Jodoh Untuk Wanita Yang Tidak Cantik

Published on: Jul 23 2011 by myilham.com

~ antara pengharapan dan keyakinan ~

 

Bukan sedikit anak gadis yang resah menunggu kehadiran jodoh mereka, lebih-lebih lagi apabila umur semakin meningkat. Ketika tumpuan kepada pembelajaran telah beralih kepada pekerjaan, ketika alam belajar berubah ke alam bekerja, perasaan resah itu kian menjadi-jadi. Lazimnya, yang paling terhimpit dengan keresahan seperti ini adalah dari kalangan wanita yang tidak mempunyai kelebihan dari segi rupa paras. Bahasa mudahnya, tidak cantik.

Ada atau tidak jodoh untuk mereka? Itu persoalan yang seringkali menghantui hidup mereka. Apatah lagi apabila melihat teman-teman seusia mereka seorang demi seorang melangkah ke alam rumahtangga. Alangkah bertuahnya mereka, sedangkan diri sendiri semakin hari terasa semakin sunyi. Drama, filem dan novel tidak mampu menyelami perasaan dan hati mereka. Ketika mereka menangis menonton filem dan kisah cinta, mereka sedar yang mereka hanya layak menjadi pemuja, bukan ‘pemilik’ cinta itu. Perasaan iri hati kian hebat menekan jiwa dan sensitiviti mereka.

Akhirnya timbullah persoalan. Sampai bila harus menunggu? Apa yang perlu dibuat untuk mendapatkan jodoh? Kerana diri juga mahu dimiliki, disayangi. Mahu juga bergelar isteri kepada suami dan ibu kepada putra putri yang comel. Soalnya, bagaimana?

Bagaimana saya sebagai wanita mahu berusaha mendapatkan jodoh? Saya tidak ada kelebihan dari segi rupa paras. Saya tidak cantik.

Ini masalah besar atau kecil? Bagi yang memandang mungkin kecil, tetapi bagi yang menanggung, itulah masalah mereka yang paling besar.

 

KEYAKINAN DAN PERSEPSI

Sebenarnya, asas penyelesaiannya cukup mudah. Sebagai seorang muslim yang percaya dengan Allah, kita juga percaya dengan segala ketentuan dan kerja Allah. Jodoh, rezeki dan ajal kita telah sekian lama ditetapkan oleh Allah sebelum kita menjejak kaki ke bumi lagi. Saya fikir, semua orang maklum tentang pernyataan ini.

Namun, untuk meyakinkan hati supaya percaya, bukan perkara yang mudah. Lemahnya iman kepada Allah membawa kepada lemahnya keyakinan kepada percaturan Allah. Kita boleh yakin malam ini ada rezeki untuk kita, tetapi kita sukar untuk yakin suatu hari nanti akan ada lelaki datang melamar kita.

Ia soal kepercayaan.

 

DILEMA ” AKU TAK CANTIK “

Pertama sekali, apabila didatangi bisikan-bisikan hati yang mencetus keraguan, anda harus segera ‘memeriksa’ bisikan tersebut terlebih dahulu dan jangan terus percaya.

Umpamanya, bisikan tentang kemungkinan tidak akan ada calon suami untuk anda. Kemungkinan anda akan kahwin tua, menjadi anak dara tua. Anda tidak cantik. Tiada orang yang mahu menjadikan anda isteri. Dan pelbagai lagi bisikan lain.

Analisa dahulu dan jangan terus percaya.

Contoh : Aku tak cantik, siapalah yang hendak kat aku ni.

Ini keraguan dan bisikan yang paling banyak mengacau gadis dan wanita di luar sana. Sekiranya tidak ditapis, semua bisikan itu akan memberi kesan tidak baik kepada diri anda sendiri. Jadi analisa semula ; benarkah anda tidak cantik?

Benarkah anda sehodoh dan seburuk itu? Benarkah anda tidak laku dan tiada lelaki yang mahu?

Jawapannya : TIDAK.

Jika anda tidak percaya, lihatlah sekeliling anda. Berjuta-juta manusia yang tidak cantik sedang bergelar isteri dan ibu kepada anak-anak mereka. Jika tidak cantik itu menjadi penghalang kepada jodoh, mustahil mereka boleh merasai nikmat berumahtangga.

