Apa Itu Dominasi Dalam Rumahtangga

 

Entri ini wajib dihadam oleh orang yang mahu kahwin, dan wajib dimuhasabah oleh yang telah berkahwin.
 
Ramai orang tidah mengerti apa kehendak sebenar apabila Islam meletakkan lelaki sebagai ketua dan pemimpin dalam rumahtangga. Ia jauh sekali untuk mewujudkan jurang antara gender, atau menindas kaum wanita, atau melahirkan sang suami yang bersultan di mata beraja di hati.
 
Perkataan qawwamah membawa erti kepimpinan dan tanggungjawab yang seharusnya ditunaikan selari dengan kehendak syarak. Kepimpinan yang meletakkan sebelah kaki lelaki itu di dalam neraka. Sudah tentu bukan kerja senang.
 
Tetapi bijaknya Allah, Dia menetapkan tugas kepimpinan dan tanggungjawab itu khusus untuk lelaki. Lelaki sahaja yang boleh jadi abang, suami dan ayah. Lelaki sahaja yang boleh jadi imam dan qadhi. Kerana hakikatnya lelaki dan perempuan itu berbeza seawal penciptaannya lagi.
 
 
Wajarkah wujud istilah king control atau queen control?
 
Jawabnya tidak. Kedua-duanya tidak diajar dalam Islam. Apatah lagi istilah pertama merujuk kepada penguasaan sepenuhnya dari suami dan istilah kedua merujuk kepada penguasaan sepenuhnya oleh isteri. Di sinilah harus kita fahami kembali tentang hakikat DOMINASI yang dikehendaki Islam.
 
Dominasi bukan bererti suami atau isteri bertindak sebagai ketua sepenuhnya ke atas SETIAP urusan dalam rumahtangga, baik berupa dasar mahupun teknikal. Salah faham sebeginilah yang menjadikan kehidupan dalam rumahtangga tidak seronok, kerana satu pihak merasa lebih tinggi darjatnya dari satu pihak yang lain.
 
 
Rumahtangga adalah perkongsian.
 
Istimewanya rumahtangga adalah, apabila dua jiwa insan diikat, maka mereka melangkah bersama untuk menempuh segala ranjau yang ada. Bukan seorang melangkah, seorang lagi diseret. Bukan seorang melangkah, seorang lagi diperintah.
 
Asas paling utama untuk memahami tajuk ini cukup mudah. Saya memetik nasihat dari Habib Ali Aljufri :
 

” Seorang suami yang membiasakan dirinya bertegas dalam perkara akhirat dan bertolak ansur dalam perkara dunia, maka Allah akan campakkan perasaan hormat yang tinggi dalam hati isteri kepada sang suami ” .

 
Bererti ; dominasi oleh lelaki atau suami adalah suatu keperluan dan tuntutan, tetapi hanya dalam perkara akhirat yang melibatkan dosa pahala.
 
Firman Allah ta’ala : ” Wahai orang-orang beriman , jagalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka yang mana bahan bakarnya adalah daripada jin dan manusia.”
 
Dominasi sebagai ketua dan pemimpin adalah wajib dalam bab tersebut. Yakni segala yang bersangkutan dengan tuntutan agama umpamanya menutup aurat, mendirikan solat, berpuasa, mengaji fardhu ain dan sebagainya. Dalam bab tersebut, suami perlu mendominasi. Dan inilah yang dikatakan hakikat dominasi yang sebenarnya dalam rumahtangga.
 
Lebih daripada itu, suami bukan setakat wajib mendominasi dari segi memberi arahan, bertegas dan menjatuhkan hukuman sekiranya perintah-perintah Allah diabaikan, bahkan suami itu sendiri wajar mendominasi dalam bentuk tindakannya sendiri.
 
Apabila azan dilaungkan, suami mendominasi solat berjemaah. Suami mendominasi qiamullail dan membaca Al-Quran. Suami mendominasi dalam etika dan akhlak sebagai muslim. Suami mendominasi dalam bab berpakaian dan menutup aurat. Suami mendominasi dalam pengurusan dan penjagaan masa. Suami mendominasi dalam bab berjimat cermat dan tidak membazir.
 
