kputusn drastik dgn remove die dr friend list..
    kdg2 rase serba salah jgk bile x approve friend request..nnti dikatakan sombong x nk menjalinkan ukhwah sesama muslim.
    tp kalo prempuan sy confirm akn approve..kalo lelaki yg x dikenali agak ragu2 skit dgn niat die..sy akan biarkan pending.selidik profilenya dulu baru pertimbangkn..
    ade jgk yg pm mesej kt inbox dgn kata2 nak berkenalan..smpai skrg x reply..xde kekuatan nk reply..takot reply nnti, makin lama makin byk berbalas2 mesej jd lalai..

Leave a Reply

*

*