
Baru 3 episod ditayangkan, drama Tahajud Cinta di tv3 telah mendapat begitu banyak reaksi. Filem arahan Erma Fatima ini dikatakan sebagai mengundang fitnah kepada pelajar jurusan agama serta memberikan persepsi tidak baik kepada Islam itu sendiri.
Rentetan dari ketidakpuasan hati itu, dan seiring juga dengan peredaran semasa yang menjadikan facebook sebagai medium menyuarakan pendapat secara cepat dan pantas, maka banyaklah page yang diwujudkan di ruangan facebook bagi membantah tayangan drama tersebut.
Antara yang menarik, facebook pelajar Jordan yang setakat ini telah meraih sekitar 2000 sokongan. Namun sokongan maya tersebut dilihat bukan sepenuhnya datang dari pelajar yang berada atau menuntut di Jordan, bahkan ramai juga yang sebenarnya berada di Malaysia. Lumrahnya, alam maya memang menafikan sempadan negara dan benua.
Tadinya saya terlihat satu portal hiburan yang menyiarkan berita tentang kewujudan fanpage membantah drama Tahajud Cinta tersebut. Meskipun ulasan pemilik portal berkenaan tidak banyak, namun komen-komen di bawahnya dapat memberikan gambaran dan sudut pandang yang lain tentang cara masyarakat kita berfikir, menilai dan mengkritik.
Saya tertarik apabila ada yang menempelak pelajar Jordan yang seolah ‘sentap’ dengan kehadiran filem tersebut.
Saya tersenyum.
JORDANIAN?
Pada saya, tidaklah saya seratus peratus bersetuju dengan inisiatif pihak yang mewujudkan fanpage berkenaan atas nama pelajar Jordan. Juga, tidaklah saya membantah seratus peratus. Saya melihat dari dua sisi kebaikan dan keburukan. Positif dan negatif. Kedua-duanya ada.
Permainan istilah.
Istilah pelajar jordan yang digunakan secara automatik menampakkan seolah kesemua pelajar Jordan membantah drama tersebut dengan cara dan saluran tersebut. Saya katakan tentang persepsi yang timbul. Maka pada masyarakat yang tidak berada di Jordan, cara dan tindakan itu akan menjadi bahan nilaian mereka.
PURDAH
Saya melihat, bantahan paling ketara adalah tentang adegan tidak syar’ie yang dilakukan oleh pelakon berpurdah dalam cerita tersebut. Banyak yang mengkritik keras adegan selak purdah dan berpegangan tangan, di mana ia dilakukan oleh ‘ustaz’ dan ‘ustazah’. Ada juga yang pantas menghukum tentang teori-teori tertentu, mahu memburukkan Islam, mahu menimbulkan fitnah kepada orang agama, orang berpurdah dan pelbagai lagi.
Adegan sedemikian dilihat cukup berat jika dilakukan oleh orang berpurdah dan berserban.
PENILAIAN
Saya malas sebenarnya mahu mengulas tentang drama atau filem, apatah lagi saya telah menulis tentang tajuk ini walaupun tidak menyentuh secara terperinci dalam entri sebelum ini. Tetapi saya fikir, tulisan ini mungkin perlu untuk menstrukturkan pemikiran, tanggapan dan persepsi semua di kalangan kita.
Penilaian terhadap isu ini memerlukan kita berfikir dari banyak sudut :
Pertama : Pengarah Filem
Menyediakan jalan cerita yang berpotensi menimbulkan fitnah kepada Islam dan ahli agama, itu suatu perkara yang tidak betul. Wajar ditegur dan diperbaiki. Tanggapan bahawa pengarah filem sengaja membuat cerita untuk memfitnah agama, ini belum tentu betul salahnya. Kadangkala, terbawa-bawa dengan kemarahan dan sensitiviti menjadikan kita buta untuk menimbang tara. Maka banyak tuduhan melulu, caci maki dihadiahkan kepada pembuat filem.
Pengarah Filem mungkin ada banyak sebab dan tujuan tersendiri. Sudah tentu, ia tidak sempurna, apatah lagi jika diarahkan oleh orang yang bukan ahli dalam bidang agama. Kecuaian untuk merujuk kepada orang yang arif dan faqih mungkin salah satu faktor utama. Maka hal ini perlu diperbaiki.
Jika benar hasrat dan tujuannya untuk membawa mesej Islam dan dakwah kepada masyarakat , khususnya berbentuk cinta yang syar’ie , maka penekanan kepada disiplin ikhtilat, hukum hakam dan sebagainya haruslah diteliti dan dititikberatkan sepenuhnya. Mengambil mudah dalam bab ini membuka ruang untuk mencederakan sensitiviti orang lain. Ini sangat perlu diperbaiki.