Maka itulah hakikatnya DOMINASI yang dikehendaki Islam.
 
 
TOLAK ANSUR
 
Adapun dalam hal ehwal keduniaan, suami wajar bertolak ansur. Jangan pula hujah dominasi dan qawwamah itu dibawa dalam semua aspek rumahtangga. Suami wajib bertolak ansur dalam hal ehwal keduniaan. Kegagalan suami dalam bab inilah yang kerapkali mengundang kucar kacir dalam rumahtangga.
 
Ramai suami yang tunggang terbalik di akhir zaman.
 
Dalam perkara akhirat yang sewajarnya dia mendominasi , dia kalah kepada isteri. Isteri solat 5 kali sehari, dia pula lompong sana sini. Isteri rajin baca Al Quran dan pergi kuliah agama, suami pula sibuk lepak dengan kawan-kawan dan tengok bola. Isteri pakai tudung sentiasa , suami pula setiap hari pakai boxer. Tak ke haru biru jadinya?
 
Tapi dalam bab keduniaan, bukan main tegas pula. Isteri mahu beli pasu bunga ditengking dengan kata mengada-ngada. Isteri mahu hias rumah dengan warna kuning , dia habis-habisan menentang kerana mahukan warna biru. Isteri mahu letak almari belah kanan, dia sibuk bertekak suruh letak almari belah kiri.
 
Dengan anak-anak juga begitu.
 
Anak-anak malas mengaji Al Quran kerana ayahnya tak pernah kelihatan buka Al-Quran. Itu tidak pula ditegaskan. Anak dara pakai t-shirt sendat keluar rumah tidak dihalang jauh sekali nak ditegur. Anak teruna main bola pakai seluar pendek, main bola pula sampai maghrib tidak diendahkan. Dia sendiri leka dengan main aji main dam.
 
Tiba-tiba dalam bab keduniaan bukan main garang. Anak nak beg sekolah warna hitam dilarang, sebaliknya disuruh beli yang warna belang-belang. Anak nak minum milo tak dibenarkan, sebaliknya disuruh minum susu atau air ribena. Macam-macam kepelikan berlaku di zaman sekarang.
 
Puncanya? Tidak bertegas dalam bab akhirat tetapi begitu syadid dalam bab keduniaan.
 
Suami atau ayah begini bole dinamakan sebagai suami dayus. Ayah yang dayus. Membiarkan kemaksiatan dalam rumahtangga berlaku sewenang-wenangnya. Merelakan penderhakaan kepada Allah berlaku di depan mata tanpa mahu bertindak sedangkan isteri dan anak-anak adalah amanah yang diberikan oleh Allah sebagai pinjaman semata-mata.
 
Ayah yang jahil sanggup bergaduh dengan anak semata-mata dia mahu tengok channel gusti tetapi anak mahu tengok channel drama. Suami yang jahil sanggup bermasam muka dengan isteri semata-mata isteri mahu hias rumah dengan bunga ros tetapi dia mahu bunga kertas.
 
Tetapi ayah dan suami yang berilmu tidak begitu.
 
Dia mendominasi amal ibadah dan peribadi cemerlang, sehingga dirinya dijadikan idola sepanjang zaman oleh sang anak. Dia mendominasi ketegasan dalam dosa pahala, sehingga isterinya tunduk patuh penuh hormat dan takzim kepadanya, bukan semata-mata kerana takut dan malas bermasam muka.
 
Dari situlah timbulnya mawaddah dan rahmah.
 
Dari situlah timbulnya perasaan senang hati kedua-dua pihak. Isteri bebas mencorak rumahtangga dan mendominasi dalam bab-bab yang dia lebih arif dan mahir. Umpama mengemas rumah, menghias ruang tamu, membuat landskap, menjahit pakaian dan perkara-perkara lain yang tidak ada sangkut paut dengan dosa atau pahala. Perkara-perkara itu dinamakan sebagai perkara harus atau mubah.
 