Kadangkala, anda boleh lihat dengan mata kepala anda sendiri, seorang lelaki yang hensem dan kacak tetapi beristerikan seorang perempuan yang tidak cantik, dan mereka bahagia. Tidak cantik bukanlah bermaksud hodoh seperti hantu. Apa yang saya maksudkan di sini adalah bukan dalam kategori cantik rupawan. Bukan dalam kategori yang mudah menarik perhatian lelaki hidung belang.

Terbukti, yang tidak cantik itu ada jodohnya, bahkan kadangkala hidup mereka jauh lebih bahagia dari si cantik.

 

AWASI BISIKAN SYAITAN

Maka langkah pertama yang saya sarankan di atas adalah jangan mudah percaya dengan bisikan dan cetusan negatif dari hati anda sendiri. Anda perlu sedar, bahawa apa yang sedang dibincangkan ini sangat berkait rapat dengan soal KEIMANAN  kepada Allah. Iman ertinya percaya dengan yakin. Jodoh juga termasuk dalam soal ini. Kepercayaan dan keyakinan kepada Penguasa seluruh alam, iaitu Allah.

Hendak yakin seperti itu, hati kita kenalah bersih. Kerana iman itu letaknya di dalam hati. Jika sinaran iman kita lemah, pergantungan dengan Allah kurang, maka senanglah syaitan masuk ke dalam hati kita. Syaitan akan berusaha merajai dan mengawal hati kita dengan harapan kita akan berputus asa dari rahmat Allah. Ini memang kerja syaitan sehingga hari kiamat, sepertimana janjinya kepada Allah.

Jika anda berjaya membersihkan hati, dengan cara memperbanyakkan zikir, solat dan membaca Al-Quran, bisikan-bisikan itu tidak akan berjaya mengambil tempat di hati anda. Keyakinan anda kepada Allah akan bertambah kuat. Ketika anda mengharap hadirnya seorang lelaki yang baik untuk anda, pengharapan itu anda sandarkan kepada Allah. Bukan lagi kepada manusia.

Maka dengan itu, insyaAllah anda akan menjadi tenang.

 

USAHA

Baik, selepas anda melaksanakan step di atas dengan baik dan berusaha keras menjaga hati dari bisikan-bisikan negatif, timbul pula persoalan bagaimana untuk anda berusaha. Benar, sebagai manusia kita tidak boleh hanya bertawakkal semata-mata bahkan perlu disertakan juga dengan usaha. Umpamanya mahu makan nasi. Kita tidak akan kenyang jika hanya duduk bersila di atas katil tanpa membuat apa-apa . Maka di samping keyakinan kita bahawa adanya rezeki untuk kita, keyakinan itu perlulah disertakan dengan tindakan kita keluar bekerja dan mencari rezeki.

Begitu juga dengan jodoh.

Jangan mengharap jodoh akan datang bergolek depan pintu, sedangkan anda berkurung sahaja di dalam rumah. Sebagai wanita, ada caranya untuk anda berusaha bagi mendapatkan jodoh. Lebih-lebih lagi jika anda tidak mempunyai kelebihan dari segi rupa paras dan anda lebih sukar untuk menarik perhatian lelaki.

Wanita cantik, mungkin berbeza keadaannya. Ramai yang beratur untuk mencuba nasib.

Maka dalam soal berusaha ini, anda sebenarnya boleh menggunakan apa sahaja cara dan strategi yang difikirkan perlu, dengan syarat ; ia tidak bercanggah dengan syariat Islam . Antaranya :

 

1- PERIGI CARI TIMBA

Memalukan. Ini reaksi biasa yang diterima apabila solusi seperti ini cuba diutarakan. Minda masyarakat kita tidak boleh menerima risikan seorang wanita ke atas lelaki. Lelaki yang perlu pergi kepada wanita sebaliknya wanita hanya perlu menunggu kehadiran lelaki.

Sebenarnya, walaupun pihak wanita yang datang merisik pihak lelaki, ini bukanlah suatu keaiban di sisi Islam. Ia cuma dilihat menyalahi adat sahaja. Namun perlu diingat, dalam Islam kita tidak diajar untuk menyusahkan diri dengan karenah birokrasi yang tidak perlu. Maka ambillah adat itu sekadarnya sahaja.