Sebaliknya, jika tujuan pengarah filem memang untuk memburukkan Islam dan niat-niat lain yang jahat, maka sesungguhnya tidak ada siapa yang tahu perkara tersebut melainkan Allah. Penilaian serta komentar kepada cerita yang dibuat tidak boleh melebihi skop sehingga menghukum perkara-perkara yang tidak sahih dan tidak pasti.
Kedua : Pelajar Jordan
Kita perlu sedar, bantahan daripada ‘pelajar Jordan’ sehingga menubuhkan page, serta memberi komen-komen pedas berapi itu, bukanlah suara ‘rasmi’ dari semua pelajar Jordan. Ia tidak mewakili suara komuniti, sebaliknya hanya sebahagian daripada mereka yang mahu menzahirkan ketidakpuasan hati dengan cara tersebut.
Itu namanya ijtihad. Bahasa lainnya, inisiatif.
Mereka memilih untuk menggunakan wadah tersebut sebagai tanda ketegasan mereka membantah filem atau drama yang memburukkan imej agama. Maka inisiatif sedemikian tidak ada salahnya. Itu hak dan kebebasan mereka dalam bersuara.
Namun harus diingat. Membantah dan mencaci maki, itu dua benda yang berbeza. Membantah dan menghina, itu dua skop yang berbeza. Dari sudut membantah, saya fikir tidak ada masalah. Semua pihak wajar berlapang dada dengan bantahan yang diterima.
Manakala melemparkan komen dengan tidak bertanggungjawab, mencetus perbalahan, mencaci, mengeji, melabel dan sebagainya, ini sudah terkeluar daripada tajuk. Amarah yang terbawa-bawa tanpa dikawal, yang akhirnya dicurahkan dalam page berkenaan, akhirnya hanya akan memburukkan nama ‘pelajar Jordan’ itu sendiri.
Sedangkan ia bukan bahasa, gaya dan cara mahasiswa mahasiswi Jordan, seperti yang saya nyatakan di atas. Sudah tentu, tindakan tidak matang dan kurang bijak sesetengah orang dalam melontarkan komen telah menjatuhkan standard mahasiswa mahasiswi Jordan itu sendiri.
Dan ini , suatu perkara yang malang.
Justeru, hendak membantah melalui media baru seperti facebook, tidak ada masalah. Tetapi jika mahu menggunakan nama seperti itu, haruslah lebih berdisiplin dan beretika. Tunjukkan kepada masyarakat yang pelajar Jordan itu tidak hanya pandai mengkritik dan membantah, bahkan juga bersedia dengan pelbagai alternatif dan solusi.
Ketiga : Masyarakat Awam
Masyarakat awam yang tidak mempelajari secara khusus dalam bidang agama, tidak sama dengan orang yang bertahun-tahun duduk dalam bidang agama. Kefahaman berbeza, sentiviti juga tidak sama. Maka sudut ini juga perlu diraikan.
Ramai di kalangan mereka yang melihat filem sekadar filem, drama sekadar drama. Mereka tidak mampu untuk faham sepertimana mahasiswa timur tengah faham.
Tidak hairanlah jika ada di kalangan masyarakat kita yang tidak boleh menerima page bantahan seperti di atas. Lebih daripada itu, mereka akan cenderung untuk salah faham jika bantahan berapi-api dan kurang bijak diterima daripada orang agama itu sendiri.
Jadi muncullah kata-kata kritikan dan sindiran pedas kepada pelajar Jordan, pelajar Egypt dan sebagainya. Tidak kurang juga timbul komen-komen tidak enak, yang mendakwa pelajar Jordan pun tidak semuanya baik, ada juga bercouple , orang berpurdah juga tak semuanya baik dan sebagainya.
Jika kita terbawa-bawa dengan komen seperti ini, kita akan kehilangan fokus terhadap isu yang sebenar.
KESIMPULAN
Teguran dan bantahan itu suatu daripada bentuk dakwah. Pelajar Jordan tidak sentap, mereka hanya menzahirkan ketegasan terhadap elemen tidak syar’ie yang wujud dalam drama tersebut. Itu hanya suatu alternatif sebahagian daripada pelajar yang berada di Jordan. Dalam masa yang sama, semua orang tidak boleh menafikan keburukan yang wujud dalam mana-mana komuniti.
Tidak kiralah di mana, Jordan, Malaysia, Mesir, Mekah, di mana sahaja ada orang jahat. Di mana sahaja, ada maksiat. Tetapi itu bukan isu yang sedang kita bicarakan.
Kita berbicara tentang teguran berbentuk dakwah. Maka jangan hanya sekadar melatah, mengkritik, menghentam, tetapi suakan juga altenatif dan solusi. Mungkin, itu lebih baik untuk kedua-dua pihak.