Suami pula mendominasi ketegasan dalam rumahtangga. Solat perlu tepati masa, waktu lepas maghrib adalah waktu kuliah agama atau mengaji Al-Quran. Pakaian wajib labuh, tidak ketat dan mesti menutup aurat. Makan minum tak boleh membazir. Main bola sampai jam 6.30 petang sahaja. Mengumpat dan mengata adalah haram dan berdosa. Semua itu dizahirkan dengan ketegasan sang suami dan sang bapa.
 
Akhirnya isteri dan anak terdominasi dalam kondisi yang cukup positif.
 
Apa lagi yang kita mahu dalam sebuah rumahtangga yang bahagia, sekiranya kita sudah memperolehi semua perkara di atas? Sesungguhnya, kebahagiaan itu adalah milik Allah. DIA pasti akan berikan pada kita apabila hakNya kita tunaikan sebaik mungkin.
 
Semoga perkongsian ini mampu mencetus azam baru untuk kita semua.
 
Sekian.

About Ahmad Syafiq

Gemar menulis dalam bidang motivasi dan keremajaan. Mula berkarya melalui penulisan blog seawal tahun 2007. Graduan Ijazah Sarjana Muda Syariah ( Fiqh dan Usul al-Fiqh ) dari Universiti Yarmouk, Jordan.

7 comments

  1. Assalamu'alaikum.

    "Isteri bebas mencorak rumahtangga dan mendominasi dalam bab-bab yang dia lebih arif dan mahir. Umpama mengemas rumah, menghias ruang tamu, membuat landskap, menjahit pakaian dan perkara-perkara lain yang tidak ada sangkut paut dengan dosa atau pahala. Perkara-perkara itu dinamakan sebagai perkara harus atau mubah."

    Ya, kalau si isteri arif dalam hiasan dalaman (selalunya begitulah) memang boleh berkongsi idea dengan suami, kena juga tahu apa yang suami suka/tak suka. Nanti, balik kerja penat-penat tengok rumah dalam keadaan "terlalu berhias" boleh semak mata juga :)

    Berkongsi idea kerana masing-masing memerlukan antara satu sama lain, nak hidup sama-sama, nak hadapi sama-sama jadi kena bersama-sama sepakat dalam apa juga cabaran :)

  2. wslm.

    pointnye di situ, 'dominasi' tak mnutup ruang perbincangan, dan bkn itu pun yg dimaksudkan dalam artikel di atas.

    cuma ingin menampakkan tang mana perlu tegas, tang mana perlu tolak ansur. itu sahaja.

    apapun, perkongsian idea harus terus berjalan kerana itu antara cara memastikan komunikasi positif antara suami dan isteri tidak mati. jzkk atas pandangan :)

  3. ana mohon izin share ya..syukran..

  4. durrahnur :

    silakan. sama2

  5. assalamua'laikum wbt

    artikel yg sgt baik n bermanfa'at.

    mohon share n izin masukkan blog nta ke blog ana..
    http://raudhatulmardhiah.blogspot.com/
    http://ummu-zahrah.blogspot.com/

    jazakallah..

  6. ustaz,nak bertanya

    kebanyakan ini ana lihat ramai galangan aktivis dakwah dalam kalangan pemuda telah berkahwin

    namun,ana tidak pasti apakah ini perkara menyedihkan atau apa

    ana lihat kebanyakan muda mudi aktivis dakwah ini mempromosikan kasih sayang mereka,gambar-gambar mereka bersama pasangan

    apa pandangan ustaz?
    kalau boleh nak tahu juga bagaimana pendekatan yang boleh kite buat kalau nak tegur pasangan2 ini seandainya apa yang mereka buat kurang tepat

    maaf ustaz komen panjang

  7. raudhatul mardhiah :

    wslm.silakan.

    anon :

    sila baca post ini http://hafizquran.blogspot.com/2011/06/apa-barang-cium-bini-depan-orang.html

    sy tak bpendapat fenomena tsebut adalah suatu yang elok dalam masyarakat. bahkan pada sy, suami isteri depan orang cukuplah sekadar bpegang tgn. tidak lebih dari itu.

Scroll To Top