Sabda Nabi s.a.w : Permudahkanlah (urusan) dan janganlah kamu menyusah-nyusahkan.

Maka jika pihak wanita yang memulakan terlebih dahulu pun, ia boleh dikira termasuk dalam kategori berusaha dan ia dibolehkan di sisi syarak.

 

2- MEMBINA KARISMA DIRI

Saya lebih cenderung mencadangkan usaha ini kepada mana-mana wanita yang keresahan memikirkan tentang jodoh. Saya pernah menulis satu artikel bertajuk cantik pada nilaian lelaki yang mana tujuannya lebih kurang sama ; iaitu untuk memberi motivasi kepada wanita di luar sana yang merasakan diri mereka ‘tak cantik’.

Jangan terlalu sugul memikirkan tentang jodoh. Jangan terlalu risau lambat bertemu dengan jodoh. Jangan terlalu dihantui rasa rendah diri, sehingga anda hilang diri anda sendiri! Ini yang paling saya tegaskan.

Anda wajib percaya, bahawa pada sekujur tubuh anda itu, ada seribu satu kelebihan yang Allah berikan pada anda. Cuma, mungkin anda tidak mengetahui kelebihan-kelebihan tersebut kerana anda sendiri tidak kenal diri anda sendiri. Saya ulang, anda TIDAK KENAL diri anda sendiri.

Saya pernah menulis bahawa bagi lelaki, cantik rupa paras itu bukan perkara nombor satu selepas berkahwin. Ini hakikat dalam alam rumahtangga. Maka sepatutnya, isu cantik atau tidak itu jangan anda perbesarkan, sehingga ‘kecantikan’ lain dalam diri anda gagal untuk digilap.

Suatu hakikat yang perlu anda tahu tentang lelaki adalah ; lelaki suka wanita yang karismatik.

Lelaki mudah tertarik kepada wanita yang berani, mampu berdikari, bijak, cerdik, matang, boleh menjadi kawan ketawa dan kawan menangis, memahami, berpandangan jauh, prihatin, pandai memberi sokongan dan pelbagai lagi.

Dan suatu lagi hakikat yang perlu anda segera sedar adalah ; kesemua sifat di atas tidak wujud HANYA pada wanita yang cantik sahaja! Adakah anda sedar?

Anda mungkin tidak sedar jika anda adalah seorang yang sangat suka berangan, gemar menonton cerita cinta Korea dan gila membaca beratus-ratus buah novel cinta. Kenapa? Kerana di dalam ‘dunia’ itu, anda hanya akan melihat watak heroin yang perfect, bahkan very perfect.

Heroin itu seorang yang cantik menawan. Kemudian dia juga seorang yang berbakat, cerdik, pintar, matang, berkarisma, berkaliber dan seribu satu kelebihan yang lain. Manakala kawan kepada si heroin pula biasa-biasa sahaja. Tidak cantik dan tidak banyak kelebihan yang ada.

Watak-watak khayalan inilah yang sedang membutakan anda, dan juga telah berjaya membutakan ramai ‘calon suami’ anda di luar sana. Apabila mahu berumahtangga, ciri-ciri yang dicari pada seorang wanita itu mestilah cantik dan menawan. Kalau tidak, dia akan merasa ‘kalah’ dengan watak di dalam drama dan filem.

Anda juga mungkin begitu jika terlalu percaya dengan cerita yang anda baca atau tonton.

Anda harus segera sedar, bahawa watak dalam filem atau drama itu adalah diri anda. Anda mampu untuk bahagia seperti watak itu. Anda layak untuk didampingi lelaki yang baik, seperti watak itu. WALAUPUN anda tidak secantik heroin dalam filem.

Maka dari situ, anda akan segera bertindak membina karisma dalam diri anda. Jika anda seorang pelajar, anda akan menjadi seorang pelajar yang tip top, bukan yang biasa-biasa. Pencapaian dalam akademik nombor satu. Penampilan anda kemas dan terjaga. Perilaku anda sangat tertib dan menyenangkan siapa sahaja. Penglibatan dalam persatuan, program dan aktiviti sangat cemerlang. Jika dalam program anda adalah pengarah, maka anda dilihat sebagai pengarah yang sangat professional. Jika anda seorang penyelaras program, anda dilihat sebagai seorang yang teliti dan bijak berstrategi. Jika anda di alam pekerjaan pula, anda dikenali sebagai pekerja yang penuh dengan komitmen, bijak mengutarakn idea baru yang bernas, konsisten dalam melaksanakan kerja dan paling utama, akhlak anda menyenangkan semua rakan sekerja.