Sekian.

betol tu..
mengkritik x semestinya menjatuhkan
kadangkala, kritikan itu lebih diperlukan berbanding pujian. semua pihak harus bijak membuat penilaian.
bismillah. alhamdulillah. assalamualaikum.
pendekatan dakwah melalui drama/filem/seni sebenarnya jika diteliti dari manhaj Rasulullah tidak ada contohnya.
jika diarahkan oleh orang yang kurang ilmu pengetahuan agama, maka kritikan timbul, namun filem/drama tersebut masih diteruskan. seperti biasa. lalu penonton terus menonton. kritikan tetap kritikan. apa yang benar makin dikaburkan. apa yang buruk dibiasakan. penonton makin kurang sensitif kerana ‘kami biasa tengok benda ni- sekurang-kurangnya di tv, jika tidak pernah lihat secara live’
persoalannya- apakah berkesan method ini sebagai method dakwah?
atau yang penting adalah membumikan ilmu pengetahuan yang sahih kepada masyarakat?
pada saya, tidak ada cara lain melainkan kita sama-sama memahami agama yang benar ini melalui jalan menuntut ilmu.
-it’s not easy- but why we are here?-
semoga membuka minda semua.
wallahu’alam~
wslm. membumikan ilmu pengetahuan yg sahih itu betul, tetapi methodnya juga banyak. tidak sekadar di kelas2 mengaji, talaqqi ataupun ceramah sahaja. drama dan filem juga salah satu methodnya, namun kita masih berada di tahap yg lemah utk menggunakan method tersebut. dalam apa yg disebut sbg ‘hangat2 tahi ayam’ itu, saya stuju. namun apa yang terdaya adalah teruskan dakwah dan islah itu. setidak2nya, mereka melihat teguran daripada kita dan masyarakat boleh mmbuat penilaian smula.
assalamualaikum..mudah-mudahan pengarah filem yang akan datang yang ingin membuat filem seperti ini perlu lebih berhati-hati dan lebih banyak membuat kajian mengenai ‘uruf sesuatu tempat yang ingin pengarah ketengahkan supaya tidak terlalu menyentuh sensitiviti sesetengah pihak..
Dakwah itu mengajak, bukan mengejek.
Dakwah itu merangkul, bukan memukul.
Apapun ia menjadi muhasabah untuk kita semua. samada dari pihak penyiaran mahupun yang terpaksa menonton.
Mungkin juga kepada umat islam sendiri. BEtapa kita perlukan kelahiran2 baru yang mahir dalam bidang perfileman/industri hiburan dan dalam masa yang sama turut faqih dalam Agama.
bukan seat untuk menjadi ‘pakar sakit puan’ saja yang fardhu kifayah sekarang :j bidang2 lain juga perlu ramai pelapis dari kalangan orang yang faham.. insyaallah smg mnjadi cabaran dan muhasabah buat kita smua..
Kenapa gundah dgr madah tiada rasa dgr pepath, benci pula dgr kalam yg indah, sakit hati dgr nasihat faedah, tanda jiwa sdg parh,jiwa sdg amarah, afaal sdg mazmumah, akal sedang serba salh, tidak tahu mana arah, jadlah hidup gundah, setiap saat jumpa masaalah, dunia macm nerakalah, rugilah jiwa yg kalah, sombong x mahu mengalah, percaya akal bijak berhujah, pintar sekali bersilat lidah, marah bila d sanggah, yakin amal banyak sudah, perasan jd kekasih allah, sbb selalu benar ke mekah, bawak balik cebisan kain kaabah, itulah yg d megah, bangga diri dialah insan gagah, besar serban sentiasa berjubah, tgk insan lain mcm sampah, x sama mcm dia pendakwah, inilah penyakit yg paling parah, bnyk jiwa tertipu kalah, bila ujub masuk mencelah, halusnya x terserlah, maka beringt sentiasalah, buat pencari jalan allah, buangkan jiwa amarah, tanggalkan jiwa lawamah, tinggallah dalam mutmainah.
erm…saya rasa pengarah drama ini baru bertatih untuk memberikan kelainan pada drama arahannya.dan semua kite tahu dia bukan orang yang mendalami jurusan agama. sekiranya ada yang tidak kene mengikut syariat, sewajarnya orang yang memahami bidang agama ini menunjjukkan jalanya yang betul, bukan hanya mengkritik..
sekurang-kurangnya beliau mempunyai usaha untuk membawa pembaharuan dalam industri yang beliau ceburi.
berbanding dengan tahajud cinta, saya lebih meluat menonton drama melayu yang adegan makan malam dilakonkan, tapi adegan solat fardhu berjemaah langsung tiada sehinnga tamat episod.