Sedar atau tidak, anda sedang menjadi perhatian ramai lelaki yang sedang mencari teman hidup mereka. Dan lelaki-lelaki ini, sudah tentu bukan jenis yang hidung belang atau jenis buaya, kerana lelaki jenis itu hanya mementingkan aspek kecantikan rupa paras dalam hidup mereka. Lelaki yang baik akan semakin menghampiri anda, dan semakin anda kelihatan ‘tegas’ dan ‘cemerlang’ , maka semakin tinggilah saham anda di depan mereka.

 

3- MENJADI DIRI SENDIRI

Tahukah anda, bahawa menjadi diri sendiri itu suatu bentuk usaha? Ramai orang tersilap langkah. Resah memikirkan jodoh yang tidak kunjung tiba, dia berubah menjadi orang lain. Biasanya, mereka ini akan berusaha untuk meningkatkan aspek kecantikan diri, dengan harapan lelaki akan menghampiri mereka.

Daripada seorang anak dara yang tidak pandai bermake-up, dia menjadi anak dara yang make-up nya setebal tiga inci. Bulu kening dinipiskan. Baju yang longgar semakin diketatkan. Tudung yang labuh semakin disingkatkan. Gambar pelbagai pose di upload dan ditayang di blog dan facebook. Segalanya dibuat semata-mata untuk melayakkan dirinya menjadi gadis terhangat di pasaran.

Ini mengarut.

Jadilah diri anda sendiri. Anda perlu faham bahawa pada diri anda itu ada benda yang boleh diubah dan ada benda yang tidak boleh diubah. Perkara ini perlu difahami sebelum anda meletakkan prinsip : Lelaki perlu terima aku seadanya.

Contoh yang tidak boleh diubah adalah benda-benda yang bersifat fizikal. Ketinggian, warna kulit, bentuk hidung dan sebagainya. Semua ini tidak perlulah anda ubah atau perbaiki. Terimalah itu sebagai diri anda dan lelaki yang baik akan menerima anda seadanya.

Tetapi benda yang boleh diubah perlulah anda ubah. Contohnya cara anda berjalan, cara ketawa, tabiat, sikap negatif dan termasuk juga berat badan (jika anda ada masalah kegemukan). Kesemua ini jika anda enggan ubah, maka janganlah anda sewenang-wenangnya mengharapkan lelaki masuk meminang dan kemudian menerima anda seadanya. Itu sukar.

Anda jenis yang ketawa berdekah-dekah. Ini buruk pada pandangan lelaki. Anda perlu ubah. Anda seorang yang tabiat suka tergedik-gedik atau melatah yang bukan-bukan. Ini perlu diubah. Berat badan juga begitu. Anda tidak menjaga pemakanan dan tidak suka bersenam. Ketika berat badan anda bertambah dan semakin membulat, anda berdegil untuk tidak berusaha mengurangkan berat badan dengan alasan ‘ ini diri aku dan lelaki perlu terima aku seadanya’. Itu konsep yang silap.

Maka, jadilah diri anda sendiri pada perkara-perkara yang haram diubah. Sebaliknya yang wajib diubah, anda perlu terus ubah. Itu tidak dinamakan hipokrit, itu namanya berusaha memperbaiki diri sendiri ke arah yang lebih baik.

 

KESIMPULAN

Jodoh untuk manusia adalah suatu perkara yang telah ditetapkan oleh Allah. Dalam hal ini, perkara terbaik yang perlu diusahakan adalah meningkatkan keimanan, keyakinan dan pergantungan kepada Allah sepertimana diterangkan di awal artikel ini. Kemudian, janganlah terlalu memikirkan perkara negatif serta kelemahan diri, sebaliknya berusahalah untuk memperoleh jodoh dengan cara-cara yang disarankan seperti di atas.

Sebagai hamba, usaha itu perlu. Biarlah Allah yang menilai keikhlasan kita dalam usaha tersebut. Sampai masa, DIA akan hadirkan lelaki yang terbaik untuk kita. Dengan syarat, kita benar-benar percaya dan yakin dengan Allah ta’ala, dan dalam masa yang sama kita benar-benar konsisten dengan semua usaha yang kita lakukan.

Buat akhirnya, renungilah suatu hadith Nabi s.a.w :

Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa paras dan harta benda kamu, sebaliknya Dia memandang hati dan amalan kamu.

 

Sekian.

Comments

comments

Filed under: cinta, pandangan

19 Comments to “Jodoh Untuk Wanita Yang Tidak Cantik”

  1. ikhwan says:

    syukran atas nasihat saudara. Mudahan Allah SWT memberkati saudara. Amin

  2. rabiah says:

    subhanaAllah…kata-kata dalam penulisan yang cukup baik.semoga Allah memberi anda kesihatan yang baik supaya saudara dapat terus berdakwah.

  3. arimourinho says:

    aku pun dah buat keputusan…baik aku kahwin dgn wanita kurang cantik.yg penting akhlak tu cantik..dan ade kerjaya sikit..perempuan cantik sume menyakitkan hati…aku melengkapi kelemahan pasangan aku..pasangan aku melengkapi kelemahan aku :-)

  4. nur_islam says:

    terima kasih atas pengisian yg diberikan….sangat membina…

  5. nur dignified says:

    thanx . semoga dpt membantu kita smua.

  6. alya says:

    boleh ke ubah cara kita berjalan?

  7. mujahidah says:

    Setuju sgt dengan penulisan ini.. setelah berkahwin, rupa paras yg cantik seolah2 terhijab jika perangai sebenar tidak cantik, sbb tu ramai org yg cantik pun bercerai.. tapi, wajah yg kurang cantik tu semakin lama terlihat semakin cantik apabila si suami mengenali peribadi dan akhlak yg cantik yg ditunjukkan isteri..

  8. farhanah says:

    terima kasih, rasa lebih tenang.. alhamdulillah..

  9. Shafiqah Rahim says:

    terima kasih wahai saudara,semoga ALLAH SWT memberkatimu

  10. miz eychah says:

    alhamdulillah…pas bace artikel ni…ase lebih yakin..terima kasih..sama2 kite cuba baiki diri…

  11. Mulan says:

    Alhamdullilah….satu pengisian yg amat2 positive….terima kasih

  12. Eznieza says:

    Subhanallah..may Allah bless u always.

  13. cop says:

    Saya kini sdg dalam dilema dalam membuat keputusan. Sy telah berkawan dgn seseorg ni dan die telah nyatakan hasrat untuk menjadikan sy isterinya. Saya telah membawa dia berjumpe dgn family hanya untuk mengenalkan die kpd ibubapa sy. Setelah itu, hasrat lelaki tersebut telah sy sampaikan kepada ibubapa sy dan suddenly ibubapa sy byk timbulkan persoalan akan keyakinan sy untuk menerima die mnjadi pasangan hidup sy atas alasan lelaki itu rendah taraf hidupnye dr sy. (hanya kerja kilang dgn kelulusan spm dan sy dgn kelulusan degree) Sy faham ibubapa sy risaukan masa depan sy namun, antara saya dan die kami dah serasi dan mempunyai planning untuk ke arah rumahtangga. Perihal agama, lelaki ini sekadar biasa2 saja dan masih perlu dipertingkatkan lagi. Kini sy sgt keliru, adakah patut teruskan dgn niat sy dan die atau lupakan die dan tunggu org lain atas mengikut kehendak keluarga yang inginkan sama taraf. Adakah situasi saya ini istikharah adalah jalannya…sbb kalo ikutkan tiada pilihan lain cuma kehendak keluarga..

  14. nor azura says:

    sya seorng yg biasa je,nk kat cntik?mka ada jerawat……bagi pandangan sya.lelaki skarng ni lebih mgutamakan muka yg cntik untuk dijadikan teman hdup….atau mak we..jdi susah nak cri lelaki yg bleh trima kita seadanya!!!!!!

Leave a Reply

*

*